BAB 36

Romance Completed 84848

Daging stik yang telah dicurahkan sos black pepper itu dipotong menjadi kepingan kecil lalu disuapkan ke mulut. Bunyi garfu dan pisau dari meja makan itu saling bersahutan disulami gelak tawa.

"Wah, bukan main lebar eh senyum kau lepas si Ilham itu dah ke dalam!" Hairul tersengih menggeleng melihat Megat di depannya.

Megat menyeringai suka seraya meneguk air jus epalnya.

"Gila kau, aku tidak senyum? Baru puas hati aku ini tengok si Ilham itu. Kalau boleh, biar mampus meringkuk terus dalam itu! Eh, kalau aku tahulah kau punya kerja tip top laju macam ini dah lama aku pakai kau je Rul.." balas Megat dengan senyum sinis.

Hairul mencebik.

"Hah, baru kau tahu? Dulu, aku offer diri nak tolong kau hah berlagak tak nak. Eleh, tengoklah sekarang!" Hairul turut tersenyum puas kerana dipuji.

"Ya! Ya! Aku menyesal. Dah, makanlah aku belanja semua ini. Kau nak tambah order tidak? Tambahlah lagi apa-apa yang kau rasa nak makan." pinta Megat. Hatinya betul-betul sedang berbunga indah.

"Ish, dah dah cukup. Cuma, malam ini kau belanja kan?" tanya Hairul sambil tersengih mengangkat keningnya beberapa kali.

"Yaaa, aku belanja Rul! Tidak ada hal lah!" Megat tersenyum lebar menghadam permintaan Hairul apabila mereka menjejakkan kaki ke kelab malam malam nanti. Setakat tolong bayarkan beberapa orang perempuan untuk menghangatkan malam mereka itu apalah sangat nak dibandingkan dengan nilai kepuasan hatinya kini.

Irsa mengelus lembut pakaian di tubuhnya di hadapan cermin. Satu sut lengkap berkot biru gelap dan berselendang putih. Nafasnya sudah ditarik hembus buat ke sekian kali yang tidak terkira. Baru kelmarin dia di Paris dan hari ini dia sedang bersiap untuk ke pejabat. Setelah ketiadaan Ilham, sudah pasti seseorang perlu mengambil alih tugas abangnya itu agar keadaan syarikat tidak terjejas.

"Ya Allah, boleh ke aku uruskan semuanya? Dah lama aku tidak masuk pejabat. Semoga semuanya baik-baik sahaja.." bisik Irsa di depan cermin.

Terasa gugup, risau, dan tiada yakin. Namun, dia perlu meneruskan langkah.

Tok!

Tok!

Tok!

Ayden melangkah masuk selepas mendapat izin. Dia tersenyum manis pada Irsa yang berada di meja Ilham itu.

"Morning, Puan Irsa!" sapa Ayden.

"Morning Ayden! Err, Ayden.. saya.. takutlah. Kalau saya banyak buat silap macam mana? Kalau saya tidak boleh ganti macam Abang Ilham macam mana? Dekat Paris saya kerja kedai bakeri je.." luah Irsa dengan wajah suram.

Ayden tertawa kecil.

"It is okay, Puan Irsa. Saya kan ada nak takut apa. Lagipun cuma ganti Tuan Ilham pada beberapa part penting je macam turunkan tandatangan selebihnya saya tolong settlekan semuanya okay?" jawab Ayden agar hati Irsa itu boleh tenang. Beberapa tahun berada di sisi Ilham, hampir segala tugas kerja Ilham di Widad Holdings ini hanyalah seperti di celah genggaman sahaja.

Irsa menyeringai kelat.

"O..kay." balas Irsa walau tidak yakin.

Ayden membuka plannernya di depan Irsa.

"Alright, so untuk jadual hari ini pagi ini Puan Irsa cuma perlu semak beberapa dokumen yang saya akan beri kejap lagi kemudian tengah hari nanti lepas lunch kita jumpa peguam Tuan Ilham ada perbincangan sedikit then Puan Irsa boleh baliklah. Tiada ada apa dah.." terang Ayden.

"Okay noted, terima kasih Ayden." Irsa mengukir senyum kerana berada di sisi Ayden saat ini sedikit sebanyak telah pun mengurangkan gusar hatinya.

Irsa duduk termenung di anak tangga di hujung koridor. Tempat lepaknya empat tahun lepas ini tidak berubah sedikit pun walau dimamah waktu. Menikmati angin sepoi yang masuk di celah ruang kosong ini membuaikan perasaan Irsa sejenak.

Terfikir akan banyak hal. Nasib abangnya yang masih tiada pasti. Memikirkan dirinya yang benar-benar tidak lagi berdiri di Paris. Ya, ternyata pulang ke tanah air ini bukanlah mimpi di siang hari. Malah, terfikir akan Raess yang mungkin sedang mencarinya di kedai.

"Tidak mungkinlah Raess.. akan cari aku lagi. Aku dah tolak cinta dia. Dan, dia bukan ingat pun aku dan Ara itu siapa.." bisik mulut Irsa tanpa sedar.

Tap!

Tap!

Tap!

"Irsaaaa!!" teriak gema suara yang sedang menaiki tangga dengan teruja telah mematikan lamunan Irsa.

Sekelip mata, Irsa melemparkan senyum yang melebar.

"Cik Tipah! Cik Jah!" sapa Irsa pada dua wanita separuh umur di depannya itu. Memeluk erat keduanya dengan penuh perasaan.

"Ya Allah, lamanya tidak jumpa Irsa! Betul ke ini Cik Tipah tidak salah tengok? Tengok orang cantik-cantik macam ini risau bukan orang je!" Cik Tipah merenung wajah Irsa sedalamnya. Tidak mungkinlah pula puteri bunian kan?

"Betul, Cik Tipah! Ini Irsalah. Siapa lagi yang sudi nak duduk melangok dekat sini?" jawab Irsa sambil memegang lengan Cik Tipah. Dia senang hati melihat dua wanita itu masih kekal bekerja di sini walau tahun sudah bersilih ganti.

"Ish, rindunya kat Irsa! Dulu Irsa berhenti tiba-tiba itu kan sedih tahu Cik Jah dengan Cik Tipah. Sampai tidak lalu makan kita orang memikirkan Irsa lepas tahu berita itu. Haa, iya.." luah Cik Jah.

Cik Tipah menjeling.

"Eleh, sedih-sedih itupun aku nampak kau tapau juga rojak mamak Ali dekat simpang itu kan. Bukan sebungkus tapi dua bungkus engkau!" Cik Tipah mencebik.

"Eii, kau ini! Itu orang kirimlah kau apa tahu?!" bela Cik Jah.

"Haa, kalau Irsa teringin nak makan rojak mamak Ali itu esok Cik Tipah dan Cik Jah belikan ya! Sedap itu dah memanglah sedap cuma biasalah harga dia je yang mencanak naik. Entah apa yang turun pun tidak tahulah! Misai kontot si Ali itu je kot!" bebel Cik Tipah.

Irsa tertawa menggeleng kepala. Gelagat pekerjanya itu masih sama tidak berubah. Sering mencuit hati Irsa agar liku hidup ini tidaklah senantiasa dibayangi detik yang kelam.

Klak!

"Mummy! Mummy!!" panggil Raess seusai menguak pintu rumahnya. Dia menarik bagasinya masuk dan terus meninggalkan ia di suatu sudut.

Tanpa sebarang salam, dia menerjah masuk mencari kelibat Datin Zehan namun wanita itu tiada pula di ruang tamu.

"Raess! Dah balik?!" tegur Mak Pah yang terkejut seusai keluar dari dapur.

"Mana mummy Mak Pah?" tanya Raess.

"Err, ada dalam bilik rasanya itu." jawab Mak Pah yang kehairanan melihat Raess.

"Mummy!! Mummy!!" teriak Raess. Sepanjang penerbangan pulang ke Malaysia akalnya masih tidak boleh berhenti memikirkan punca mummynya yang bersikap sedemikian.

"Ra.. Raess!! Ya Allah, bila Raess balik?! Kenapa tidak beritahu mummy pun Raess nak balik?! Hah?!" tanya Datin Zehan. Dari tingkat atas mulutnya terlopong melihat anak lelakinya itu tiba-tiba sudah terpacak di muka pintu. Segera kakinya dilangkah turun untuk bersua.

"Rindunyaaa mummy dekat Raess!" peluk Datin Zehan erat namun Raess tidak membalas pelukannya itu.

Dengan kehairanan, Datin Zehan berkerut dan melepaskan pelukan itu. Menatap Raess yang sedang memandang dirinya dengan raut wajah yang tajam.

Raess hanya memandang Datin Zehan itu dengan penuh keluh. Mulutnya bergetar berbelah bahagi untuk menyusun kata.

"Kenapa.. Kenapa mummy? Kenapa sekali pun mummy tidak pernah cerita fasal Irsa dekat Raess? Kenapa?!" Raess masih menahan sabar dan menjaga tuturnya kerana di depannya ini adalah ibunya sendiri.

Bola mata Datin Zehan terbungkam luas. Seluruh tubuhnya menggeletar. Dengan sehabis daya dia cuba untuk menutup segala kisah silamnya dari Raess namun hari ini nama wanita itu masih jua boleh terpalit keluar dari mulut anaknya.

"Ra.. Raess ada jumpa Irsa ke?" tanya Datin Zehan seakan tidak percaya.

Raess menghela nafas sepanjangnya.

"Jumpa ke tidak jumpa ke itu bukan masalahnya mummy! Masalahnya sekarang ini kenapa mummy buat Raess macam ini?! Raess tidak faham! Memang tidak faham langsung! Kenapa mummy tidak pernah nak beritahu kisah hidup Raess ini walau sekali? Kenapa Raess ini tidak boleh tahu?!! Cakap, mummy! Cakap!! Beritahu Raess! Beritahu, kenapaaaa?!!" pekik Raess dengan gigil sehingga menampakkan jalur urat di seluruh tubuhnya. Dia cuba menahan amarahnya dengan sehabis daya namun..

Datin Zehan tersentak.

"Kalau Raess tidak jumpa Irsa itu habis siapa yang pandai-pandai cerita semua benda ini kat Raess? Hah? Eh, mummy cuma buat benda yang betul dan benda yang sepatutnya je tahu untuk Raess! Mummy tak nak Raess ingat lagi hal-hal yang lepas itu semua. Lagi-lagi nak ada sangkut-paut dengan perempuan murahan macam dia itulah! Cukuplah Raess dah ceraikan dia. Nak buat apa Raess ingat dia lagi?! Hah, nak buat apa?!!" tempik Datin Zehan pula. Mendengar nama Irsa Zulaikha itu kembali di cuping telinganya betul-betul telah mendidihkan semula zat darahnya.

Raess melangkah melabuhkan punggung ke atas sofa dengan air mata yang mula bergenang. Meraup mulutnya dan seluruh wajah sekilas kerana tidak sanggup untuk mengungkapkan kata di dada. Terlalu perit!

"Mummy.. Mummy sedar tidak apa yang dah mummy buat ini? Hah? Mummy sedar tidak apa yang mummy dah buat kat Raess sebenarnya? Ya Allah.. Huh.. Irsa.. Irsa mengandung anak Raess mummy bukannya anak orang lain! Itu anak Raess dan yang bersalah dalam hal ini adalah Raess bukannya Irsa!!" ujar Raess sambil memandang sayu Datin Zehan.

Datin Zehan ternganga seraya mengerutkan kening. Mak Pah yang hanya tegak membatukan diri juga turut terpana terkejut mendengar kenyataan Raess itu.

"Raess, cakap apa ini? Anak Raess?! Eh, Raess yang ceraikan perempuan itu tahu sebab dia mengandungkan anak jantan lain! Mulut Raess sendiri yang cakap macam itu! Bukannya mulut orang lain! Kenapa sekarang Raess cakap macam ini pula?! Hah?!" bentak Datin Zehan seraya mendekatkan dirinya pada Raess. Dia tidak mengerti mengapa kini Raess bermati-matian pula mahu mengaku itu anaknya.

"Sebab Raess dah ingat mummy! Raess dah ingat semua yang berlaku! Itu, memang anak Raess! Anak kandung Raess!! Zuriat Raess sendiri!! Cucu mummy!!" teriak Raess seraya berdiri di depan Datin Zehan. Jiwanya cukup terobek apabila mengenangkan segalanya. Kalaulah dia boleh putarkan kembali masa lalu..

Datin Zehan terbuntang. Menelan air liur sepahit kenyataan yang keluar dari mulut Raess itu. Dia mengeleng kepala beberapa kali. Tidak percaya dengan bait kata yang terlafaz.

"Sebab mummy.. Sebab mummy tidak pernah cerita apa pun dekat Raess, bertahun-tahun Irsa dan Ara itu tanggung derita. Mummy sedar tidak?! Dan, hati Raess ini jauh lebih terluka bila jadi macam ini!" ujar Raess menahan sebak. Disebabkan Datin Zehan juga, dia sudah menambahkan lagi duka yang bersarang di hati Irsa.

Datin Zehan hanya terdiam. Tiada sebarang kata yang mahu dilontarkan.

"Mulai dari hari ini, apa yang Raess nak buat kelak Raess tidak mahu mummy masuk campur lagi dalam urusan hidup Raess. Raess tak nak mummy halang apa yang Raess nak buat pun. Cukuplah, mummy! Cukup! Tolonglah, Raess mohon!" pinta Raess seraya melangkah menaiki tangga untuk ke biliknya.

Meninggalkan Datin Zehan dan Mak Pah yang sedang terpana menghadam tiap satu kata dari Raess itu. Dan, yang lebih menusuk kalbu mereka adalah ingatan Raess yang telah kembali itu!

Dapatkah aku corakkan kembali cinta yang telah pudar dan mati?
Agar kasih dan sayang yang pernah wujud itu kan kekal bersemi di hati..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience