Bab 3 - Hantu Asrama 2 (Dah Tidur Ke Belum?)

Horror & Thriller Series 23804

SEMUA lampu setiap dorm ditutup tepat pada jam 12.00 tengah malam. Semua penghuni wajib tidur dan berada dalam keadaan senyap dalam tempoh ini. Tiada dorm yang dibenarkan buka selepas jam 12.00 tengah malam.

Rozana mengeluh sambil memandang rakan-rakannya yang sudah berbaring dan menyelesakan diri untuk tidur. Ada yang letak saja kepala di bantal terus hanyut dibuai mimpi. Cemburu sungguh dengan orang seperti ini.

Dia bersyukur kedudukan katilnya tidak seperti dorm di asrama yang lain, yang bertingkat. Asrama mereka hanya menyediakan satu katil single. Dalam dormnya ada 10 buah katil dan Rozana di tengah-tengah, katil yang bernombor lima.

“Tidur Anna,” tegur Saiyedah sambil memandang Rozana, dia mengiringkan tubuhnya menghadap Rozana.

Keluhan dilepaskan. “Tidurlah kau. Aku nak baca novel ni. Nak habiskan lagi sikit je.”

Saiyedah mengangguk dan terus matanya ditutup.

Rozana menyelubung dirinya dan menghidupkan lampu suluh yang kecil untuk pencahayaan ketika dia membaca. Sedang dia membaca dia terdengar seperti ada orang berjalan di luar dorm mereka.

Srrrtttt… Srrrttt… Srrrttt…

Perlahan Rozana keluarkan kepalanya dan memandang tingkap luar berdekatan pintu. Mungkin warden sedang melakukan rondaan. Jarang-jarang berlaku. Rozana teruskan dengan pembacaannya.

Matanya sudah kuyu sebenarnya, namun dia teruskan jugak pembacaannya. Namun, dia tersedar semula bila terdengar bunyi seperti orang melompat di luar dormnya. Dahinya berkerut cuba menangkap bunyi itu datang dari mana dan apa?

Pap! Pap! Pap!

Rozana intai melalui selimutnya, namun tidak nampak apa-apa bayang dari dalam dorm melalui tingkap.

Muka suratnya tinggal beberapa helai lagi. Matanya langsung tidak memberi kerjasama. Sehingga suara yang didengarnya tidak dapat dia dengari sebetulnya…

“Katil satu dah tidur…”

Rozana sudah mengantuk teramat. Suara siapa tu?

“Katil dua dah tidur…”

Rozana sudah terlelap dan terus dibuai mimpi kerana mengantuk yang teramat sangat.

ROZANA masuk dalam dorm selepas mandi dan terus bersiap di tepi katilnya. Semuanya sedang fokus dalam bersiap dan bersedia untuk pergi ke sekolah. Dalam kepala Rozana dia masih terfikirkan tentang malam tadi.

Pap!

Bahu Rozana ditepuk. “Kau kenapa?” tanya Saiyedah sambil menyandang begnya.

Rozana angkat bahu sambil menggeleng. “Entahlah, tapi aku okey je.” Mungkin tak patut dia menceritakan hal semalam kepada Saiyedah, mungkin itu adalah mimpinya.

“SERIUSLAH?” Nada suara Misha sudah bergetar takut. Air liur ditelan kesat, dia terfikir macam mana budak-budak asrama meneruskan hidup di asrama bila sudah diganggu benda misteri.

Saiyedah dan Rozana berpandangan apabila melihat reaksi Misha yang sedang bercerita dengan gengnya di belakang kelas.

“Kenapa tu?” Rpzana tanya Saiyedah sambil pandang ke hadapan kelas semula. Hari ini banyak guru tidak dapat masuk ke dalam kelas kerana terlibat dengan mesyuarat khas.

Lama Saiyedah diam dan mengeluh perlahan. “Aku tak tahulah betul ke tak. Tapi aku dah lama tak dengar cerita pasal benda misteri ni sebab entahlah mungkin sebab kita tak pernah kena dan tak pernah nampak, mungkin.”

“Apa kau cakap ni? Cakap biar jelas boleh tak?” rungut Rozana. Tidak puas hati bila dia tidak faham apa yang berlaku.

“Kat asrama lelaki kecoh pasal ada budak dengar hantu kira katil,” cerita Saiyedah sambil berbisik.

Bulat mata Rozana. “Bila jadi?”

“Minggu lepas. So, budak laki tu dah masuk kelas tu yang ramai tanya dia and dia pun ceritalah.” Saiyedah menceritakan semula dari apa yang dia dengar oleh teman lelakinya yang mengenali mangsa tersebut.

Terus saja memori Rozana berpusing pada kejadian malam tadi.

Kejap.

Hantu tu macam mana?

SEMUA penghuni mula berpusu-pusu mempersiapkan diri sebelum tidur. Pintu dorm Cempaka terus ditutup dan dikunci seperti biasa. Semua penghuninya sudah berbaring di atas katil dan ada juga yang masih bergosip di katil kawan mereka.

Saiyedah terus baringkan diri dan menyelesakan kedudukannya. “Kau jangan tidur lambat. Tidur terus. Bila cuti jelah baca novel tu. Karang warden round and kena spot check sia-sia je nanti.”

Rozana yang baru saja mencapai novelnya terus terdiam dan mengeluh perlahan. “Novel ni tengah in kut. Aku suka betul dengan penulis dia. Best sangat. Boleh berangan sebelum tidur,” balas Rozana yang sememangnya suka membaca novel cinta sebelum tidur.

“Suka hati kaulah. Jangan sampai tertangkap sudah,” kata Saiyedah dan terus tidur mengiring menghadap Rozana.

Sebenarnya Rozana juga takut jika tertangkap dan takut juga jika ada yang mengganggunya waktu malam, namun dia tahu Saiyedah sentiasa ada dan tiap kali tidur Saiyedah selalu mengiring memandangnya.

Pap!

Lampu bilik dorm telah ditutup. Lepas mengucapkan selamat malam kepada semua penghuni di dalam dorm Cempaka, semuanya menjadi sunyi sepi hanya kedengaran kipas sahaja. Rozana terus mencapai novelnya di sisi dan menyelubung dirinya dengan selimut.

Lampu suluh dibuka dan perlahan dia membaca novel kesukaannya. Tersenyum dia membaca jalan cerita yang penuh romantic dan berbunga-bunga ini. Terkadang dia selalu impikan dirinya seperti wanita yang menjadi heroin dalam sesebuah novel.

Pap! Pap! Pap!

Bunyi seperti orang melompat di luar membuatkan Rozana terhenti seketika daripada membaca. Dia cuba mendengar dengan teliti. Bunyi itu sudah tiada, dia cuba mengintai perlahan dari selimutnya. Namun tiada apa-apa pelik yang berlaku.

Mungkin ada binatang atau barangan yang jatuh. Mungkin.

Sempat dia menjeling ke katil Saiyedah, dan kini Saiyedah sudah membelakangkannya. Dia memandang katil kawan-kawannya yang lain. Semuanya sudah pulas tertidur. Bosan betul mereka semua ni terlalu mengikut undang-undang. Tidak seperti di asrama kawannya yang lain.

Rozana sambung membaca novel. Dan bunyi orang melompat sudah tidak kedengaran, tetapi bunyi ketukan pintu pulak.

Tok!

Tok!

Tok!

Degupan jantung Rozana berdegup kencang. Entah kenapa suasana malam ini lain sungguh dan sunyi serta sejuk.

Lebih baik dia tidur saja dan tidak teruskan pembacaannya. Perlahan dia tutup lampu suluh dan meletakkan di bawah bantal berserta novel yang dibacanya. Baru saja dia ingin membetulkan kedudukan badannya. Matanya tertancap pada tingkap yang menghadap koridor dan terlihat bayang-bayang seseorang sedang berdiri di tingkap.

Nafas Rozana sudah tidak sekata. Dia memandang sekeliling dalam bilik dorm itu namun semuanya tidur lena. Saiyedah pula sudah membelakangkannya.

Laju saja dia terus menyelimut dirinya dan memejam rapat matanya sambil mengawal rentak nafasnya. Gila!

Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Kursi.

Tok!

“Katil satu dah tidur…”

Tok!

“Katil dua dah tidur…”

Suara malam itu… Maksudnya suara itu wujud? Tapi siapa?

Tok!

“Katil tiga dah tidur…”

Laju sungguh jantung Rozana berdegup terasa menyesal malam itu dia tidak mendengar kata Saiyedah untuk terus masuk tidur. Saat ini dia berdoa agar ada antara kawannya yang akan bangun untuk ke tandas.

Tok!

Suasana sunyi… tiada lagi suara itu.

“Hehehe…”

Meremang terus badan Rozana ketika ini. Dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Adakah patut dia menjerit meminta bantuan atau berlari kepada Saiyedah yang begitu hampir dengannya.

“Katil empat dah tidur…”

Tok!

“Hehehe…” Ilaian halus itu meremangkan dan membuatkan Rozana ketakutan yang menggila.

“Katil lima belum tidur lagi… Katil lima… belum tidur lagi…”

Entah kenapa Rozana sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa kerana ketakutan mengatasi segalanya.

“Allah, Allah, Allah…” Perlahan nama Allah diucapkan dengan penuh ketakutan.

Suasana sunyi tiada apa-apa yang berlaku tapi Rozana masih kejung di bawah selimutnya. Jika keadaan sudah tenang dia mahu pindah ke katil Saiyedah dan mahu Saiyedah temankannya. Dia sangat takut ketika ini.

Sunyi.

Jantung Rozana juga sudah mulai reda. Perlahan dia mengintai keadaan sekeliling walau masih berdebar-debar dan ada rasa takut. Semuanya masih tidur, matanya laju memandang ke tingkap dan bayang-bayang itu sudah tiada.

Lega sedikit nafas Rozana, lebih baik dia tidur sekarang. Dia kena paksa juga matanya untuk tidur. Supaya malam ini berakhir dengan baik. Dia mengiringkan badannya dan langkah terkejutnya dia melihat Saiyedah.

“Ahhhhh!!!”

Saiyedah baring mengiring memandangnya sambil mata terbuka luas dan tersenyum sungging. Sungguh menyeramkan.

“Katil lima belum tidur…”

SELEPAS seminggu bercuti kerana diserang demam yang tinggi. Rozana masuk ke sekolah seperti biasa. Sebaik saja dia melangkah masuk ke kelas semua mata tertumpu kepadanya. Manakan tidak dia ditemui tidur di luar bilik dormnya.

Itu antara kejadian misteri yang tidak terungkapkan.

“Kau okey tak, Anna?” tanya Saiyedah perlahan dan risau dengan keadaan Rozana.

Rozana mengangguk dan tersenyum, dia sebenarnya agak trauma melihat wajah Saiyedah. Sungguh menyeramkan.

“Aku tahu kau tahu apa aku nak tanya,” kata Saiyedah sambil memandang Rozana yang mengeluh kecil.

Rozana memberanikan diri dengan memandang Saiyedah. “Kes aku sama tak dengan budak lelaki yang kena ganggu dengan hantu kira katil tu?”

Saiyedah cuba mengingat kembali cerita teman lelakinya dan mulutnya ternganga. “Kau… kau kena kacau dengan hantu kira katil ke?”

Perlahan Rozana mengangguk. “Dan…”

“Apa?”

Kedua-duanya senyap. “Kejap… boyfriend aku kata budak tu pengsan bukan sebab jumpa hantu tau tapi dia terkejut tengok rupa kawan dia yang tengah pandang dia dengan wajah menakutkan.”

Teringat peristiwa malam itu saja membuatkan Rozana berdebar dan jantung berdegup kencang.

“Malam tu kau nampak siapa? Dan, apa yang buat kau pengsan?” tanya Saiyedah betul-betul ingin tahu.

Lama Rozana diam dan mengimbas kembali peristiwa malam itu. Perlahan Rozana pandang Saiyedah. “Aku nampak kau.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience