Bab 1 - Hantu Asrama 1 (Menyerupai)

Horror & Thriller Series 23804

SUDAH sebulan Sara duduk di asrama penuh ini. Kawan-kawan juga sudah mula rapat dan dia selesa dengan kawan-kawan satu dorm dengannya. Mira adalah antara yang paling rapat dengannya.

“Sara?” panggil Mira sejurus masuk ke dalam dorm selepas mandi untuk solat subuh dan bersiap ke sekolah.

“Ha. Kenapa?”

“Tadi aku mandi, gosok gigi apa semua aku dengar kakak-kakak senior bergosip. Malam tadi dorm Cendana kena kacau. Dorang nampak bayang nenek tua kat luar dorm dorang,” cerita Mira sambil-sambil bersiap.

Pelik pulak dengan Mira ni dapat pulak dia mandi bersama kumpulan senior. Lagipun Mira ini disenangi ramai tiada siapa yang akan membencinya. Mulutnya juga peramah dan dia suka menolong orang.

“Entah-entah bayang-bayang je kut. Takkanlah ada nenek tu nak datang sini. Wujud ke weh? Ke ini modus operandi dorang nak takutkan kita?” tanya Sara yang masih separuh percaya dan separuh lagi tidak.

“Nak tahu wujud ke tak, tunggulah malam ni. Ikut kepercayaan budak-budak sini lepas satu, satu dorm akan kena.” Mira seringai seram. Sara tepuk bahu Mira kerana terasa seramnya dan meremang secara tiba-tiba.

SEMUA yang berada di dalam kelas prep tekun menyiapkan kerja sekolah dan ada yang sudah menyiapkan kerja duduk melepak dan berborak riuh. Pukul 11.00 malam semua harus masuk ke dalam dorm masing-masing.

Mira dan Sara selepas habis kelas prep, mereka berdua tidak terus naik ke dorm kerana mahu minum malam. Kawan-kawan mereka yang satu dorm sudah naik dahulu kerana terlalu mengantuk dan ingin berehat awal.

“Banyak kau minum tu Sara. Kang terkencing malam ni,” kata Mira mengingatkan Sara.

“Karang sebelum tidur kita pergilah toilet macam biasa and mesti aku buang punya. Kau tak nak minum ke?” tanya Sara sambil mengunyah roti yang diberikan oleh Dewan Makan.

Mira menggeleng. “Mengantuk dah. Siapa je tak mengantuk lepas buat kira-kira ni?”

Tergelak Sara.

SUASANA begitu sunyi di tingkat tiga yang didiami oleh para junior tingkatan empat di situ. Jam di dinding asrama menunjukkan pukul 2.33 pagi. Sara tiba-tiba saja terjaga daripada tidurnya kerana malam ini terasa begitu sejuk sekali cuacanya.

Ah, tahan jelah, kata Sara dalam hati dan terus memeluk bantalnya lalu mengiring ke kiri. Namun, dia masih tidak dapat lelapkan matanya kerana dia benar-benar ingin terkencing. Terus saja dia menjengukkan kepalanya ke bawah melihat Mira yang sedang tidur dengan lenanya.

Katil bertingkat itu membuatkan dia malas untuk keluar pergi ke tandas. Dia duduk bersila di atas katil dan baring semula cuba menenangkan dirinya. Baru saja dia melelapkan matanya, dia terdengar namanya dipanggil dari sisi katil. Terus saja matanya terbuka.

Mira.

“Kenapa kau?” tanya Sara dengan perasaan lega, namun sengaja dia mengajukan soalan terlebih dahulu.

Mira buat muka macam tak selesa, Sara seperti memahami dan tersenyum. “Jomlah pergi toilet sesama sebab aku pun nak terkencing ni. Dari tadi menahannya,” kata Sara sambil turun dari katilnya.

Sara dan Mira beriringan pergi ke tandas, mereka hanya mendiamkan diri dan berjalan cepat kerana mahu menyelesaikan hajat mereka malam itu dan kembali tidur.

“Sunyi pulak rasa malam ni,” kata Sara perlahan mendahului masuk ke dalam tandas.

Mira hanya mengeluh perlahan dan laju dia masuk ke tandas hujung, tandas kegemaran ramai. Sara tergelak kecil kerana masa di dewan makan bukan main lagi Mira tidak mahu minum atau makan kerana tidak mahu membuang air kecil atau besar ketika malam. Namun, lihat siapa yang paling gelojoh sekali.

Setelah membuang hajatnya, Sara keluar dari tandas dan melihat Mira masih belum keluar dari tandas. Sara menunggu Mira. “Mira, kau buang air besar ke?”

Mira hanya mendiamkan diri. Sara mengeluh kerana dia sudah mengantuk semula. Beberapa kali dia sudah menguap dan tiba-tiba lampu tandas berkelip-kelip dan berlampu semula. Terkejut dibuatnya Sara seketika. Dia memegang dadanya kerana entah kenapa dia merasakan tidak sedap hati.

Laju Sara menoleh ke arah tandas hujung yang digunakan oleh Mira tadi yang kini sudah terbuka seperti tiada orang. Tadi pintu itu tertutup kenapa sekarang terbuka? Bila Mira keluar dari tandas ini?

Perlahan Sara menyusung langkah ke tandas hujung itu sambil memanggil nama Mira dengan perlahan. “Mira?”

Tiada sahutan.

Nafasnya semakin laju dan laju bila menghampiri dan kini dia di hadapan tandas itu dan nafasnya terhenti.

Bum!

Laju saja kaki Sara berlari meninggalkan tandas itu dan menuju ke dormnya semula. Pintu dibuka dan alangkah terkejutnya Mira sudah terbaring di atas katilnya dan nyenyak tidurnya. Mungkin Mira meninggalkannya tadi.

“Mira!” panggil Sara dengan sedikit geram. Bahu Mira digoncangkan perlahan.

Perlahan Mira buka mata dan memandang seperti tidak tahu apa yang terjadi.

“Kau apa hal tinggalkan aku?” tanya Sara tidak puas hati. Manakan tidak, dia juga mengantuk tapi kejadian tadi membuatkan dia diserang panik.

Mira masih termangu-mangu dengan apa yang dikatakan oleh Sara.

Bengang Sara dibuatnya. “Kau tak tahu apa yang jadi tadi?”

“Kau cakap dengan siapa Sara?” tegur satu suara yang menyerupai Mira di pintu masuk dorm.

Terkejut Sara dibuatnya dan membuatkan dia terus menoleh ke katil Mira dan ternyata kosong. Jantungnya laju berdegup. Matanya dialihkan semula ke pintu dan melihat Mira yang sedang menutup pintu tapi belum sempat pintu tertutup mata Sara menangkap kelibat seorang nenek tua yang rupanya tidak dapat dilihat sedang berada betul-betul di belakang Mira.

Bum!

Sara rebah.

“SARA… bangun Sara…” Suara yang sayu-sayu memanggil nama Sara. Begitu berat mata Sara ingin dibuka. Dia terasa dunianya berpusing. Perlahan matanya dibuka dan keadaan bilik agak terang sehingga menyilaukan pandangannya.

Matanya ditutup semula.

“Sara?”

“Kenapa dengan Sara?”

“Siapa jumpa dia dulu?”

Suara-suara bercakap kedengaran jelas di tepi telinga Sara. Sara membuka matanya dan melihat dia di kelilingi oleh rakan-rakannya dan dia melihat Mira sedang memandangnya pelik.

Mira?

Terus saja dia terkejut dan terus terduduk ketakutan memandang Mira. Mira jadi pelik.

“Kau kenapa pandang aku macam tu?” tanya Mira terkejut.

Sara cuba bernafas namun nafasnya tersekat-sekat. “A… aku… ta… kuttt…”

Mereka di situ semua berpandangan sama sendiri. Mira memandang Sara. “Baik kau pergi mandi dan bersiap pergi sekolah.” Mira terus pergi memberi laluan kepada Sara untuk turun dari katilnya.

Sara kebingungan. Dia memandang kawan-kawannya di dalam bilik itu. Semuanya seperti biasa. Terus saja dia bangun dan menuju ke tandas, namun baru separuh jalan Sara tidak sedap hati. Dia berpatah balik dan memanggil kawannya yang lain, Najihah.

“Jiha, teman aku kejap.”

Mira pelik dengan kelakuan Sara pagi ini. Tidak pernah Sara sebegini. Najihah hanya menurut dia menemani Sara sehingga ke tandas. Mata Sara memandang tandas paling hujung dan menggelengkan kepalanya.

APA yang jadi malam tadi? tanya Sara dalam hati. Sakit kepalanya memikirkan tentang hal semalam. Ya, dia nampak nenek tua di luar dorm mereka.

Pap!

“Ahhh…” Sara jerit terkejut. Semua yang di dalam kelas memandang Sara dan Mira. Nasib baik kelas tiada guru ketika ini. Mereka semua perlu menyiapkan tugasan yang diberikan.

“Kau kenapa?” tanya Mira pelik dan risau.

Juni juga turut menghampiri Sara dan Mira. “Entah kau ni. Dari dalam dorm lagi aku tengok kau macam tak tentu hala. Apa hal?” tanya Juni pula.

Sara telan air liur. Dia tidak tahu adakah perlu dia ceritakan atau tidak? Adakah mereka akan percaya?

“Ada apa-apa jadi ke?” tanya Juni lagi. “Sebab cara kau ni macam ada yang tak kena je.”

Mira angguk kepala. “Kau… kau kena kacau ke?”

Mata Sara terus memandang Mira tunak.

“Betullah tu,” sampuk Juni.

Sara hela nafas paling berat. Dia bersandar pada kerusi dan memandang Mira dan Juni.

“Kalau aku cerita, korang takkan percaya. Tapi aku nak tanya kau Mira…” Sara bersuara dengan jelas.

“Kau ada pergi tandas ke malam tadi?” tanya Sara.

Mira menggeleng. “Tak ada.”

Jantung Sara berdegup kencang. Hatinya langsung tidak tenang. Apa yang jadi malam tadi? dia bermimpikah?

“Kenapa ni Sara?” tanya Mira mendesak.

“Aku tak tahu…” kata Sara serabut.

Perlahan Sara menceritakan dari detik dia bangun daripada tidur kerana mahu terkencing dan Mira yang mengejutnya bangun untuk ke tandas juga. Lalu, lampu tanda rosak seketika dan ketika itu dia sedar Mira sudah tiada.

Riak Mira sangat terkejut dan resah gelisah.

“Lepas tu?” Juni mahu tahu selanjutnya.

“Aku masuk bilik panggil Mira yang tengah tidur, tapi tiba-tiba ada orang panggil aku kat depan pintu dorm. Rupanya tu Mira dan bila aku pusing semula kat katil. Mira dah tak ada, tapi Mira ada kat depan pintu. Masa Mira nak tutup pintu dorm… aku nampak…” Sara tidak berani nak habiskan ayat yang seterusnya.

“Nenek tua.” Serentak ayat itu keluar dari mulut Mira dan Sara. Lalu mereka berpandangan.

Sara terkejut dan meminta penjelasan. Mira telan air liur. “Sebenarnya aku pun ternampak kelibat yang sama dalam mimpi aku malam tadi. Dan, dalam mimpi aku tu pun kau tengah kejutkan aku.”

Mereka bertiga terus meremang.

Bagaimana mereka mahu hadapi malam seterusnya di asrama nanti?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience