WARUNG PAK TAM dipenuhi ramai jenis umur dan di kampung itu sememangnya penduduknya adalah asal Melayu. Maka, agak susah untuk melihat bangsa lain. Rizal memberhentikan motosikalnya dan memarkirkan di kawasan parkir motosikal. Dia mahu menjamu kuah lodeh masakan isteri Pak Tam, Mak Cuni.
“Lama tak nampak kau Rizal?” tegur Pak Tam bila Rizal duduk di kerusi yang kosong.
Rizal terus bersalaman dengan Pak Tam dan mengangkat tangan kepada orang-orang kampung yang sedang duduk minum sarapan pagi.
“Kursus kat Sabah 3 bulan, lepas tu kat Penang sebulan. Jadi, memang tak sempat nak balik kampung sebab mak dengan abah pulak yang turun Shah Alam datang melawat anak dia ni,” cerita Rizal sambil mencapai sebungkus nasi lemak yang berbalut atas meja.
Pak Tam mengangguk dan berlalu pergi selepas mengambil pesanan daripada Rizal.
“Selepas Mak Munah meninggal kena covid dulu tu, anak-anak dia mana nak balik sini. Si Zahirah dah kahwin dengan pegawai kerja kedutaan so duduk luar negara dah. Tinggal adik dia si Jefri kerja kapal tu dengan kakak dia yang mengajar dekat Sarawak. Memang rumah tu tak ada siapa duduk tu yang dia bagi kat mak cik dorang duduk,” cerita lelaki yang duduk tidak jauh daripada Rizal.
Rizal kenal dengan Mak Munah dan keluarganya. Dia satu sekolah dengan Zahirah dahulu.
“Cantik betul mak cik dorang tu. Katanya janda, berani betul duduk sorang-sorang kat rumah besar tu,” sambung kawannya yang memakai topi.
“Hmm, percayalah perempuan cantik macam tu confirm memakai,” sampuk kawan di hadapannya pula sambil meneguk air kopi pekatnya itu.
“Wehhh…” Suara lelaki yang memakai topi itu kedengaran berbisik dan semua di kedai kopi menjadi sunyi seperti ada sesuatu yang menarik perhatian mereka.
Rizal mencari arah di mana datangnya perhatian itu dan matanya tertancap pada seorang wanita yang cantik dan bergaya di hadapannya. Manis memakai baju kurung cotton yang mengikut badan dan hanya berselendang di atas kepala sedang berjalan melintasi kedai Pak Tam menuju ke kedai runcit Wak Seman.
“Perasan tak kalau ada orang cakap pasal dia je, mesti tetiba dia akan muncul?” sambung suara lelaki yang bertopi itu.
Berdebar juga hati Rizal. Berdebar kerana sudah terjatuh suka dengan wajah manis itu tadi atau berdebar mendengar kisah mereka ini.
“Nah Rizal. Oder kamu dah siap. Kirim salam dengan mak ayah kamu.” Suara Pak Tam mengejutkannya dan Rizal mengawal reaksinya dengan hanya tersenyum dan mengangguk.
SELESAI solat jemaah di masjid Rizal bersalaman dengan jemaah yang hadir sambil menunggu ayahnya yang masih berborak dengan Wak Seman. Matanya mencari wajah emaknya pula yang sudah melambai untuk pulang ke rumah.
“Abah, mak dah panggil,” kata Rizal berbisik kepada Pak Hussin.
“Aku balik dulu Wak,” kata Pak Hussin dan bersalaman dengan Wak Seman begitu juga dengan Rizal. Mereka semua beredar.
“Apa yang awak borak dengan Wak Seman? Macam tak jumpa je tadi,” bebel Mak Ipah. Manakan tidak dia mahu pulang awal semenjak terdengar cerita di masjid tadi tentang kejadian malam semalam. Lambat pulak tersebar cerita itu.
Pak Hussin diam sebentar sebelum menjawab, “Nantilah kat rumah saya cerita.”
Rizal hanya termangu-mangu kerana tidak faham apa pucuk pangkal cerita.
TEH panas yang dihidangkan bersama biskut kering diletakkan di atas meja makan. Menjadi kebiasaan mereka untuk makan biskut kering saja bila malam kerana sudah makan terlebih dahulu sebelum bersembahyang Isyak secara jemaah di masjid.
“Wak bagitahu apa tadi?” tanya Mak Ipah mahu tahu lebih lanjut. Rizal hanya memandang emak dan abahnya. Perbualan mereka nampak menarik bagi Rizal.
“Minggu lepas punya kes yang uri cucu si Jamal tu hilang, ingat tak?” tanya Pak Hussin.
Mak Ipah mengangguk. “Malam semalam ada orang nampak bola api tengah lintas kat kawasan rumah dia. Rumah cikgu yang menyewa kat tepi selekoh tu, kan berjiran dengan Wak Seman. Cikgu tu bagitahu kat Wak.”
“Bola api?” Rizal bersuara, tertanya.
“Tu antara dua je.” Mak Ipah seperti meremang. Risau pulak dia.
“Antara dua?” tanya Rizal lagi.
“Ada orang nak menghantar atau… penanggal.”
RIZAL tak boleh lelapkan matanya. Dia terkenang akan cerita yang diceritakan oleh emak dan abahnya malam tadi. Dia berpusing ke kiri dan ke kana terus saja dia mencapai telefon dan membuat carian tentang Penanggal.
Ilmu hitam untuk mengekalkan kecantikan?
Entah kenapa bayangannya terus kepada wajah wanita yang dilihatnya di warung Pak Mat. Meremang terus bulu romanya.
“DAH sampai…” Seronok betul Mak Ipah melihat anaknya Ruhaila pulang ke rumahnya. Terus saja dia berpelukan dengan Ruhaila, dan menyambut salam daripada menantunya Imran. Tersenyum bahagia wajah Mak Ipah.
Ruhaila kini sedang menanti hari untuk melahirkan anaknya, dari awal lagi dia merancang untuk berpantang di rumah Pak Hussin dan Mak Ipah. Lebih selesa duduk di rumah keluarga sendiri.
Imran dan Rizal bersalaman dan terus mengangkat barang-barang Ruhaila masuk ke dalam rumah. Ruhaila masih berborak dengan Mak Ipah di luar rumah sambil bergelak gembira mendengar cerita Ruhaila yang berdebar menunggu hari bersalin.
“Assalammualaikum…” sapa satu suara dan apabila Mak Ipah menoleh, terus saja wajah Mak Ipah berubah.
“Wa… waalaikummusalam.” Mak Ipah menolak sikit badan Ruhaila untuk berada di belakang. Ruhaila hanya terpinga-pinga. Rizal keluar dari rumah dan terpandangkan wanita misteri itu yang sedang tersenyum di hadapan pagar rumah mereka.
“Saya tinggal dekat rumah arwah Munah. Saya ni adik kepada Munah, nama saya Sabariah. Tadi tengah jalan ternampak adik manis ni, saya ni pandai mengurut. Lagi-lagi orang nak bersalin tengah tunggu hari, orang dalam pantang. Dulu pernah jugak jadi bidan, tapi sekarang ni ramai suka ke hospital. Jadi, kalau perlukan tukang urut bolehlah cari saya,” kata Sabariah dengan lembut dan tersenyum manis.
Mak Ipah turut mengukir senyuman. “Oh, ya ke. Baiklah, kalau kami perlukan orang urut nanti kami panggil kamu ya Sabariah.”
Sabariah mengangguk dan tersenyum manis, matanya jatuh tertancap pada perut Ruhaila. Rizal nampak akan kejadian itu. Terus saja Sabariah meminta izin untuk beransur. Mata Rizal tertancap pada beg plastic yang dijinjingnya, ada cuka.
“Rizal, kunci pintu tu,” arah Mak Ipah sedikit gugup.
Laju saja Rizal membuat apa yang disuruh emaknya. Ruhaila pula sudah ditarik masuk ke dalam rumah.
“Cantiknya kakak tadi tu mak. Takkanlah adik arwah Mak Munah. Muda sangat tu,” puji Ruhaila sambil duduk di sofa ruang tamu.
Pap!
Mak Ipah memukul paha Ruhaila. “Dah, jangan nak diingat perempuan tadi tu. Lupakan je. Kamu dengar cakap mak.” Mak Ipah terus risau akan keadaan anaknya.
“Rizal, nanti kamu tolong cari daun semambu dengan pokok yang berduri. Kamu minta dekat Pak Jalil. Dusun dia ada banyak daun tu dengan pokok berduri,” pesan Mak Ipah.
Pak Hussin yang duduk di kerusi paling dekat dengan TV hanya menggeleng perlahan. Suami Ruhaila, Imran kelihatan terpinga-pinga. “Untuk apa tu mak?”
“Untuk keselamatan.”
Rizal yang sudah tahu untuk apa hanya berdiam diri, sedari tadi dia sememangnya agak meremang melihat wajah Sabariah itu.
“Lagi bahaya adalah daun dan pokok berduri,” balas Imran yang tidak tahu dan tidak faham.
Mak Ipah mengeluh perlahan. “Untuk halang daripada tetamu yang tak diundang.”
Imran masih tak faham. “Siapa?”
“Penanggal.” Pak Hussin terus saja jujur. Ruhaila dan Imran berpandangan.
RUHAILA tersentak kerana tiba-tiba saja perutnya mengeras dan sakit. Nafasnya cuba dikawal dia bangun perlahan dan cuba bangun dari katil. Suaminya siang tadi sudah kembali ke Kuala Lumpur kerana terpaksa menyiapkan tugasan yang terakhir sebelum bercuti.
Perlahan langkahnya menuju ke bilik mandi yang terletak di dapur. Entah kenapa malam itu dia terasa sangat sunyi dan suasana sangat seram. Sejuknya juga mencengkam tulang.
“Hihihihihihihihi…”
Meremang terus Ruhaila mendengar suara yang mengilai itu, dia pasti benda itu ada di luar rumahnya. Entah kenapa dia teringat perempuan yang bernama Sabariah itu tatkala ini.
Pap!
“Ahhhhhh!!!” Ruhaila menjerit kuat kerana terkejut dan terjatuh sehingga darah dan air ketuban keluar dari kakinya.
Pap!
Lampu terang-benderang di sekitar rumah. Mak Ipah dan Rizal serentak menuju ke dapur dan lihat Ruhaila terbaring sambil mendengus rasa sakit dan menangis.
“Rizal, jom pergi hospital sekarang. Kejut abah!” arah Mak Ipah dan terus mendapatkan Ruhaila. Mak Ipah cuba menenangkan Ruhaila yang risau dengan apa yang jadi.
“Sakit, mak.”
“Sabar kejap. Rizal bawak kita ke hospital ya.” Mak Ipah meredakan kerisauan Ruhaila.
“Orang dengar bunyi mengilai tadi tu yang orang terjatuh. Seram mak,” adu Ruhaila.
Muka Mak Ipah terus berubah. Terus saja dia teringatkan Sabariah. Matanya meliar memang di setiap tingkap dan pintu rumah serta bilik dia letakkan daun semambu dan daun seangkatan dengannya. Ternyata benar ada penanggal di dalam kampung mereka ini.
“Rizal, bawak daun semambu sekali masa nak keluar,” kata Mak Ipah dalam gugup. Rasa marah juga datang bertandang.
Rizal dan Pak Hussin berpandangan. “Ada mak. Dalam kereta pun ada lagi ni. Rizal buat macam yang mak suruh.”
Mak Ipah mengangguk dan meminta Pak Hussin menolongnya untuk memapah Ruhaila untuk masuk ke dalam kereta. Sebaik saja pintu depan rumah dibuka, mereka berempat terus meremang. Namun, Rizal tidak pedulikan dan terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin.
Mak Ipah duduk di belakang bersama Ruhaila. Di bawah tempat duduk mereka ada daun semambu yang sengaja disimpan dalam kereta. Pak Hussin membuka pintu pagar rumah dan membiarkan kereta keluar terlebih dahulu dan menutup pintu pagar lalu masuk ke dalam kereta.
Baru saja mereka menggerakkan kereta, Rizal ternampak Sabariah di tepi jalan sedang memerhatikan mereka sekeluarga. Terus meremang badannya.
Sabariah melambai dan entah kenapa kereta juga menjadi perlahan. Rizal juga tidak tahu apa yang jadi. Dengan menahan debaran, tingkap kereta diturun sedikit. “Kenapa Cik Sabariah?”
“Nak ke hospital ke?” tanya Sabariah dengan matanya yang membulat itu. Seram.
“Ya, adik saya nak bersalin dah,” jawab Rizal dalam gugup.
“Jalan je Rizal,” kata Mak Ipah dan dari belakang dia mengangkat daun semambu itu. Terus saja Sabariah ke belakang dan mukanya kelihatan takut. Terus saja dia berpaling dan tidak memandang mereka. Dia kelihatan takut.
Laju saja kereta Rizal membelah jalan dan meninggalkan Sabariah di belakang. Rizal memandang cermin pandang belakang dan melihat Sabariah memandang mereka dengan keadaan marah.
Entah macam mana semasa perjalanan Ruhaila menjerit apabila melihat ada perempuan tanpa kepala terbang di sebelah tingkap sebelahnya. Semua di dalam kereta terkejut dan ketakutan.
“Sial betul.” Marah Mak Ipah. Terus saja dia membuka tingkap dan mencampakkan daun semambu yang ada.
“Allahuakhbar!!!” jerit Mak Ipah kuat dan daun semambu itu terkena pada penanggal itu.
Tingkap terus ditutup dan penanggal itu tidak lagi mengejar mereka. Rizal hanya mendiamkan diri dan hanya membaca bacaan yang dia ingat. Pak Hussin membaca ayat Quran dengan kuat untuk menenangkan keadaan.
Tidak sangka peristiwa seperti ini berlaku kepada keluarganya. Meremang betul bila mengingati peristiwa itu.
MOTOSIKAL diparkir berhampiran dengan warung Pak Tam. Terus saja dia mengangkat tangan memberi tanda hormat kepada orang-orang yang berada di warung itu. Selepas oder makanan yang Mak Ipah pesan, Rizal duduk di kerusi yang kosong.
“Eh, Rizal?” tegur satu suara perempuan menyapa Rizal.
Terus saja Rizal menoleh memandang perempuan itu dan terus dia tersenyum. “Weh, Zahirah…”
“Ingat kau tak ingat kat aku dah. Kau tinggal kat sini atau balik kampung cuti?” tanya Zahirah.
“Aku cuti. Lusa nak balik Shah Alam dah. Kau pun balik bercuti ke apa?” tanya Rizal semula.
Ketika ini pelanggan-pelanggan di warung Pak Tam memandang Rizal dan Zahirah. Manakala suami Zahirah hanya duduk di dalam kereta.
“Mak cik aku sakit. So, balik sini tengokkan kejap. Kejap lagi sampailah Jefri pulak. Kitorang nak hantar mak cik aku tu pergi kampung kawan dia. Aku balik ni pun kebetulan je suami aku balik sini sebab nak melawat family jugak,” terang Zahirah panjang lebar.
Rizal telan air liur. “Mak cik kau tak sihat?”
Zahirah mengangguk. “Dah 4 hari dah katanya. Teruk jugaklah, nak bawak jumpa doktor dia tak nak. Biasalah orang tua. Eh, aku nak geraklah. Kirim salam dengan mak ayah kau,” kata Zahirah dan terus saja berlalu.
Rizal termenung memikirkan garis masa. Ruhaila juga sudah 4 hari melahirkan anaknya. Adakah ini kebetulan atau kebenaran?
“Kau dah baik demam ke?” Ada satu suara yang membuatkan Rizal memandang anak-anak remaja yang sedang duduk melepak.
“Dah. Tak gila demam aku kali ni. 4 hari tersadai,” sahut remaja lelaki yang baru duduk itu.
“Real ke kau nampak penanggal tu?” tanya kawannya.
Terkejut Rizal. Maka, bukan keluarganya saja nampak tapi orang lain juga.
Share this novel