BAB 1

Drama Completed 321

HAJI MANSOR menongkat basikalnya ke perdu ketapang yang membayangi sebuah
rumah limas tua. Dia tertinjau-tinjau, kalau-kalau ternampak kelibat
Limah, perempuan tua yang menghuni rumah itu. Senyap. Bayangnya tidak
kelihatan. Tingkap di anjung dan serambi rumah terbuka. Suasana sekitar
sepi. Matahari semakin condong arah ke barat.

“Mana pulak Limah ni? Tidur agaknya,” desis hati kecil Haji Mansor .

Dia menghampiri rumah limas beratap rumbia itu. Langkahnya perlahan. Di
tangannya kelihatan seikat daun pisang dan beberapa ketul ubi kayu muda.
Daun pisang itu Limah yang pesan. Sejak membuat kuih jualan, Limah
selalu membeli daun pisang Haji Mansor . Dua atau tiga hari sekali, Haji
Mansor akan datang menghantarkan pesanan. Itu pesan Limah, janda beranak
satu yang lewat 50-an usianya.

Sejak kematian suaminya, Limah terpaksa membuat kuih jualan bagi
menampung kehidupan dua beranak. Kuih-kuih tersebut ditumpangkan di
kedai Wak Seman yang terletak di simpang jalan menuju ke pekan Kuala
Sungai Baru. Limah kuat bekerja. Limah hatinya kental dan sanggup
menghadapi kehidupan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Duit
hasil jualan itulah yang mengenyangkan perut mereka dua beranak.
Sehinggakan Haji Mansor turut kagum dengan kegigihan Limah.

“Limah … ooh … Limah!” seru Haji Mansor dari anjung rumah.

Senyap.

“Tingkap terbuka, orangnya tak ada,” rungutnya pada dirinya sendiri.

Sebentar kemudian terpacul sesusuk tubuh di tingkap rumah tengah. Haji
Mansor kenal dengan perempuan itu lalu menghampirinya.

“Err … mak tak ada. Dia ke baruh.” Lisa bersuara. Haji Mansor semakin
hampir ke arah Siah.

“Nii … hah, daun pisang yang mak kamu pesan,” sela Haji Mansor sambil
menghulurkan daun pisang itu kepada Siah.

“Berapa duitnya Pak Aji?”

“Alah … mak kamu selalu sangat pesan daun pisang dengan aku. Kali ini
tak payah bayar!” balas Haji Mansor sambil menyengih sehingga kelihatan
gigi-gigi tuanya.

Lisa tidak bersuara. Dia hanya memerhatikan sahaja gelagat yang
ditunjukkan oleh Haji Mansor . Selalunya Haji Mansor akan mengambil duit
bayarannya tetapi hari ini tidak seperti selalunya. Sebelum beredar Haji
Mansor menghulurkan beberapa ketul ubi kayu muda kepada Siah.

“Ubi ni belum cukup bulan, kalau masak lemak putih campur daun pegaga
tentu sedap. Lebih-lebih lagi kalau Yah yang masak!” sela Haji Mansor .

“Ahh … gatal punya Pak Aji!” seru Lisa di dalam hati apabila Haji Mansor
tersenyum lagi kepadanya.

Tidak lama kemudian Limah sudah pulang ke rumah. Biarpun usianya sudah
menjangkau lebih separuh abad tetapi Limah masih gagah berjalan.
Beberapa biji kelapa tua dibimbit dengan tangan kanan. Manakala tangan
kiri pula menyangga beberapa kerat anak senduduk kering untuk dijadikan
kayu api di sebelah bahu kirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience