BAB 3

Drama Completed 321

Sejak akhir-akhir ini semacam sahaja gelagat yang ditunjukkan oleh Haji
Mansor . Lisa nampak benar kelainannya. Haji Mansor akan tersenyum dan
tersengih apabila bersua muka dengannya. Tidak macam dahulu lagi,
wajahnya serius.

“Eeeiii … meluat!” Lisa pendamkan dalam hati. Kerjanya harus dibereskan
segera sebelum membantu ibunya di dapur.

“Err … Limah, ini daun pisang yang kau pesan.”

“Ehh … mengapa banyak sangat ni Bang Aji?” sela Limah apabila menyedari
daun pisang yang dipesan melebihi daripada biasa.

“Semalam angin kuat. Tiga batang pokok pisang aku tumbang. Jadi dari
membazir aku bawa lebih hari ini,” beritahu Haji Mansor .

Limah kemudian menghulurkan sekeping duit seringgit kepada Haji Mansor .

“Ehh … tak payahlah Limah. Aku sedekah saja pada kau. Simpanlah duit tu,
buat tambah belanja dapur.”

“Jangan macam tu Bang Aji. Saya nak buat jual. Bukankah saya memang
pesan dengan Bang Aji?” soal Limah.

“Itu aku tahu. Lagi pun bukannya rugi aku kalau aku beri percuma daun
pisang ni. Tak kaya aku!” sela Haji Mansor dengan gaya berseloroh.

“Ohh … ya, nanti kejap…,” Haji Mansor meninggalkan Limah sebentar dalam
tanda tanya. “Ni … hah, pisang muda buat masak lemak kuning,” hulur Haji
Mansor dua sisir pisang muda kepada Limah.

“Terima kasih aje Bang Aji. Rezeki saya tak tolak!”

Beberapa saat mata Haji Mansor bersabung dengan mata Siah. Tanpa dipaksa,
Haji Mansor senyum lagi. Lisa malu. Lisa cepat-cepat mengalihkan
pandangan ke arah ibunya.

“Eeii … geramnya!” gerutunya sambil mengetap bibir.

“Mengapa kau Siah? Siapa pulak yang kau geram?” tanya Limah yang turut
perasan dengan gelagat Siah.

“Tak ada apa-apalah mak. Haji Mansor tu selalu sangat senyum pada Yah.
Yah tak suka!”

“Itu yang kau geramkan. Haji Mansor jangan kau layan sangat, semakin
menjadi-jadi nanti. Lagipun apa salahnya kalau dia senyum pada kau.
Senyum tu bukankah menambah rezeki!” panjang Limah berceloteh.

Limah dan Lisa baru selesai menikmati makan malam. Lisa nampak berselera
menikmati gulai pisang muda masak lemak kuning. Dua kali dia menambah
nasi. Limah turut berselera dan ditambah lagi dengan ikan kering bakar
serta sambal belacan. Memang membuka selera.

“Sedap mak masak malam ni. Yah berselera sekali.”

“Untung ada Haji Mansor kalau tidak ….”

“Mak ni balik-balik Haji Mansor . Balik-balik Haji Mansor yang mak
sebutkan. Macam dah tak ada orang lain!” gerutu Lisa memotong cakap
ibunya. Memprotes.

“Yalah, kan dia yang beri pisang muda ni?”

“Itu Yah tahu tapi entahlah.” Lisa kemudiannya terus berlalu. Limah
hanya memandang dengan ekor matanya.

Limah kini di ruang tamu melayani perasaannya. Dengan tiba-tiba wajah
Jusoh, arwah suaminya muncul diingatan. Hati Limah bertambah sayu.
Sebelum menghembuskan nafasnya yang akhir, Jusoh sempat berpesan pada
Limah. Dia masih ingat lagi.

“Mah … ja … jaga anak kita!” itu yang keluar daripada mulut Jusoh.

Igauan Limah terus singgah ke wajah Siah. Mengenang Siah, hati Limah
tambah tersayat. Macam-macam persoalan menerjah kotak fikirannya. Siapa
akan menjaga Lisa bila dia sudah tidak ada lagi di dunia ini? Macam mana
dengan makan pakai Siah? Jodoh! Sampai bila Lisa nak tunggu jodohnya?
Sampai bila?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience