Anna memerhati lelaki yang menceroboh rumahnya sedang tekun memasak.
"Celaka betul! Kau curi masuk rumah aku, ikat aku, sekarang kau suka-suka hati masak dekat dapur aku?" Maki Anna dalam hati.
Dia tak mampu luahkan perasaannya kerana mulutnya sudah ditampal dengan pita pelekat. Matanya terus meliar mencari kalau-kalau ada objek yang boleh digunakan untuk meleraikan tali yang mengikat tangannya. Penceroboh itu sudah menyorokkan bekas pisaunya di kabinet tinggi tadi. Kalaupun Anna dapat menjatuhkan penceroboh itu, dia tetap akan sukar untuk mencapai pisau-pisaunya.
Telefon pintar Anna berdering. Anna telek ke bawah peti ais. Telefonnya tercampak saat dia bergelut dengan penceroboh itu tadi.
"Hmmm... siapa call tu?"
Penceroboh itu berhenti memotong sayur dan terus mencangkung. Dicapainya telefon dari bawah peti ais dan periksa skrin.
"Boss Aaron?" Tanya penceroboh itu kepada Anna.
Anna memalingkan wajahnya. Hatinya bertambah sakit. Dia pasti Aaron sudah dalam perjalanan ke KLIA, manakala dia terperangkap di sini. Makin lama dia makin rasakan rancangan percutian mereka di Stockholm sudah hancur berkecai.
"Kenapa boss call kau? Dia tak tahukah kalau pekerja berada di rumah, mereka mahu privacy?" Sindir penceroboh itu lalu tergelak pendek.
Telefon dibiarkan di atas kabinet, berhampiran cerek elektrik dan pengisar. Beberapa saat kemudian deringan terhenti. Airmata Anna kembali berguguran. Bagaimana dia hendak beritahu Aaron keadaannya sekarang?
Telefon berdering lagi. Penceroboh itu mula berang. Pisau pemotong sayur dihempasnya atas landas pencincang. Dia kerling ke arah skrin telefon.
"Boss Aaron lagi?! Bisinglah. Apa masalah dia ni? Ada urusan kerja hantar e-mel sajalah," penceroboh itu mendengus.
Dia menunggu telefon berhenti berdering sebelum melaraskan paras volume hingga ke paras minimum. Anna melemparkan pandangan tajam padanya tetapi tak diendahkan. Rasa marah dan benci kian meruap-ruap dalam dada Anna. Kalau dia punya kuasa super mahu saja dia mengapungkan dirinya dari lantai dan terus menerajang penceroboh itu.
"Semak betullah boss kau ni, Anna. Aku nak masak pun tak senang. Perut aku dah berbunyi-bunyi ni."
Penceroboh itu terus memotong sayur dan bawang. Tak lama kemudian dia mula menumis dan bau tumisannya menerjah masuk ke hidung Anna hingga dia terbersin beberapa kali.
"Nampak sangat jarang masak. Bau macam ni pun tak tahan," perli si penceroboh membuatkan hati Anna kian mendidih.
Selesai menggoreng sayur, penceroboh itu menggulai ayam pula. Aneka rempah dan santan yang ada di dalam kotak-kotak tadi digunakannya untuk memasak.
"Jadi, semua barang dapur tadi dia yang hantar?" Fikir Anna. "Maksudnya, nama dia Zain?" Anna mula meneka.
Nama penghantar yang dilihat oleh Anna pada skrin telefon pintar penghantar Grab Ekspress tadi ialah Zain.
Setelah lebih 20 minit duduk bersandar pada kabinet dapur dengan kaki dan tangan terikat, Anna cuba untuk menggeliat sedikit. Pinggangnya sudah berasa terlalu lenguh. Si penceroboh berpaling padanya.
"Penatkah? Nak baring atas sofa?" Tanyanya lalu meletakkan senduk gulai dan memperlahankan api dapur.
Anna menggeleng pantas tapi si penceroboh tidak peduli. Dia membongkok sedikit sebelum mencempung tubuh Anna lalu membawanya ke arah sofa. Agak bersusah-payah dia cuba membaringkan Anna.
"Aduh! Berat juga kau ni. Nampak saja kurus," omel si penceroboh.
Anna sekadar memberikannya jelingan dan bunyi dengusan yang kuat. Tangannya terikat di depan, jadi pergerakannya terbatas. Dia hanya boleh menelentang dan mengiring.
Anna pejamkan mata. Dia cuba mencari ketenangan dan kekuatan dalaman untuk menghadapi penceroboh ini. Kepalanya ligat memikirkan cara untuk melepaskan dirinya dan menumpaskan lelaki itu.
Hatinya makin sebal memikirkan percutiannya di Stockholm yang tidak akan dapat dikecapi. Dia pasti Aaron sedang risaukan dirinya. Apa tindakan Aaron? Dalam perancangan awalnya dia betul-betul lupa untuk tentukan apa mereka perlu buat jika salah seorang tidak dapat dihubungi atau tidak dapat datang ke KLIA.
Sumpah Anna tak pernah terfikir bahawa dirinya akan jadi tawanan atas alasan yang dia sendiri tak mampu fikirkan.
"Kau lapar tak? Nak makan tak?" Soal si penceroboh yang sedang menyenduk nasi dan lauk ke dalam pinggan putih berbunga ungu, pinggan kesayangan Anna.
Anna tidak menjawab soalan si penceroboh. Dia hanya pejamkan mata dan masih memaki si penceroboh dalam hati.
"Kalau sumbing pinggan kesayangan aku tu, siap kau, anak babi!" Jerit Anna sekuat-kuatnya tapi yang kedengaran hanyalah, "hmmmphhh!! Hmm... hmmm... hmmm.. hmmmph!!"
Si penceroboh sedang berdiri di depannya saat Anna membuka mata. Dia sedang menatang sepinggan nasi yang penuh dengan ayam goreng dan sayur kacang panjang.
"Marah-marah ni kenapa? Lapar, ya? Meh aku suap, nak?"
Si penceroboh duduk di birai sofa tempat Anna sedang berbaring. Dia menyudu sedikit nasi dan lauk dan halakan ke mulut Anna. Anna menggeleng laju sambil terjerit-jerit. Si penceroboh menarik kembali sudunya dan terus menyuap mulut sendiri.
"Aku nak bagi makan, tak nak pula. Lantak kau lapar. Malam ni aku tak nak masak, tahu?" Kata si penceroboh dengan mulut penuh makanan.
Saat itu baru Anna sedar bahawa si penceroboh itu akan terus berada di rumahnya hingga ke malam. Atau mungkin dia akan terus berada di sini mengganggu hidupnya hingga berhari-hari? Berminggu-minggu? Pelbagai senario mula menerjah fikiran Anna. Mungkinkah si penceroboh akan menyiksanya hingga mati? Atau dia akan digunakan sebagai tebusan?
Telefon Anna berdering lagi. Kali ini bunyinya sayup kerana volume sudah dilaras oleh si penceroboh tadi.
Si penceroboh bangun dari sofa dan mengambil telefon Anna yang tadi dibiarkannya di atas kabinet dapur.
"Wah! Boss Aaron call lagi, Anna! Kau ponteng kerja ke hari ni? Gigih betul boss kau ni call sejak tadi," kata Aaron sambil menjajakan skrin telefon ke muka Anna.
Anna mengerang penuh dengan kemarahan dan kesedihan. Kalaulah dia mampu bertelepati dengan Aaron yang sedang memanggilnya sekarang...
"Aku biar ajelah dia call, ya?" Tanya si penceroboh. "Lagipun bateri kau dah tinggal 5% saja ni. Kejap lagi mampuslah phone kau ni."
Si penceroboh mencampakkan telefon Anna ke atas kabinet TV setelah deringan terhenti. Dia terus sambung menikmati nasi dan lauk pauk sambil matanya kekal merenung wajah Anna.
"Anna, aku nak tanya kau," tiba-tiba si penceroboh bersuara.
Anna kekal membatu di atas sofa.
"Kau rasa siapa yang patut mati dulu. Boss Aaron atau Cheryl?" Tanya si penceroboh, membuatkan Anna tersentak.
Jantungnya terasa bagaikan hendak gugur.
"Si celaka ni tahu tentang Cheryl?"
Share this novel