Bab 1: Anna

Action Series 8770

Anna mendail nombor telefon Aaron dan menanti beberapa ketika sebelum panggilannya berjawab.

"Dah siap pack baju ke, sayang?" Anna bertanya lembut di telefon sambil mencapai beg mekap dan barangan dandanan diri.

"I dalam meeting ni. Lepas meeting baru I balik rumah and pack," jawab Aaron, berbisik.

Dia berada dalam bilik mesyuarat yang hingar-bingar. Anna dapat dengar suara Haji Bashir, bos besar syarikat tempat Aaron bekerja. Anna juga bekerja di syarikat sama tetapi dia tidak melapor kepada Haji Bashir, dia bekerja di bawah Aaron sebagai pembantu peribadi.

"Sempatkah nanti, sayang? Flight kita pukul 9 malam, kan?" Anna mula bimbang.

Beg pakaiannya sudah hampir siap dikemas namun Aaron masih di pejabat.
"Don't worry. I ringkas saja. Tak bawa banyak barang pun."

Anna merengek, "alaa! You selalu macam ni, semua benda boleh buat rileks. I yang takut rushing nanti."

"Sayang, I kena hang-up. My turn to present."

Aaron terus mematikan panggilan. Anna terduduk di katil. Entah berapa jam baru kekasihnya itu dapat pulang ke rumah? Sekarang baru nak memulakan pembentangan. Kemudian, pasti ada sesi soal-jawab lagi. Lepas itu mesti ada sesi minum kopi dengan bos besar dulu.

Anna tahu Aaron tak akan berani untuk melarikan diri awal-awal kalau Haji Bashir ada di situ. Lagipun Aaron merahsiakan rancangan percutian mereka ke Stockholm daripada semua rakan pejabat. Semua urusan penempahan tiket dilakukan oleh Anna sendiri, secara peribadi.

Mereka telah berjanji untuk bertemu di KLIA sebelum 5.30 petang. Anna jeling jam dinding. Sekarang sudah 2.15 petang. Dia tahu ada orang gaji yang boleh tolong kemaskan barang-barang Aaron nanti, tapi dia tetap tak mahu Aaron lama-lama di pejabat. Bila dah tiba di rumah nanti belum tentu Rahilah, isteri Aaron akan melepaskannya ke KLIA begitu saja. Pasti dia akan bertanya itu dan ini kepada Aaron.

"Ah! Tak apalah, aku kemas rumah dulu," kata Anna seraya mengutip kertas-kertas yang bertaburan di lantai bilik.

Kemudian dia pergi ke dapur untuk mengambil plastik sampah hitam dan mula memasukkan semua botol-botol kosong yang bersepah-sepah di bawah meja makan. Plastik pembungkus makanan yang terbiar di tepi sofa semua dikutipnya.

Selepas itu dia membuka peti ais dan mengeluarkan sayur-sayuran yang sudah layu yang tak mungkin akan dimasaknya bila pulang dari Stockholm kelak. Kek coklat daripada majlis harijadinya dua minggu lepas juga terpaksa dimasukkan ke dalam plastik sampah juga.

Anna menjinjing dua plastik sampah hitam yang sudah diikat ketika keluar dari apartmen. Dia berlari menuruni tangga dan menuju ke tempat pembuangan sampah. Masih banyak sampah bertimbun di situ, pasti lori sampah majlis perbandaran belum datang mengangkut hari ini.

"Banyaknya sampah!" Tegur Sam yang membawa sebuah besen besar berisi lebih sepuluh plastik roti putih.

Anna berpaling ke arah datangnya suara yang amat dikenali.

"Hai uncle Sam! Saya clearkan barang-barang yang dah tak boleh makan dalam peti ais," ujar Anna.

"Kenapa nak beli banyak-banyak barang basah? Awak duduk seorang, kan? Datang sajalah makan dekat kedai uncle," pelawa Sam.

"Saya memang selalu makan dekat kedai uncle. Sebab tu sayur-sayur dalam peti saya habis layu," kata Anna diikuti ketawa panjang.

"Iyalah. Betul juga tu." Sam mengorak senyuman lebar. "Jom minum kopi. Tengah tak busy, kan?"

Anna serba salah. Dia sering meluangkan masa berbual-bual dengan Sam sambil minum kopi dan makan roti bakar di kedainya, tapi hari ini dia perlu segera bersiap untuk ke KLIA. Kalau dia tolak pelawaan Sam, nanti kecil pula hatinya.

"Hmmm... okeylah uncle Sam, jom kita minum dulu, tapi tak boleh lama. Saya belum siap packing," kata Anna.

"Alah, minum kopi tak sampai 15 minit pun. Jom! Jom!"

Sam menarik lengan baju Anna dan mereka berjalan beriringan ke Kedai Kopi Uncle Sam yang terletak hanya 200 meter dari tangga apartmen Anna.

"Anna fly malam ni, ya?" Tanya Sam sambil menghidang secawan kopi 'O' panas.

Anna angguk.

"Flight pukul 9, uncle. So, saya kena keluar rumah sebelum pukul 5 petang ni."

"Pergi holiday dengan siapa?" Tanya Aji, kawan Sam yang sering melepak di kedai kopi itu hampir setiap hari.

Anna hanya mampu tersenyum nipis sambil kepalanya ligat berfikir, bagaimana hendak menjawab soalan itu.

"Er... saya pergi dengan kawan," jawab Anna.

"Oooo! Pergi dengan kepala merah yang selalu datang minum dekat sini tu?" Tanya Aji yang suka memanggil Cheryl dengan panggilan kepala merah kerana dia sering mewarnakan rambutnya merah.

Cheryl sudah berkawan dengan Anna sejak dari sekolah rendah. Dia selalu datang tidur di apartmen Anna waktu hujung minggu. Sam dan Aji sudah sering bertemu dengannya.

"Bukan dengan Cheryl, dengan kawan saya yang lain," jawab Anna.

"Kawan lelaki ke perempuan," tanya Aji lagi.

Anna sekadar tergelak pendek. Dia tidak akan jawab soalan itu.

Sam menghampiri Aji lalu menjentik lembut mulutnya. "Busy body betullah kau ni Aji."

"Alah, aku tanya saja. Bukannya aku nak korek rahsia dia," Aji mempertahankan diri.

"Ada-ada sajalah uncle berdua ni. Suka usik saya, kan?" Kata Anna.

"Uncle ni caring, Anna," kata Aji sambil menepuk-nepuk dadanya. "Lagipun, Anna ni anak yatim. Ayah tak ada, mak tak ada. Uncle kenalah jaga Anna."

Sam ketawa terbahak-bahak mendengar ayat Aji yang akhir.

"Nak jaga Anna? Hey! Jaga dulu anak-anak kau yang lima orang dekat rumah tu," kata Sam.

Anna sekadar tersenyum melihat telatah dua lelaki yang berumur hampir 70 tahun yang sudah dikenalinya sejak dia mula-mula berpindah ke apartmen itu. Kopi 'O' yang sudah sedikit suam dicicipnya sedikit demi sedikit sehingga habis.

"Uncle Sam, uncle Aji, saya nak balik dulu, tak habis kemas lagi tadi," kata Anna lalu bangun dan selitkan not lima ringgit di bawah piring alas cawan.

Cepat-cepat Sam tarik not berwarna hijau itu dan pulangkan kepada Anna.

"Alaa... tak payah bayarlah. Kopi 'O' aje pun. Uncle belanja," kata Sam.

"Tapi, uncle dah selalu sangat bagi saya minum free dekat sini. Malulah saya," jawab Anna.

"Tak apa. Anna nak pergi holiday lama, kan? Entah bila lagi uncle boleh belanja Anna," tambah Sam dengan wajah yang sedikit muram.

"Tak payahlah sedih sangat, Sam. Anna nak pergi holiday, bukannya nak pergi masuk penjara," tegur Aji sambil menepuk-nepuk belakang Sam.

Anna letakkan tangan di dada, terharu dengan dua lelaki yang sangat dekat di hatinya.

"I'm going to miss you guys," kata Anna dengan suara tenggelam timbul.

Aji menggaru-garu kepala. "Tak payah fikir pasal kita oranglah. Anna pergi enjoy saja."

"Okay, I'll see you in eight days!" Kata Anna.

"Laaa.... lapan hari saja?" Kata Aji lalu menepuk dahi. "Si Sam ni punyalah sedih, aku ingatkan Anna nak pergi berbulan-bulan."

"Aku saja nak try drama sikit," jawab Sam lalu ketawa.

Anna melambai ke arah mereka sambil mengatur langkah pulang ke apartmen. Satu demi satu anak tangga dipanjatnya. Jam tangan dikerling. Sudah 2.40 petang! Anna terus berlari dan keluarkan kunci apartmen dari poket seluar.

Ketika dia membuka pintu apartmen seorang lelaki memakai seragam Grab menghampirinya. Dia membawa tiga kotak besar barang-barang dapur lalu diletaknya perlahan-lahan di depan apartment Anna.

"Hai! Saya Adam dari Grab Express. Ini rumah Cik Anna Sharina kah?" Dia membaca dari telefon pintarnya.

Anna yang sudah membuka pintu separuh, terhenti.

"Ya, saya," jawabnya.

"Ini ada delivery untuk cik, daripada Zain."

Anna terpinga-pinga sebentar.

"Saya tak kenal Zain. Kenapa dia hantar barang-barang dapur ni?"

Anna menjenguk kandungan dua buah kotak besar di hadapannya. Ada ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, telur, bawang, buah-buahan dan rempah-ratus. Beras pun ada!

"Saya tak tahu, cik. Saya cuma hantar barang saja," jawab Adam.

"Boleh awak bagi saya nombor telefon orang yang hantar ni?" Pinta Anna.

Adam mengunjukkan telefon pintarnya kepada Anna. Cepat-cepat Anna menghafal nombor yang tertera lalu mendail nombor itu dari telefonnya. Panggilannya tidak diangkat. Setelah cuba beberapa kali pun, tetap tidak diangkat.

"Saya tak boleh terima barang-barang ni lah sebab saya tak kenal orang yang hantar ni," kata Anna dengan wajah mulai dibayang risau.

"Dia tak salah alamat, cik. Memang betul dia minta hantar kepada Cik Anna Sharina di alamat ni," kata Adam. "Jadi saya cadangkan cik terima saja dan buatlah apa yang cik nak dengan barang-barang ni," tambahnya.

Anna tak tahu apa yang dia patut lakukan. Dia sekadar angguk saja kepada Adam.

"Terima kasih, cik. Saya pergi dulu. Ada delivery lagi ni," kata Adam. Anna membalas dengan senyuman tawar.

Anna mengangkat kotak pertama yang berisi sayur dan buah-buahan masuk ke dalam diikuti kotak yang berisi daging, ayam dan ikan. Kotak ketiga yang berisi beras dan susu tin agak berat dan cuba mengangkatnya dengan kepayahan.

"Yang ni biar saya tolong," kata satu suara asing dari mulut seorang lelaki bertubuh tegap yang tiba-tiba muncul di depan Anna.

Dia mengisyaratkan agar Anna masuk ke dalam rumah dan dia mengangkat kotak berat itu dengan hanya sebelah tangan. Anna berdiri di tepi dapur seolah-olah memberitahu dia mahu kotak berat itu terus dihantar tepi kabinet. Lelaki itu membuka kasutnya lalu melangkah masuk.

"Letak sini?" Tanya lelaki itu sambil memuncungkan bibirnya ke arah kabinet bawah. Anna mengangguk.

"Terima kasih," ucap Anna ketika lelaki itu melangkah menuju ke pintu.

"It's okay," jawab lelaki itu sebelum membawa masuk kasutnya dan terus mengunci grill dengan sebuah mangga baharu yang tidak pernah dilihat oleh Anna. Kemudian dia menutup pintu perlahan-lahan sebelum berpaling ke arah Anna yang terkaku di dapur.

"Awak jangan menjerit, jangan panik. Saya datang ni untuk pastikan awak tak keluar dari rumah ni sampai saya terima arahan seterusnya," kata lelaki itu dengan tenang.

"Hah?" Balas Anna dengan suara yang tersekat di rongkong dan seluruh tubuhnya terus menggeletar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience