Anna masih berdiri terpegun di dapur. Masa seolah-olah terhenti saat Bintang memandangnya.
"Hello!"
Bintang melambai-lambai ke arah Anna.
"Kau ni faham Bahasa Melayu ke tak?" Tanya Bintang bila tiada sebarang ekspresi di wajah Anna.
Bintang tahu namanya Anna Sharina. Semua maklumat tentang dia telah diterimanya daripada Zain. Tetapi Zain tidak maklumkan jika wanita itu ada menghidap sebarang penyakit - penyakit jantung contohnya.
Melihatkan keadaan Anna yang makin pucat dan tangannya yang menggeletar, Bintang terus meluru ke arahnya.
"Kau ni sakitkah?" Tanya Bintang sambil meneliti wajah pucat Anna.
Tanpa diduga satu tamparan kasar hinggap di pipi Bintang. Telinga Bintang berdesing seketika.
"Keluar!" Tempik Anna. "Kau keluar sekarang!"
Cepat-cepat Bintang menangkup mulut Anna dengan tangan kiri dan tangan kanannya menolak tubuh Anna merapat ke dinding dapur.
"Aku kata jangan jerit. Kau tak reti bahasa ke?" Bisik Bintang dengan gigi terketap. "Kalau kau degil, aku akan ikat kau," ugutnya.
Tubuh Anna makin tegang dan dia mula meronta untuk melepaskan diri dari cengkaman Bintang.
"Duduk diam! Degilnya kau ni!" Bintang memberi amaran.
Anna tertunduk dengan pernafasan yang laju. Kedua-dua belah tangannya dicekak oleh Bintang dengan tangan kanannya yang jauh lebih besar.
"Kalau kau dengar cakap aku, aku takkan cederakan kau. Sehelai rambut kau pun aku takkan usik. Tapi kalau kau buat benda-benda bodoh..."
Bintang mengeluarkan sebilah pisau dari kocek belakang seluarnya. Dia tarik keluar pisau itu dari sarung lalu didekatkan dengan wajah Anna. Pisau berkilat dioles-oles ke pipi gebu Anna. Peluh mula merenik di dahi dan lengan. Gigilan bibir Anna jelas terlihat. Bintang melepaskan cengkaman tangannya lalu tubuh Anna terjelepuk di lantai. Dia menangis teresak-esak.
"Aku ditugaskan untuk jaga kau kat sini, Anna. Kau jangan lawan aku. Aku tak suka berkasar dengan perempuan," kata Bintang dengan nada suara yang tenang. Dia tahu tiada gunanya dia marah-marah, dia hanya mahukan kerjasama Anna.
"Lepaskanlah aku. Aku ada flight malam ni. Aku patut dah dalam perjalanan ke airport sekarang," kata Anna dengan linangan airmata.
Bintang menggeleng.
"Tak boleh Anna. Aku tak boleh benarkan kau pergi mana-mana."
"Habis, flight ticket aku?!" Kesedihan Anna beransur menjadi marah semula.
"Itu kau fikir kemudianlah. Buat masa ni aku minta kau duduk diam-diam kat rumah ni. Dengar apa yang aku cakap. Ikut apa yang aku suruh. Bukannya susah sangat pun," ujar Bintang diikuti satu keluhan panjang.
"Kau ni siapa? Kau nak apa daripada aku, hah? Siapa yang upah kau kurung aku kat sini? Kau nak culik aku, ya?" Bertalu-talu soalan terlontar dari mulut Anna.
"Aku hanya nak kau bekerjasama saja. Aku tak nak duit, harta atau apa-apa yang lain," jawab Bintang.
"Aku tak nak bagi kerjasama dengan kau. Aku nak kau lepaskan aku. Sekarang juga!" Tengking Anna.
Cepat-cepat Bintang mencekak kedua pipi Anna dengan jari telunjuk dan ibu jarinya supaya Anna tidak terus berkata-kata.
"Diamlah!" Bentak Bintang.
Anna cuba meludah berkali-kali dengan wajahnya yang masih dicengkam jari jemari Bintang tapi tak berjaya.
"Fuh! Fuh! Fuh!" Hanya bunyi itu yang terlepas dari mulut Anna.
Dengan menggunakan sebelah tangan Bintang buka penutup beg ambung yang dibawanya dan keluarkan seikat tali dan segulung pita pelekat. Sepantas kilat dia mengikat kedua-dua tangan Anna dengan tali.
"Hoi! Apa ni? Kenapa kau buat ... " Belum sempat Anna menyudahkan pertanyaannya, Bintang sudah menutup mulutnya dengan pita pelekat.
Kemudian Bintang mengubah kedudukan tubuh Anna agar dia duduk bersandar pada kabinet dapur. Bintang potong sedikit lagi tali dan mula mengikat kaki Anna pula.
"Hmmmph!! Hmmmph!!!!" Anna masih cuba menjerit dan meronta.
Bintang bangun untuk meregangkan anggota tubuh dan melepaskan keluhan lega.
"Haaa... sekarang kau diam. Tadi aku berlembut, kau degil. Sekarang aku tak mahu bertolak ansur dengan kau lagi," kata Bintang.
"Hmmmph!!" Jeritan Anna teredam. Matanya bulat dan merah menahan api kemarahan.
Bintang mengeluarkan sebotol bebuli ubat dan sebatang jarum suntikan daripada beg ambung.
"Aku ada ubat untuk perempuan agresif, kau tahu? Kalau kau nak rasa ubat ni masuk dalam salur darah kau, kau buatlah degil lagi," Bintang memberi amaran.
Anna terdiam. Dia menghantukkan kepalanya ke pintu kabinet beberapa kali.
"Tak sayang otakkah? Kalau kau ada concussion, aku takkan hantar kau pergi hospital, tahu?" Kata Bintang lalu ketawa sinis.
Anna berhenti menghantuk kepala. Bintang nampak dia sedang cuba untuk meloloskan tangannya tapi tali itu sudah diikat sekemas-kemasnya oleh Bintang. Akhirnya Anna sekadar tersandar kecewa.
Bintang mengangkat kotak-kotak berisi barangan dapur tadi dan mula mengeluarkan sedikit demi sedikit barang-barang lalu dimasukkan ke dalam peti ais dan tingkat kabinet. Dia menggunting plastik beras dan mencari bekas untuk menyimpan. Selepas membuka pintu kabinet, Bintang menoleh ke arah Anna.
"Beras pun tak ada kat rumah kau ni? Isy... isy... "
Bintang menggeleng. Anna memalingkan muka. Dia merenung ke arah pintu apartmen.
"Kau jangan berangan nak buka pintu tu," kata Bintang.
Periuk nasi dikeluarkan dan Bintang masukkan dua pot beras. Dia membasuh beras dan terus menanak nasi. Sayur dan daging diletakkan di tepi singki. Bekas pisau Anna dialihkannya ke kabinet paling tinggi.
"Anna, kau anggap sajalah kau dah sampai ke Hotel California," kata Bintang sambil menjungkitkan kening.
"You can check-out anytime you like, but you can never leave....!" Bintang bernyanyi dengan suara serak-serak basahnya diikuti ketawa yang panjang.
Share this novel