Aaron tidak sempat hendak menukar baju. Masih berpakaian pejabat ,dia keluar dari bilik tidur menyandang beg komputer dan menarik beg pakaian. Rahilah yang sedang menghidang makanan mengangkat muka bila suaminya menuruni tangga.
"Makan dulu, bang," pelawa Rahilah.
"Sorry, tak sempat. Abang dah lambat ni. Tadi meeting tak habis-habis."
"Jamahlah sikit. Driver Grab pun lagi 13 minit baru sampai," kata Rahilah sambil menunjukkan aplikasi Grab pada telefonnya.
Hendak tak hendak Aaron terpaksa menurut. Bagasi dibiarkan di tepi tangga lalu dia duduk di meja makan dan menyenduk serba sedikit nasi dan lauk ke pinggan.
"Betulkah abang pergi seorang saja ke Stockholm ni? Kawan-kawan pejabat yang lain tak pergi?" Soal Rahilah.
Aaron yang baru menyuap nasi terus tersedak. Cepat-cepat Rahilah hulurkan air kosong buat suaminya.
"Hmmm... abang pergi ni atas jemputan. Orang kat ofis semua tak tahu. Ilah pun jangan beritahu sesiapa, ya?"
Dahi Rahilah berkerut.
"Kenapa, bang? Abang seorang sajakah yang dapat jemputan?"
Aaron mengangguk sambil terus menyuap nasi.
"Siapa yang jemput?"
"Ilah tahu tak ada satu international company yang baru buka pejabat dekat Cyberjaya? Nama company tu Kesla," kata Aaron.
"Oh! Tahu! Yang buat kereta terbang tu, ya?"
Aaron ketawa berdekah. "Kereta pintarlah, bukan terbang. Apalah awak ni."
"Kalau pintar, tak lama lagi boleh terbanglah tu," kata Rahilah, tak mahu mengaku kalah.
"Company ni nak offer abang kerja jadi head of sales untuk Malaysia. Jadi boss dia nak jumpa abang. Kebetulan company ni ada buat pameran dan seminar teknikal dekat Stockholm minggu ni, jadi mereka jemput abang pergi sana."
Mata Rahilah membulat.
"Haji Bashir tahukah abang nak lompat kerja ni?"
"Tak tahu. Seorang pun kat pejabat tu tak tahu menahu pasal ni. So, awak sila kunci mulut, ya? Jangan membawang dengan Kak Shiha," Aaron memberi peringatan.
Shiha ialah isteri kedua Haji Bashir yang rapat dengan Rahilah kerana mereka sama-sama menuntut di UiTM.
"Kalau sesiapa tanya tentang abang, katakan abang balik Kedah, uruskan pusaka arwah ayah," kata Aaron.
"Berapa company tu nak offer abang?"
Aaron jungkit bahu.
"Belum tahu, tapi abang nak try demand 70 ribu."
Sekali lagi mata Rahilah membulat.
"US Dollar?" Tanya Rahilah.
"Ringgitlah, awak ni. Melampau betul kalau saya minta USD70 ribu."
Rahilah mengeluh panjang dengan wajah yang risau.
"Haji Bashir dah bagi abang gaji RM35 ribu sebulan, belum campur komisyen. Abang nak lompat kerja juga?"
"Ilah, anak kita Ariff tu dah nak naik sekolah menengah. Tak lama lagi dah nak masuk universiti. Kalau abang nak masukkan dia dalam mana-mana Ivy League universities, belanjanya mahal, tahu. Boleh cecah juta-juta ringgit."
"Kalau masuk UiTM pun okey sajalah, bang," Ilah mempertahankan alma mater-nya. "Tak payahlah hantar dia jauh-jauh. Dia seorang saja anak kita."
"Sebab dia seorang anak kitalah saya nak bagi semua yang terbaik saja untuk dia," jawab Aaron.
Loceng pintu berbunyi dua kali. Rahilah jenguk ke luar tingkap.
"Grab dah sampai, bang!"
Aaron cepat-cepat basuh dan lap tangan. Rahilah membawa keluar bagasi dan beg komputer Aaron. Mereka bersalaman sebelum Aaron masuk ke dalam kereta.
"Dah sampai sana nanti, call saya!" Pesan Rahilah.
"Okey. Jaga diri elok-elok. Jaga Ariff juga."
Pintu kereta ditutup dan Rahilah melambai-lambai ke arah Aaron dengan senyuman tawar.
Aaron tersandar penuh lega di dalam kereta. Dia tak tipu Rahilah. Benar, dia ke Stockholm untuk menghadiri pameran dan seminar yang dianjurkan oleh Kesla, tapi dia tidak menerima sebarang tawaran kerja daripada sesiapa. Dia hanya mahu menghabiskan masa dengan kekasihnya, Anna. Bukan mudah untuk mereka dapat peluang untuk memadu cinta.
********************
Sampai di bahagian pelepasan Terminal 1, KLIA Aaron terus berlari mencari kaunter daftar masuk. Sambil itu matanya liar mengimbas keliling kalau-kalau Anna ada menantinya di mana-mana. Mereka sudah berjanji tidak akan bertemu atau berbicara semasa di lapangan terbang mahupun di dalam pesawat. Mereka juga akan menaiki teksi berbeza dari lapangan terbang Arlanda ke hotel mereka di Stockholm nanti.
Aaron cuba menghubungi Anna dalam perjalanan ke lapangan terbang tadi tapi panggilannya tidak dijawab. Mungkin Anna tak mahu perbualan mereka didengari sesiapa. Kalau sudah berada di tengah-tengah lautan manusia di bahagian pelepasan, sesiapa pun boleh curi dengar.
Anna sangat berhati-hati. Setiap pergerakan mereka sudah dirancang oleh Anna secara rapi dan terperinci. Tempahan tiket kapal terbang dan penginapan semua dilakukan dengan menggunakan kad kredit milik rakannya, Cheryl. Aaron memohon cuti terlebih dahulu dengan alasan dia perlu pulang ke kampung halaman di Kedah untuk menguruskan pembahagian harta pusaka arwah ayahnya. Anna memohon cuti beberapa hari kemudian dengan alasan ketuanya tiada di pejabat, jadi dia mahu ambil peluang itu untuk pergi makan angin di Bali.
Selesai daftar masuk Aaron berlari-lari anak menuju imigresen dan seterusnya ke arah gate yang telah dikhususkan untuk penumpang-penumpang Qatar Airways ke Arlanda, Stockholm.
Balai pelepasan sudah dipenuhi penumpang. Aaron tertinjau-tinjau tetapi wajah Anna tidak kelihatan. Dia ambil keputusan untuk duduk berehat di kerusi sambil menunggu penerbangan.
Nombor telefon Anna didail beberapa kali tetapi tidak dijawab. Aaron akhirnya menyimpan telefon di dalam poket. Dia akan ikut perancangan awal Anna - mereka hanya akan bertemu dan berbicara setelah sampai di hotel di Stockholm.
"Sabarlah, 16 jam bukannya lama sangat," Aaron memujuk diri sendiri sungguhpun hatinya meronta-ronta mahu memeluk Anna dan menghidu wangi rambut ikalnya.
Setelah memasuki perut pesawat, pramugari membawa Aaron ke bahagian business class. Konfigurasi tempat duduk business class ialah 1-2-1. Di bahagian tengah terdapat 2 tempat duduk. Aaron duduk di sebelah seorang lelaki Arab. Aaron memerhati kiri dan kanan. Dia tak nampak Anna. Aaron mula risau.
Bila kapten mengumumkan mereka bakal berlepas dan minta semua mengenakan tali pinggang keselamatan, Aaron yang masih berdiri terlihat wanita memakai bucket hat warna kuning di tempat duduk di depannya. Wajah wanita itu tidak kelihatan. Aaron hanya dapat melihat topi dan rambut hitam, ikal. Dia jenguk beberapa kali untuk pastikan. Dia tahu Anna memiliki bucket hat warna kuning seperti itu yang dia hadiahkan sekembalinya dari London tahun lepas. Aaron panjangkan leher untuk melihat dengan lebih jelas.
"Why do you keep looking at my mom?" Tegur lelaki Arab berkumis nipis dan janggut lebat yang duduk di sebelahnya.
"Sorry, I thought that lady is someone I know," jawab Aaron sambil menuding ke depan.
"What? You know my mom? How did you get to know my mom?" Suaranya meninggi.
Lelaki Arab kelihatan berang. Dia membuka tali pinggangnya dan mula bangun. Pramugari cepat-cepat menghampirinya.
"Sir, please sit down and fasten your seat belt. We are taking off now," tegur pramugari dengan tegas.
Lelaki Arab kembali duduk. Wanita berpakaian tudung hitam yang duduk di sebelah wanita bertopi kuning bangun dan menoleh ke belakang.
"Umar! Syyy!" Marah wanita itu.
Aaron menutup mulutnya, cuba sembunyikan senyum. Yang itu mak dia rupanya, fikir Aaron.
"Ladies and gentlemen, we are taking off now. Please sit down and fasten your seat belts," sekali lagi pramugari mengingatkan.
Setelah kapal terbang berlepas Aaron berasa lega. Dia tak perlu risau tentang Anna. Dia ada di situ di sebelah wanita Arab bertudung hitam - emak Umar yang duduk di sebelahnya.
Selepas menikmati makan malam yang disajikan Aaron terus terlena. Terasa bagaikan terbuai bila melelapkan mata di tempat duduk boleh laras yang selesa. Hanya sekali-sekala dia tersedar dikejutkan dengkuran Umar di sebelahnya.
Kira-kira sejam sebelum mendarat di Arlanda, Aaron bangun untuk ke tandas. Dia mengerling ke arah wanita bertopi kuning tetapi dia berselubung dengan selimut. Ibu Umar memberikan jelingan tajam ke arah Aaron.
Setelah mendarat wanita bertopi kuning tidak kelihatan. Aaron tercari-cari ketika beratur untuk pemeriksaan passport. Di tempat mengambil bagasi juga Aaron tidak nampak kelibat dia. Beberapa kali Aaron mengurut dada.
"Sabar... sabar.... kejap lagi boleh jumpa dekat hotel."
Di dalam terminal, sebaik saja perkhidmatan perayauan antarabangsa telefonnya aktif, Aaron terus mendail nombor Anna. Dia tidak dapat dihubungi.
Share this novel