Rate

BAB 3

Family Completed 733

Sebenarnya apa yang berlaku itu bukanlah kali pertama. Sebelum aku belikan telekung baharu tersebut, aku pernah suarakan perkara yang sama kepada mak. Sehingga kini aku masih tidak faham kenapa mak terlalu sayangkan telekung lusuh itu. Dua hari sekali mak akan basuh telekung itu supaya sentiasa bersih untuk dibawa di dalam solat bagi bertemu penciptanya. Aku sudah bekerja sekarang. Walaupun belum mendapat pekerjaan tetap tetapi mengambil upah membaiki peralatan elektrik yang rosak sudah cukup menampung kehidupan kami berdua. Aku jarang membelikan apa-apa pada mak dan bagi aku, telekung baharu itu adalah hadiah yang paling bermakna untuk mak tetapi aku sedikit terkilan kerana mak masih tidak mahu menggunakannya.

Sejak peristiwa itu, mak cuma endah tak endah melayan aku. Sepatah aku tanya, sepatah mak jawab. Aku tahu mak masih terasa dengan sikap aku tempoh hari. Ada masanya aku berasa tersisih di rumah sendiri. Dari dulu lagi sebenarnya... Pelbagai cara aku cuba untuk mengambil kembali hatimak tapi aku gagal sehinggalah pada suatu hari aku mendapat tahu perkara yang sebenar dari mulut Pak Qayyum.

Pak Qayyum merupakan ketua kampung di sini. Suatu petang Pak Qayyum telah datang ke rumah aku membawa televisyennya yang rosak. Pak Qayyum telah meminta aku untuk membaiki televisyennya itu dan sanggup membayar berapapun pada aku kerana televisyen itu jenis lama dan sudah tiada keluarannya pada waktu ini. Pada mulanya aku bertanyakan kenapa Pak Qayyum tidak hantar sahaja televisyen tersebut di pekan Muar. Rupanya Pak Qayyum tidak mahu mengambil risiko kerana sebelum ini sudah ada kes kompenen yang masih elok ditukar dengan kompenen yang lama. Oleh sebab itu, Pak Qayyum lebih mempercayakan aku berbanding menghantarnya ke kedai. Jika keadaan mendesak, barulah dia hantar ke kedai. Itupun pilihan terakhir katanya. Aku tidak menjanjikan apa-apa dan sebelum berlalu pergi, Pak Qayyum sempat meninggalkan nombor telefonnya untuk dihubungi. Sebenarnya sebagai ketua kampung, aku sudah lama menyimpan nombor Pak Qayyum. Takut-takut sesuatu yang tidak baik berlaku pada mak, aku boleh terus menghubungi Pak Qayyum.
Keesokan paginya aku telah menghubungi Pak Qayyum dan pada sebelah petang Pak Qayyum telah datang bertanyakan mengenai televisyennya itu.
Alhamdulillah. aku berjaya memperbaiki televisyen tersebut dan Pak Qayyum betul-betul berterima kasih kepada aku. Inilah kepuasan yang aku dapat apabila orang yang memerlukan khidmat aku berpuas hati dengan kerja yang aku lakukan. Sebenarnya televisyen Pak Qayyum ini bukanlah rosak teruk, cuma ada beberapa wayar sahaja yang putus digigit oleh tikus barangkali. Sebelum Pak Qayyum pulang, kami sempat bersembang mengenai hal kampungsehinggalah terbuka cerita mengenai mak tanpa sengaja. Ianya bermula daripada pertanyaan Pak Qayyum kepada aku mengenai keadaan mak.

“Bagaimana keadaan mak kamu sekarang, Wan?” tanya Pak Qayyum.

“Alhamdulillah Pak Qayyum... Nampaknya sihat cuma kadang-kadang tu mak batuk-batuk sikit.”

“Ohh... Biasalah... Pak Qayyum pun begitu juga. Nanti kamu tua kamu tahulah. Hehe... Oh ya, hari tu Pak Qayyum jumpa mak kamu di kedai runcit depan tu. Lain benar sikapnya. Selalunya kalau Pak Qayyum tegur, mak kamu akan tegur Pak Qayyum balik. Tapi tempoh hari mak kamu cuma senyum sahaja, kemudian beralih ke tempat lain.”

“Ermm... Mak sebenarnya terasa hati dengan saya Pak Qayyum.”

“Ha? Kenapa pula kamu cakap macam tu?” Pak Qayyum bertanya sambil sempat menjeling ke arah mak yang sedang memberi makan ayam-ayamnya.

“Entahla Pak Qayyum... Apa yang saya boleh cakap sejak abang Man tak ada, layanan mak pada saya sudah tidak seperti dahulu... Pak Qayyum, kalau tak keberatan boleh saya tanyakan sesuatu?”

“Tanyalah...”

“Boleh saya tahu, abang Man sebenarnya meninggal sebab apa?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience