Bab 4

Romance Series 3139

“WEHHH!!! Cerita kau ni sinetron habis. Kejap letak tepi kisah putus cinta kau ni. Aku lebih tertarik dengan kes siapa Tasha dan Zulaikha ni? Apa jadi lepas tu?” kata Sab yang memang suka akan cerita-cerita hangat sebegini.

Tergelak terus Jay. “Biadap punya kawan.” Lantas Jay tergelak entah kenapa perpisahannya dengan Mirul jadi bahan lawak pula. Mungkin saat ini dia tidak berasa apa-apa, dia takut akan kemungkinan nanti.

“Cepatlah,” desak Sab dan dapat hilaian tawa Ode. Amboi, Ode gembira ya kau.

“Aku tak tahu weh, aku dengar dorang gaduh. Perempuan tu curi spotlight aku ya. Aku baru nak bersoal jawab, jerit-jerit… tak dapat ya. Perempuan tu dah ambil. Tak cukup dia rampas Mirul dari aku ni dia rampas spotlight kisah aku pulak,” ujar Jay dengan penuh kegeraman dan tiba-tiba…

“Sial!” Tangisan kedengaran. Jay menangis tersedu-sedu.

Sab dan Ode berpandangan dan menghela nafas kesal.

Jay kesat air mata namun air mata tetap air mata. Ia memang bersifat mengalir.

“Nangislah dulu Jay. Jangan pendam. Hadap benda ni dan lawan,” kata Sab.

Jay pandang Sab dan Sab mengangguk.

“Ayat kau dulu. Ayat kau waktu comfort aku dulu. Terima kasih kawan.”

MATA Jay hanya memandang pusingan kipas di atas kepalanya. Pusingan kipas itu langsung tidak mengganggu pemandangannya. Kepalanya ligat memikirkan dirinya tanpa Mirul.

Hidupnya bagaikan kosong sedikit. Kenangan bersama Mirul asyik bermain di fikirannya.

“Nah.” Mirul hulurkan beg plastik yang berisi sesuatu di dalamnya.

Air muka Jay berubah kerana dengan melihat plastik itu dia tahu apa isi kandung di dalam beg plastik itu, namun dia harus lihat dahulu baru menilai. Ternyata selepas melihat, Jay terus berasa sedih dan terharu.

“You tak payahlah bazirkan duit. Benda ni tak penting pun,” kata Jay dan terus-menerus membelek novel yang ingin sangat dibelinya. Novel bertajuk Augie & Me. Dia jatuh hati dengan penulisan penulis ini selepas menonton filem Wonder.

Mirul menggosok kepala Jay. “I yang nak bagi sangat. You bacalah. I tahu you kalau nak sangat buku tu you akan baca punya.”

“Terima kasih sayang. I tahu buku ni harga mahal. I doakan rezeki you selalu murah dan cepatlah you dapat kerja kat company yang you apply tu,” doa Jay sungguh-sungguh.

“Amminnn. Terima kasih sebab selalu ada untuk I. Nanti dah dapat kerja, kumpul duit, kita kahwin,” kata Mirul penuh teruja.

“Otak kau! Penipu punya jantan!” kata Jay selepas tersedar daripada lamunan cerita lamanya. “Arghhh!!! Kenapa aku pun tak bernasib baik dalam hal ni?”

Jay benamkan mukanya pada bantal. Dia tidak tahu perasaannya ketika ini, mungkin dia banyak sakit hati daripada bersedih. Sakit hati terhadap layanan Mirul kepadanya sehingga membawa kepada tawar hati.

Tok! Tok! Tok!

Jay kejung bila terdengar pintu biliknya dikunci.

“Jay?” panggil Sab.

Sunyi.

Jay tidak mahu menyahut.

“Jay” panggil Ode pulak.

Sepi.

Keluhan perlahan dilepaskan Jay tidak mahu nampak lemah di mata rakan-rakannya. Terkadang ada rasa malu kerana dia dulu begitu yakin jodohnya dengan Mirul dan selalu menjadi antara penasihat paling bagus antara mereka.

Padan muka aku.

“Bukak pintu ni. Kalau aku pecahkan, kau jugak yang kena cari tukang pintu sebab kalau suruh aku, aku memang akan bertangguh je so pintu kau akan sentiasa terbukak. Senang kitorang nak terjah masuk,” ugut Sab dengan serius.

Jay hanya memandang pintu biliknya dan dia nampak ada bayang-bayang kaki di depan pintu biliknya.

Sepi.

“Ode, kau ambil hammer dalam bilik aku kejap. Ada yang besar tu. Sekali hempuk ni ada sikitlah gegar kondo ni,” kata Sab di luar dan disambut oleh Ode.

“Takut kawan kita ni dah mampus kat dalam. Kang berulat jenazah dia.”

Setan punya kawan. Jay terus bangun dan membuka pintu.

Sab tersenyum. “Haaa… ada pun.”

Ode patah balik dan berdiri di depan pintu masuk bilik Jay bersama Sab.

Jay gosok mata pura-pura baru bangun daripada tidur. “Aku tidurlah.”

“Orang putus cinta mana boleh tidur.” Ayat Sab itu sangat menyakitkan hati Jay. Manakan tidak kena pulang paku buah keras. Ode terus tergelak.

Sab pandang Jay yang memandangnya dengan bengang. “Apa? 1 sama eh.”

“Korang nak apa?” tanya Jay malas dan terus berbaring.

“Bosanlah kau tak ada kat depan. Selalunya ada je lawak bangang kau. Bukak TV tengok cerita lawak pun tak dapat selevel kau,” kata Sab yang sengaja mahu mencipta suasana ceria.

“Kau fikir aku channel cerita lawak kau ke?”

“Dah tu?” balas Sab.

“Subscribelah dulu.” Terus meletus ketawa mereka bertiga.

Bila ketawa mula reda Sab senyum pandang Jay. “Sakit tak?”

Jay mula bergenang air mata. Hatinya sangat sakit. Perutnya jadi sebu.

Ode yang mendengar terus meleleh air mata. Sab sapu kasar air mata Ode. “Bukan time kau dah. Ni time Jay putus cinta. Kau punya time dah habis.”

“Setan.” Jay membalas.

“Bagi aku 3 hari je. 3 hari untuk aku deal dengan perasaan sedih ni. Bagi aku ruang dan masa okey. Lagipun aku dah apply cuti. Isnin depan aku kerja macam biasa,” balas Jay sambil memandang Ode dan Sab.

Ode dan Sab berpandangan dan mengangguk.

“Pastikan jangan buat benda bodoh tau. Aku dan Ode dah bersukur dah dapat sambung duduk kat rumah ni lagi. Mana nak cari sewa murah macam ni, tempat strategik, tuan rumah lawa walaupun baru putus cinta…” kata Sab dan mendapat sambutan ketawa daripada Ode dan Jay.

“Berambus sekarang dari bilik aku!” kata Jay dan dia sangat bersyukur mempunyai 2 orang sahabat yang sangat baik dengannya.

BUKU nota dicapai dan Jay menyenaraikan tempat-tempat yang dia akan elak dan akan mengingati Mirul. Selepas menyenaraikan semua senarai itu Jay jadi puas.

Dia mencapai komputer ribanya dan menaip sesuatu. Tip untuk pulih daripada putus cinta:

1. Ambil masa untuk tenangkan diri sendiri. Jangan pernah salahkan diri sendiri. Kena selalu sebut. “Kerana diriku begitu berharga.”
2. Senaraikan tempat-tempat yang pernah pergi dengan si bodoh tu. Dan, elakkan dalam masa terdekat.
3. Jangan block nombor dia atau social media dia kerana kita akan nampak lemah.
4. Jangan merayu!

Pap!

Komputer ribanya ditutup terus. Keluhan paling berat dilepaskan.

Dada Jay terasa ketat untuk menerima perpisahan dengan Mirul. Semenjak peristiwa perpisahan itu Mirul langsung tidak menghubunginya. Begitu mudah perpisahan ini untuk Mirul.

“Aku tak boleh lemah macam ni. Aku tak boleh! Aku kena kuat ya Allah.” Tangisan Jay kedengaran sangat pilu. Hatinya sangat sakit, nafasnya sangat tersekat-sekat. Kenapa perpisahan ini sangat membunuhnya?

“HAHAHA.” Pekikan ketawa Sab membuatkan Ode menepuk paha Sab dengan kuat.

Sab jadi bengang. “Kau kenapa?”

“Agaklah weh gelak. Member tengah frust tu kat dalam,” kata Ode. Dia kasihan dengan apa yang menimpa Jay. Dia sendiri pun masih dalam merawat hati yang terluka.

“Haisy, kita tak boleh buat rumah ni sunyi tau Ode. Macam orang berkabung. Kita kena bagitahu Jay yang kita ni ada dengan dia. So, bila kita gelak dia akan rasa macam seronok ya life single ni. Ha… lepas tu dia hembus hingu, dia kesat air mata dia lepak dengan kita. Macam kau,” kata Sab dan terus mengambil pek sushi di atas meja.

Hari ini mereka tidak masak kerana semua orang jadi malas bila masuk hari cuti. Untuk keluar berjimba juga malas. Lebih baik menonton filem di rumah dah oder makanan.

Ting!

Bunyi mesej masuk dan Sab menjeling Ode. “Sape?”

Ode buat muka. “Celcom mesej.”

Terus Sab ketawa. “Terpaling setia mesej.”

HARI ini hari Isnin.

Pantulan imej daripada cermin diperhatikan dengan tenang. Bibirnya dicalitkan dengan lipstik berwarna oren. Nampak muda dan baru.

Jay membetulkan rambut hadapannya dan mengetatkan sedikit cekak rambut berjenis kain di kepalanya. Dengan corak bunga-bunga kecil yang memberikan keserian kepada dirinya.

“Bismillah…”

Hari ini hari yang baru untuknya. Walaupun dia tahu dia belum pulih sepenuhnya, namun dia perlu bangkit. Dia tidak mahu menjadi terlalu depresi tentang hal ini.

Perlahan pintu dibuka dan dia menutup semula pintu bilik dan menuju ke ruang tamu, dia terdengar suara Ode dan Sab yang sedang bersarapan sebelum pergi kerja.

“Pfffttt… Terkejut aku, Jamilah!”

Jay menjeling Sab.

“Lawa dohhh,” kata Ode. Dia memandang penampilan Jay dari atas ke bawah.

Ode dan Sab mengelilingi Jay. Jay buat muka bangga. Ya, dia potong rambut dengan sendirinya malam semalam. Nampak tidak kemas sedikit, nanti dia akan pergi ke salon untuk baiki mana yang tidak cantik.

Seterusnya, Jay berjanji tak nak memakai pakaian gelap. Dia perlu nampak ‘fresh’ dan bersemangat.

“Nampak ini yang orang kata kita kena bangkit selepas dikecewakan,” kata Jay dengan bangganya.

Sab dan Ode mengangguk.

“Lain weh cara kau move on. Aku ingat lepas kau dah bertapa dalam bilik, merenung apa yang patut. Kau berhijablah, ni sehelai kain nipis saja yang menutupi rambutmu,” bidas Sab yang sengaja mahu menyakitkan hati sahabat baiknya itu dan menambah perisa dalam hari-hari mereka.

Ode tepuk kuat belakang Sab. Jay menjeling Sab. “Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Macam tu jugak nanti sewa kau aku buat.”

Telan air liur Sab dibuatnya.

“Korang, terima kasih sebab ada dengan aku. Buat rumah ni macam kelab malam yang kau pernah pergi dulu tu Sab. Tak adalah aku menangis rasa sunyi ke apa ke kan. Putus cinta ni sakit bukan apa sebab kadang-kadang orang tu buat kita sakit hati je,” kata Jay sambil merenung pemandangan di luar.

Sab menggeleng dan tertawa perlahan. “Kau ingat tak kau pernah cakap. Kalau kita tiga kena badi kena tinggal. Kau akan tubuhkan kelab?”

Perlahan Jay ketawa dan geram dengan Sab yang selalu buat dia teringat dosa semalam.

“Yalahhh… Hahaha. Kita tiga dah menjanda.” Ode menyambung.

“Okeylah.” Jay betulkan bajunya dan berjalan menuju ke dapur dan membuka peti sejuk lalu menuangkan air jus kegemarannya ke dalam gelas.

Jay datang semula ke ruang tamu dan mengangkat gelasnya tinggi. Sab dan Ode yang faham akan situasi tersebut mengambil cawan mereka dan mengangkatnya juga.

“Dengan ini, aku isytiharkan… aku sebagai pengerusi Kelab Putus Cinta.” Jay tersenyum puas hati dan disambut oleh keterujaan oleh Ode dan Sab.

Baru saja mereka mahu meminum air di dalam cawan. Ode menghentikan mereka.

“Kejap! Kalau salah seorang daripada kita tiba-tiba jumpa seseorang dalam masa terdekat macam mana?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience