Bab 2

Romance Series 3139

TOK! TOK! TOK!

Ketukan pintu membuatkan Jay terjaga daripada tidur. Dia merasakan tidurnya cukup lama. Telefon bimbit cuba dicapai kiri dan kanan namun tiada. Dia mencelikkan matanya dan mengeliat sedikit demi sedikit untuk mencapai kewarasan.

Jay duduk dan rimas dengan ketukan pintu dari luar. Perlahan dia bangun dan mendekati pintu lalu mengintai lubang di tengah pintu untuk melihat siapa di luar.

Mirul.

Aik? Dah siang?

Pintu dibuka. Wajah Mirul nampak stress.

“Kemas beg. Kita balik sekarang,” arah Mirul.

Jay tercengang. Hari ini hari apa. Entah kenapa dia merasakan dirinya bodoh untuk pertama kali. Sebab dia susah untuk jadi bodoh walaupun ketika bercinta.

“Mandi apa semua. Lepas tu kita gerak. I tunggu you,” kata Mirul lagi sambil menolak Jay masuk semula.

“Kejap.” Jay menahan dirinya daripada berjalan.

“Kita balik memang hari ni ke?” tanya Jay.

“Tak. Kita patut balik esok. Cuma I nak balik hari ni dan I nak bawak you sekali. So siap sekarang. I dah tempah tiket flight dah pun. Kita sarapan kat KL je nanti.” Panjang lebar Mirul menerangkan rentetan untuk hari ini.

Jay mengerutkan wajahnya, namun Mirul membuat gaya untuk tidak bertanya lagi dan dia tidak mahu ada pergaduhan.

Malas untuk berbalah Jay terus masuk ke dalam bilik mandi dan mendengar pintu biliknya ditutup.

Dia memandang wajahnya pada pantulan cermin. “Apa yang jadi semalam?”

ODE termenung memandang Sungai Melaka yang begitu keruh airnya. Namun, ada saja tarikan yang membuat ramai untuk datang ke sini. Keberadaannya di kafe ini adalah untuk menjamu selera sementara menanti Sab yang sedang bekerja.

Tanpa sedar air matanya berjuraian mengenangkan kisah cinta yang tidak kesampaian. Mungkin benar kita diuji dengan apa yang kita perlukan sangat.

Ting!

Satu pesanan ringkas masuk ke telefon pintar Ode. Aplikasi WhatsApp itu dibuka.

Jay James
- Korang, aku dah sampai KL.

Terkejut Ode membaca mesej itu.

Ting!

Sab Sembrono
- Aik?!
- Bukan esok ke? Ada apa-apa jadi ke?

Laju Ode menaip untuk bertanya.

Ode Deng
- Kau terus balik rumah ke macam mana?

Jay James
- Balik rumah terus. Aku pun serabut jugak ni. Nanti kat rumah kita cerita.

Sab Sembrono
- Kau kena lamar eh kat sana? Macam mat salih selalu buat tu?

Ode Deng
- OMG!!!

Jay James
- Kena halau adalah.
- Korang balik bila? Malam ni kan?

Sab Sembrono
- Tak, kitorang tambah 1 malam lagi.

Jay James
- Cetan…
- Dahlah esok jumpa kat rumah. Bawak ole-ole. Jangan tanya ole-ole Langkawi mana ya sebab memang tak menyinggah.

Ode meletakkan telefonnya di atas meja bila minumannya telah sampai. Baru saja dia menyisip sedikit airnya itu, Sab terus duduk di hadapannya.

“Kau order air aku tak?” tanya Sab.

“La, kau nak air ke? Kata meeting tadi takkan tak ada minum-minum?” balas Ode.

Sab membuat muka kepenatan dan terus minum air Ode. Sedap air yang dioder Ode ni.

“Weh, dahlah habis kang.” Ode menahan Sab daripada meminumnya. Sab berhenti dan tersengih.

“Tadi tak terasa pun nak minum masa meeting tu. Weh, apa cerita si Jay dah balik? Kau rasa dorang gaduh ke?” tanya Sab sebab dia rasakan ada sesuatu yang terjadi antara Jay dan Mirul.

Ode angkat bahu. “Takkan kena badi kut?”

Sab buat muka. “Badi apa pulak ni?”

“Badi kena tinggal.”

Mengekek Sab dibuatnya. Dan terangguk-angguk tanda setuju. “Kan malam ni kita nak lepak dengan Syasya and Fiqah. Dua-dua ni baru lepas kena tinggal. Aku rasa dah boleh tubuhkan kelab dah ni. Tinggal cari Ketua Kelab je.”

Ode tersengih dan tergelak kecil. Kadang-kadang hal putus cinta ini boleh jadi bahan jenaka jugak ya.

JAY memonyokkan wajahnya sambil baringkan dirinya di sofa ruang tamu. Televisyen yang sedang bermain drama diabaikan. Story yang dilihat di media sosial sahabat-sahabatnya itu membuatkan dia berasa cemburu.

Pelbagai aktiviti mereka lakukan dan sentiasa bergelak ketawa. Lagi-lagi si Ode tu tidak nampak seperti baru putus cinta. Semuanya nampak seronok, walaupun dia tahu masing-masing ada masalah sendiri tapi… sekurangnya dapat bergembira seperti itu juga salah satu terapi.

“Apa yang jadi dengan Mirul ni ya? Sampai sekarang tak balas mesej dan call. Tiba je ajak balik KL.” Jay berfikir. Sehari suntuk otaknya cuba memahami apa yang terjadi.

Makan malam. Barbeku. Lepak pantai. Mirul datang. Mengantuk. Masuk bilik. Tidur.

“Hmm…”

Kejap.

Mirul datang. Bagi air. Mata Jay membulat. Terus dia duduk tegak. Jantungnya laju.

“Okey, Jay. Tenang. Takkanlah dia nak buat apa-apa kan… Tapi, aku mengantuk terus kut lepas minum air and tak ingat apa. Fuh, tenang. Tenang, ribut, jiwa.” Jay berdiri pula cuba mengingati semula kejadian malam semalam.

Gelap.

Sial.

Jay memang tidak dapat mengingati apa-apa.

“TAK sangka kita boleh jumpa kat sinilah korang. Memang Melaka ni Bandar Raya Bersejarah betul. Enjoy gila malam ni. Semua masih tak sempurna akal,” kata Sab sambil berjalan menuju ke kereta.

Syasya mengelap air mata yang mengalir kerana adegan-adegan yang lucu serta lawak-lawak pandir yang mereka lakukan. “Enjoy sangat sambil menangis ha. Cramp perut aku, Biah.”

Laju Sab jentik mulut Syasya. Tergelak semua di situ. Dan, suasana menjadi hening seketika.

“Nanti kirim salam kat Jay. Rindu gila dekat dia. Ni kalau ada. Dia yang paling gila,” kata Fiqah sambil bersandar di pintu kereta.

“Orang kalau jumpa kawan-kawan update siapa yang dah kahwin apa semua. Kita ni update siapa yang kena tinggal,” kata Sab dan mereka sambung bergelak.

“Jay jelah di awangan sekarang ni. Dia kalau putus jugak. Memang dia aku lantik jadi pengerusi,” kata Syasya.

Semua mengangguk setuju.

“Nanti turun KL rogerlah. Boleh jumpa Jay,” sampuk Ode.

Mereka semua berpelukan dan masuk ke dalam kereta masing-masing. Sab dan Ode yang sudah masuk ke dalam kereta hanya diam dan tersenyum.

“Kau okey?” tanya Sab.

Ode angguk. “Hilang kejap masalah. Ringan sikit. Kena kuatlah. Itu je yang aku ada. Aku akan okey.”

“Putus cinta tu sakit bila kita masih cinta je.”

“APA aku nak buat ni?” Mirul tertanya dirinya sendiri. Dia melihat pantulan dirinya dari cermin kereta. Dia bersandar di kerusi kereta. Akhir-akhir ini dia agak serabut dan tidak tahu kenapa dia tidak pernah merasa tenang.

Jay.

Wanita yang dia amat sayangi suatu ketika dulu. Kini, perasaan itu seakan-akan hilang. Hilang begitu saja.

Sudah 6 tahun dia menyulam cinta dengan gadis ini, namun kini perasaan itu hilang. Uminya menyuruh agar dia mencari wanita lain dan uminya juga ada kenalkan dia dengan seorang yang bernama Zulaikha.

Manis, sopan, lembut, pemalu dan cantik.

Untuk Zulaikha dia merasakan dirinya hidup. Punya semangat, sentiasa berdebar-debar bila bertemu. Sentiasa memikirkan apa yang ingin dilakukan. Sepanjang dia bekerja di atas kapal, dia selalu berhubungan dengan Zulaikha.

Jika hilangnya Jay, hatinya tidak merasa apa-apa. Yang hadir hanya perasaan serba salah.

Mesej Jay yang dibaca petang tadi sehingga kini dia tidak membalasnya. Entah kenapa dia merasa begitu, mungkin benar perasaan itu sudah tiada.

Jay
- Sayang…
- Tengah buat apa tu?
- Jom dinner sama
- Sayang?
- Busy ke?

Itu semua mesej yang dikirim oleh Jay kepadanya. “Sorry Jay.” Dia menggerakkan keretanya dan memandu ke rumah Zulaikha atas arahan uminya.

ANGIN malam yang membelai lembut wajahnya langsung tidak dapat menyenangkan langsung perasaannya ketika ini. Mesej yang baru saja dibalas oleh Mirul itu tadi benar-benar sikit pun tidak langsung melegakan hatinya.

Seharian Mirul tidak membalas mesejnya. Dan, tadi baru Mirul membalas mesejnya mengatakan tidak sihat.

“Apa kata aku pergi rumah dia dan buat kejutan. Beli makanan, ubat ke… dan mestilah aku ubatnya. Girlfriend dia kan. Lelaki kalau demam mesti manja. I datang sayang,” kata Jay dengan riangnya. Dia bersiap dan mahu pergi ke rumah Mirul.

Tepat jam 11.00 malam dia tiba di pekarangan rumah Mirul dan terkejut dia melihat Mirul juga baru sampai dan mahu keluar dari kereta. Jay dengan pantasnya keluar dari kereta.

“Sayang?” panggil Jay lembut.

Bahu Mirul tersentak bila mendengar suara Jay. Lantas Mirul memandang ke belakang dan melihat Jay berada di depan matanya.

Mata Jay melihat pakaian Mirul yang seperti baru saja lepas keluar seperti berjalan-jalan. “You dari mana?”

Mirul kelihatan resah.

“You demam kan sayang?” Jay terus mendekati untuk merasa dahi Mirul. Mirul elak.

“I cari ubat tadi.”

“Kat mana?”

“Hmm… pergi 7 Eleven…”

Jay mengangguk perlahan. “Dengan pakai macam ni? Smart macam ni?”

“Taklah sayang. You buat apa kat sini?” tanya Mirul dan terus meraih tangan Jay dan membawa Jay ke kereta Jay. Mirul tidak senang duduk.

“I nak surprise you. I ada bawak makanan dengan ubat. In case you tak larat. You nak makan dengan I tak?” tanya Jay. Walau hatinya tatkala ini sudah galau. Entah kenapa dia seperti berkecil hati dengan Mirul.

“You tak selesa I kat sini ke?” tanya Jay.

Mirul menggeleng. “I risau umi je.”

“Kenapa dengan umi? Umi okey je kan dengan I?”

Mirul mengangguk. Tiba-tiba telefon Mirul bergetar menandakan ada beberapa mesej yang masuk. Mirul cuba mengawal air mukanya dan tiba-tiba saja dia melihat tangan Jay terhulur depannya.

“Boleh I tengok phone you tak?”

Gulp! Mirul telan liur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience