Completed
23255
"Aku ceraikan kau, Lily Layla dengan talak tiga!"
"Jangan!" tersentak Lily lantas terjaga dari lena. Sejak hampir dua bulan yang lalu, inilah yang Lily mimpikan, berulang kali tanpa henti.
Bagi Lily, dia benar-benar berharap semua ini hanya mimpi. Sejak terpaksa meninggalkan banglo tiga tingkat milik Megat Raess, Lily terus melarikan diri jauh dari kekejaman Raess. Walau bergelar suami isteri, Lily tidak dilayan selayaknya seorang isteri.
"Allahuakhbar..." Lily meraup wajahnya yang berpeluh-peluh akibat mimpi ngeri tadi.
"Ampunkan aku, Ya Allah..." kaki melangkah terus ke kamar mandi. Sempat mata melirik ke arah jam loceng di atas meja solek bersebelahan katil bujangnya.
Jam menunjukkan hampir empat setengah pagi. Hampir setiap hari, mimpi ngeri ini menjadi asbab Lily terjaga di waktu begini. Dan, sekaligus membolehkan Lily menunaikan solat tahajud.
Walaupun hari ini bukan hari bekerja, Lily tetap menjalankan rutinnya seperti biasa. Bekerja sebagai seorang pembantu jualan di sebuah syarikat menjual telefon bimbit, sedikit sebanyak membantu Lily untuk menampung kehidupannya.
Walau sekadar menyewa sebuah rumah flat kos rendah di pinggir kota, tidak menghalang Lily untuk meneruskan kehidupannya. Mujur juga, Lily punya wang simpanan waktu bekerja dulu dan ditambah lagi dengan wang hantaran yang diberikan Megat Raess ketika di majlis pernikahan mereka.
Lily terpaksa melupakan cita-citanya menyambung pelajaran akibat dipaksa bernikah dengan lelaki yang tidak dia kenali hanya disebabkan hutang yang masih belum dilangsaikan.
Walaupun punya kelayakan untuk menjawat jawatan tinggi, Lily memilih untuk bekerja di tempat yang berdekatan dengan rumah lantaran tidak punya kenderaan untuk berulang-alik.
Alasan sebenarnya, Lily tidak mahu keberadaannya diketahui Megat Raess mahupun keluarganya sendiri. Hampir sahaja Lily berputus asa selepas dipaksa berkahwin oleh ibu tirinya demi melangsaikan hutang lima puluh ribu ringgit.
Lily tidak tahu atau mengenali bakal suaminya sebelum ini dan hanya bertemu ketika hari pernikahan mereka. Wajah kelat, tegang dan bongkak Megat Raess benar-benar membuatkan Lily gerun.
Dari hari pertama menjejakkan kaki ke rumah banglo yang dijaga rapi oleh pengawal keselamatan yang diupah Raess, membuatkan Lily merasakan dirinya terkurung dalam sangkar emas.
Hakikat sebenar, bukan Lily yang patut berkahwin dengan Megat Raess. Tetapi, adik tirinya, Karmila. Puan Khadijah membuat perjanjian dengan pembantu Megat Raess untuk menyerahkan anak perempuannya sebagai cagaran untuk wang yang dipinjam Puan Khadijah.
Flashback #
"Lily! Lily!"
"Ya, ibu. Lily kat dapur..." laung Lily.
"Sini kau!" Puan Khadijah bercekak pinggang menanti kemunculan Lily.
"Ada apa, bu?" soal Lily sambil mengesat tangan di baju t-shirt lusuhnya.
"Kau buat apa?"
"Lily sedang siapkan makan tengahari."
"Tak payah. Kau pergi bersiap cantik-cantik." berkerut dahi Lily.
"Bersiap untuk apa?"
"Ada orang nak jumpa kau sekejap lagi."
"Tapi, bu..."
"Jangan membantah kalau kau tak nak sakit."
"Untung kau Lily. Ada lelaki kaya nak pinang kau." celah Mila, sinis.
"Pinang? Eh, tak nak! Lily masih belajar, bu. Lily ada setahun lagi untuk habiskan pelajaran Lily."
"Hei, perempuan! Buat apa kau belajar tinggi-tinggi? Kau tetap akan masuk ke dapur juga!"
"Tak! Ibu tak boleh buat macam ni. Lily nak habiskan pelajaran Lily dulu."
"Eh, kau ni. Banyak betul melawankan?"
"Ibu, tolonglah. Lily nak habiskan belajar. Lily dah nak habis belajar pun. Tak sampai setahun pun lagi. Tolonglah, ibu. Kasihankan Lily..." rayu Lily.
"Hei, Lily! Tak payahlah nak belajar bagai. Tak ke mana pun kau nanti."
"Kau tak boleh paksa aku, Mila! Apa kata kau je yang terima pinangan orang tu? Aku nak sambung belajar. Kau bukannya belajar pun. Tingkatan lima pun tak habis." ejek Lily.
"Eleh, belajar konon. Macamlah kau bagus sangat."
"Sebab baguslah, aku dapat sambung belajar dengan bantuan biasiswa. Dari kau..."
"Cukup!" terhinjut tubuh Lily dengan sergahan ibu tirinya.
"Tak payah nak belajar lagi! Nak habiskan duit aku je..."
"Ibu tak boleh buat macam ni. Selama ini, Lily usaha sendiri cari duit poket. Ibu tak pernah bantu Lily walau satu sen pun. Sekarang, kenapa cakap Lily habiskan duit ibu? Makan minum dalam rumah ni, Lily juga yang usahakan. Ibu, Mila? Setakat menghabiskan duit dan makanan je..."
Pang! Terjelepuk Lily ke lantai rumah sebaik tapak tangan Puan Khadijah melekap di pipi mulusnya.
"Padan muka kau!" ejek Mila saat Lily teresak kecil menahan kesakitan ditampar dan terjelepuk ke lantai. Pipi yang perit, diusap perlahan.
"Dasar budak tak sedar dek untung! Kau berani lawan aku?" bentak Puan Khadijah dengan wajah menyinga.
"Lily tak bermaksud begitu, ibu. Tapi, Lily pertahankan diri untuk habiskan pelajaran. Bagilah Lily tamat belajar dulu."
"Eh, kau ni bodoh, eh? Aku suruh kau kahwin untuk langsaikan hutang yang bapak kau buat!"
"Kenapa tak suruh Mila je yang kahwin untuk langsaikan hutang ibu? Mila bukannya buat apa pun. Setakat menghabiskan duit je..."
"Eh, kau ni. Jangan melampau, Lily. Sedar sikit kau tu siapa..."
"Sepatutnya kau dan ibu yang kena sedar kedudukan korang. Arwah ayah kutip korang, bagi korang tempat tinggal, makan. Kalau bukan ibu yang berhutang, ayah yang terpaksa tanggung hutang atas kesilapan ibu!"
Zap! Zap! Zap!
"Argh! Argh!" erangan Lily membuatkan Mila tersengeh kemenangan.
"Allahuakhbar... Sa...kit..." mengalir air mata Lily dilibas beberapa kali dengan rotan yang tidak diketahui dari mana datangnya.
"Huh! Padan muka! Nak berlagak pandai..." ejek Mila sebelum berlalu.
"Ingat sini, anak sial! Kau tak layak nak melawan atau membantah cakap aku! Ingat sikit. Sekarang, rumah ni rumah aku dan kau takde hak ke atas semua harta dalam rumah ni. Nak hidup lama, ikut cakap aku!" Puan Khadijah berlalu sebelum mencampakkan rotan ke lantai.
"Ya Allah, sa...kitnya..." Lily berusaha bangun. Namun, tubuhnya terlalu sakit akibat dari libasan rotan yang mengenai tubuhnya. Betis, paha dan belakang tubuhnya terasa perit dan pedih kesan dari libasan rotan.
Air mata mengalir lesu di wajah mulusnya. Perlahan-lahan Lily bangkit sambil memaut dinding rumah kampung itu.
'Apa dosa aku, Ya Allah? Kenapa aku terpaksa hadap semua ini?' gumam Lily bersama jujuran air mata.
"Pastikan kau bersiap dalam masa setengah jam! Aku tahu, kau siap bila pihak sana datang. Jangan berani buat perkara yang aku tak suka kalau kau tak nak kena libas lagi!" laung Puan Khadijah.
Flashback end #
Kesan libasan masih berbirat di betis, paha dan pastinya di belakang tubuh Lily juga. Bukan sekali dua, tubuh Lily dilibas. Sudah acapkali tubuhnya menjadi mangsa libasan rotan. Sejak kematian arwah ayahnya, Lily tak pernah dilayan baik.
Malah, segala kerja di rumah, Lily terpaksa lakukan tanpa bantuan sesiapa. Sehingga Lily terpaksa bekerja sambil belajar demi mendapatkan wang untuk perbelanjaan diri dan rumah.
Wang yang ditinggalkan arwah ayah, seratus-peratus dipegang ibu tirinya. Untuk menampung diri dan pelajarannya, pelbagai kerja yang Lily lakukan asalkan mampu mendatangkan wang untuk Lily. Nak harapkan bantuan dari Puan Khadijah, Lily terpaksa mengemis.
Deringan telefon menghentikan lamunan Lily. Nama seseorang tertera di skrin telefon. Syamil. Satu-satunya kawan rapat yang dikenali sejak kecil. Syamil cukup memahami situasi genting Lily sejak kecil.
Lily terpaksa membuang sim kad lama demi mengelakkan dirinya dikesan Megat Raess. Megat Raess Rayyan Megat Razin. Lelaki penuh misteri. Jarang sekali Lily dapat mendengar suara Raess meskipun mereka bergelar suami isteri.
Flashback #
"Err, tu...an..." Raess menoleh. Itu teguran pertama Lily sebaik mereka selamat dinikahkan dalam majlis pernikahan yang serba ringkas dan hanya dihadiri Puan Khadijah, Karmila dan pembantu peribadi Raess.
"Hurm..."
"Emm, sa...saya..."
"Pembantu rumah akan tunjukkan kau di mana bilik kau."
"Bilik saya?"
"Ya. Kau tak layak sebilik dengan aku. Aku jijik dengan perempuan miskin seperti kau." Lily menahan sebak di dada.
"Kenapa tuan nikahi saya kalau tahu saya perempuan miskin? Apa niat tuan sebenarnya?" Raess memusingkan tubuh menghadap Lily yang merah matanya.
"Kau dengar sini, perempuan! Aku terpaksa nikahi kau. Bukan sebab aku sukakan kau. Kau bukan sesiapa dalam hidup aku. Ingat tu!"
"Huh! Terpaksa?" Raess mengepal penumbuk, menahan amarah. Tidak disangka Lily berani melawan dirinya.
"Aku tak peduli apa pun yang kau katakan. Cuma, kau kena ingat, dalam rumah ni, ada undang-undang yang perlu kau ikut. Nak selamat, ikut segala peraturan yang ditetapkan." tegas suara Raess.
"Kalau saya enggan?"
"Kau akan terima padahnya!" tegas Raess membuatkan Lily gerun.
"Dan satu yang kau perlu tahu. Aku menikahi kau hanya disebabkan ibu kau mencagarkan kau untuk melunaskan hutangnya yang menghampiri lima puluh ribu ringgit."
"Li...ma puluh ribu? A...apa yang saya tahu, hanya sepuluh ribu ringgit..."
"Kau terlalu polos." tersengeh Raess.
"Let me explain to you. Untuk memudahkan kau memahami perkara sebenar, kau dijual pada aku untuk harga yang tidak masuk akal. Kau faham?"
"Ju...al?" tersungging Raess.
"Ya. Ibu kesayangan kau menjual kau pada aku pada harga lima puluh ribu ringgit yang bagi aku kau tidak layak dibayar untuk harga sebegitu..."
"Dia bukan ibu saya, tuan. Dia hanya ibu tiri..."
"Aku tak peduli siapa pun dia, apa masalah kau sekeluarga. Aku ingatkan kau agar tidak sesekali merayau sebarangan tanpa keizinan aku. Terutama bilik tidur aku."
"Tapi, saya isteri tuan..."
"Huh!" terjongket bibit Raess. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar baju melayu yang masih tersarung di tubuh kekarnya.
"Isteri? Layak ke kau bergelar isteri pada aku? Aku, Megat Raess Rayyan Megat Razin. Keluarga aku keluarga ternama, punya kedudukan. Kau rasa kau layak menjadi isteri aku?" Lily menekur ke lantai. Kata-kata Raess menyesakkan jiwa.
"Kau sekadar isteri cagaran! Jadi, ingat kedudukan kau. Kau tak layak untuk berdampingan dengan aku!" air mata bertakung di tubir mata.
"Kau akan menjadi tebusan seumur hidup di rumah ini! Ingat, kau tak layak untuk aku, perempuan miskin!"
"Kalau begitu, kenapa tidak tuan bunuh sahaja saya? Bukankah itu lebih baik daripada tuan membela hidup perempuan miskin seperti saya?" balas Lily dengan air mata yang mengalir di wajah mulusnya. Raess tidak beriak.
"Aku akan seksa kau sehingga aku puas dan sehingga ke saat itu, kau akan bergelar perempuan simpanan aku!"
"Huh! Perempuan simpanan? Jadi, tuan nak katakan yang saya hanya akan menjadi tempat tuan melempiaskan nafus serakah tuan?"
"Kau halal untuk aku, bodoh!"
"Halal? Saya, perempuan miskin yang tuan jadikan tebusan seumur hidup dalam sangkar emas, tuan kata halal untuk saya? Tapi, tuan dah tetapkan syarat-syarat mengarut untuk saya ikut? Tuan manusia paling kejam dan hina selain ibu tiri saya!" bentak Lily tak mahu mengalah.
"Kau..."
"Huh! Kenapa? Tuan ingat ugutan tuan akan membuatkan saya lemah?" sindir Lily sambil mengesat air mata dengan belakang lengan baju pernikahan mereka. Usai selesai majlis pernikahan, Raess memaksa pembantu peribadinya membawa Lily terus ke rumah agam yang terletak di atas bukit.
"Saya takkan mengalah, tuan! Takkan! Kalau menjadi isteri cagaran mampu memuaskan nafsu serakah tuan, silakan. Tapi, saya ingatkan tuan di sini. Jangan menyesal dengan apa yang bakal berlaku kelak!" bentak Lily sebelum memusingkan tubuh membelakangkan Raess.
"Kau ugut aku?"
"Terpulang pada penilaian tuan!" bentak Lily.
"Hei, perempuan bodoh! Aku ingatkan kau yang aku sudah punya pilihan yang jauh lebih sempurna dari kaulah!"
"Huh!" Lily pusingkan tubuh menghadap Raess dengan sengehan dan kening yang terjongket.
"Tak sangka. Orang sekaya dan berpelajaran seperti tuan bodoh jugakan?"
"What? Kau cakap aku bodoh?"
"Yes! Tuan rupanya bodoh! Takde manusia yang sempurna di mata tuhan, Megat Raess! Yang sempurna, hanyalah Yang Maha Esa!" sindir Lily dengan sengehan kemenangan.
"Huh!" Raess mendengus sebelum menaiki tangga menuju ke kamar tidurnya. Lily melepaskan keluhan sebelum menghenyakkan tubuh ke sofa.
"Puan, maafkan saya. Saya, Kak Tina. Silakan, saya tunjukkan puan bilik puan."
"Tak perlu berpuan dengan saya, kak. Panggil je Lily. Saya bukan puan besar dalam istana sangkar emas ini."
"Jangan begitu, puan. Puan sudah bernikah dengan tuan megat. Jadi, puan adalah puan besar dalam rumah agam ini." tergeleng-geleng kepala Lily tidak dapat menerima segala penjelasan Kak Tina.
"Tak, kak. Saya hanya dijadikan cagaran. Saya dijual pada Megat Raess oleh ibu tiri saya bagi melangsaikan hutang." air mata Lily sekali lagi mengalir lesu sebaik mata dipejamkan.
"Maafkan saya, puan. Saya hanya menjalankan tugas saya menjaga puan seperti yang diarahkan. Mari, saya bawa puan ke bilik puan, ya? Puan boleh berehat sementara menunggu waktu makan malam."
"Silakan, puan."
"Akak dah lama kat sini? Maksud saya, dah
lama bekerja dengan tuan megat?"
"Lama juga. Sejak arwah ibu tuan megat masih hidup." tertoleh Lily.
"Tuan dah tiada siapa-siapa lagi. Hanya kami di dalam rumah tuan ini yang menjadi keluarga tuan."
"Apa maksud Kak Tina?"
"Err, takpelah. Satu masa nanti, puan akan tahu sendiri. Puan berehat, ya. Bersihkan tubuh, puan. Semua pakaian puan dah tersedia di dalam almari." berkerut dahi Lily.
"Pakaian? Almari?" Kak Tina angguk tersenyum.
Assalammualaikum. Karya terbaru, pembuka 2026. Selamat membaca.
Share this novel
best
amboi dlm xsuka. jijik konon. bodi nak
kak knapa tak letak isteri cagaran sbgai tajuk? sedap gak. mcm bes je citer ni... awal2 kasi warm up dah hihi