Aku memandang sepasang sayap yang berwarna merah betul-betul berada di depan mata. Rasa takut dan gundah cuba dihambat pergi.
Entah dari mana datangnya sayap itu, tiba-tiba sahaja muncul di depan mata. Siapakah pemilik sayap yang tengah aku lihat sekarang ini?
Aku tertanya-tanya.
Jika dulu, ada kisah dongeng tujuh puteri bunian yang datang ke dunia dengan memakai pakaian bersayap mereka. Dan ketika mahu pulang, puteri yang ketujuh kehilangan sayapnya. Maka, tinggallah puteri ketujuh di dunia tanpa saudara maranya.
Tetapi sayap yang dipakai oleh mereka berwarna putih. Dan yang berada dihadapan aku sekarang ini adalah berwarna merah, sepekat darah warnanya.
Siapakah pemilik sayap ini? Adakah milik puteri bunian juga seperti kisah dongeng Puteri Tujuh suatu ketika dahulu?
Mahu saja aku menyentuhnya. Tetapi masih lagi ragu-ragu. Bimbang seandainya objek yang aku sentuh itu bisa mendatangkan mudarat pada diri sendiri.
"Hanim Zulaikha!"
Aku pantas berpaling saat nama diseru. Terpampang wajah sahabat baik aku, Sarah Anisah yang sedang menggalas beg besar.
"Apa kau buat tu? Dari tadi aku terjerit-jerit panggil nama kau" rungut Sarah sambil mendekati.
Wajahnya kelihatan letih sekali. Barangkali penat mendaki tadi masih belum hilang. Aku memandang pergelangan tangan. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang.
"Abang Khai dengan yang lain semua tengah tunggu kau. Lepas kau sampai puncak tadi, terus kau menghilangkan diri. Kenapa?" Ujar Sarah lagi.
Dia membelek tubuh aku. Mungkin risau seandainya sesuatu terjadi pada aku. Aku dibawah tanggungjawab mereka. Seandainya berlaku sesuatu pada aku, mereka pasti mendapat masalah.
Aku menggelengkan kepala.
"Aku okey ja. Maaflah sebab susahkan korang semua cari aku. Lepas sampai tadi, aku terus cari toilet. Sorry eh?" aku cuba menjernihkan suasana.
Wajah Sarah dipandang seketika sebelum aku kembali mencari objek yang berada di depan mata sebentar tadi.
Namun, sayap merah yang aku lihat tadi, hilang sekelip mata. Aku tersentak. Apakah yang terjadi sebenarnya? Kemanakah hilangnya sayap yang aku jumpa tadi?
Tiba-tiba pandangan aku tertancap pada objek yang dicari yang sedang terapung ke udara. Tangan aku menggagau mencari tubuh Sarah.
"Sarah, sarah ... Kau nampak tak apa yang aku nampak?" Soal aku sedikit cemas.
Kening Sarah bertaut. Wajahnya keruh tiba-tiba.
"Kau jangan main-main Hanim. Apa yang kau nampak yang aku tak nampak?" Soal Sarah terketar-ketar.
Matanya mengikut arah pandangan aku.
"Sarahhhh ...." Panggil aku perlahan.
Pandangan aku semakin lama semakin berbalam-balam. Dan akhirnya aku terkulai layu dan rebah. Dalam pandangan yang samar, aku lihat aku didekati oleh beberapa orang manusia sebelum dunia aku gelap sepenuhnya.
•••
Kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Pancaran terik matahari menerobos masuk ke dalam kamar yang aku diami sekarang
Aku cuba bangun. Kesan daripada jatuh tadi masih lagi terasa. Pening dan berpusing-pusing sekeliling. Namun aku gagahkan juga diri.
Aku duduk dibirai katil. Mata meliar melihat keadaan sekeliling. Kemas dan teratur keadaan biliknya. Seolah-olah bilik yang dihuni seseorang.
Aku jangka ini adalah bilik penginapan yang telah ditempah oleh senior yang turut sama dalam ekspidisi mendaki Gunung Ceracak.
Ya, Gunung Ceracak adalah gunung yang terkenal dengan keindahan alam flora dan faunanya yang masih belum terusik dek tangan manusia yang rakus.
Suasananya yang indah dan sejuk, menggamit ketenangan yang didambakan oleh setiap orang. Kehijauan yang terbentang, seakan menjadi vitamin pada keserabutan kota.
Aku bangkit berdiri.
Mata dipejamkan semula. Nafas ditarik sedalamnya. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Cuba merasai udara segar yang sudah lama didamba.
Senyuman terukir diulas bibir. Tempat sebeginilah telah menjadi impian aku sekian lama dulu. Begitu mengasyikkan suasananya.
Bauan itu! Bauan ketenangan!
"Tuan Puteri sudah terjaga? Adakah kehadiran hamba menganggu Tuan Puteri beradu?"
Aku tersentak. Suara yang menegur tadi mendatangkan rasa hairan.
Tuan puteri? Hamba? Beradu? Bahasa apakah ini? Adakah aku masih hidup di era zaman kesultanan melayu dahulu kala? Atau mungkin ini adalah prank dari kawan-kawan yang mahu mengenakan aku?
Aku menoleh.
Sekujur tubuh lelaki berbadan sasa terbentang di depan mata. Kepalanya dihiasi tengkolok zaman era kesultanan dahulu. Pakaiannya pula sepersalinan baju melayu yang terhias dengan sulaman benang-benang emas.
Terselit sebilah keris dipinggangnya.
Sangat klasik. Seperti pahlawan Hang Tuah dan Hang Jebat. Raut wajahnya tampan memukau. Alis kening yang tebal, bibir semerah strawberi seolah tiada sentuhan rokok atau vipe. Sangat mempersona.
Siapakah jejaka itu?
"Tuan Puteri mahu menukar persalinan agar lebih selesa?" Soalnya lagi.
Aku terkedu. Bibir terkunci dari membalas bicaranya.
Dia mengatur langkah mendekati aku. Baju yang aku pakai dilurut perlahan-lahan. Aku hanya membiarkan sahaja. Mata dipejam erat. Perbuatannya tidak dapat ditepis.
"Hamba sudah sediakan persalinan yang sesuai untuk Tuan Puteri. Silakan ... " Ujarnya penuh sopan.
Mata dibuka perlahan-lahan. Tubuh sendiri diperhatikan. Aku masih lagi lengkap berpakaian sewaktu memanjat gunung. Tiada apa yang kurang.
Aku memandang dia dengan rasa malu. Mati-mati aku ingatkan yang dia cuba membantu aku menukar pakaian. Huh! Fikiran apakah ini?
Aku serta merta tersedar. Objek di depan mata buat aku terpaku.
Sayap? Sayap merah?
Kening kembali bertaut. Cuba menterjemah maklumat yang baru diterima. Adakah itu objek yang aku lihat terapung-apung di udara sebentar tadi?
Dimanakah aku sekarang? Apakah nama tempat ini? Adakah aku sesat dalam dunia yang tidak pernah wujud? Atau adakah ini hanya khayalan semata-mata ketika aku pengsan secara tiba-tiba?
"Dimanakah saya berada sekarang?" Soal aku dalam nada yang tenggelam timbul.
Rasa takut menjalar tiba-tiba.
Jejaka bak Hang Tuah tadi kembali mendekati aku. Sayap berwarna merah tadi sudah hilang entah kemana. Segalanya berlaku sekelip mata. Tidak dapat diterima dek akal aku yang lurus.
"Apa maksud Tuan Puteri? Kita sekarang berada di kerajaan pemerintahan Tuanku Sultan Inderalela Citra, ayahanda Tuan Puteri Arora Safea. Tidakkah Tuan Puteri ingat?"
Aku sudah cuak. Wajah pucat tidak berdarah.
Tuanku Sultan Inderalela Citra? Tuan Puteri Arora Safea? Siapakah aku yang sebenarnya? Negeri apakah ini? Wujudkah dalam peta dunia?
Aku kembali terduduk diatas katil.
Baru aku sedar, pembaringan aku sebentar tadi dihiasi dengan cadar bersulamkan benang emas. Kuning diraja memancar indah. Keliling katil, dihiasi tiang-tiang yang terhias dengan putih kain yang bersih.
Tampak kemas. Tampak seperti pembaringan seorang puteri raja. Snow whitekah aku? Aku beauty and the beast? Atau cinderella yang bernikah dengan putera idamannya?
Eh, bukan. Aku bukan begitu. Jadi siapakah aku? Siapa aku yang sebenarnya? Tangan meramas kasar cadar katil.
"Tuan Puteri ..." Pahlawan Melayu terakhir itu cuba bersuara.
Aku mengangkat tangan. Mengisyaratkan dia agar diam seketika. Ya, selepas ini aku akan mendengar segala-galanya tentang diri aku dan juga tanah kerajaan ini.
•••
Kerajaan Inderalela Citra. Nama yang tidak pernah terlintas pada akal logik aku langsung. Segalanya masih baru, segalanya masih samar-samar.
Kewujudan Negeri ini sangat misteri. Masakan sebuah negeri yang rakyatnya berduyun-duyun tidak disedari oleh sesiapa. Hatta seorang manusia yang berada di Malaysia.
Adakah hanya aku yang bertuah bertemu mereka? Atau adakah sememangnya aku adalah sebahagian daripada mereka?
"Kerajaan Inderalela Citra ini tidak diketahui oleh sesiapa. Hatta seorang umat manusia yang dari dunia sebelah sana. Bukan tidak mahu didedahkan tapi Tuanku Sultan bimbang andai kaum kita diserang"
"Diserang? Kenapa?" Pantas aku mencelah.
"Ya, Tuanku Sultan bimbang rakyat kita diserang bagi mendapatkan kelebihan yang dimiliki oleh rakyat kita"
Jelas jejaka itu penuh semangat. Namanya Tanjak Gempita. Orang kanan Tuanku Sultan Inderalela Citra. Aka pengawal peribadi aku yang juga Tuan Puteri Arora.
Aneh bukan? Aku punya pengawal yang segak dan tampan. Berbadan sasa juga. Pasti kalau di Malaysia, dia sudah ada ramai peminat. Kalah Zul Ariffin.
Aku kembali ke persoalan yang asal. Fokus diberikan.
"Kelebihan? Kelebihan apakah yang rakyat Inderalela Citra ada?" Soal aku penuh minat.
"Kuasa misteri Tuanku Puteri. Kuasa yang bisa menyembuhkan penyakit. Kuasa yang mampu menentang musuh-musuh jahat diluar sana"
Aku tersenyum sinis.
Punya kuasa misteri? Adakah ini cerita Naruto? Penuh dengan kuasa yang tidak terjangka. Ataupun Animasi terkenal Boboiboy dan Ejen Ali. Penuh dengan kelebihan masing-masing?
Hah! Sudah!
Sampai bila aku harus terperangkap dalam dunia penuh khayalan dan misteri ini. Aku mahu pulang. Aku mahu berjumpa papa dan mama!
Tolong aku!
Bersambung ....
Assalamualaikum semua. Selamat membaca. Sayap Part 1. Jalan cerita ini tiada kena mengena dengan yg hidup atau yg dh mati. idea fresh dr ainRAZAK taw khas utk pembaca semua. Hanya rekaan semata-mata nah. Jangn lupa rate n komen! makaseh! sayang ampa!
Share this novel