"Dah berapa lama Hanim pengsan? Langsung dia tak sedarkan diri?" Soal Khairul saat menjengah masuk ke dalam kamar pelajar perempuan.
Masing-masing memberikan ruang pada ketua ekspidisi untuk memeriksa anak buah yang jatuh sakit.
"Dah sehari suntuk Hanim tak sedarkan diri abang Khai. Kadang-kadang nafas dia berombak kencang. Macam orang tengah berlawan" adu Sarah.
Matanya tidak lepas dari memandang sahabat baiknya. Dia rasa menyesal. Dia yang beria-ria mengajak Hanim menyertai ekspidisi kelab mereka sehinggakan jadi perkara macam ini.
Sahabatnya pula langsung tidak menolak memandangkan destinasi yang bakal mereka kunjungi adalah tempat yang paling disukai Hanim.
Sudah puas dia menjerit. Sudah puas dia memanggil, namun Hanim tetap tidak sedarkan diri. Dia teramat risau.
Khairul meneliti wajah gadis dihadapan dia. Baru sekarang dia berkesempatan menjenguk gadis itu selepas menguruskan beberapa hal yang mendesak.
"Abang Khai, kawasan tanah rata sebelah Gunung Ceracak Dua, ada seorang ustaz yang boleh tengok-tengokkan Hanim. Kita boleh minta tolong dengan ustaz tu. Saya rasa Hanim bukan pengsan biasa-biasa ni" celah Zaid selaku pembantu Khairul.
Khairul mendongak. Kemudian dia terangguk-angguk. Mengiakan telahan anak buahnya.
"Ada kampung ke dekat kawasan Gunung Ceracak Dua?" Soal Khairul ingin tahu.
Mengikut maklumat yang dia terima, tiada sebarang kehidupan di Gunung Ceracak melainkan tempat yang mereka kunjungi sekarang ini.
Dia rasa pelik.
"Ada Abang Khai. Staf-staf dekat cafe yang bagitahu semalam. Dia minta kami sampaikan pada Ketua Ekspidisi. Diorang juga boleh bawa kita ke sana untuk cari ustaz tu" ujar Zaid serius.
Dia sudah dimaklumkan bahawa bukan satu atau dua kes yang terjadi begini. Sudah acapkali peristiwa pengunjung disampuk oleh makhluk halus terjadi.
Namun, kes anak buahnya yang paling lama. Langsung tidak sedarkan diri semalaman. Jadi masing-masing khuatir andainya berlaku sesuatu pada anak pengetua kolej mereka.
Dia sendiri sudah dimaklumkan mengenai kejadian sebelum Hanim Zalikha pengsan, dia ada ternampak kelibat sesuatu yang sedang terbang ke udara. Namun, hanya Hanim sahaja yang nampak objek tersebut.
Malangnya Sarah yang turut berada disitu juga tidak nampak sebarang makhluk atau objek yang bergerak seperti yang telah didakwa oleh Hanim sebelum pengsan.
Khairul mengusap pelipisnya. Sedang merencanakan sesuatu.
"Kalau macam tu, awal pagi esok kita keluar ke sana. Zaid, awak tolong maklumkan pada staf yang cuba bantu kita tu. Dan Kamil dengan Zumar, awak berdua juga perlu bersedia. Kita akan berangkat seawal selepas subuh esok pagi" Khairul memberikan arahan.
Masing-masing mengangguk kepala.
"Sarah, saya nak awak dan rakan-rakan lain tolong pantau Hanim supaya dia tak buat sesuatu diluar jangkaan. Kalau boleh, korang kena tidur sebilik sementara menanti kami bawa ustaz tu datang sini"
"Baik Abang Khai" jawab mereka serentak.
"Dan pelajar lelaki yang lain, tolong berjaga-jaga sementara kami tak ada dekat sini. Sebarang masalah berlaku jangan bertindak melulu. Mainkan alunan surah Al-Baqarah sepanjang masa."
Giliran pelajar lelaki pula terangguk-angguk.
Khairul bergerak menuju ke luar kamar. Bangunan yang menempatkan 4 kamar lelaki dan 4 kamar perempuan dipandang sepi.
Dia perlu berusaha. Apapun jua usaha yang bakal dia lakukan, dia sangat berharap akan berhasil. Jika tidak berhasil, apa yang perlu dia jawab pada Dato Harun. Segalanya dibawah tanggungjawab dia.
•••
"Tuan Puteri?" Tanjak Gempita memanggil.
Dia tercari-cari wajah gadis yang telah menghiasi hari-harinya selama ini. Wajahnya terukir senyuman manis tatkala mata menyapa figura sang rupawan.
Jelita. Indah. Cantik. Sangat menarik dengan persalinan baju kebarung putih. Dihiasi pula dengan manik-manik jernih berkilauan saat cahaya terbias.
Rambut juga sudah tersanggul kemas. Selendang kosong dari rona warna yang sama pula dililit penuh sopan di kepala. Melurut jatuh menutupi sebahagian dari dada.
Wajah sang puteri ditatap penuh rasa debar. Dari sinar mata, turun ke pipi, beralih kearah bibir serta alisnya yang kehitaman. Kesemuanya tampak asli tanpa sebarang solekan mahupun perhiasan. Keaslian yang terserlah. Jarang dimiliki oleh mereka yang lain.
Tanjak Gempita mendekati sang rupawan. Dia tersenyum manis. Menampakkan barisan giginya yang putih dan bersih. Sangat memukau jiwa.
"Tuan Puteri ..." Aku menoleh saat nama diseru.
Wajah Tanjak Gempita dipandang sekilas sebelum aku memandang semula ke dada langit. Suasana malam bersama ribuan bintang yang menceriakan persada angkasa tidak tergugat dek panggilan sang jejaka.
Aku cuba mengeraskan diri.
Gagak Gempita menyentuh bahu aku dengan penuh kasih. Dia masih melakar senyuman manis. Dahi dihadiahkan ciuman penuh kasih. Aku seakan melayang keatas sana.
Debaran didada semakin kencang.
Apakah perasaan ini? Kenapa dengan aku? Kenapa aku perlu disentuh oleh lelaki yang bukan mahram? Siapakah Tanjak Gempita pada kehidupan seorang Puteri Arora Safea? Keliru semakin bermukim.
"Wahai sang kekasih, saat pintu hati diketuk. Aku sangkakan hanyalah mainan perasaan. Tanpa aku duga, rasa kasih makin bercambah. Menjalar ke seluruh jiwa dan raga"
Tanjak Gempita mula bermadah. Aku mengerling dengan ekor mata. Apakah yang cuba disampaikan oleh sang jejaka? Rasa kasih yang terpendamkah? Atau sayang yang tidak kesampaian? Atau rasa Cinta tidak bersambut dan hanya bertepuk sebelah tangan?
Begitu?
"Tuan Puteri?" Tanjak Gempita menyentuh bawah dagu dengan jemari kasarnya. Dagu aku ditolak keatas agar memandang tepat ke wajahnya. Mata kami saling bertatapan.
"Saya ... saya ..." Aku berjeda.
Pandangan mata galak Tanjak Gempita menggusar naluri. Menghantar rasa debar dihati. Cintakah aku pada dia? Perasaan apakah ini?
Adakah jejaka itu dari kisah masa lalu aku yang langsung aku tidak ingat? Atau sekadar dunia khayalan aku sahaja? Hati yang kesunyian hingga terlalu menginginkan sang jejaka.
"Siapa awak? Siapa saya? Kenapa saya ada disini?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut.
Tanjak Gempita melakar senyuman manis lagi. Aku terkesima. Wajahnya nampak tenang. Langsung tidak terusik dengan soalan yang aku ajukan. Juga bahasa yang aku gunakan. Seperti dia sudah menjangkakan.
Tubuh aku dipeluk penuh mesra. Aku cuba menepis, namun tidak berjaya.
"Setahun yang lalu, tarikh yang sama. Tempat yang sama. Juga masa yang sama. Kita dipisahkan dari dunia yang nyata" bisik Tanjak Gempita dalam nada bahasa yang paling perlahan.
Aku tersentak. Wajah segera ditoleh memandang dia.
"Maksud awak?" Soal aku rakus.
"Maksud hamba, Tuan Puteri telah dibawa pergi ke dunia yang satu lagi tanpa pamitan. Tanpa amaran. Kita terpisah. Jasad kita dipisahkan ..."
"Maksud awak?"
"Tuan Puteri anak Sultan Inderalela Citra. Anak seorang bangsawan berdarah diraja. Kelahiran Tuan Puteri telah mencetuskan perbalahan antara keluarga bangsawan yang inginkan tahta pemerintahan"
Aku mengeluh.
Cerita dongeng apakah ini? Bila masa pula aku dilahirkan dalam keluarga bangsawan? Anak raja? Darah diraja? Mustahil!
"Pada malam kita disatukan ..."
"Apa??" Aku mencelah. "Apa maksud awak pada malam kita disatukan?" Soal aku rakus.
Terkejut mendengar cerita yang dibawa oleh Tanjak Gempita. Huh! Benarkah ini realiti atau ini sekadar mitos fantasi. Menakjubkan!
Aku sudah bernikah? Dengan jejaka perkasa didepan mata ini? Aku pening dalam merungkai rahsia yang semakin lama semakin berbukit.
Bersambung ....
Assalamualaikum... haiii... jemput baca part 2 nah. Semua ini hanyalah rekaan penulis saja. Takda kaitan dengan sesapa pown. kalo ada, hanyalah satu kebetulan. Idea asal dan fresh dr ainRAZAK. MAKASEH SEMUA.
Share this novel