Bab 2

Romance Series 1216323

Bab 2

Umaira dan Syafiqa masuk ke salah sebuah butik terkenal di dalam gedung besar itu. Ini adalah butik yang ke-7 mereka terjah. Naik lenguh kaki Umaira berjalan mengelilingi gedung itu menemani Syafiqa. Dari tengah hari, dan kini sudah menjengah waktu malam. Itu lah Syafiqa, pantang diajak shopping.

"Woah! Cantiknya!" puji Syafiqa teruja sambil meletakkan baju dress berkain chiffon di dadanya. Tubuh dibelek-belek ke kiri ke kanan memandang diri di pantulan cermin.

Umaira yang sudah kepenatan itu pula, terus melabuh punggung duduk di atas sofa yang disediakan di dalam butik itu. Beg-beg kertas yang dijinjingnya, terus diletakkan di sisi sofa. Hari ini, Umaira bermurah hati, menanggung kesemua perbelanjaan Syafiqa. Hampir sepuluh ribu ringgit telah dibelanjakan.

Fuh! Boleh menitik juga peluh Umaira setiap kali membayar ratusan ringgit dalam sebuah kedai. Namun, dia tetap sahaja gembira dapat membelanjai sahabatnya itu. Bukan selalu.

"Babe! Cantik tak?" soal Syafiqa.

Umaira mendongak memandang ke arah Syafiqa yang mengerdip mata beberapa kali sambil meletakkan dress di dada. Dalam hati, dia sudah tersenyum sinis. Tahu benar maksud disebalik wajah yang dibuat comel itu.

"Kalau kau nak, kau ambil je lah," ujar Umaira selamba.

Senyum Syafiqa terus melebar hingga ke telinga.

"Thank you!" Syafiqa terus memeluk tubuh Umaira dengan erat sekali.

"Don't worry, ini yang last, okay. Lepas ni kita makan, then balik.” Syafiqa terus mengambil kad itu dari tangan Umaira.

"Ye lah tu.” Umaira mencebik malas.

"Tak apa. Dinner ni aku belanja, okay?" tawar Syafiqa sambil tersenyum, melentok kepala memandang wajah sebal Umaira.

"Hek eleh! Dah beribu duit aku, kau belanja, baru sekarang kau nak belanja aku makan. Ceh!"

"La, tak ikhlas ke? Tadi kata nak belanja aku." rengek Syafiqa sambil mencebir bibir.

"Siapa kata tak ikhlas? Ikhlas la... Dah! Pergi bayar," ujar Umaira.

Syafiqa kembali tersenyum riang. "Okay!" Punggung diangkat lalu mengatur langkah menuju ke kaunter pembayaran bersama sehelai baju dress tadi.

****

Setelah selesai membuat pembayaran, Umaira dan Syafiqa melangkah keluar dari butik itu dengan senang hati.

"Babe. Kita simpan beg-beg ni dulu lah dalam kereta. Rimas lah kalau bawa semua ni dalam restoran," rungut Syafiqa.

"Ha'ah la. Jom lah.“ Mereka pun berjalan menuju ke koridor dimana terletaknya lif. Butang lif terus sahaha ditekan.

"Baa!"

"Aar! Eh! Mak kau hijau!" Umaira terjerit kecil dek disergah oleh seseorang dari belakang. Begitu juga, Syafiqa yang terus melatah. Beg kertas yang dijinjing, terus terlepas dari tangan. Pantas mereka berdua menoleh ke belakang.

"Hei! Kau dah kenapa?" tempelak Syafiqa, geram melihat Zakuan sedang mentertawakan mereka. Beg-beg kertas yang bersepah di atas lantai, terus dikutip.

"Habis berterabur baju aku." gerutunya sendiri.

"Abang!" Umaira juga turut sama mengetap bibir geram. Mata dipicing sebelum dia segera meluru ingin memukul Zakuan. Namun, Zakuan pantas mengelak. Orang yang lalu-lintas disitu sudah tidak dihiraukan lagi.

"Abang ni dah kenapa? Terkejut orang tahu tak!" bentak Umaira penat dek mengejar Zakuan. Kedua tangannya menggenggam buku lima. Geram pula dia memandang Zakuan yang masih lagi galak mentertawakan mereka.

"Benci aar! Abang suka sangat kejut-kejutkan orang!" marah Umaira dengan wajah yang mula masam mencuka.

"Alololo... Comelnya bakal isteri abang ni bila marah-marah." Zakuan terus menghampiri Umaira yang sudah berpeluk tubuh itu. Pinggang Umaira diraih dan dipeluk lembut ; merapat ke tubuhnya.

"Nasib baik kita orang tak ada sakit jantung. Kalau kena heart attack tadi, macam mana?" Umaira masih sahaja meluah rasa geramnya.

"Okay, okay. I'm sorry. Next time tak buat lagi. Dah, jangan marah. Nanti, nampak tua masa nikah nanti," usik Zakuan sambil menunduk nipis menilik wajah cemberut tunangnya itu.

"Tua-tua pun bakal isteri abang juga, kan? Ke, tak sudi lagi kalau sayang nampak tua?" duga Umaira sambil menjongket sebelah kening.

"Apa pula tak sudi? Abang jatuh cinta dekat sayang bukan sebab paras rupa. Tapi, sebab hati dan sikap sayang yang lembut dan manja tu, " ujar Zakuan penuh romantis. Pucuk hidung Umaira yang mancung itu, terus dicuit. Membuat hati Umaira kembali mencair lalu mengulum senyum. Pinggang Zakuan terus dipeluk erat.

"Abang macam mana boleh ada dekat sini?" soal Umaira manja.

"La, lupa ke? Kan abang ada text sayang tadi, abang jumpa kawan dekat cafe sini," jelas Zakuan lemah lembut.

"Oh ye lah, lupa." Umaira terus tersengih kecil.

"Since abang teringat sayang pun pergi shopping dekat sini, so abang cuba lah cari korang berdua. Tu lah terjumpa dekat sini. Seronok nampak, sampai tak sedar abang ada dekat belakang dari tadi," usik Zakuan sambil menyelit anak rambut yang menutupi sisi wajah Umaira ke belakang telinga. Tanpa mereka sedar, Syafiqa yang berdiri tercegat disitu sudah menahan sebal. Mahu bernanah matanya melihat adegan romantis tak berbayar berlangsung di depan mata.

"Excuse me. Tak malu ke, berpeluk-peluk depan public?" celah Syafiqa berbaur sindiran.

Umaira dan Zakuan terus menoleh memandangnya. "Jealous ke?" perli Umaira.

"Agak-agak lah kalau nak bemesra bagai. Tahu lah, dah nak kahwin. Simpan dulu gatal tu," Syafiqa mengetap bibir menahan geram memandang Umaira yang menjelir lidah padanya.

Zakuan terus tertawa, geli hati.

"Dah jom! Aku dah lapar ni. Kalau tengok korang berdua bemesra tak habis-habis, bukan buat aku kenyang pun. Buat tekak aku loya, ada lah," perli Syafiqa lalu melangkah masuk ke dalam lif yang terbuka luas itu.

****

Kereta Zakuan berhenti di perkarangan rumah Umaira. Kemudian, dia menoleh ke sisi. Perlahan bibirnya mengukir senyum nipis tatkala memandang Umaira yang lena tidur bersandar dibahunya. Pasti bakal isterinya itu terlalu penat keluar membeli belah seharian. Perlahan dia menyentuh pipi Umaira.

"Sayang..." kejutnya dengan nada yang lembut sekali. "Kita dah sampai."

Umaira terjaga sambil memisat-misat mata memandang ke hadapan. “Hmmm…”

"Lenanya tidur. Penat tau abang bercerita sorang-sorang tadi, tahu-tahu sayang dah berdengkur," usik Zakuan.

"Abang ni!" Umaira menampar sisi bahu Zakuan dengan manja.

"Ha! Tu, air liur basi," tegur Zakuan sambil menuding jari ke arah wajah Umaira.

Mata Umaira terus membuntang. Air liur basi? Pantas dia meraba hujung mulutnya lalu menilik wajah di cermin kereta.

"Abang ni!" Sekali lagi Umaira menampar sisi bahu Zakuan. “Tak habis-habis lah nak kenakan sayang! Benci tau!"

Zakuan terus melepaskan tawa.

"Sayang nampak comel sangat bila marah-marah. Tu lah abang suka usik sayang," ujar Zakuan masih ingin terus mengusik.

Umaira mencebik lalu menjeling manja. "Dah lah, abang. Sayang nak masuk dulu. Malas nak layan abang lagi!" rajuknya lalu berkira-kira ingin membuka pintu kereta.

Zakuan cepat-cepat menghalang. Lengan Umaira terus diraihnya. "Sayang merajuk, ek?" soalnya.

Umaira langsung tidak mahu memandang Zakuan. Hatinya benar-benar sebal!

"Alaa... jangan lah merajuk. Sayang abang ke tak ni?" soal Zakuan sengaja ingin memancing perhatian Umaira yang jelas masih merajuk itu. Umaira terus memandang Zakuan yang sedang mengulum senyum itu.

"Abang ni macam tak ada modal lain ke, nak pujuk sayang? Asyik tanya soalan yang sama je."

"Habis tu, sayang nak abang pujuk sayang macam mana?" soal Zakuan.

"Nyanyikan sayang lagu tu," pinta Umaira. Kali ini, gilirannya pula yang mengulum senyum.

Zakuan terus mencebik. "Sayang betul-betul nak abang nyanyi lagu tu?"

Umaira terus angguk laju.

"Okay. Tapi bukan sekarang.”

Senyum Umaira terus mati serta-merta. Diganti pula dengan wajah sebal kembali.

"Lepas kita nikah nanti, abang nyanyikan untuk sayang. Okay?" pujuk Zakuan.

Umaira hanya diam menganggapinya.

"Sayang jangan macam ni." Zakuan terus meraih kedua bahu Umaira lalu dibawa menghadap tepat ke arahnya. "Tak kan lah nak abang nyanyi lewat malam macam ni. Dah nak pukul 11 malam dah ni. Lepas nikah eh. Hari tu kan dah janji. Don't worry, nanti lepas nikah, abang nyanyi semua lagu-lagu yang sayang nak dengar tu, siap dengan main gitar sekali, okay?" pujuk Zakuan bersungguh-sungguh.

Umaira kembali senyum. "Okay!"

"Haa, macam tu lah bakal isteri abang." Zakuan terus mengelus lembut pipi Umaira.

"Okay lah, sayang masuk dulu." Umaira terus mencium tangan Zakuan.

"Okay. Goodnight, sayang. Lepas mandi nanti, terus tidur okay. Love you." Dahi Umaira dikucup lembut.

"Okay. Love you, too. Hati-hati drive. Assalamualaikum."

"Wa'laikumussalam," jawab Zakuan. Umaira terus saja membuka pintu lalu melangkah keluar dari kereta.

****

Hari yang dinanti telah pun tiba. Umaira yang sudah lengkap berpakaian baju kurung moden putih telur itu, terus menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan. Jantungnya sejak dari tadi lagi, berdetak dengan laju. Jam sudah menunjukkan ke pukul 3.45 petang. Rombongan lelaki akan tiba sebentar sahaja lagi selepas solat asar.

"Relax lah, babe. Nampak pucat muka kau tu, aku tengok. Breath okay, breath..." tegur Syafiqa cuba menenangkan Umaira yang tampak berdebar, duduk dikerusi meja solek itu.

Lebih kurang 20 minit berlalu, pintu bilik diketuk dari luar. Terjengul wajah Puan Kartina di muka pintu. Senyumnya lebar merekah apabila memandang Umaira yang bertudung anggun itu.

“Cantiknya anak ibu ni," puji Puan Kartina lalu melangkah masuk ke dalam menghampiri Umaira. Pipi Umaira terus dielus lembut.

Umaira adalah satu-satunya permata hatinya, hasil dari perkahwinannya bersama arwah suami tercinta. Melihat Umaira memakai baju pengantin, jauh disudut hatinya dirundung rasa sebak. Ibu mana yang tidak sebak, apabila harus menyerahkan anak perempuannya pada lelaki lain. Tiada apa yang dia harapkan, semoga permata hatinya ini akan hidup berbahagia dengan suami tercinta kelak.

“Terima kasih ibu. Ibu pun cantik. Nampak muda," puji Umaira lalu mengucup tapak tangan Puan Kartina yang mengusap pipi mulusnya itu.

"Tak rugi ibu upah MUA yang sangat terkenal ni," puji Puan Kartina sambil melirik ke arah Linda yang berdiri tidak jauh dari situ. Linda yang merupakan seorang jurusolek profesional yang sangat terkenal dengan sentuhan magis itu, terus tersenyum manis.

"Terima kasih Puan, sebab memberi kepercayaan sepenuhnya pada saya untuk mendandan anak puan yang cantik manis ni,” ucap Linda penuh sopan dan santun.

“Your touch memang tak pernah mengecewakan. Sebab tu, saya pilih awak untuk merias anak saya ni,” ujar Puan Kartina.

"Terima kasih sekali lagi, puan." ucap Linda sekali lagi dengan rasa terharu. Siapa tidak terharu, jika terpilih dan diberi peluang untuk menyolek dan mendandan satu-satunya anak kepada seorang wanita ahli perniagaan beg tangan berjenama yang berjaya menempah nama di mata dunia itu. Arwah Tuan Johari yang merupakan suami kepada Puan Kartina pula, adalah seorang ahli perniagaan dalam bidang perlaburan hartanah yang kini diambil alih dan diurus oleh Puan Kartina buat sementara waktu.

"Mak Ngah...." Mereka semua terus memandang ke arah muka pintu.

"Ye, Syafa."

"Rombongan pengantin lelaki dah sampai. Mereka semua dah menunggu dibawah,” ujar Syafa.

"Oh, ye ke? Kalau begitu... Maira, mari kita turun sekarang,” ujar Puan Kartina.

Umaira semakin merasa gemuruh. Sejuk kedua tangannya menggenggam erat tangan Puan Kartina.

"Don't be so nervous, okay. Ibu ada,” ujar Puan Kartina. Umaira menarik nafas dalam lalu mengangguk kecil.

****

Jurugambar yang diupah dari kedua belah pihak pengantin, terus sahaja menyerbu ke arah tangga agam di rumah milik Puan Kartina itu. Kerlipan cahaya dari lensa kamera terus sambar menyambar menangkap gambar Umaira yang kini sedang meniti turun anak tangga bersama Puan Kartina. Tidak kurang juga para hadirin yang hadir ke majlis akad nikah yang gilang-gemilang itu.

Zakuan yang sudah duduk bersila di depan tok kadi, terus terpana memandang kecantikan Umaira itu. Tanpa sedar, bibirnya mengoyak senyum bahagia. Rakan-rakan Zakuan yang turut hadir di majlis itu, sudah mulai mengusiknya.

“Tak sia-sia usaha kau selama ni, Wan,” usik Fairuz yang duduk disebelah kirinya, sebagai saksi akad nikah yang bakal berlangsung beberapa minit sahaja lagi.

"Mesti lah, usaha tangga kejayaan,” balas Zakuan selamba, tanpa melepaskan pandangan matanya ke arah Umaira yang baru sahaja melabuh duduk di pelaminan.

Fairuz terus tersengih nipis.

Majlis akad nikah pun bermula.

“Aku terima nikahnya, Umaira Natasha binti Johari dengan mas kahwinnya tujuh ribu ringgit dibayar tunai.”

Dengan sekali lafaz, Umaira Natasha sah menjadi isteri kepada Zakuan. Umaira terus mengucap syukur. Akhirnya, dia bersatu jua dengan cinta hatinya itu.

****

“Assalamualaikum..." sapa Zakuan lembut.

Umaira yang tersenyum malu itu, terus mengangkat muka memandang Zakuan yang berdiri di depannya. Suaminya yang memakai sepersalinan baju melayu putih telur itu, tanpan sejak dan tampan dimatanya.

"Wa'alaikumussalam,” jawab Umaira.

Zakuan terus melabuh punggung di sisi Umaira. Dulang yang berisi dengan mahar berbentuk wang tunai bernilai tujuh ribu ringgit itu diserahkan kepada Umaira. Setelah itu, sebentuk cincin disarungkan ke jari manis Umaira lalu tangan Zakuan dicium lembut. Zakuan membalas dengan mencium dahi Umaira sedikit lama.

Syahdu rasa hati Puan Kartina ketika itu. Hatinya tidak henti-henti terus berdoa buat anaknya serta anak menantunya itu.

"Thank you sayang, sebab sudi terima abang jadi suami sayang. Abang janji, abang akan bahagiakan sayang, abang akan berusaha menjadi suami yang terbaik buat sayang, berusaha untuk bimbing sayang hingga ke syurga. I love you so much, my wife,” ucap Zakuan setelah mengucup dahi Umaira.

“I love you more. Terima kasih, sebab hadir dalam hidup sayang dan terima sayang apa adanya. Sayang pun berjanji, sayang akan berusaha menjadi isteri yang terbaik buat abang,” ucap Umaira penuh ikhlas dari hati. Tidak sedar, airmata bahagia mengalir laju membasahi pipinya.

Zakuan tersenyum lalu menyeka airmata Umaira dengan ibu jarinya.

****

Umaira duduk di atas katil sambil menanti penuh debar di dalam biliknya. Suami yang dinanti belum juga timbul-timbul. Dua jam yang lalu, Zakuan meminta izin untuk keluar sebentar. Dan kini, jam sudah menunjukkan ke pukul 10.15 minit malam.

“Mana abang ni…” Umaira mula mengeluh lalu menarik selimut menutup kakinya. Tubuh disandar di kepala katil. Tidak lama, tombol pintu di pulas lalu dikuak perlahan dari luar. Lebar senyuman Umaira apabila melihat orang yang dinanti-nanti itu, sudah pun pulang. Namun senyuman manisnya mula pudar apabila melihat wajah sugul suaminya itu.

"Abang..." tegur Umaira lembut.

"Abang nak mandi dulu,” ujar Zakuan tanpa memandang wajah Umaira. Dia terus sahaja mengatur langkah menuju ke bilik mandi. Sempat dia mencapai tuala bersih yang tersidai di ampaian yang berdekatan.

“Kenapa nampak muram je?" gumam Umaira, hairan.

Hampir 20 minit berlalu, pintu kamar mandi dikuak dari dalam. Umaira yang duduk di birai katil terus memandang ke arah pintu itu. Tiada secalit senyuman pun yang menghiasi wajah Zakuan ketika itu, membuat Umaira semakin kehairanan.

Zakuan terus sahaja berlalu menuju ke almari. Selesai sahaja menyarung baju ke tubuh, Zakuan terus menghampiri Umaira lalu melabuh punggung disebelah. Tangan halus Umaira dicapai lalu dicium bertalu-talu.

Umaira yang sejak tadi kehairanan melihat tingkahnya, kini kembali merasa berbunga-bunga apabila diperlakukan sebegitu.

“Sayang... malam ni kita tidur awal, okay. Take a full rest. Esok kan kita ada resepsi lagi,” ujar Zakuan lembut.

"La… abang lupa ke?" soal Umaira mencebir bibir.

“Lupa apa?" soal Zakuan dengan kerutan kening.

“Abang dah janji nak nyanyikan sayang lagu tu lepas nikah." Umaira cuba mengingati kembali janji Zakuan kepadanya.

Zakuan menghela nafas panjang. Tangan Umaira terus dilepaskan.

"Abang letih la. Boleh tak, lain kali je abang nyanyikan lagu tu?" soal Zakuan mula kedengan rimas.

"Tapi, abang dah janji nak nyanyi lagu tu lepas kita nikah. Janji tetap janji," rungut Umaira manja.

Zakuan memejamkan matanya buat sejenak. Rahang diketap menahan rasa.

"Ye, abang tahu. Tapi, kita baru je nikah tadi. Abang penat lah!" Zakuan mula merungut kasar.

"Nyanyi sekejap pun jadi lah. Bukannya sayang suruh main gitar sekali," pujuk Umaira masih tidak mahu berputus asa.

Zakuan merengus kasar lalu berdiri. Berkerut kening Umaira memandang Zakuan yang mencekak pinggang di depannya. Jelas wajah suaminya itu kelihatan sangat tegang di saat ini.

"Kau ni tak reti bahasa ke? Aku cakap lain kali, lain kali lah! Aku penat, kau faham tak?!" jerkah Zakuan keras tiba-tiba.

Umaira terperangag seketika melihat sikap Zakuan yang tiba-tiba berubah kasar itu. Sebelum ini, tidak pernah sekali pun lelaki itu meninggikan suara, apatah lagi bersikap kasar dengan nya.

Umaira perlahan berdiri.

"Yang abang ni terus-terus marah sayang ni, dah kenapa?" soalnya perlahan. Dia cuba untuk tidak meninggikan suara terhadap lelaki yang baru bergelar suaminya itu.

Zakuan meraup wajahnya lalu berpaling membelakangi Umaira.

"Sayang hairan, kenapa abang selama ni selalu je mengelak bila sayang nak abang nyanyi lagu tu? Kenapa abang susah sangat nak tunaikan janji abang? Abang yang berjanji tau, bukan sayang,” ujar Umaira mula tertanya-tanya.

Zakuan mendengus nafas kasar lalu kembali berpaling menghadap Umaira. Sekali lagi Umaira terpempan memandang wajah Zakuan yang bertukar bengis itu.

“Apa yang penting sangat lagu tu, hah?! Kita dah kahwin kan?" jerkah Zakuan tepat di wajah Umaira.

Terhinjut bahu Umaira. Sumpah, dia benar-benar tidak percaya apa yang dihadapinya sekarang. Betul kah ini suaminya?

"Abang ni dah kenapa? Abang lupa ke? Sebab lagu yang abang nyanyikan tu lah yang buat sayang jatuh cinta dekat abang. Sebab lagu tu juga yang menyatukan kita,” ujar Umaira dengan nada suaranya yang terdengar sayu.

"So? Kau nak aku nyanyi tiap-tiap hari ke? Kau fikir, aku tak ada kerja lain ke selain nak nyanyi lagu tu memanjang dekat kau? Kau dah dapat aku sekarang ni. Aku dah jadi suami kau! Tak kan itu pun tak cukup buat kau?!" tengking Zakuan.

Umaira tergamam seketika. Hatinya terguris mendengar kata-kata Zakuan itu.

“Sayang cuma rindu..." ujar Umaira mula lirih. Kolam matanya mula terasa panas.

Zakuan menggaru kasar kepalanya sehingga rambut jadi kusut serabai.

"Kau kata, kau cuma rindu? Kau sedar tak, kau mendesak aku sepanjang kita menjalinkan hubungan? Bingit telinga aku ni dengar kau terus merungut tak habis-habis. Aku naik rimas. Rimas kena desak oleh kau selama ni! Hanya kerana lagu tu!" herdik Zakuan melepaskan rasa amarah yang dipendam selama ini.

Umaira terus menganga tidak percaya. Benarkah apa yang didengarnya itu? Zakuan rimas dengannya?

“Jadi, abang rimas dengan sayang selama ni? Abang dah muak dengan sayang?" soal Umaira ingin kepastian.

"Ye! Aku rimas! Aku dah muak dengar kau merungut pasal benda yang sama! Aku tak faham lah, kenapa kau pentingkan sangat lagu tu sedangkan aku dah ada depan mata kau!" akui Zakuan tanpa mempedulikan perasaan Umaira yang dilukainya itu.

Umaira mengetap bibir cuba menahan rasa sakit hati, walaupun kata-kata Zakuan itu baginya sudah cukup melampau. Kedua tangannya sudah menggenggam buku lima.

"Kalau abang muak sangat dengan saya, kenapa abang ajak saya kahwin juga?!" bentak Umaira berani.

"Kenapa abang tak ceraikan saya je malam ni? Alang-alang, talak tiga terus! Baru puas hati kan?! Tentu tak dapat bersama lagi!" cabar Umaira tanpa berfikir natijah disebalik kata-katanya itu. Dia lupa, jika lelaki pantang dicabar. Dia juga lupa, jika yang dicabarnya itu adalah lelaki yang sangat dicintainya seluruh jiwa dan raga.

"Jangan… cabar… aku… Umaira..." ujar Zakuan perlahan tetapi keras. Matanya mencerlung tajam menatap wajah Umaira yang habis basah dengan airmata itu.

"Ceraikan saya!" teriak Umaira. Dia sudah tidak mampu mengawal amarahnya yang membuak-buak ketika ini.

"Okay, fine! Kalau itu yang kau nak!" jawab Zakuan sambil mengangguk kepala beberapa kali.

"Umaira Natasha binti Johari, aku ceraikan kau dengan talak tiga!”

Bagai disambar petir, Umaira tersentak berdiri di depan Zakuan. Mahu terputus urat jantungnya mendengar kata lafaz yang meluncur laju meniti dibibir Zakuan sebentar tadi.

Semudah itu Zakuan melafazkan talak terhadapnya?

Lemah lutut. Umaira terundur lalu terduduk di birai katil. Serta-merta dunia terasa kelam disaat ini. Hatinya remuk, hancur, luluh dan pedih.

“Zakuan!!" Zakuan dan Umaira terkejut lalu menoleh ke arah muka pintu. Terlihat Tuan Musa berdiri disitu bersama dengan isterinya, Puan Yati dan juga Puan Kartina.

Mereka bertiga yang berbual diruang tamu di tingkat bawah tadi, terus bergegas naik ke atas apabila terdengar bunyi pertengkaran di tingkat atas. Apabila tiba sahaja di muka pintu bilik, mereka bertiga sekali lagi terkejut apabila mendengar dengan jelas Zakuan melafazkan cerai terhadap Umaira.

"Zakuan! Apa kamu dah buat ni?!" pekik Tuan Musa sekuat hati. Lelaki tua separuh abad itu, terus sahaja melangkah masuk lalu menampar pipi Zakuan dengan cukup keras sekali. Sementara Puan Kartina terus menerpa mendapatkan Umaira.

"Maira..."

“Ibu..." Umaira terus menghambur tangis di dalam pelukan Puan Kartina. Luluh hati Puan Kartina di saat ini. Airmatanya turut sama mengalir ke pipi. Tubuh Umaira dipeluk dengan erat sekali. Ya Allah...

Zakuan terundur beberapa tapak ke belakang lalu jatuh melutut. Airmatanya mula mengalir membasahi pipi. Sumpah, dia merasa amat menyesal sekali kerana terlalu mengikut emosi. Dia begitu terasa amat tercabar dengan kata-kata Umaira tadi sehingga dia tidak mampu mengawal dirinya dari melafazkan kata cerai.

“Astarghfirullah Al 'Azim, Wan... Kamu sedar tak, kamu baru je nikah petang tadi! Apa yang kamu gaduhkan sampai kamu tergamak ceraikan Umaira talak tiga?!" tengking Tuan Musa di depan muka Zakuan yang tertunduk menangis teresak-esak itu. Dia begitu kecewa sekali akan tindakan melulu anak lelakinya itu. Sementara Puan Yati, terus melorot jatuh terduduk lemah di muka pintu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience