BAB 2

Drama Series 71147

JAM sembilan pagi di Kampung Permatang Kecil yang berada di dalam Daerah Yan, Negeri Kedah. Bunyi ayam berkokok di reban masih kedengaran sedari awal pagi tadi.

Walaupun sinaran cahaya mentari pagi kian meninggi, namun suasana persekitaran tetap terasa nyaman dan redup dek kerana kawasan di sekeliling yang dipenuhi rimbunan pepohon rendang.

Di sebuah rumah papan usang yang terletak di dalam kawasan desa permai tersebut, kelihatan seorang gadis muda sedang bersiap-siap di ruang kamar.

Berdiri di hadapan cermin, gadis pingitan itu membelek seketika tubuh sederhana tingginya yang tersarung baju kurung kain kapas corak bunga-bunga kecil. Dipadankan pula baju itu bersama sehelai tudung bawal berwarna biru lembut yang dipin di bawah dagu sebelum diselempangkan ke bahu kiri dan kanan. Wajahnya pula sekadar dibiarkan polos tanpa sebarang solekan.

Itulah gaya ringkas seorang gadis berusia 22 tahun yang bernama Nura Safiyya. Dia memang tidak gemar bersolek. Kulit wajahnya yang semulajadi cerah kemerahan tanpa sebarang cela itu sekadar ditempek bedak talkum. Itu pun kalau perlu menghadiri ke mana-mana majlis. Jika tidak begini sahajalah gaya santainya.

Selesai bersiap, Nura mencapai beg galas yang terletak di atas meja sisi berhampiran katil. Dia melihat sejenak isinya. Memastikan tiada barangan penting yang tertinggal.

Kemudian, Nura melangkah keluar meninggalkan kamar berkenaan menuju ke ruang tamu. Dilihat abahnya sudah berada di situ. Sedang berbual bersama dua orang sanak saudara mereka.

“Ha, Nura. Ni Pak Lang dan Mak Lang mai,” ujar Encik Nasrul bapa Nura memaklumkan.

“Eh, Pak Lang dan Mak Lang. Bila sampai?” Nura menyoal lalu tunduk bersalam hormat dengan mereka. Dia tidak menyedari kelibat mereka berdua kerana berada di dalam bilik sedang bersiap seketika tadi.

“Kami baru ja sampai. Mak Lang ajak Pak Lang hang mai sini nak tengok apa lagi persiapan untuk kenduri yang kami nak kena tolong nanti,” ujar Mak Lang menyatakan tujuan kedatangan mereka.

Seperti yang direncanakan, tiga hari lagi akan berlangsung majlis perkahwinan antara Nura bersama tunangnya, Zakwan di kediaman itu.

Segala persiapan sudah dilakukan. Memandangkan Nura hanya tinggal bersama bapanya, ramai sanak-saudara serta orang kampung sudi mengambil bahagian untuk membantu.

Ada yang menawarkan diri untuk bergotong-royong memasak, memasang khemah, menyiapkan pelamin serta memberi berbagai sumbangan yang lain.

Encik Nasrul yang juga adalah seorang bapa tunggal amat terharu apabila ramai yang ringan tulang datang menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis satu-satu puteri kesayangannya, Nura Safiyya.

Begitu juga Nura yang cukup berterima kasih kepada semua sanak-saudara serta orang kampung. Semakin dekat tarikh pernikahan bersama tunang tercinta, semakin berdebar dadanya. Berharap semuanya akan berjalan lancar nanti.

“Oh, buat masa la ni takdak apa nak tolong dah Mak Lang. Tinggal sikit-sikit untuk bekas hantaran tu ja. Ni Nura nak keluar sat dengan Abah pi pekan, nak beli tambah bunga telur. Dok kira semalam macam tak cukup untuk bagi pada tetamu.” Nura membalas kata-kata Mak Lang.

“La, kalau habaq dari awal Mak Lang tolong pi beli pun takpa. Hang tu nak jadi pengantin tak berapa hari ja lagi. Tak elok anak dara dok keluar pi sana-sini.” Mak Lang menepuk perlahan ke bahu Nura mengingatkan gadis itu. Sebagai ibu saudara, dia sudah menganggap Nura seperti anaknya sendiri.

“Nura keluar sat ja, Mak Lang. Lagipun ada Abah teman. Ni Mak Lang dan Pak Lang duduk sat na. Nura pi dapur buat ayaq.”

Tak elok pula tetamu datang ke rumah tidak dijamu minuman. Nura sudah dididik sejak kecil untuk menghormati setiap tetamu yang bertandang.

“Aih, tak payah susah-susah, Nura. Kami dah minum di rumah tadi.” Pak Lang bersuara sambil menggawang tangan.

“Ha, betui tu. Kami mai nak tolong apa yang patut ja. Ni Nura dengan Abah dah nak keluar, takpalah. Kami mai lagi petang nanti,” ujar Mak Lang lalu bangun dari duduknya di kerusi rotan di sudut ruang tamu.

Nura akur dengan kata-kata kedua ibu dan bapa saudaranya.

“Takpa, malam ni mai lain na. Lepas Maghrib orang surau nak buat doa selamat kat sini. Lepas tu ada makan-makan sikit,” ujar Encik Nasrul memaklumkan sambil menepuk bahu iparnya.

“Insya-Allah nanti kami mai,” balas Pak Lang dalam anggukan sambil ikut bangun dari kerusi.

Dan kemudian mereka semua menuju ke pintu utama rumah papan tersebut. Selepas bersalam, Pak Lang dan Mak Lang meninggalkan kawasan rumah papan berkenaan dengan membonceng motosikal.

Manakala Nura dan Encik Nasrul menuju ke sebuah kereta Proton Iswara lama yang kelihatan agak uzur terparkir di halaman. Itu satu-satunya kenderaan untuk kegunaan mereka sekeluarga.

“Abah, nanti lepas beli bunga telur, kita pi kedai kek kat pekan tu na. Nura nak beli kek cheese untuk Zakwan. Dia suka,” pinta Nura dalam senyuman manis sambil membayangkan raut wajah si tunang kesayangan.

“Ha, yalah. Nanti kita pi,” ucap Encik Nasrul sambil menghidupkan enjin kenderaan sebelum memandu keluar dari kawasan rumah papan tersebut.

DI TEPI kawasan sawah padi yang menghijau, kelihatan seorang anak muda sedang leka menikmati pemandangan indah yang terbentang di depan mata.

Bau selut, udara nyaman, bunyi burung berkicauan, air jernih yang mengairi kawasan sawah padi, pesawah yang sedang membajak petak sawah tidak jauh dari situ, langit cerah yang membiru serta lakaran puncak tertinggi Gunung Jerai yang dapat dilihat dari situ semuanya membuatkan Aldi tersenyum kagum.

Subhanallah. Sungguh cantik, indah dan permai seluruh ciptaan Yang Maha Esa ini. Juga mendamaikan ruang hatinya.

Lantas Aldi mengeluarkan telefon pintar dari dalam poket seluar track yang dipakai. Merakamkan seluruh pemandangan indah itu melalui kamera untuk disimpan sebagai kenangan.

Ini bukan pertama kali dia berkunjung ke Negeri Kedah. Pernah datang ke sini untuk menghadiri satu sesi mesyuarat bersama sebuah syarikat di Bandaraya Alor Setar dahulu.

Tapi, waktu itu dia tidak berpeluang untuk menjelajahi kawasan di sekitar negeri ini. Kebiasaannya selepas habis sahaja mesyuarat penting, dia dan pemandu akan terus bergegas kembali semula ke Shah Alam.

Hanya kali ini barulah Aldi dapat memanfaatkan sepenuh waktunya untuk meneroka keistimewaan yang ada di Negeri Jelapang Padi ini.

Selepas meninggalkan kediaman keluarganya minggu lepas, Aldi mengembara ke utara tanah air menggunakan pengangkutan ETS. Kereta mewahnya ditinggalkan kepada pemandu di KL Sentral. Hanya dibawa bersama beg galas yang berisi beberapa helai pakaian berserta dokumen penting.

Setelah itu, Aldi menaiki Keretapi ETS menuju ke berbagai bandar utama seperti Ipoh, Butterworth dan hari ini dia tiba di Bandaraya Alor Setar.

Turut dibawa mengembara bersama Aldi adalah basikal kesayangan berjenama TREK yang sebelum ini sering menemaninya beriadah untuk mengisi masa terluang.

Aldi tidak kisah mengembara sendirian menggunakan basikal seperti ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sudah terbiasa melakukan aktiviti tersebut.

Aldi bercadang untuk menuju ke Perlis pula esok hari. Seterusnya memasuki Negara Thailand pada hujung minggu ini. Dan jika keadaan mengizinkan dia berencana mahu mengembara sejauh mungkin. Sehingga ke Benua Eropah kalau boleh.

Hakikatnya Aldi mahu membawa hatinya yang terluka pergi jauh dari sini. Apa yang telah berlaku di antara dia, Sophie serta Akif masih memberi pilu di hati. Mungkin ini cara terbaik untuk dia melupakan semua kepedihan itu.

Puas melihat pemandangan sawah padi yang menghijau, Aldi kembali ke basikalnya yang diletakkan di tepi jalan. Helmet yang ditanggalkan seketika tadi dipakai semula ke kepala. Dia menyambung kayuhan mahu menjelajah lebih jauh lagi. Ingin melihat-lihat suasana kampung yang mendamaikan di daerah ini.

Ketika menelusuri sekitar jalan kampung, Aldi tidak melepaskan peluang merakam sekali lagi suasana yang dilihat di sepanjang perjalanan menggunakan kamera telefon pintarnya yang dipegang di sebelah tangan.

‘Haih, seronoknya duduk di kampung. Aman, damai dan tenteram.’

Hati Aldi berbisik perlahan sambil tersenyum. Berangan-angan andai dia dapat mendiami kawasan kampung yang indah itu suatu hari nanti.

Bagaimana pun, ketika Aldi sedang leka merakam suasana kampung melalui telefon pintar, tanpa dia sedari ada sebuah kenderaan yang tiba-tiba muncul di persimpangan jalan. Lalu tanpa sempat Aldi mengelak, basikal yang ditunggangi berlanggar dengan kenderaan tersebut.

SKREETTTT!!! DUM!!!

Bunyi kereta Iswara lama itu membrek kecemasan, sebelum satu dentuman kuat kedengaran. Apa lagi. Aldi bersama basikalnya melambung ke tengah jalan.

“Ya Allah, Abah! Abah langgar orang!!” Suara Nura menjerit dari dalam kereta.

“ALLAHUAKBAR!!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience