PROLOG

Drama Series 71147

DALAM rintik hujan yang membasahi tubuh, Nura melihat dari jauh susuk tubuh seorang lelaki tampan sedang berjalan memasuki sebuah restoran.

Nura terpempan. Figura lelaki itu benar-benar sama. Tiada yang berbeza. Raut wajahnya. Gerak langkahnya. Malah senyuman yang terukir di bibir lelaki itu juga sama. Semuanya serupa!

Ya Allah. Buat seketika Nura terasa seperti sedang bermimpi. Adakah pencariannya selama ini telah berakhir? Insan yang dirindui sudah ditemui!

Sambil mengatur langkah yang laju, Nura menuju ke restoran sama yang dimasuki lelaki tadi. Dia mencari-cari wajah yang baru sekejapan menyapa pandangan. Tidak sabar ingin menemui lelaki itu.
 
Langkah kaki Nura akhirnya tiba berhampiran sebuah meja yang terletak di hujung sudut restoran dan dihuni empat orang lelaki dewasa. Meja di mana lelaki tampan yang diekori tadi turut berada di situ. Bibir Nura mengukir senyuman. Gembira.

Namun, belum sempat Nura menyapa, salah seorang penghuni yang berada di meja berkenaan terlebih dahulu mengherdik ke arahnya. Sekaligus memadam senyuman manis yang terukir di bibir Nura.
 
“Hei! Kalau nak minta sedekah pergi tempat lain. Bukan di sini.” Dalam lagak dan gaya penuh sombong lelaki itu menghalau Nura pergi.
 
Nura tersentap. Sedikit bingung. Dia digelar ‘peminta sedekah’? Adakah kerana pakaiannya yang tersarung baju kurung kain kapas bersama tudung bawal yang kebasahan dek terkena air hujan tadi membuatkan rupanya kelihatan seperti peminta sedekah?

Dengan pantas Nura menggawang tangan sambil menggeleng. Mahu menjelaskan perkara sebenar bahawa dia bukanlah peminta sedekah seperti yang disangkakan. Namun, penghuni di meja berkenaan tidak mempedulikan gelagatnya.
 
Mungkin atas dasar simpati, teman kepada lelaki bernada kasar tadi memperlihatkan reaksi yang lebih sopan. Lelaki itu bangun lalu mengeluarkan dompet dari poket seluarnya. Diambil sekeping not sepuluh Ringgit sebelum dihulurkan ke arah Nura.

“Ambil ni. Pergi makan ye.” Tutur lelaki itu bersama sebuah senyuman ikhlas. Lelaki itu juga yang sentiasa berada di dalam tatapan Nura sedari tadi. 

Sebak. Sayu. Nura menahan gejolak perasaan yang sedang bergelora di dalam dada. Empangan air matanya menanti waktu untuk pecah.

Bukan kerana huluran wang kertas berkenaan yang membuatkan hati Nura berasa pilu. Bukan juga kerana dia digelar sebagai ‘peminta sedekah’. Tetapi kerana Nura yakin bahawa saat ini dia tidak tersalah orang. Lelaki yang sedang berdiri di hadapannya ini adalah suaminya sendiri!

Wang yang dihulur tidak diambil. Sebaliknya Nura mencapai lengan lelaki itu sambil memberikan isyarat melalui gerakan tangan. Mahu memaklumkan kepada lelaki berkenaan tentang siapa dirinya yang sebenar. Tentang betapa dia terlalu merindui lelaki ini. Suami yang dicari selama ini sudah pun ditemui.

‘Abang, ini Nura. Isteri abang…’

Nura menepuk-nepuk tangannya ke dada bersama bibir yang digerakkan tanpa suara. Ingin memberitahu siapa dirinya kepada lelaki itu.
 
Bagaimana pun, tindakan Nura nyata membuatkan lelaki itu terkejut. Dengan pantas dia menepis jemari Nura dari lengannya. Malah, gerakan tangan menggunakan ‘bahasa isyarat’ yang ditunjukkan oleh Nura juga langsung tidak difahami.
 
“Hei! Apa ni? Dah cukup baik kawan aku bagi kau duit. Ni kau pegang-pegang tangan dia pulak apahal?!” Lelaki bernada kasar tadi mula menyinga bagi pihak temannya.
 
“Tak sedar diri. Pengemis. Berambuslah!” ujar seorang lagi penghuni meja tersebut lantas mengangkat tangan memanggil pengurus restoran berkenaan.
 
Seketika kemudian, pengurus restoran tersebut muncul. Suasana restoran mula bertukar sedikit kecoh. Bagaimana pun, lelaki yang disangka Nura adalah suaminya itu lebih bertindak matang. Dia menegah apabila pengurus itu menarik tangan Nura mahu menghalaunya pergi.
 
“It’s okay, it’s okay.  Nothing happens here.”

“Kau ni baik sangatlah, bro. Dah-dah. Bawa perempuan ni keluar. Kacau ajelah kitorang nak lepak sini,” ujar salah seorang temannya memberi arahan kepada pengurus restoran.

Dalam kekecohan itu, Nura masih teguh berdiri di situ mahu menjelaskan perkara sebenar kepada lelaki di hadapannya. Juga kepada semua orang. Tentang siapa dirinya yang sebenar dan apakah hubungan yang terjalin di antara mereka.

Namun, Nura menyedari sebuah hakikat bahawa suaranya tidak kedengaran. Bukan kerana dia takut untuk bersuara. Tetapi, kerana suaranya tidak dapat didengari. Dia bisu. Dia kini seorang OKU.

Mana mungkin dia dapat memberitahu kepada dunia bahawa dia adalah isteri kepada lelaki ini. Dia Nura Safiyya adalah isteri yang sah kepada Aldi Erfan!
 
Ketika tubuh Nura diiring keluar dari restoran berkenaan oleh pengurus dan seorang pekerja, mata Nura masih tepat tertancap pada raut lelaki itu. Tidak sedikit pun berpaling. Dilihat lelaki itu turut merenung ke arahnya. Namun, dalam pandangan lelaki itu tiada sebarang makna. Kosong. Dan hati Nura diselubungi kekecewaan serta pilu.

Apakah pertemuan kali kedua mereka ini tidak seharusnya berlaku? Kenapa Aldi seolah-olah langsung tidak mengenali dirinya? Di manakah ‘pergi’nya Aldi yang Nura rindui selama ini?

Share this novel

Aisyah Esya
2023-10-24 08:30:53 

pelik la, xde dapat noti cerita ni dah update. kalau x tengok FB mmg x perasan ada chap baru


NovelPlus Premium

The best ads free experience