BAB 3

Drama Series 71147

PERSIMPANGAN yang menghubungkan jalan kampung dengan jalan besar itu dipenuhi orang ramai. Beberapa pemandu lain juga memberhentikan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku dan membantu.

Turut sama dalam kalangan orang ramai itu adalah Encik Nasrul dan Nura yang menerpa ke arah tubuh seorang anak muda yang sedang terbaring di tengah jalanraya bersama basikalnya. Tergambar perasaan yang begitu cemas di mimik muka masing-masing.

“Ya Allah. Anak, pakcik minta maaf. Pakcik tak nampak anak tadi,” ucap Encik Nasrul kepada anak muda itu.

Nura yang berada berhampiran bapanya ikut memerhati ke arah sekujur tubuh yang sedang terbaring di tengah jalan itu. Dilihat lelaki itu masih dalam keadaan sedar. Tiada kecederaan parah dialami. Namun, terdapat luka-luka serta kesan calar di beberapa anggota tubuhnya.

“Nak panggil ambulans ka ni?” Salah seorang pengguna jalanraya bertanya.

“Kalau tunggu ambulans mai lambat lagi. Kita bawa dia pi hospital teruslah.” Seorang lagi pengguna jalanraya memberi cadangan.

“Boleh-boleh. Kita bawa dia naik kereta pakcik. Biaq pakcik hantaq dia ke hospital. Lagipun, pakcik yang salah terlanggaq dia tadi,” ucap Encik Nasrul yang masih diselubungi rasa bersalah.

“Mai-mai kita pakat tolong dia masuk dalam kereta pakcik ni.”

Aldi yang terbaring di situ hanya mampu mendengar butir bicara beberapa orang lelaki yang sedang mengelilingi dirinya. Kepalanya sedikit pusing dan pening-pening lalat. Pandangan pula berpinar-pinar. Manakala tubuhnya terasa sakit di beberapa bahagian.

Tidak menduga kelekaannya yang sibuk merakam pemandangan indah di kawasan kampung itu tadi menyebabkan dia ditimpa kemalangan. Itulah siapa suruh lalai. Nasib baik dia memakai pelindung keselamatan seperti helmet dan ‘guard’ di beberapa anggota tubuh. Jika tidak pasti kecederaan yang dialami jauh lebih teruk.

“Takpe-takpe, saya okey.” Aldi bersuara sambil cuba bangun. Malangnya dia kembali jatuh terduduk seketika kemudian. Kakinya sukar untuk berdiri.

“Ni tak okey ni. Jom-jom pakcik hantaq hang pi hospital dulu,” ujar Encik Nasrul.

Aldi kemudian dibantu oleh para pengguna jalanraya yang lain masuk ke tempat duduk belakang Proton Iswara milik Encik Nasrul.

Ketika itu Aldi menyedari basikal kesayangan miliknya yang masih terdampar di tengah jalan tidak jauh dari situ. Kelihatan bahagian roda hadapan basikal itu sudah bengkok manakala besi pemegangnya pula patah.

Sebetulnya basikal itu baru sahaja dibeli oleh Aldi beberapa bulan yang lalu dengan harga puluhan ribu ringgit. Bukan basikal yang biasa-biasa. Tapi, basikal berjenama terkenal. Mana tak sedih apabila melihat rupa basikal berkenaan yang sudah tersadai seperti itu.

“Err pakcik, basikal saya…”

“Basikal hang tu kita tinggal sat kat sini. Kita pi hospital dulu. Nanti kita patah balik ambik basikal hang.”

Aldi akhirnya akur dengan kata-kata Encik Nasrul. Sementelah sakit akibat perlanggaran tadi dirasakan semakin kuat. Lebih baik dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan terlebih dahulu. Bab berkaitan basikal kesayangan terpaksa dilupakan seketika.

Encik Nasrul dan Nura kemudian sama-sama ikut masuk ke dalam kenderaan sebelum meninggalkan kawasan persimpangan jalan itu membawa Aldi menuju ke hospital berdekatan.

“ENCIK ALDI ERFAN.”

Kedengaran suara seorang jururawat di Hospital Daerah Yan melaung memanggil nama pesakit.

Serentak itu Nura bangun dari duduknya di bangku tempat menunggu menuju ke arah kaunter jururawat berkenaan.

“Saudara pesakit?” Jururawat itu bertanya sebaik melihat kemunculan Nura.

“Ya. Saya saudara dia.” Nura mengangguk sahaja. Malas ingin bersoal jawab lebih lanjut.

“Ni IC pesakit dan nombor giliran. Satgi bawa pesakit pi bilik doktor kat hujung tu,” ucap jururawat itu sambil memulangkan kembali dokumen pengenalan diri yang diberikan untuk pendaftaran tadi kepada Nura.

“Baik, terima kasih nurse.”

Nura kembali semula ke bangku menunggu. Abahnya Encik Nasrul dan pemuda yang dilanggar mereka tadi berada di situ. IC dipulangkan kembali kepada Aldi yang sedang duduk di atas kerusi roda.

“Encik, nurse suruh kita pi bilik doktor kat hujung tu. Mai saya tolong bawa encik pi sana,” ucap Nura.

“Biaq abah bawa dia pi. Nura tunggu sini,” ujar Encik Nasrul pula.

“Takpa, biaq Nura ja bawa dia. Abah tu tak berapa sihat. Abah tunggu sini na. Nanti dah selesai Nura mai sini balik.” Nura dengan segera meningkah.

Aldi pula sekadar menyepi tidak masuk campur dengan bicara dua beranak itu. Kepalanya juga masih pusing bersama kesakitan di kaki yang makin kuat. Macam terseliuh je. Haish. Sedar-sedar kerusi roda yang didudukinya sudah ditolak oleh gadis muda itu menuju ke satu ruangan menempatkan bilik rawatan.

SETENGAH jam kemudian, Aldi dibawa keluar dari bilik rawatan dengan dibantu oleh Nura. Mereka kembali semula ke ruang legar.

Kaki Aldi sudah berbalut. Begitu juga dengan kesan luka di lengan dan beberapa bahagian tubuhnya yang sudah diletakkan ubat serta ditampal plaster. Syukur kerana tiada kecederaan serius seperti retak atau patah dialami.

“Macam mana? Doktor kata apa?” Encik Nasrul menyoal dalam nada penuh kerisauan sebaik melihat kelibat Nura bersama anak muda di atas kerusi roda itu.

“Alhamdulillah doktor kata kecederaan dia tak teruk. Tapi, kena pantau juga dalam dua tiga hari ni. Takut ada luka dalaman.” Nura memaklumkan kepada bapanya.

Lantas Encik Nasrul memandang ke wajah Aldi sebelum meneruskan kata-kata.

“Anak, pakcik mintak maaf sangat-sangat. Pakcik betui-betui tak sengaja terlanggaq anak tadi. Pakcik takdak niat langsung. Tapi, kalau anak nak buat report polis juga pun takpalah. Pakcik boleh bawa anak pi balai polis lepas ni.”

Aldi tersentak seketika sambil merenung ke raut berusia milik lelaki di hadapannya. Bersungguh-sungguh lelaki itu memohon maaf serta mengakui kesalahannya yang tidak sengaja sedari tadi. Berdasarkan sikap dan perilaku yang ditunjukkan oleh kedua individu yang telah melanggarnya, Aldi tahu mereka adalah orang baik-baik. Malah, sanggup pula membantu menghantarkan dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Eh, takpe pakcik. Saya takkan buat report polis. Saya pun salah juga tadi tak pandang kiri kanan masa bawa basikal. Sibuk dengan handphone sampai tak nampak kereta pakcik keluar simpang. Saya minta maaf juga pada pakcik. Dan saya nak ucapkan berbanyak terima kasih sebab tolong hantarkan saya ke hospital,” ucap Aldi bersama senyuman.

“Betui ka macam tu? Kalau lagu tu kata anak, legalah pakcik. Ni bil hospital takpa, biaq pakcik yang bayaq untuk anak.” Encik Nasrul menarik nafas lega sambil menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab membuat pembayaran rawatan.

Sekali lagi Aldi tersentak dengan sikap jujur Encik Nasrul. Dilihat dari segi pakaian yang tersarung di tubuh lelaki itu serta kenderaan ‘buruk’ yang dinaiki ketika dalam perjalanan ke hospital tadi, Aldi tahu mereka bukanlah orang senang. Perasaannya tidak sampai hati. Serta-merta dia memintas niat Encik Nasrul untuk menghulurkan bayaran.

“Eh, jangan macam tu pakcik. Takpe saya boleh bayar sendiri.”

“Takpa, encik. Kami yang salah terlanggaq encik tadi. Biar kami bayar. Lagipun, ni hospital kerajaan, murah ja,” ujar Nura lalu cepat-cepat menuju ke kaunter bayaran.

Aldi tidak sempat menghalang tindakan Nura. Dan akhirnya akur dengan niat baik mereka sekeluarga.

Dari jauh Aldi leka memerhati kelibat Nura. Gadis itu yang telah membantunya sedari tadi. Entah mengapa hati Aldi bagai terusik. Wajah penuh kelembutan milik gadis itu seakan membuatkan dia terpesona seketika.

‘Haish, takkanlah kau jatuh cinta pada gadis tu pula. Padahal baru pertama kali bertemu.’

Aldi berbisik di dalam hati. Dengan pantas dia menggeleng. Mahu menafikan perasaan yang tiba-tiba hadir tanpa dipinta itu.

Selesai membuat pembayaran di kaunter, Nura kembali semula ke ruang legar yang menempatkan kerusi menunggu. Satu bekas plastik berisi ubat-ubatan diberikan kepada Aldi.

“Encik, ini ubat yang doktor bagi. Ada ubat tahan sakit, ubat sapu dan plaster luka juga. Doktor pesan ubat tu makan bila sakit. Tempat luka kena cuci tiga kali sehari. Kalau encik ada muntah-muntah atau sakit kepala dalam tempoh tiga hari ni, encik kena datang semula untuk pemeriksaan lanjut nanti.” Nura memberi penerangan.

Aldi pula mengangguk-angguk beberapa kali mendengar setiap pesanan daripada gadis di hadapannya.

“Okey. Terima kasih Cik… err…” Kata-kata Aldi terhenti seketika apabila menyedari yang dia tidak mengetahui nama gadis itu.

“Nura,” jawab Nura pendek.

“Oh, terima kasih Cik Nura tolong saya,” ucap Aldi sekali lagi.

“Sama-sama. Bagi pihak abah saya minta maaf sekali lagi sebab encik tercedera disebabkan kami.”

“Takde apa. Hal kecil je. Salah saya juga. Erm jangan panggil saya encik. Panggil Aldi je,” ujar Aldi dalam senyuman.

Nura sekadar mengangguk tanpa membalas senyuman itu. Dia cepat-cepat melarikan pandangan apabila menyedari lelaki muda di hadapannya ini sedang asyik merenung dirinya sedari tadi.

“Kalau takda apa lagi, jom kita balik. Kita pi ambik basikal anak yang tertinggal kat tepi jalan tadi.” Encik Nasrul mencelah.

Aldi bersetuju lalu menuruti Encik Nasrul keluar dari ruang legar hospital daerah berkenaan menuju ke ruang parkir kenderaan dengan dibantu oleh Nura.

KEMBALI semula ke kawasan persimpangan tempat berlakunya kemalangan tadi, Aldi mengeluh kecewa apabila dilihat basikal kesayangan miliknya sudah tiada di situ. Entah ke mana hilangnya. Mungkin sudah dicuri.

Encik Nasrul cuba mencari-cari di sekitar dan bertanya kepada peniaga yang kebetulan berada di gerai goreng pisang berhampiran kalau-kalau ternampak basikal Aldi. Malangnya peniaga itu mengatakan dia tidak ternampak pun basikal seperti yang dikatakan.

“Mintak maaflah, nak. Depa kata tak nampak pun basikal tu.” Encik Nasrul menggelengkan kepala tanda kecewa dan bersalah.

“Abah, kita pi buat report polislah. Mesti ada sapa-sapa curi basikal tu.” Nura menutur cadangan.

“Erm takpe pakcik, Nura. Tak perlu. Mungkin dah memang takde rezeki saya,” ucap Aldi pasrah.

“Habih tu, la ni anak nak pi mana? Pakcik tolong hantaq anak balik ke rumah.”

“Rumah saya jauh dari sini, pakcik. Takpelah pakcik tinggalkan saya kat hentian bas terdekat pun dah cukup. Nanti saya gerak ke bandar sendiri.”

Encik Nasrul memerhati ke arah kaki Aldi yang yang berbalut serta berjalan terhincut-hincut. Terbit perasaan simpatinya terhadap anak muda itu.

“Aih, macam mana hang nak balik sendiri tu? Kaki pun tak baik elok lagi. Macam ni lah. Hari ni hang berehat di rumah pakcik dulu. Esok kaki tu dah baik sikit pakcik hantaq hang ke stesen bas. Boleh?” Encik Nasrul mengusul kepada Aldi.

Aldi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba salah mahu menerima pelawaan tersebut.

“Err tak menyusahkan pakcik sekeluarga ke?”

“Dak aih. Susah apanya. Pakcik kesian tengok hang. Nak jalan pun payah tu. Mai kita pi rumah pakcik dulu. Hang berehat di sana sampai sembuh.” Encik Nasrul berterusan mempelawa Aldi.

Aldi akhirnya terpaksa akur setelah melihat kesungguhan Encik Nasrul yang ingin membantu. Mungkin tidak mengapa dia menumpang tinggal sementara di rumah keluarga itu sehingga kecederaan yang dialami di kakinya sembuh.

“Erm baiklah. Saya ikut pakcik ke rumah buat sementara ni. Terima kasih banyak atas bantuan pakcik dan Nura kepada saya.”

Seraya pandangan Aldi bertaut dengan Nura yang berdiri tidak jauh dari dirinya. Dia mempamerkan senyuman penghargaan ke arah gadis itu. Dan Nura turut membalas lorekan senyuman berkenaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience