BAB 1

Drama Series 67874

BEG galas belakang berwarna hitam dikeluarkan dari almari. Beberapa helai pakaian berserta dokumen penting diambil lalu disumbat dengan kasar ke dalam beg tersebut. Setelah itu, dia melangkah keluar dari kamar yang terletak di aras kedua kediaman meniti anak tangga turun ke tingkat bawah.

“Aldi!”

Suara Datin Hanum bergema dari ruang tamu memanggil nama anak sulungnya. Tergesa-gesa dia menghampiri si anak bersama sejuta persoalan yang masih berselirat di fikiran.

“Aldi nak pergi mana? Jangan tinggalkan mama, nak.” Rayu Datin Hanum dalam linangan air mata.

Langkah Aldi terbejat di muka pintu. Dia menoleh ke belakang. Memandang ke wajah sayu si ibu. Sungguh dia tidak sampai hati mahu meninggalkan mama. Namun, perkara yang berlaku telah meremukkan dan melukakan seluruh perasaannya.

“Maaf, mama. Aldi tetap kena pergi.”

Ketika Aldi berpusing semula untuk menyambung langkah yang terhenti tadi, kelihatan dua orang lelaki lain muncul dari pintu utama kediaman yang sedang terbuka luas.

Papanya, Datuk Eizlan. Dan di belakang papa adalah seorang anak muda yang lebih kurang sebaya Aldi. Siapa lagi kalau bukan satu-satu adiknya, Akif. Mereka berdua hanya berbeza usia dua tahun.

Memandang ke wajah Akif saat ini cukup membuatkan luka di hati Aldi bertambah dalam. Bagai ditikam dengan mata pedang berkali-kali. Terasa ingin dibenam sahaja muka si adik ke dalam tanah waktu itu. Dan jika tidak kerana iman yang masih bersisa di dada tentu sudah dibunuh sahaja Akif!

“Aldi, kamu nak ke mana? Surat yang kamu tinggalkan di pejabat tadi tu apa maksudnya?” Datuk Eizlan menyoal kepada Aldi dalam riak kebingungan.

Aldi menentang pandangan bapanya. Silih berganti merenung tajam ke wajah si adik di belakang Datuk Eizlan yang hanya mempamer reaksi bersahaja tanpa sebarang perasaan bersalah.

“Aldi dah letakkan jawatan dalam syarikat. Papa boleh beri jawatan tu kepada orang lain,” ucap Aldi sambil berusaha menahan kemarahan daripada meledak.

Dahi Datuk Eizlan berkerut seribu sebagai tanda tidak memahami. “Kenapa tiba-tiba? Apa yang berlaku sebenarnya?”

“Papa tanya Akif apa yang berlaku. Aldi tak nak ambil tahu apa-apa lagi, baik urusan berkaitan syarikat atau pun keluarga. Aldi nak pergi dari sini!” Aldi melaung tinggi suaranya.

Datuk Eizlan lantas menoleh ke arah anak keduanya yang sedang berdiri di belakang tubuhnya. Memberi isyarat meminta jawapan. Sebaliknya Akif sekadar membisu tanpa bicara.

Dipandang pula ke arah isterinya yang berdiri tidak jauh dari situ. Kelihatan Datin Hanum sedang mengalirkan air mata. Seolah-olah mengetahui apa yang telah berlaku.

“Hanum, kenapa ni? Apa yang berlaku sebenarnya?!”

“Err…”

Datin Hanum teragak-agak ingin menjawab soalan suaminya. Bimbang situasi akan menjadi bertambah buruk. Apatah lagi bila mengenangkan kesihatan Datuk Eizlan yang kurang baik sejak akhir-akhir ini.

“Kecohlah kau ni, bang. Bukan hal besar pun!” Tiba-tiba Akif memintas sebelum sempat ibunya berkata-kata.

Mendengar bicara Akif yang kurang ajar itu, hati Aldi bertambah bengkak. Api kemarahan kian menjulang tinggi.

Tanpa sempat ditahan oleh sesiapa, lima kepal jemarinya laju ditinju ke muka si adik. Membuatkan kepala Akif terteleng ke tepi dan tubuhnya jatuh terlentang di lantai marmar di tengah ruang tamu.

Tak cukup di situ, Aldi merenggut pula kolar baju Akif sambil mempamerkan mimik muka yang teramat marah serta menyinga.

“Bagi kau hal kecil. Tapi, bagi aku hal ni cukup besar. Kau jalin hubungan sulit dengan Sophie. Kau sedar tak Sophie tu siapa? Sophie tu tunang aku. BAKAL KAKAK IPAR KAU SENDIRI!!!” Aldi bertempik sekuat hati di depan muka si adik.

Ayat kemarahan yang baru disebut oleh Aldi nyata membuatkan Datuk Eizlan terkejut besar. Riak mukanya terus berubah.

“Apa?! Astaghfirullahalazimmm!” Datuk Eizlan beristighfar panjang. Benar-benar terperanjat.

Barulah dia mengerti punca sebenar terhadap kekecohan yang berlaku. Malah, baru memahami kenapa anak sulungnya tiba-tiba sahaja melepaskan jawatan dalam pengurusan utama syarikat hari ini.

“Betul ke apa yang abang kamu cakap ni, Akif?! Kamu jalinkan hubungan sulit dengan Sophie? Sophie tu tunang abang kamu. Tak lama lagi mereka dah nak nikah!” Giliran Datuk Eizlan pula meninggikan suara.

Sebaliknya Akif masih mempamerkan riak muka yang ego dan tiada rasa bersalah. Dipandang ke muka si abang yang masih mencekak batang lehernya sambil berdesis sinis.

“Untuk pengetahuan kau, aku dan Sophie dah lama bercinta. Sejak zaman universiti. Kau tu tiba-tiba balik dari oversea terus pergi meminang dia. Dan parents dia terima pinangan kau. Kau rasa apa perasaan aku waktu tu? HAH?!” Akif menjerit balas ke muka si abang.

Dan Aldi nyata terkedu sebaik mendengar pengakuan Akif. Terus terlepas pautan tangannya dari batang leher si adik. Bergerak-gerak rahangnya bersama kerutan di wajah seakan tidak percaya.

Begitu juga kedua ibu bapa mereka. Datuk Eizlan dan Datin Hanum juga langsung tidak tahu-menahu mengenai jalinan perhubungan di antara Akif dan bakal menantu mereka.

“Kenapa kamu tak bagitahu awal-awal dulu?! Sebelum kami pergi meminang Sophie untuk Aldi?!” Datuk Eizlan menyoal kepada Akif.

“Macam mana Akif nak bagitahu? Selama ni di mata papa semua yang baik hanya abang seorang. Abang yang paling pandai. Abang yang paling layak duduk di kerusi CEO walaupun baru balik dari oversea. Ni, Akif yang selama ni tolong papa uruskan syarikat tu langsung tak dipandang! Dan bila abang cakap nak kahwin dengan Sophie, papa terus setuju. Sedangkan papa tahu kan Akif rapat dengan Sophie selama ni!” Akif membentak ke arah papanya meluahkan emosi yang terpendam.

Lidah Datuk Eizlan kelu. Dia meraup tapak tangan ke kepala. Terhenyak dengan isu yang timbul hari ini. Adakah dia yang bersalah di dalam hal yang berlaku?

Sementara itu, perasaan Aldi bertambah remuk serta hancur. Baru mengetahui kenyataan bahawa gadis idaman yang dicintai adalah kekasih adik sendiri.

Tidak hairanlah apabila dia melihat sendiri kemesraan mereka berdua sejak beberapa minggu yang lalu. Malah, berjaya menangkap keduanya sedang melakukan hal tidak senonoh di satu lokasi tersorok semalam. Dan itu yang menjadi punca amukannya hari ini.

Apabila disoal kepada Sophie, gadis itu dengan mudah meminta diputuskan pertunangan mereka. Atas alasan bahawa mereka berdua tidak mempunyai persefahaman.

Patutlah Sophie sering sahaja menimbulkan provokasi akhir-akhir ini. Sengaja mahu membuatkan dia marah. Rupa-rupanya kerana gadis itu tidak pernah mencintai dirinya. Malah, tidak bersedia untuk menjadi isterinya.

Sophie sebenarnya mencintai Akif. Itulah kenyataan sebenar yang harus Aldi terima.

Kecewa. Sebak. Marah. Berang. Semuanya bercampur-aduk menjadi satu. Aldi tak mampu berada lebih lama di situ. Memandang ke muka Akif sahaja sudah cukup membuatkan amarahnya kian membuak-buak. Sebelum dia semakin hilang kesabaran dan pedoman, lebih baik dia beredar dengan segera.

Lantas Aldi menghampiri Datin Hanum sebelum tunduk menyalami tangan si ibu. Kemudian, dia beralih ke arah Datuk Eizlan lalu melakukan perkara yang sama.

“Aldi pergi dulu. Assalamualaikum.”

Setelah itu, Aldi mengambil beg galas belakang miliknya tadi yang terdampar di tengah permaidani dan terus melangkah keluar dari kediaman berkenaan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“ALDI!!”

Suara Datuk Eizlan melaung kuat memanggil anak sulungnya. Mahu menahan langkah Aldi. Namun, hanya kedengaran bunyi enjin kenderaan yang dihidupkan dan menderu pergi sebelum hilang beberapa saat kemudian.

Seperginya Aldi, pandangan Datuk Eizlan dan Datin Hanum jatuh ke arah anak kedua mereka yang masih berada di sudut ruang tamu.

Sama seperti tadi, Akif sekadar mempamer mimik muka tanpa segaris pun rasa bersalah. Puas hatinya melihat si abang pergi dari kediaman itu. Kalau lenyap terus lagi bagus!

“Akif! Kamu…”

Datuk Eizlan menunding jari ke arah Akif bersama riak yang bersisa kemarahan. Namun, kata-katanya tidak dapat dihabiskan apabila terasa pandangannya berbalam-balam lalu bertukar gelap.

“ABANG!!”

Suara jeritan Datin Hanum kedengaran saat melihat tubuh suaminya longlai sebelum rebah di tengah ruang tamu. Akif yang berada di situ turut terkejut lalu mendapatkan papanya. Mereka sama-sama cemas melihat keadaan Datuk Eizlan.

Manakala di tengah jalanraya, Aldi memecut laju kenderaan yang dipandu menuju ke sebuah destinasi. Membawa bersama sebuah kekecewaan yang tidak terubati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience