Bab 15
ENTAH untuk ke berapa kali, Umaira sudah menghela nafas panjang. Setelah dia berjumpa dengan Syed Redza petang tadi, dia jadi gelisah hingga menjengah malam. Kerja di pejabat juga banyak yang tertangguh. Fikirannya sarat dengan perjanjian yang sudah dipersetujui bersama itu.
"Apa aku dah buat ni?" gumam Umaira lalu meraup wajah.
"Serius lah, aku ajak dia kahwin? Kau memang dah gila kan, Maira," gumamnya lagi, masih tidak percaya dengan tindakannya sendiri.
"Menyesalnya..." Umaira menghantuk kepalanya di atas meja.
"Abang, betul ke apa yang Maira buat ni?" rintih Umaira separuh menyesal.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Dia pantas mengangkat muka lalu meraih telefonnya itu. Melihat sahaja nama yang tertera di atas skrin, bibirnya terus mengukir senyum lebar.
"Abang..." Fikirannya yang serabut tadi, terus lenyap. Panggilan video dijawab serta-merta.
"Hai abang..." sapa Umaira ceria sambil menatap wajah Zakuan yang terpampang di skrin. Terubat rasa rindu di hati apabila memandang wajah lelaki yang masih bertahta di dalam hatinya itu.
Zakuan juga turut tersenyum. Lelaki itu sedang duduk di kerusi pejabatnya. "Hai Maira..."
"Abang buat apa tu? Abang masih dekat office ke tu?" tanya Umaira.
"Yup. Tapi, kejap lagi nak balik. Maira buat apa tu?"
"Tak ada apa-apa. Rindu abang je," luah Umaira tanpa berselindung sambil tersenyum manis. Dia bangun lalu mengatur langkah keluar dari bilik kerja itu menuju ke bilik tidurnya di sebelah.
"Siapa tu?" soal Umaira apabila dia seakan terdengar suara wanita.
"Oww... Tiara. Dia tolong abang siapkan kerja," jawab Zakuan jujur.
Ada sedikit berubah air muka Umaira disaat mendengar jawapan Zakuan. Langkah kakinya terus menjadi perlahan menuju ke katil. Punggung melabuh lemah di birai katil.
"Kenapa ni? Tak percaya abang buat kerja ke?" soal Zakuan menyedari akan perubahan airmuka Umaira. Dia dapat meneka, Umaira cemburu.
"Kejap eh." Zakuan terus menukar kamera telefon bimbitnya itu. Terlihat Tiara sedang mengemas fail-fail di atas meja.
Umaira tarik nafas dalam. Bibirnya diketap lembut cuba menahan rasa cemburu yang mula bertandang di hati. Dia akui, dia terasa tergugat melihat kecantikan Tiara. Dia takut, Zakuan akan beralih arah dan jatuh cinta pada wanita itu. Namun, dia juga tiada hak untuk menghalang.
"Are you taking my picture?" soal Tiara dengan kerutan nipis di dahi.
"No. I just wanna show to someone what we're up to," jawab Zakuan lalu kembali menukar kamera itu kepada kamera hadapan.
"Siapa?" soal Tiara.
"My one and only," ujar Zakuan sambil tersenyum manis memandang Umaira di dalam skrin itu.
Umaira terus membulatkan mata. Sedikit terkejut. "Abang, Tiara tahu ke pasal kita?"
"Tahu. Abang beritahu dia. Don't worry. I trust her to keep our secret," kata Zakuan.
"Kejap eh. Abang kemas barang dulu," ujar Zakuan lagi lalu meletakkan telefon di atas meja.
Umaira dapat melihat Zakuan sedang menyarung kot ke tubuh lalu meraih kunci kereta di atas meja. Setelah itu, Zakuan dan Tiara mengatur langkah menuju ke lif bersama.
"Boss, jangan lupa esok kita kena bertolak sebelum pukul 8 pagi," pesan Tiara yang berdiri di belakang Zakuan.
"Okay, I'll pick you up tomorrow," kata Zakuan.
Umaira hanya diam dan mendengar perbualan singkat Zakuan dan Tiara.
Ting! Terdengar bunyi pintu lif terbuka. Zakuan dan Tiara terus melangkah keluar bersama dari perut lif.
"Okay boss. I pergi dulu," ucap Tiara meminta diri dulu. Zakuan hanya mengangguk kecil.
"Abang pergi mana esok?" soal Umaira.
"Abang nak pergi outstation jumpa client. Tiara ikut sekali. Sebab tu abang call Maira sebab takut nanti abang busy sangat masa outstation," ujar Zakuan.
"Oww… okay." Umaira mengangguk kecil.
Zakuan membuka pintu kereta lalu melabuh punggung. Enjin kereta dihidupkan. Setelah itu, dia meletakkan telefon di tempat pemegang telefon yang melekat di dashboard keretanya itu.
"Maira ingatkan abang hantar dia balik. Bahaya lah perempuan balik lewat malam-malam macam ni sorang-sorang," ujar Umaira.
Zakuan terus tarik muka. "Why should I? Boyfriend dia ambil dia."
Terangkat kening Umaira sebelum perlahan-lahan dia mengemam bibir menahan senyum. Lega rasa hatinya mendengar jawapan itu. Jadi, ini bermakna dia tiada pesaing!
"Kenapa senyum tu? Suka lah tu... Tak jealous lagi." usik Zakuan sambil tersenyum.
"Abang tak nak end call dulu ke? Nanti sampai rumah baru call Maira balik," ucap Umaira cuba mengubah topik. Senyum dibibirnya tidak dapat dikawal lagi.
"No. Abang nak video call dengan Maira sampai abang balik rumah, mandi then sleep together," kata Zakuan lalu mengenyitkan mata.
Umaira terus tergelak kecil. Hangat membahang kedua belah pipinya. Kini, dia yakin dengan keputusannya untuk meneruskan rancangan nya itu.
****
"MAIRA..." panggil Mak Som. Umaira yang baru sahaja keluar dari bilik mandi itu, terus menoleh ke arah pintu. Rambut basahnya yang disanggul terus dilepaskan dibiar berurai.
"Ye, Mak Som."
"Baru siap mandi? Lewat tidur semalam ye?" teka Mak Som sambil tersenyum.
"Ye, Mak Som." Umaira tersengih.
"Maira pergi bersiap cepat ye. Pakai cantik-cantik. Ibu panggil suruh turun bawah. Ada tetamu datang,” ujar Mak Som.
Kening Umaira terus berkerut nipis, hairan. Pagi-pagi macam ni ada tetamu?
"Siapa?"
"Nanti Maira turun, Maira tahu lah siapa," ujar Mak Som sambil tersenyum nipis. Semakin berlapis-lapis dahi Umaira di saat ini. Mak Som pun terus menutup pintu bilik dengan rapat.
"Siapa eh?" gumam Umaira sendiri lalu melangkah menuju ke almari baju. Setelah siap bersiap, dia pun terus melangkah keluar dari bilik.
Sedang meniti anak tangga untuk turun ke bawah, gerak kaki terbejat sejenak. Umaira terpaku di tengah-tengah anak tangga apabila dia memandang lurus ke arah ruang tamu. Jantungnya mula berdetak laju. Rasa gemuruh pula tiba-tiba. Weh! Tak kan lah...
"Maira, mari sini. Duduk dengan ibu,” panggil Puan Kartina. Umaira tersentak lalu memandang ibunya yang tersenyum duduk di ruang tamu itu. Dengan debaran jantung yang semakin kuat, Umaira pun melangkah perlahan menuju ke ruang tamu.
"Assalamualaikum, aunty," sapa Umaira mesra lalu menghulur tangan dan mencium tangan Sharifah Farida.
"Wa'alaikumsalam,” jawab Sharifah Farida dengan senyuman manisnya. Sempat lagi, dia mengelus pipi gebu Umaira yang terlihat merona merah itu.
"Aunty apa khabar?" tanya Umaira cuba menutup rasa debar. Punggung terus dilabuh disebelah Puan Kartina.
"Alhamdulillah, sihat,” jawab Sharifah Farida. Tak lekang senyum wanita tua itu memandang wajah bersih Umaira.
"Maira..." panggil Puan Kartina lalu menarik tangan kanan Umaira.
"Ye, ibu." Umaira memandang wajah Puan Kartina. Entah mengapa, hatinya merasa kurang enak dengan keadaan itu. Tidak pernah-pernah lagi Sharifah Farida datang ke rumah di waktu awal pagi sebegini. Kebetulan pula hujung minggu.
"Aunty Sharifah datang ni ada hajat. Dia nak tanya Maira sendiri."
Zap!
Hajat? Umaira telan air liur. Dia terus menoleh memandang Sharifah Farida yang duduk di hadapannya itu.
"Hajat apa, aunty?" soal Umaira mula gugup. Makin kuat debaran di dadanya.
"Begini, Maira...” Sharifah Farida memberi jeda agar dapat menyusun kata dengan lebih sopan dan santun lagi. “…Memandangkan keluarga kita dah lama kenal dan aunty juga sudah berbincang dengan ibu Maira sendiri tadi, jadi … Aunty tak nak berkias-kias lagi.
“Tujuan aunty datang sini, sebenarnya mewakili anak bungsu aunty sendiri, Syed Redza. Dia ada menyuarakan niat semalam. Dia berkenan dengan Maira. Jadi mewakili anak aunty, aunty nak tanya tuan badan sendiri. Sudi ke, kalau Syed Redza datang masuk meminang?" soal Sharifah Farida.
Dush!
Bagai disambar petir, Umaira terkaku sebentar. Orang tua niii… Dah kenapa tak bagitahu aku awal-awal??? Gerutunya geram di dalam hati.
Hishh!!!
"Maira..." panggil Puan Kartina lembut apabila Umaira masih mendiamkan diri.
Umaira bagai baru tersedar dari alam mimpi. Dia pantas menoleh memandang Puan Kartina.
"Aunty tanya tu..." ujar Puan Kartina lagi.
"Sudi ke Maira, kalau Syed Redza datang masuk meminang?" celah Sharifah Farida sekali lagi.
“Aarrr…” Mata terkebil-kebil. Kemudian, Umaira gali nafas sedalam-dalamnya, cuba meneutral degupan jantung. Deras otaknya berfikir. Ya, dia mengaku dia sakit hati disaat ini kerana dirisik secara tiba-tiba tanpa pengetahuannya terlebih dahulu, tetapi dia juga sedar bahwa memang ini adalah sebahagian dari rancangan nya sendiri.
Namun dalam masa yang sama, dia juga tertanya-tanya dengan diri sendiri. Adakah betul rancangannya ini? Adakah dia benar-benar bersedia untuk meneruskan rancangannya? Nekad kah dia? Tiada kata penyesalan kah di kemudian hari?
Share this novel