“HALINA tunggu!” Ahmad terpaksa berkejar. Sungguh dia sangat terasa hati dengan perubahan drastik tunangnya itu. Tiada angin, tiada ribut nak bermasam muka dengan dia. Sehinggakan ajak bersembang juga tidak mahu.
“Apa dia wak? Saya nak cepat ni,” dalih Halina juga kedengaran kasar. Lelah Ahmad tidak berkurang malah semakin penat dengan penerimaan Halina terhadap dirinya.
“Sayang kenapa ni? Kalau abang ada buat silap maafkanlah... abang tak tahu apa punca sayang nak bermasam muka dengan abang,” terang Ahmad akhirnya setelah mendapat peluang.
“Hmm...” Hanya dengusan penuh meluat sebagai jawapan dari Halina.
“Sayang...” Panggil Ahmad. Baru saja dia mahu memegang tangan, Halina laju menepisnya. Kasar. Ahmad makin sebal.
“Sayang... apa salah abang ya? Atau Lina yang ada berbuat silap dengan abang?” Sengaja Ahmad menduga. Dia inginkan melihat reaksi si gadis tatkala dia cuba mempersalahkan dirinya.
“Apa maksud awak?” Soal Halina.
“Awak? Abang, sayang. Abang!” Ahmad semakin hilang sabar. Dia benar-benar tidak tahu apa silap dia, sehingga Halina berkelakuan dingin padanya.
“Saya tak sihat tu saja.”
“Sayang tak sihat? Dah berapa hari? Kenapa tak bagitahu pada abang? Apa gunanya abang jadi tunang sayang kalau sayang sakit pun tak abang tahu?”
“Tak apa, saya dah pergi klinik dengan Wan...”
“Sayang! Siapa tunang sayang sekarang ini? Wan atau abang? Apa dia dah sumbat pada sayang sehingga sayang lupa pada abang?” Tengking Ahmad tanpa sengaja kerana amarah meletus bila tunang ke klinik dengan lelaki lain.
“Halina!” Satu suara menegur. Halina menarik nafas lega kerana salah-seorang Qualification Checker atau Qc memanggilnya.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya masuk dahulu.” Halina bersegera luahkan kata-kata itu. Membuka langkah juga seluas mungkin.
‘Aku benci kau!’ Hanya itu yang Halina rasakan kini. Wan Haikal tersenyum dan segera keluar dari balik dinding dan sengaja juga mendapatkan Halina di hadapan Ahmad. Langsung tidak jadi balik Ahmad kala itu.
“Tak guna kau!!!” Ahmad melengking. Tangan sudah terangkat tinggi dengan tubuh sudah laju maju ke depan.
“Ahmad! Sabar! Kau gila ke nak bertumbuk dekat sini!” Teriak si rakan dengan dirinya juga maju ke depan memeluk tubuh Ahmad yang merah-padam mukanya. Berang!
“Lepaskan aku, Rud! Aku kata lepaskan aku. Kau tak nampak apa yang aku nampak!”
“Aku nampak, bro. Nampak, tapi sabar. Tak ada gunanya kau bertumbuk, kau ingat baik untuk kau ke? Kau nak tambahkan lagi rasa benci Halina pada kau? Kan aku dah kata sabar!”
“Tapi bro, Lina bro. Dia memang dah lain tau tak! Boleh dia kata dia ke klinik dengan jantan keparat tu! Habis aku ni apa? Tunggul!”
“Apa kata malam ni ikut aku...” Rudi memberi cadangan kerana sebenarnya kes Halina dengan Wan Haikal sudah menular satu kilang.
Hanya dia tidak sanggup nak menambah sengsara di hati Ahmad. Rudi tahu Ahmad tengah bercelaru. Semuanya berlaku dalam sekelip mata saja.
“Ikut aku, okay.”
“Ke mana?”
“Ikut sajalah... kau sayang Halina tak? Kalau sayang jangan banyak soal. Ikut saja aku.”
Laju Ahmad mengangguk. Nasib baiklah Rudi sempat menarik tubuh jika tidak pasti menjadi kecoh. Dan Ahmad baru sedar, pasti dia yang dipersalahkan oleh Halina.
Sementara itu, Qc yang ada sekali di antara pasangan Wan Haikal dan juga Halina memendam persoalan. Dia tahu siapakah Halina dan dia juga pelik kenapa dan bagaimana cinta Halina boleh beralih arah pada Wan Haikal sedangkan dahulu, lelaki itu dia paling tidak suka.
‘Aku rasa Wan ada buat sesuatu ni...’ Hati berkata sambil mata sesekali merenung ulah Wan Haikal kut-kut ada yang pelik tetapi tiada.
“Kenapa Siti? Ada apa-apa yang tidak kena ke?” Wan Haikal sedar dirinya sedang diperhatikan. Soalan itu sengaja dia lontarkan.
“Hah? Tak. Tak ada apa-apa,” jawab si Qc memejam mata setelah laju berpaling muka ke arah dinding lif. Buka saja pintu lif, Wan Haikal meminta Halina keluar dahulu. Halina tersenyum manis.
“Siti... kau jangan tak percaya pula ya? Hati kan Allah pegang. Bila-bila masa boleh bertukar. Jadi, tak salahkan kalau Lina sekarang tergilakan aku,” sempat lagi Wan Haikal menutur kata tersebut pada cik Qc.
Cik Qc hanya tersenyum sinis dari belakang tubuh Wan Haikal yang kembali berpapasan mesra dengan Halina.
“Yeker? Tapi kut iya pun takkanlah terlalu drastik sangat? Ini pasti kau ada buat apa-apa ni pada Lina, Wan. Entah apa kau cuca pada Lina. Mana orang nak tahu.” Omelnya bersegera keluar dari dalam lif tatkala pintu ingin tertutup semula.
Seminggu berlalu...
“YANG, aku tanya ni kau jangan melenting ya?” soal salah-seorang dari rakan satu department Halina. Pada waktu itu, mereka berada di kantin untuk menikmati makanan tengahari.
Halina yang asyik menelan laksa terangguk-angguk tanpa mahu mendongak. Si rakan yang berselendang pashmina itu kelihatan sedikit teragak-agak. Risau soalan yang bakal dia luahkan itu akan membuatkan Halina marah atau pun terasa hati.
Tapi, jika tak bertanya pun tak boleh juga kerana perkara ini sudah hebah dalam department mereka malahan department lain. Dan ini termasuklah department Ahmad sendiri.
“Apa yang aku nak khabarkan ni... kau jangan marah aku pula ya?”
“Herm, apa dia? Cakaplah dulu...”
“Apa sebenarnya yang dah terjadi antara kau dengan tunang kau, yang? Aku tengok semenjak akhir-akhir ni kau rapat pula dengan si Wan, setahu aku...” Kata-katanya terhenti apabila Halina mendongak dengan laju lalu memandangnya dengan satu pandangan lain macam.
Tajam sungguh renungan Halina pada dirinya itu.
“Kau marah aku ke?” soalnya balik. Halina tetap mencerlungkan matanya. Si rakan yang menyoal cepat-cepat menyedut air melalui straw, terasa kering tekak serta tiba-tiba terasa di cekik. Halina tarik senyum sengetnya.
Si rakan benar-benar berasa tak selesa dengan dirinya kini. Berbahang serta leher terasa ada yang sedang mencekiknya. Bahu tadinya ringan kini amat berat sekali.
Memang ada yang sedang menenggek atas bahu gadis berselendang pashmina itu. Tangan kering berjemari panjang itu pula masih lagi mencekik leher gadis itu.
Halina dari menjegilkan matanya pada si rakan di hadapan kini dia kembali memandang makanannya. Gadis berselendang pashmina itu semakin membeliakkan mata apabila dia terpandang akan isi dalam mangkuk makanan sahabatnya itu.
Jenuh dia menenyehkan mata, memang tadi laksa tetapi kenapa sekarang bukan laksa tetapi cacing gelang?
“Allahuakbar!” ujarnya memekup mulut bingkas bangun sambil mata dia dengan mata makhluk tersebut saling bertatapan lama. Dia bukanlah gadis indigo yang boleh nampak semua itu tetapi sekarang macam mana tiba-tiba dia boleh ternampak pula?
Halina mendongak sambil berkerut kening dengan cacing gelang bergerak-gerak tepi bibir. Sungguh si rakan loya dan terasa mahu muntah di situ juga.
“Eh, kau nak ke mana pula? Tu... makan pun tak habis dah kenapa?” soal Halina pelik dengan sikap rakan satu department nya itu. Selalu tak begitu. Si gadis berselendang pashmina semakin dihurungi rasa pelik, tadi Halina menakutkan tapi kini dia seperti biasa semula.
“Aku... aku ada kerja yang sepatutnya aku siapkan sekarang, kalau tak... tak balik aku nanti,” ujar si rakan beralasan sambil menyarungkan tali tas tangan ke bahu kanan.
Nasiblah apa yang dia nampak tadi sudah ghaib saat Halina mendongak lalu menegurnya. Sedangkan tadi ‘benda’ itu berada di belakang Halina sambil menyeringai pada dirinya.
Sekali lagi dia pandang ke arah mangkuk. Laksa?
“Aku gerak dahulu ya,” ujarnya dengan nada suara gementar dan tergesa-gesa.
“Eh, kejap-kejap...” sahut Halina menghirup kuah laksa buat kali terakhir sebelum dia juga bangun sambil menyarung tas tangan sama jenis dengan rakannya itu. Kemudian mengangkat pula gelas lalu di cicipnya tanpa menggunakan straw.
Si rakan mahu tak mahu terpaksa akur walau dia masih lagi takut dengan Halina yang berubah secara tiba-tiba tadi dan agak menyeramkan dia yang memandangnya.
Wan Haikal tersenyum. Dia tetap boleh tahu walau jarak mereka jauh.
“Dia tetap milik aku. Halina, cinta kau... aku dah simpul mati dengan janji berdarah. Kau tak akan aku lepaskan. Aku akan pastikan... kau putus tunang, agar aku boleh kahwini kau dengan segera,” ujarnya seorang diri dalam tandas.
Itu antara syarat-syaratnya. Ia bukanlah seperti minyak dagu yang tidak boleh digunakan pada pasangan yang akan dia kahwini kerana memudaratkan mereka.
“AWAK boleh saya nak minta tolong sikit tak?”
“Apa dia sayang?”
“Tolong kurangkan cemburu awak tu boleh tak? Lagipun kita ni berdua ni siapa sahaja pun. Jadi, tak perlulah nak secure sangat!" Sinis kedengaran kata-kata yang dilontarkan.
“Kenapa? Sekarang semuanya sudah tak boleh, kenapa sayang? Kenapa sayang berubah begini? Siapa awak kata? Lupa ke kita ni tunang? Lupa ya? Asyik teringatkan jantan keparat tu sahaja ya?!” Ahmad membidas. Memang suaranya meninggi, kerana dia geram.
"Pandang sini!" Arah Ahmad juga bertegas. Halina semakin berkurang ajar dengannya. Siapa yang tak sakit hati?
“Pandang sini, Halin... Allah!” pekik Ahmad yang terkejut dengan apa yang dia lihat saat cuba menarik bahu Halina. Halina langsung tidak mahu memandangnya, jadi dia terpaksa berkasar sedikit. Namun, dia tak sangka wajah Halina seteruk itu.
Ahmad terus memekup mukanya, manakala Halina pula makin rasa tidak tentu-hala selagi matanya tidak dapat memandang Wan Haikal.
“Halina...” bisik satu suara. Suara itu Halina sudah biasa mendengarnya. Tanpa mahu mempedulikan tingkah Ahmad yang terduduk sambil memekup muka serta terjerit itu, Halina membuka langkah ke arah bangunan di mana ada satu tubuh sedang tegak berdiri dengan mulut berkumat-kamit.
Sungguh hatinya merasa puas. Memang itu kerja si ‘dia’ yang dimiliki oleh Wan Haikal selain yang seringkali mengikuti Halina. Wan Haikal akan pastikan tak lama sahaja lagi, Ahmad dan Halina putus tunang.
Ahmad perlahan-lahan membuka pekupan mata, dengan harapan apa yang dia nampak tadi adalah ilusi. Dia terasa sangat dengan sikap Halina yang langsung tidak bertanya kepadanya kenapa malahan membisu.
“Sayang? Halina? Halina, ada sesuatu yang cuba kau sembunyikan dari aku kan? Sayang... Halina? Kenapa dia berubah terlalu mendadak?” soalnya yang telah ditinggalkan seorang diri.
Dalam masa sama, dia mulai teringatkan akan kata-kata ustaz yang dia temui tempohari.
“Kalau benar ini kerja kau... kau tahulah nasib kau!”
Share this novel