Bab 10
PUNGGUNG dilabuh kasar di atas kerusi kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu tali pinggang keselamatan dipasang ke tubuh. Sharifah Farida yang duduk di sebelah, terus mencebik.
"Marah dengan mama lah tu," sindir Sharifah Farida. Syed Redza langsung tidak peduli. Dia terus sahaja menekan pedal kereta.
"Betul lah kan, apa yang mama cakap tadi. Redza tak ada tanda-tanda nak kahwin," ujar Sharifah Farida lagi apabila Syed Redza masih sahaja diam.
"Mama, boleh tak jangan cakap macam tu tentang saya dekat orang lain," keluh Syed Redza.
"Kenapa? Malu?" soal Sharifah Farida dengan kening terangkat tinggi. Syed Redza menghela nafas cuba mengawal diri dari bertekak dengan ibunya.
"Kalau malu, cepat-cepat kahwin. Bawa calon anak menantu mama datang ke rumah secepat mungkin," tegas Sharifah Farida.
"Ma... Bagi saya sedikit masa lagi. Saya janji, saya akan bawa calon anak menantu mama. Kalau tak hujung tahun ni, tahun depan ke," pujuk Syed Redza mengharapkan pengertian.
Sharifah Farida terus membulatkan mata. "Apa? Tahun depan? Kalau macam tu lah jawapan Redza, mama tak boleh tunggu dah. Mama dah buat keputusan. Mama akan merisik anak Datin Khatijah minggu depan. Fullstop!" putus Sharifah Farida tegas.
Terjegil mata Syed Redza. Dia yang memandu, pantas menoleh memandang Sharifah Farida yang berwajah bersahaja duduk disebelah itu.
"Apa? Irina?" soal Syed Redza.
"Ye. Irina."
"Oh! No way!" Syed Redza menggeleng, tanda tidak setuju. "Kalau Irina, no way. Mati hidup semula, saya takkan setuju kahwin dengan dia."
"Kenapa pula? Apa yang kurangnya Irina? Dia tu baik, cantik, educated. Walaupun tak bertudung, tapi hormat orang tua. Sesuai lah dengan Redza," ucap Sharifah Farida.
"Yea, I know. But, she's not my taste at all. I'm not interested with her," jawab Syed Redza.
"Habis tu, Redza nak perempuan yang macam mana?" tanya Sharifah Farida ingin tahu.
Syed Redza diam. Malas mahu bertekak dengan ibunya. Dia memilih menumpukan perhatian pada pemanduannya sahaja.
"Jawab lah. Mama tanya ni. Perempuan yang macam mana taste Redza?" Sharifah Farida mula mendesak.
"Tak penting pun untuk mama ambil tahu. Pandai-pandailah saya cari nanti. Bila ada yang berkenan di hati, dah kenal hati budi masing-masing, kenal keluarga, rasa serasi apa, ada lah nanti saya bawa jumpa mama. Beri saya masa. Itu je saya minta dari mama," jelas Syed Redza.
"Mama dah puas beri Redza masa. Sampai umur Redza masuk 44 tahun dah. Masa apa lagi nak bagi? Tunggu mama dah nak menutup mata, tercungap-cungap, baru nak kelam-kabut nak cari calon isteri. Macam tu?" Sharifah Farida mula meleter.
Syed Redza hanya mampu menggeleng nipis bila Sharifah Farida mula berleter.
"Mama tetap dengan keputusan mana. Mama tetap melamar Irina nanti. Fullstop!" Tegas Sharifah Farida.
"Ma..." rungut Syed Redza. Kerana lalai ingin memujuk si ibu, dia hampir sahaja melanggar lampu merah. Dengan cepat dia menekan pedal, membuat kereta berhenti secara mendadak.
"AllahuAkbar! Kamu ni!" Jantung Sharifah Farida hampir mahu gugur. Terkejut. Tubuhnya sedikit terdorong ke depan, namun tali pinggang keselamatan menghalangnya dari terhantuk di dashboard.
"Sorry. Tak nampak traffic light tukar merah," ucap Syed Redza.
"Tu lah tu, sibuk nak melawan cakap mama!" bebel Sharifah Farida geram.
"Mama tak nak dengar alasan Redza lagi lepas ni. Apa susah sangat cari bakal isteri? Redza dah ada segala-galanya. Rupa ada. Masa depan cerah. Harta berlimpah. Mustahil tak ada perempuan dekat luar sana tu, tak nak dekat Redza selama ni. Redza tu yang terlampau memilih! Semua nak serba-serbi sempurna. Mana ada lah dalam dunia ni manusia yang sempurna.
"Mama tak kisah sebenarnya, kalau perempuan tu janda ke, bujang ke. Asalkan dia baik, hormat suami, hormat orang tua, tahu tanggungjawab. Jangan nak berangan sangat nak perempuan solehah, jenis jaga solat lima waktu, tutup aurat apa semua, kalau diri sendiri pun solat banyak tinggal, puasa pun tak pernah full, pergi kelab malam setiap hujung minggu, berfoya-foya dengan perempuan liar, membazir duit teguk arak.
"Sedar diri, baiki diri sendiri dulu, baru layak nak dapatkan isteri solehah. Suami tu ketua keluarga, suami yang bimbing dan didik anak isteri. Bukan isteri pula yang bimbing suami. Lain lah kalau mualaf, dapat juga diterima alasannya, sebab masih belajar tentang agama. Masih baru, perlu bimbingan. Ni... lahir-lahir dah Islam, tapi perangai mengalahkan orang bukan Islam. Bangga pula tu buat dosa, maksiat sana-sini." Dalam Sharifah Farida memberi nasihat panjang menjela, terselit juga sindiran buat si anak.
Mahu tercekik Syed Redza mendengarnya. "Mama ni memang nak sindir saya ke?"
"Kenapa? Terasa ke? Siapa yang makan cili, dia lah yang terasa pedasnya," perli Sharifah Farida sambil menjeling.
Sekali lagi Syed Redza rasa tercekik. Dia berdehem kecil, cuba untuk berlagak selamba.
"Tadi mama cakap, mama tak kisah tentang status apa semua tu. Betul?" tanyanya cuba mengubah topik cerita.
"Ye. Asalkan perempuan tu baik. Datang dari keluarga yang baik. Mama tak kisah pun kalau bukan dari keluarga berada. Janji, dia ikhlas menerima kekurangan Redza dan sanggup sehidup semati dengan Redza. Itu sudah cukup memadai," ucap Sharifah Farida.
"Betul?" tanya Syed Redza lagi. Dia masih belum merasa yakin dengan jawapan ibunya itu.
"Betul."
"Janji?"
"Ye, janji."
"Okay, fine!" Kedua tangan Syed Redza terus menggenggam kemas stereng kereta.
"Apa yang okay fine?" tanya Sharifah Farida dengan kerutan di dahi.
"Okay, fine... Saya akan bawa bakal calon anak menantu mama dalam masa terdekat ni. Saya tak setuju mama melamar Irina. But please, make sure mama pegang janji mama. I don't want later, mama end up tak setuju dengan pilihan saya," jelas Syed Redza sebutir demi sebutir agar Sharifah Farida faham dan menepati janjinya.
"Okay. Mama pegang janji mama," ucap Sharifah Farida bersama senyuman. Akhirnya, dia merasa lega dengan jawapan si anak. Sementelah Syed Redza mula gelisah. Dimana dan bagaimana dia harus memulakan pencarian dalam masa sesingkat begitu?
****
PINTU diketuk. Umaira yang baru melabuh punggung di kerusi itu terus mengangkat wajah memandang ke arah pintu.
"Come in," arahnya. Terjengul wajah Syafiqa di muka pintu dengan senyuman lebar.
"Morning babe," sapanya ceria lalu melangkah masuk.
"Morning," jawab Umaira bersahaja sambil menatap komputer ribanya. Syafiqa terus melabuh punggung di atas kerusi.
"Macam mana dengan seminar hari tu? Best tak?" soal Syafiqa. Umaira terus melirik Syafiqa yang tersenyum simpul itu.
"Not bad..." jawabnya. Jari-jemari aktif menari-nari di atas papan kekunci.
Syafiqa terus mengerut kening. "What do you mean?"
Keluhan berat terlepas dari bibir. Umaira menyandar tubuhnya penuh di dada kerusi. "Aku langsung tak dapat focus dengan seminar tu."
Syafiqa tercengang. "Hah? Kenapa pula? Cara dia sampaikan, tak kena ke? Laju sangat?"
Umaira menggeleng lemah. "No. He did good. Cuma, aku yang tak dapat focus."
"Apa pasal? Ni mesti memgelamun jauh ni," teka Syafiqa sambil mencebik.
Wajah Umaira terus masam mencuka. "Bila masa pula aku mengelamun?"
"Eleh! Kau ingat aku tak tahu ke, kau tu sejak berpisah dengan Zakuan, asyik mengelamun je kerja kau. Termenung memanjang," perli Syafiqa selamba. Umaira terus menjeling Syafiqa. Beberapa fail yang berada di atas meja ditarik. Malas mahu melayan usikan Syafiqa.
"Ni, yang kau datang kerja pagi ni dah ambil sijil ke, belum?" soal Syafiqa apabila melihat Umaira sibuk menyelak fail.
Umaira panggung wajah. "Sijil apa?" soalnya kurang mengerti. Keningnya juga turut berkerut nipis.
"Aik! Kau betul-betul tak tahu ke, atau kau sengaja nak main-main dengan aku?" soal Syafiqa dengan kening juga turut sama berkerut.
"Main apa pula? Betul lah, aku serius ni. Sijil apa?" soal Umaira serius dan penasaran.
"Bukan ke pagi ni, majlis penyerahan sijil seminar tu ke? Aku ada tengok dekat IG Mona, dia baru je lepas menerima sijil tu," ujar Syafiqa sedikit keliru.
Membulat Mata Umaira setelah mendengarnya. "Apa?"
"Kau tak ada kena inform ke, apa ni?" Syafiqa jadi semakin keliru melihat reaksi Umaira yang nyata dan jelas terkejut.
Umaira terkebil-kebil.
"Kejap." Syafiqa terus menatal skrin telefonnya.
"Ni, ha." Syafiqa menghulur telefon bimbitnya ke arah Umaira.
Umaira dengan cepat menyambutnya. Terbuntang matanya melihat gambar Syed Redza yang segak bergaya ssdang menyerahkan sijil kepada Mona, salah seorang graduan universiti.
What the h*ll is this! Umaira mengetap bibir lalu memejamkan mata, menahan geram. Syafiqa yang melihat, hanya mampu menelan air liur. Bimbang telefon bimbitnya menjadi mangsa keadaan apabila barang miliknya itu digenggam erat oleh Umaira.
Tak cukup kau sindir aku semalam. Pagi ni, kau nak cari pasal dengan aku lagi! Gerutu Umaira di dalam hati.
Kau tunggu. Siap kau!
Ktak!
Umaira menghentak telefon bimbit Syafiqa di atas meja. Terhinjut bahu Syafiqa dibuatnya. Aduh! Handphone aku! Dengan segera Syafiqa mengambil telefon bimbitnya. Mujur sahaja tidak retak.
Umaira bangun dari duduknya lalu merentap kasar tas tangan di atas meja. "I got to go!"
"Eh! Kau nak pergi mana?" soal Syafiqa terpinga-pinga melihat Umaira melangkah luas menuju ke pintu dengan wajah tegang.
"Aku nak jumpa orang tua tu!" degus Umaira lalu membuka pintu luas.
"Hah? Babe!" panggil Syafiqa, namun Umaira terus sahaja pergi tanpa menoleh.
Syafiqa menghela nafas pendek. "Apa dah jadi sebenarnya dekat seminar tu?" gumamnya sendiri.
Share this novel