ROSELYN Tamara memandang wajah dan seluruh tubuhnya di depan sebuah cermin besar yang terletak di antara semua cermin yang dijual di kedai itu. Kelakuannya yang membelek dirinya sendiri di depan cermin itu diperhatikan oleh seorang jurujual lelaki dengan reaksi mencemuh.
Lelaki itu berjalan mendekati Roselyn Tamara dengan wajah yang angkuh.
“Nak beli cermin ke?” soal jurujual lelaki itu.
Roselyn menoleh ke arah jurujual lelaki berambut perang itu. “Ermm… Berapa harga cermin ni?”
Jurujual lelaki yang memakai tag nama Brendan itu mengintai belakang cermin besar itu. Dengan riak wajah yang sombong, dia menyebut, “RM550.99.”
Mulut Roselyn sedikit melopong. Dia cuba mengira sesuatu di fikirannya sambil anak matanya memandang ke atas. Brendan mengeluh.
“Kalau nak yang murah, sana ada.” Dia menunjuk ke arah depan mereka berdua.
Roselyn memandang ke depan. Dia tahu di depannya murah sebab kecil. Dia mahukan cermin besar di depannya itu, tetapi mahal.
“Tak… Yang sana kecil. Yang ni takde diskaun ke?”
Brendan ketawa kecil sambil memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam kocek seluar. “Maaf. Ini keluaran terbaru. So, no diskaun. Lagipun, untuk apa awak nak cermin besar macam ni? Awak belek-belek depan cermin besar, awak takkan kurus!” dia mencemuh.
Roselyn terkejut dengan hinaan jurujual lelaki itu. Dia sangat sedih. Dengan perasaan yang agak marah, Roselyn menjeling lelaki itu. “Kau ingat kau baik sangat ke nak hina aku?”
Jurujual lelaki itu ketawa lagi. Dia menjeling ke arah Roselyn dari atas ke bawah. Roselyn yang hanya memakai seluar sukan dan baju sejuk saiz besar, untuk menutup segala lemaknya, membuat Brendan ketawa lagi.
“Aku bukannya nak hina, aku cuma bagi kau kesedaran je. Kalau kau ada duit, kau datang semula dan beli ye. Aku takde masa nak layan kau lah!” balas Brendan lagi. Dia terpandang seorang perempuan cantik dan seksi yang mula masuk ke dalam kedai.
“Sorry! Aku ada customer. Dia mungkin ada duit nak beli.” Terus saja jurujual lelaki itu pergi ke arah pelanggan perempuan itu dan menyapanya dengan mesra.
Roselyn menatap dengan geram. Pada masa yang sama, dia merasa sedih. Dia terus keluar dari kedai cermin itu dengan pantas.
Dia berjalan menyusuri pejalan kaki dan melintasi beberapa kedai yang menjual pelbagai aksesori dan pakaian berjenama. Roselyn sering melewati kedai ini, sejurus pulang daripada kerja part-timenya di sebuah kedai makan.
Berbekalkan gaji RM1,800 setiap bulan, dia tidak mampu membeli semua benda yang dia idamkan selama ini. Apatah lagi dia tinggal di rumah sewa dekat dengan tempat kerjanya. Duit simpanannya juga habis menampung perbelanjaan ibu bapanya yang sudah tua di kampung dan seorang adik lelaki yang masih belajar di sekolah menengah.
Roselyn pernah sambung belajar ke peringkat diploma suatu ketika dahulu. Tetapi hanya belajar separuh jalan kerana tidak mampu membayar pinjaman.
Setiap kali Roselyn menerima gaji hujung bulan, dia akan mengeluh. Simpanan untuk diri sendiri memang tidak akan cukup. Baki wang sembilan puluh lima ringgit Malaysia takkan pernah cukup. Kadang-kadang, untuk kecemasan, memang akan habis begitu sahaja.
Roselyn pernah mencatu makanan dan perbelanjaan yang lain, tetapi tetap juga tersasar.
“Akak, tak payah lah bagi adik duit lagi. Adik ada buat part-time kalau takde kelas,” kata Eugene. Dia menelefon Roselyn petang itu apabila menerima SMS mengatakan terdapat satu transaksi, akaun banknya menerima wang berjumlah seratus ringgit Malaysia.
“Akak tahu, Gene. Dah tanggungjawab akak. Lagipun, ini janji akak pada mak bapa yang akak akan jaga adik sampai adik berjaya keluar daripada universiti. Mana tahu, lepas tu, adik pula yang memudahkan kehidupan kita lepas ni, kan?” jawab Roselyn.
“Adik tak nak susahkan akak. Akak pun perlukan duit juga kan? Bukan senang pun nak hidup seorang diri di luar sana. Nak makan apa semua. Dah la kak, ni last akak bagi tau!” balas Eugene.
“Baiklah, dik… Akak dah terbiasa. Akak akan bagi lima puluh lepas ni,” Roselyn senyum. Dia bertuah memiliki seorang adik lelaki yang sudah berfikiran matang walaupun usia baru 22 tahun.
“Akak ni, degil lah… Okey lah… Terpulang dengan akak. Adik tak bagi balik tau!” kata Eugene.
Roselyn ketawa kecil di hujung talian. Tak lama selepas itu, panggilan dimatikan. Roselyn menghela nafas lega.
EUGENE mematikan talian dan melemparkan telefon bimbit jenama iPhone di atas katil. Dia kembali duduk di sebelah seorang perempuan seksi yang sedang melayan khayalnya sambil merokok.
“Siapa tu?” soal Jane dengan mata stimnya.
“Kakak aku,” jawab Eugene, tangannya meraba paha Jane sambil mencapai baki rokoknya di atas meja dan meletakkannya di dalam mangkuk rokok.
“Berapa dia bagi kau, seratus je ke? Hahaha! Satu minit je aku guna seratus tu! Takde nilai langsung!” Jane mencebik.
“Tak kisahlah! Janji dia bagi!” balas Eugene lalu menghembus asap rokok ke muka Jane sehingga perempuan rakan sebayanya itu terbatuk-batuk.
“Bodoh la kau ni! Fuhhh…!!!” Jane membalas dengan kepulan asap di mulutnya ke muka Eugene pula.
Mereka berdua ketawa besar, lalu berkucupan berkali-kali sambil ditemani oleh bunyi lagu yang dipasang oleh Jane menggunakan telefon bimbitnya.
Tiba-tiba iPhone milik Eugene berdering mendendangkan runut lagu daripada Eminem.
Apabila skrin telefon memaparkan nama AHLONG, Eugene cepat-cepat menjawabnya dengan sopan.
“Yes, bos. Malam ini? No problem. Count on me.”
Eugene memandang reaksi Jane yang sudah tersenyum lebar. Terus dia menerkam Jane dan menanggalkan semua pakaian Jane dalam keadaan gembira sakan.
“Duit datang!” jerit Jane dalam kegembiraan.
Apabila AHLONG menelefon Eugene, itu bermakna ada kerja yang perlu diselesaikannya. Dan sudah pasti, duit akan berada di tangan. Paling tidak, dia akan mendapat lima hingga sepuluh ribu sekali jalan.
-
SATU bungkusan putih beralih tangan daripada seorang lelaki bertatu ke tangan Eugene.
“Ingat peraturan kita!” ujar lelaki bertatu itu.
“Yes, bos!” jawab Eugene, memasukkan bungkusan putih itu ke dalam beg kecilnya, lalu pergi dari lorong gelap itu sambil memandang sekeliling.
Eugene tersenyum puas dan mula berkira-kira berapakah yang dia akan dapat jika dia berjaya menghantar bungkusan itu kepada orang yang berkenaan.
Tiba-tiba...
Bunyi siren polis berbunyi. Eugene memandang ke belakang dan melihat dua orang anggota polis sedang menuju ke arahnya dengan cepat. Eugene menelan air liur. Dengan pantas dan lincah, dia menggerakkan kakinya dan berlari dari situ secepat mungkin.
“Berhenti! Polis!” jerit salah seorang anggota polis lelaki itu.
Namun Eugene tidak menoleh ke belakang dan berlari sekuat dan selaju mungkin. Tak jauh daripadanya, dia terlihat seorang wanita agak berusia ingin memasuki sebuah kereta lama. Eugene segera berlari ke arahnya dan menarik wanita berusia itu ke belakang, lalu merampas kunci kereta daripada tangannya.
“Heiii…! Keluar!” jerit wanita itu sambil menampar cermin keretanya.
Eugene tidak peduli, lalu menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak, segera memecut pergi dari sana.
Dua buah kereta polis mula mengejarnya dengan siren yang kuat. Eugene mengelap peluhnya. Dia memandu tanpa arah tuju. Dia tiba-tiba membelok ke kiri apabila jalan mula sibuk dengan pelbagai jenis kereta.
Tanpa disangka, tiba-tiba Eugene sedang menuju ke arah seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan.
“TEPI…!!!” Eugene menjerit sambil menekan hon beberapa kali.
Malang tak berbau, pejalan kaki wanita itu tidak dapat mengelak lalu dirempuh oleh kereta yang dipandu oleh Eugene dan kereta itu terlanggar tiang lampu di sebelah bangunan. Tiang itu patah dan jatuh di atas bumbung kereta sehingga kemek.
-
ROSELYN duduk termenung di luar wad hospital seorang diri. Kakinya menghentak lantai beberapa kali menahan kerisauan kerana kemalangan yang menimpa adik lelakinya. Seorang anggota polis lelaki datang menyapanya.
“Maaf, puan ni keluarga mangsa kemalangan bernama Eugene?” soal anggota polis itu.
Roselyn mendongak dan mengangguk kepala.
“Eugene dalam keadaan stabil. Tapi kami perlu bawa puan ke balai polis untuk keterangan lanjut,” ujar pegawai polis bernama Dane itu.
Roselyn hanya diam. Dia mengangguk kepala dengan lemah, lalu bangun dari kerusinya dan mengikut pegawai polis itu.
-
DI DALAM balai polis, pegawai itu menerangkan semuanya kepada Roselyn sehingga dia menangis teresak-esak mengenangkan nasibnya yang malang.
Eugene akan dipenjarakan kerana memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.15-gram, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Roselyn memandang gambar wajah ibu bapanya yang sudah tua itu. Dia tidak memberitahu perkara itu kepada mereka kerana khuatir mereka akan panik lalu menyebabkan ayahnya yang mempunyai sakit jantung.
Hendak menjamin adik lelakinya? Dia tidak mempunyai duit sebanyak itu.
“Apa tak cukupkah aku bagi duit selama ini kepada kau, dik?” Roselyn menangis lagi setibanya dia pulang ke rumah.
RAKAN serumah yang tinggal bersamanya hanya berbisik sesama mereka tentang berita yang melibatkan adik lelakinya itu.
“Keluarga apalah dia ni, ye? Tak malu ke ada adik jual dadah?”
“Silap hari, ah long akan cari kakaknya tuntut wang!”
Roselyn hanya diam sahaja. Dia sangat marah, namun dia diamkan sahaja. Dia masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu.
Dia sudah penat. Roselyn terpandang sebilah pisau buah di atas mejanya. Dia mencapai pisau itu dan memandang nadi pergelangan tangannya. Dia halakan mata pisau yang tajam itu di atas kulitnya.
Roselyn menutup mata dengan sisa air matanya.
Tiba-tiba...
Telefon bimbitnya berbunyi. Roselyn membuka mata. Dia terpandang pisau yang dipegangnya. Lalu dia meletakkan balik pisau itu di atas meja dan mengambil telefon bimbit Nokianya di dalam poket seluarnya.
Tertera sepuluh digit nombor yang tidak dikenali. Kali ini, Roselyn tidak teragak-agak untuk menjawabnya. Sebelum ini, jika dia menerima nombor asing, dia tidak akan jawab.
“Hello,” kata Roselyn.
“Hello. Awak keluarga kepada lelaki yang langgar isteri saya?” tanya suara seorang lelaki di hujung talian.
Roselyn terdiam. Dia baru teringat yang adiknya ada melanggar seorang perempuan pejalan kaki.
“Ya. Perkara ini polis akan uruskan,” jawab Roselyn.
“Saya nak awak bertanggungjawab atas kehilangan isteri saya.”
Hati Roselyn resah. Dia tertekan.
“Maksud awak?”
“Awak tahu, nyawa takkan boleh diambil semula. Tapi saya nak awak buat sesuatu untuk menggantikan pemergian dia.”
Roselyn mengeluh. Ya, apa lagi yang patut dia buat?
“Saya minta maaf atas kehilangan isteri awak. Tapi, kes ini akan diuruskan oleh polis.”
“Kehidupan awak tak akan tenang. Kerana apa saya berkata begini, sebab ketika itu isteri saya sedang sarat mengandung!”
Talian dimatikan. Roselyn menyumpah di dalam hati.
“Sial! Malang betul nasib aku! Ya Tuhan, ambil lah nyawa ku!” jerit Roselyn di dalam hatinya.
Satu persatu masalah menimpanya.
Telefonnya berdering sekali lagi. Roselyn menjawab tanpa melihat nombor tersebut.
“Saya dah cakap, saya minta maaf!” Roselyn bercakap dengan kasar.
“Apa?? Kau cakap apa, perempuan gila??” satu suara garau menyapa dengan kasar.
Roselyn terkedu. Dia melihat nombor telefon itu berbeza. Dia menelan air liur.
“He...hello...siapa ni?” soal Roselyn dengan perlahan.
“Aku nak kau bayar aku dua ratus ribu ringgit Malaysia, hujung minggu ini! Adik lelaki kau, Eugene telah menghilangkan wang aku!”
Roselyn terkedu. Lututnya mula goyah menggeletar merasa takut dengan panggilan itu.
“Kalau kau tak bayar, riwayat adik kau akan tamat!”
“Aku takde duit lah! Aku tak tahu pasal ini! Aku akan hubungi polis!” balas Roselyn dengan geram.
“Hahahaha...!!! Sama juga! Selepas adik kau mati, giliran mak bapak kau pula!”
Telefon bimbit di tangannya terjatuh apabila mendengar ugutan yang melemahkan imannya. Roselyn jatuh terduduk. Dia menjerit menangis.
Share this novel
dadah ?
btul. xckup huhu... kna 2 kerja tp bdn penat huu