ROSELYN berdiri di hadapan mesin ATM di sudut food court pusat membeli-belah itu, memegang kad Maybank di tangannya yang sedikit berpeluh. Matanya memerhati skrin mesin itu dengan penuh harapan. Kad itu dimasukkan perlahan-lahan, dan dia menekan enam digit nombor PIN dengan jari yang sedikit menggigil.
"Ah... seratus lebih je kot tinggal," bisiknya dalam hati.
Dia memilih untuk memeriksa baki akaun simpanannya. Jantungnya sudah bersedia menerima kenyataan pahit. Namun, apabila angka sebenar tertera di skrin, dunianya seolah-olah terhenti.
BAKI AKAUN ANDA: RM53,000,100.00
HAD PENGELUARAN: RM3,000.00
Roselyn menggosok matanya, takut angka itu sekadar ilusi. "Apa benda ni? Sistem rosak ke?"
Dengan penuh was-was, dia menekan butang "CANCEL," menarik keluar kad banknya, dan memasukkannya kembali. Sekali lagi, dia memasukkan PIN dan memeriksa baki akaun.
Jumlah yang sama muncul. RM53 juta.
Tangan Roselyn mula menggigil. Dia menelan liur, cuba bertenang. "Tak mungkin..." katanya perlahan.
Dengan debaran yang semakin kencang, dia menekan butang "PENGELUARAN" dan memilih untuk mengeluarkan maksimum RM3,000.
Bunyi mesin ATM mula mengira wang.
TRITTTT... TRITTTT... TRITTTT... KTAKKK! TIT TIT TIT...
Ahh, bunyi itu seperti simfoni paling indah yang pernah didengarnya. Wang seratus ringgit berwarna ungu keluar dalam beberapa keping. Roselyn mengira wang itu dengan tangan yang menggeletar, tidak peduli pada orang yang beratur di belakangnya.
"Seribu... dua ribu... tiga ribu!"
Wang itu digenggam erat. Dalam kepalanya tiba-tiba terngiang lagu:
Kalau aku kaya,
Hari-hari hari raya,
Bil-bil keluarga semua,
Aku belanja selamba...
Dengan senyuman lebar, Roselyn melangkah keluar dari food court, menyimpan wang dan kad banknya ke dalam poket seluar. Orang sekeliling mula memandangnya pelik, berbisik sesama sendiri. Namun, dia tidak peduli. Langkahnya kini penuh keyakinan, seperti seorang pemenang loteri besar.
BEBERAPA bulan selepas insiden tersebut, Roselyn duduk di ruang tamu rumah banglonya yang megah. Ruang itu dihiasi dengan perabot mewah dan chandelier kristal yang tergantung di tengah siling, melambangkan status barunya sebagai individu kaya. Namun, di sebalik segala kemewahan itu, ada kekosongan yang meresap dalam dirinya.
Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja mula bergetar. Nama yang tertera pada skrin ialah Cecelia, sahabat baiknya sejak zaman sekolah. Cecelia adalah satu-satunya orang yang sentiasa ada bersamanya semasa hidup dalam kemiskinan dahulu. Namun, sejak Roselyn menjadi kaya, hubungan mereka semakin renggang.
Dengan nada yang sedikit dingin, Roselyn menjawab panggilan itu. "Hello, Cecelia. Kau apa khabar?"
"Ros… aku perlukan kau sekarang," kata Cecelia dengan suara perlahan, seperti sedang menahan kesakitan.
Roselyn berkerut sedikit. "Kau kenapa? Ada apa-apa jadi ke?"
"Aku sakit, Ros… Dah lama aku cuba nak hubungi kau. Aku cuma nak kau datang. Aku perlukan kau, bukan duit kau," ujar Cecelia dengan nada yang semakin lemah.
Roselyn terdiam seketika. Ada sesuatu dalam hati kecilnya yang menggerakkan rasa simpati, tetapi rasa itu seolah-olah dihalang oleh sesuatu yang tak dapat dijelaskan. "Aku sibuk sikit sekarang, Cecelia. Kalau kau perlukan bantuan, bagitahu berapa, aku boleh transfer duit terus."
Cecelia senyap beberapa saat. Suaranya bergetar apabila dia akhirnya bersuara, "Takpelah… Aku faham. Terima kasih, Ros."
Talian diputuskan.
Roselyn merenung telefonnya. Ada rasa bersalah yang menjalar dalam dirinya, tetapi dia cepat-cepat menepis perasaan itu. Dia berfikir, mungkin esok dia akan menelefon kembali, tetapi hari itu berlalu begitu sahaja.
BEBERAPA hari kemudian, Roselyn menerima panggilan daripada seorang rakan lama. Cecelia telah meninggal dunia akibat kanser yang tidak sempat dirawat.
Roselyn terduduk, tidak mampu berkata apa-apa. Dalam keadaan tergesa-gesa, dia pergi ke rumah Cecelia. Rumah kecil itu kini kosong, hanya meninggalkan sebuah kotak kecil di atas meja dengan namanya tertulis di atasnya.
Di dalam kotak itu terdapat sepucuk surat:
"Ros, aku bangga dengan kau. Aku selalu doakan kau bahagia, walau kita tak macam dulu. Aku cuma harap suatu hari nanti, kau ingat semula apa yang penting dalam hidup ini. Cinta dan persahabatan bukan tentang kekayaan, tapi tentang siapa yang tetap ada, walaupun kau tak punya apa-apa."
Air mata Roselyn mengalir tanpa disedarinya. Kata-kata Cecelia menusuk ke dalam hatinya, menyedarkan dia betapa jauh dirinya telah tersesat.
Saat air matanya masih mengalir, telefon bimbit Roselyn tiba-tiba berbunyi. Nama Kenny, teman lelakinya, muncul di skrin. Dengan tangan yang menggigil, Roselyn menjawab panggilan itu.
"Kenny?" suaranya serak, cuba mengawal emosi.
"Ros, kita kena bercakap," suara Kenny terdengar serius, jauh berbeza daripada biasa.
"Apa? Kenapa?" Roselyn bertanya, rasa gelisah menyelinap.
"Aku rasa hubungan kita tak ke mana, Ros. Kau dah berubah... Aku rasa lebih baik kita berhenti sampai sini."
Kenyataan itu terasa seperti tamparan kuat. Roselyn terdiam, matanya kembali menatap surat Cecelia di tangannya.
"Kenny... Kau serius ke?" suaranya hampir tidak kedengaran.
"Maaf, Ros. Aku harap kau faham. Selamat tinggal."
Talian diputuskan. Roselyn menggenggam telefon bimbitnya erat. Dunia terasa sepi, dan buat pertama kalinya, dia benar-benar merasa keseorangan.
Tiba-tiba, satu suara perlahan tetapi jelas kedengaran di belakangnya.
"Betul ke kau nakkan kekayaan itu, Roselyn? Kau pasti tentang pil merah itu?"
Roselyn berpaling dengan terkejut. Di sana, berdiri seorang lelaki dengan pakaian serba hitam dan senyuman yang menyeramkan – Doktor Leo.
Remake balik agar lebih baik ❤️ :)
Share this novel