3: Impian

Other Series 5922

SETAHUN telah berlalu. Keadaan Roselyn yang pada mulanya sangat teruk kini semakin baik berkat bimbingan pakar sakit jiwa dan jururawat di hospital tersebut. Namun, Roselyn hampir tidak mengingati siapa dirinya, apatah lagi keluarganya. Tiada seorang pun datang melawatnya, membuatkan dia semakin putus harapan terhadap hidup.

Malam itu, seorang doktor lelaki yang tidak pernah dilihatnya muncul di hadapannya.

"Kau siapa? Aku tak pernah tengok muka kau sebelum ni," tanya Roselyn sambil duduk di kerusi, matanya tajam menatap lelaki itu.

Doktor lelaki itu tersenyum. Dia meletakkan dulang berisi dua biji ubat di atas meja kecil, kemudian melangkah menghampiri Roselyn.

"Nama aku Leo. Aku doktor baru yang ditugaskan untuk menjaga kau," jawabnya tenang.

"Aku tak nak kau. Aku nak doktor Cecelia," balas Roselyn, suaranya sedikit tajam.

Doktor Leo memandangnya sambil mencatat sesuatu dalam buku kecil yang dibawanya.

"Melihat kepada perkembangan kau, nampaknya kau dah mula ingat siapa yang jaga kau selama ini. Sekarang, cuba tengok gambar ni. Kau kenal siapa mereka?" tanya Leo sambil menunjukkan sekeping gambar keluarga yang terdiri daripada empat orang, salah seorang daripadanya ialah perempuan yang jelas menyerupai Roselyn sendiri.

Roselyn segera mengalihkan pandangannya, tidak mahu melihat gambar itu lebih lama.

“Tak,” jawabnya pendek.

Leo mengangguk perlahan. "Baik. Tapi aku nak kau makan ubat ni," katanya sambil meletakkan dulang ubat itu di depan Roselyn.

Roselyn memandang dua biji kapsul dalam dulang tersebut—satu berwarna biru, satu lagi merah.

“Ini bukan ubat yang aku makan selama ini,” katanya sambil merenung jauh.

Leo mengangguk, mencatat lagi sesuatu. Dia menarik nafas panjang.

“Kau ingat ubat yang kau makan selama ini. Bagus. Sekarang, cuba beritahu aku. Kau ingat tak apa yang berlaku pada kau setahun lebih yang lalu?”

Wajah Roselyn tiba-tiba kelihatan tegang. Kenangan pahit tentang peristiwa hitam itu berputar dalam fikirannya—tentang bagaimana dia dihalau, diragut, dihina. Namun, dia menggeleng kepala, menafikan.

“Tak,” jawabnya, cuba melupakan ingatan itu.

Doktor Leo menghela nafas panjang, kemudian bangun dari tempat duduknya. “Jangan lupa makan ubat tu,” katanya.

“Ubat apa sebenarnya ni?” soal Roselyn tiba-tiba, keningnya berkerut.

Doktor Leo tersenyum kecil. "Pil merah untuk kekayaan, pil biru untuk mengundur masa lalu. Kau cuma boleh pilih satu."

Roselyn ketawa tiba-tiba, ketawa yang terdengar tidak waras. “Mengundur masa? Siapa yang nak balik ke masa lalu?”

Doktor Leo tidak memberi reaksi, hanya memandangnya, memerhatikan tingkah laku Roselyn dengan penuh perhatian. Dia ingin melihat sama ada Roselyn mampu membuat keputusan untuk dirinya sendiri.

“Baiklah, aku pergi dulu. Kau pilihlah satu. Bila kau dah makan salah satu, yang satu lagi akan hilang sendiri. Kau tak boleh ambil kedua-duanya,” ujarnya sebelum beredar.

Roselyn terkejut apabila melihat Leo sudah tiada di depannya. Dia kembali merenung dua biji pil yang masih terletak di atas dulang itu, tangannya terketar-ketar. Jam demi jam berlalu, dan akhirnya jarinya mengambil salah satu pil itu dan menelannya.

Namun, tiada apa-apa yang berlaku. Roselyn kembali berbaring, matanya mulai terpejam, tenggelam dalam kegelapan malam yang sunyi.

-

KEESOKAN paginya, Roselyn terjaga daripada tidur kerana merasa tubuhnya terlalu sejuk. Biasanya, setiap kali bangun pagi, dia akan berasa panas, ditambah dengan bunyi bising dari luar bilik yang sudah menjadi kebiasaannya. Dahi Roselyn berkerut melihat siling bilik yang kini berwarna light pink—bukan lagi warna putih seperti sebelumnya.

"Sejak bila diorang tukar cat bilik ni?" rungutnya perlahan.

Hidungnya tiba-tiba menangkap bau yang harum, menyegarkan. Roselyn bangun, duduk di atas katil, dan memandang sekeliling dengan penuh tanda tanya. Jantungnya berdegup kencang. Terasa aneh. Dia kembali baring, cuba menutup mata, berharap semua ini hanyalah mimpi.

TOK TOK TOK!

Bunyi ketukan lembut di pintu bilik memaksa matanya terbuka sekali lagi. Dengan cepat, Roselyn bangun dan memandang ke arah pintu.

“Siapa tu?” tanyanya, nada suaranya bergetar sedikit.

“Hoi! Bangunlah! Bising betul jam loceng kau tu! Dari tadi memekak je!” suara seseorang menjerit dari luar bilik, diiringi ketukan yang kasar.

Roselyn memegang kepalanya yang mula berdenyut, sakit akibat jeritan itu. Dia akhirnya tersedar, jam locengnya sudah berbunyi hampir setengah jam. Bagaimana dia boleh tak perasan? Mungkin sebab tidurnya terlalu lena. Dengan rasa malas, dia bangun dan mematikan bunyi jam loceng sebelum mencapai tuala mandinya.

Di luar bilik, wajah Juwita menyambutnya dengan ekspresi tidak puas hati. Roselyn hanya memandang sekilas, tidak mahu melayan bebelan Juwita, dan terus masuk ke bilik mandi. Setelah mandi, dia bersiap untuk keluar.

Setibanya di kedai makan bernama KEDAI MAKAN SEKAMPUNG, Roselyn melangkah masuk, namun pandangannya tertarik pada seorang wanita pengemis yang menggendong bayi lelaki. Rasa kasihan segera menyelubungi hatinya. Dengan duit poket berjumlah dua belas ringgit tiga puluh sen, Roselyn menuju ke kaunter dan memesan nasi ayam bungkus serta sebotol air mineral besar.

Setelah mendapat pesanannya, Roselyn kembali ke tempat wanita pengemis itu. Dia menghulurkan makanan dan air tersebut dengan hati-hati. Wanita itu mula menangis sebaik menerima bantuan itu.

"Terima kasih, dik. Sudah beberapa hari saya tak makan... Badan saya lemah sebab menyusukan bayi ni," ucap wanita itu sambil menahan sebak.

“Akak, ini saja yang saya mampu bagi. Nanti kalau saya dah kerja dan ada duit lebih, saya akan datang lagi, doakan saya, ya,” balas Roselyn dengan nada lembut.

Wanita itu dengan terharu mencium kaki Roselyn tanda terima kasih. Tindakan itu membuat Roselyn tergamam, dan dia cepat-cepat menarik kakinya.

“Akak, tak perlu buat macam ni. Saya bukan Tuhan, tolonglah,” katanya, rasa serba salah menyelubunginya.

Wanita itu terus menangis. “Adik... Akak doakan adik murah rezeki. Semoga adik kaya raya dan boleh tolong pengemis macam kami ni.”

Roselyn hanya mengangguk sambil tersenyum kecil, kemudian berlalu pergi. Namun hatinya tersentuh dengan doa wanita itu. Melihat baki duitnya, hanya tinggal lima ringgit tiga puluh sen sahaja. Niat asalnya untuk membeli nasi ayam sudah pasti terbantut—harga nasi ayam enam ringgit, tidak cukup baki duitnya.

"Zaman sekarang memang mahal... Nasi pun kena catu. Harap gaji aku nanti berbaloi lah," Roselyn merungut sendirian sambil melangkah ke beberapa kedai makan lain, mencari makanan yang sesuai dengan baki duitnya.

Namun, setelah berpusing-pusing mencari, semuanya berharga lebih daripada lima ringgit. Bahkan kuih-muih yang dilihatnya pun tak mungkin mengenyangkan.

"Apa boleh buat, diet jelah hari ni," katanya dengan nada kecewa sambil berlalu pergi.

MALAM nya, sebelum tidur, Roselyn berdoa seperti biasa, "Ya Tuhan, semoga esok ada rezeki yang lebih, bolehlah aku tolong kakak dan bayi dia. Kesian sangat..."

-

KEESOKAN paginya, Roselyn bangun seawal jam 6 pagi. Dia bersarapan mee cup, menggunakan cerek elektrik yang dipinjam dari ibunya. Dia berjanji akan membelikan cerek baru untuk ibunya selepas mendapat gaji. Sambil menikmati sarapannya, telefon Nokia lamanya berbunyi menandakan satu pesanan masuk.

TAHNIAH! ANDA TELAH MENERIMA WANG BERJUMLAH RM53,000,000.00 KE DALAM AKAUN MAYBANK ANDA! Bertarikh 1 Januari 2019, Jam 6:19 AM.

Sila periksa akaun bank anda untuk pengesahan.

Roselyn terbatuk apabila membaca mesej itu, sehingga sedikit sup mee cup masuk ke hidungnya. Dia terus terbatuk-batuk, terasa pedih di hidung dan sakit di kepala.

Setelah membaca mesej tersebut sekali lagi, Roselyn ketawa kecil, tak percaya. “Betul ke ni? Haha… mana mungkin!”

Dia tidak mempedulikan mesej itu dan meneruskan sarapannya. Setelah bersiap, dia keluar menuju ke tempat kerjanya yang baru. Di perjalanan, dia mendengar dua orang perempuan berbual tentang wang.

“Hoi, kau dengar tak? Ada orang menang cabutan bertuah 53 juta!” kata salah seorang daripada mereka.

“Untung gila! Kalau aku yang menang, dah boleh beli apa saja yang aku nak!” balas Juwita, penuh impian.

Roselyn hanya tersenyum mendengar perbualan mereka. Dalam dunia ni, tak semudah itu nak dapat duit, fikirnya. Namun, tiba-tiba dia teringat yang dia ada sertai satu cabutan bertuah di pasar raya baru-baru ini.

"Kalau aku menang, aku akan bawa ibu bapa keluar dari kampung, hantar adik belajar, dan buka kedai untuk bantu orang susah," bisik Roselyn sendirian, berkhayal.

Sampai di tempat kerjanya, sebuah restoran food court, Roselyn dikejutkan dengan suara lantang.

"Amboi, baru masuk dah termenung!" tegur seorang perempuan berusia dalam lingkungan 40-an yang memakai tag nama 'Mishel – Supervisor'.

Roselyn tersentak. "Maaf, kak," jawabnya gugup, tunduk.

“Siapa kakak kau? Panggil aku bos! Dah, pergi bersihkan meja tu!” arah Mishel sambil menunjuk ke arah meja yang ditinggalkan pelanggan.

Roselyn segera menuju ke meja tersebut dengan troli penuh pinggan kotor. Ketika dia sibuk membersihkan meja, seorang gadis berambut pendek menghampirinya.

“Jangan ambil hati dengan Mishel tu. Dia memang macam tu, selalu angin tak betul,” kata gadis itu dengan senyuman.

Roselyn hanya mengangguk. "Oh, ya. Aku Freya, sama macam kau juga." Dia menunjukkan lencana dengan tittle 'Cleaner F&B'.

Roselyn tersenyum kecil. "Aku Roselyn, panggil Rose je. Kau dah lama kerja sini ke?"

“Dah tiga tahun, biasa dah dengan Mishel tu. Tapi kerja sini best sebab dapat makan free,” kata Freya sambil membantu Roselyn mengelap meja.

Tiba-tiba Freya berbisik, “Eh, kau dengar tak, ada orang menang cabutan bertuah 53 juta hari ni!”

Roselyn tersenyum kecil. "Oh, yang tu... aku dengar juga tadi. Tapi siapa menang?"

Freya mengangkat bahu. "Entahlah, tapi tiket aku tak kena. Sial betul."

Roselyn tersenyum sambil menggeleng kepala.

“Eh, kenapa kau senyum macam tu? Kau tahu siapa yang menang ke?” tanya Freya, curiga.

Roselyn tersenyum misteri. "Taklah. Cuma... dalam dunia ni, tak ada benda yang percuma. Semuanya kena usaha."

Freya tersenyum setuju, lalu bertanya, “Kalau kau yang menang, apa kau nak buat dengan duit tu?”

Roselyn terdiam sejenak, merenung kosong ke arah meja lain, sambil fikirannya melayang jauh...

“Kalau aku, aku nak buka sebuah kedai. Lepas tu, aku nak ambil pengemis sebagai pekerja, bagi mereka makan dan tempat tinggal. Aku juga nak keluarkan mak bapak aku dari kampung. Ayah aku sakit, jadi aku nak bawa dia jumpa pakar. Dan aku nak hantar adik aku belajar di luar negara,” jawab Roselyn panjang lebar, senyum senget.

Namun dalam hatinya, dia tahu impian itu kelihatan sangat mustahil baginya.

“Hmmm… Impian yang besar, Roselyn. Tapi, aku doakan kau berjaya suatu hari nanti, dan impian kau tercapai. Amen…” ucap Freya sambil menadah tangan berdoa.

“Amen. Terima kasih, Freya. Kau pun sama…” balas Roselyn, tersenyum lembut.

PADA jam 1 petang, giliran Roselyn untuk makan tengah hari. Setelah makan, dia keluar sebentar untuk cuba mengambil duit simpanan peribadinya. Dia masuk ke dalam ruang yang menempatkan mesin ATM.

Dia mengeluarkan kad bank dan memasukkannya ke mesin. Setelah menekan PIN, dia memilih akaun simpanan. Teringat akan baki yang hanya tinggal dua puluh ringgit, Roselyn pasrah.

Namun, sebaik saja skrin menunjukkan baki sebenar dalam akaunnya, jantung Roselyn hampir berhenti. Dia menggosok matanya berkali-kali, memastikan dia tidak tersilap lihat.

Roselyn menekan butang 'CANCEL' dan kad banknya keluar. Dia menelan air liur dan memasukkan semula kad bank, kali ini menekan PIN dengan lebih berhati-hati.

Jumlah yang sama tertera. Roselyn terdiam, hampir pitam.

Share this novel

DHIA AMIRA
2025-01-04 12:31:00 

nexxx

DHIA AMIRA
2025-01-04 12:29:38 

ooo cabutn btuah

DHIA AMIRA
2025-01-04 12:29:04 

betul ke ? dlu dlu akk rasa akk pnh dpt mesej psall.duit ni... mcm sbijkk rasanya


NovelPlus Premium

The best ads free experience