Bab 1

Romance Completed 302052

BUNYI suara manusia dan bunyi kenderaan yang mula berdatangan, memeriahkan suasana yang tadinya sepi ketika dia mula-mula sampai. Seperti selalu, gerai burgernya sentiasa dikunjungi oleh orang ramai terutama sekali orang-orang muda, kerana dia membuka gerainya pada waktu malam sahaja.

Kadang-kadang, ada juga lelaki-lelaki berusia yang singgah melepak di gerainya sehingga dia tutup pada pukul 11:00 malam kerana hendak meminta perhatiannya dan mereka sering memujuk untuk menemani mereka duduk semeja, namun kebanyakannya ialah duda yang tidaklah hot pun. Perut membulat ke depan dengan rambut yang sudah segan hendak tumbuh. Mereka adalah penduduk di sekitar itu juga dan dia sudah kenal pun semuanya, cuma dia tidak melayan sangat. Cukup layanan setakat pelanggan sahaja.

Selepas membaca senarai pesanan yang ditulisnya di dalam buku kecil, dia pun memulakan kerja rutinnya. Keletang keletung bunyi kuali leper dengan scrapper burgernya berlaga. Dengan pengalaman dan ketangkasannya selama hampir dua tahun berniaga burger, dia mampu menyiapkan 10 biji burger dalam satu masa seorang diri.

“Oi, perempuan! Burger special satu, extra cheese!” laung satu suara perempuan dari arah belakang.

Spontan bibirnya mencebik selepas mendengar suara itu. Tanpa menoleh, dia tahu siapa pemilik suara itu, kerana hanya seorang manusia itu sahaja satu-satunya makhluk di muka bumi ini yang memanggilnya dengan adab sopan ke laut begitu.

“Busy nampak. Tu lah, aku offer nak tolong kau kat sini, kau tak nak. Bukannya aku minta bayar gaji pun. Aku kesiankan kau, tapi kau tu je yang tak nak kesiankan diri sendiri,” bebel Syaffiyah lalu duduk di kerusi plastik di belakangnya.

“Dah nampak aku busy, kau duduk diam-diam je kat situ. Mulut tu tak payah nak bunyi sangat. Aku masak juga kang mulut kau tu jadi burger hangus. Kau punya, lepas aku siap ni baru aku buat,” balas Zatul tanpa memandangnya dan tekun melakukan kerja. Sesekali dia menyeka peluh di sisi wajahnya dengan kain tuala kecil yang disangkutkan di bahunya.

Syaffiyah ketawa mendengar kata-kata balasan daripada sahabat baiknya itu dan dia tidak terasa hati langsung walaupun sedikit. Bukannya mereka baru kenal. Sudah hampir 10 tahun mereka kenal sejak zaman sekolah menengah sampailah ke universiti. Bahkan mereka juga bekerja di tempat yang sama, jadi mereka sudah terbiasa dengan sikap dan perangai masing-masing.

“Meh sini aku tolong hantar. Sekali dengan air tin ni ke?” soal Syaffiyah yang sudah mengangkat talam segi empat berisi beberapa biji burger dan minuman tin.

“Ha ah. Meja hujung tu, yang ada helmet atas meja dia,” jawab Zatul sambil menjuihkan bibir ke arah yang dimaksudkan.

Zatul duduk di atas kerusi bulat di tepi lori kecilnya sambil mengesat peluh di wajah dan di lehernya dengan tuala kecil setelah selesai menyiapkan semua pesanan yang diminta oleh pelanggan. Luar biasa pula jumlah pelanggan yang datang pada malam ini.

“Zet, kau tak penat ke hari-hari macam ni? Siang malam kau kerja. Kau tak reti nak rehat ke?” soal Syaffiyah sambil mengunyah makanan di dalam mulutnya.

Zatul membuka topi di kepalanya lalu menyandarkan tubuh di sisi lori sambil melepaskan keluhan. “Kau tak penat ke asyik tanya soalan yang sama? Setiap kali kau datang sini, asyik tu je soalan kau. Kau tak bosan ke?” Zatul memulangkan paku buah keras dengan riak wajah selamba.

Tersedak Syafiyyah dengan makanan di dalam mulutnya selepas mendengar kata-kata Zatul. Terkial-kial dia meneguk air tinnya dan menelan makanan di dalam mulut sambil menepuk-nepuk kuat dadanya.

“Lain kali jangan bercakap kalau tengah makan,” tegur Zatul sambil menjegilkan mata.

Wajah Zatul yang kelihatan tenang itu direnung lama. “Aku caring dengan kau sebab aku sayang kau, tau tak?” Syaffiyah menarik kerusinya untuk merapatkan kedudukan mereka. “Aku faham perasaan kau, Zet, tapi sampai bila kau nak teruskan macam ni? Kau sengaja sibukkan diri sebab kau tak nak ingat pasal dia kan?” tekanya.

“Entahlah, Pia. Aku bukan tak nak dan tak boleh terima hakikat, tapi aku cuma susah nak percaya je.”

“Samalah tu tak boleh terima hakikat sebab tak percaya dengan hakikat, tak gitu?” balas Syaffiyah.

“Bukan macam tu.” Zatul melepaskan keluhan panjang sebelum menyambung bicara. “Hari kitorang nikah, dia cakap dia ada panggilan misi penting. Masalahnya, Tuan Kamarul tak ada cakap apa-apa pun pasal misi. Kau pun ada kan masa majlis aku tu, kau nampak sendiri macam mana dia kelam-kabut pergi lepas majlis kan? Lepas tu, dia hilang terus macam tu je. Tuan Kamarul sendiri tak tau dia pergi mana, rupa-rupanya dia dah resign di luar pengetahuan aku, so maknanya dia tipulah pasal misi tu kan?” kata Zatul membuka cerita.

“Aku tak fahamlah, Zet. Maksud kau?”

Zatul mendengus sambil memandang wajah Syaffiyah dengan pandangan serius. “Kalau kau anggap aku sengaja sibukkan diri sebab tak nak ingat pasal dia, yes, kau betul. Tapi bukan sebab aku sedih atas kehilangan dia. Aku sengaja sibukan diri aku daripada sibuk fikir pasal diri aku yang bengap bebal ni sebab percayakan dia dulu… Aku sayangkan dia sampai aku setuju terima dia nak halalkan aku. Aku sakit hati, Pia.”

Semakin berkerut dahi Syaffiyah. Bukankah kedua-dua rakannya itu saling mencintai dari zaman sekolah lagi? Mereka bertiga ditakdirkan mendapat peluang melanjutkan pelajaran di universiti yang sama dan juga mendapat kerja di tempat yang sama.

Dia sendiri menjadi saksi macam mana perhatian yang dicurahkan oleh Romeo dan Juliet itu sesama sendiri sampai si Romeo sanggup meredah hujan lebat pada waktu malam dengan hanya menaiki motosikal semata-mata untuk menghantar makanan untuk kekasih hatinya yang sedang kelaparan di hostel ketika masih belajar dulu. Dia juga menjadi saksi si Romeo sering membela si Juliet setiap kali dia dimarahi oleh bos mereka, jadi apa sebenarnya maksud kata-kata Zatul tadi?

“Aku masih tak faham,” kata Syaffiyah sambil menyepetkan mata.

“Sebenarnya aku dah bercerai selepas sebulan dia menghilangkan diri.”

Serta merta terbeliak mata Syaffiyah. Mulutnya ternganga kerana tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. “Aku salah dengar ke?”

“Tak. Kau tak salah dengar, Pia.” Zatul melepaskan keluhan berat.

“Kau dah… Err… Macam mana boleh…”

Belum sempat Syaffiyah meneruskan percakapan, tiga buah motosikal berhenti di belakang mereka. Syaffiyah dan Zatul hanya memerhati tiga orang lelaki yang sedang berjalan menghampiri mereka dengan gaya jalan acah-acah hebat dan macho membawa topi keledar di tangan masing-masing.

“Apa burger yang sedap kat sini?” soal salah seorang daripada mereka sambil memandang wajah Syaffiyah.

“Tu, tanya owner dia,” kata Syaffiyah sambil menjuihkan bibir ke arah Zatul.

“Awek cun jual burger, bro,” bisik lelaki berbaju putih yang berdiri di belakang lelaki yang menyoal tadi kepada seorang lagi rakannya, namun Zatul dan Syaffiyah mampu mendengarnya.

“Awak boleh pilih dalam senarai menu kat depan tu,” kata Zatul sambil menuding ke arah senarai menu bergambar yang melekat di cermin rak kaca kecil di hujung meja.

Ketiga-tiga lelaki itu pun melangkah menuju ke depan. “Boleh awak tolong suggest tak?” pinta lelaki tadi sambil menjongket kening dan meramas-ramas dagunya yang berjanggut pendek.

“Burger special lah,” jawab Zatul. Wajah lelaki itu dipandang dengan lagak tenang.

“Okey, tiga,” kata lelaki itu lalu berpaling hendak ke meja.

“Beef ke chicken?” soal Zatul membuatkan lelaki tadi berpaling semula memandangnya.

“Up to you nak bagi mana yang awak rasa sedap. Woman always right kan?” balas lelaki itu dengan senyuman mengejek dan dia terus menuju ke tempat rakan-rakannya yang sudah duduk di kerusi.

Sempat lagi nak menyindir. Ni mesti spesies yang tak reti nak hormat perempuan ni, getus hati Zatul dan dia pun mula menyediakan bahan-bahan untuk menyiapkan pesanan lelaki tadi.

“Mangkuk betullah mamat tu. Tiba-tiba nak memerli. Aku tumbuk kang!” kata Syaffiyah dengan muka tidak berpuas hati. Tergelak kecil Zatul dibuatnya.

“Aku dah biasa hadap customer macam-macam perangai.”

“Hisy! Boleh pula kau hadap kan? Kalau aku, aku dah hoi kan mamat tadi tu,” kata Syaffiyah sambil bercekak pinggang.

“Kau tu memang,” balas Zatul sambil tersenyum dan menggeleng-geleng.

* * * * * *

Dia memarkirkan motosikal berkuasa tingginya di sebelah kereta yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Memandangkan tempat meletak kenderaan berbumbung itu khas untuk kakitangan sahaja, jadi dia kenal semua kereta dan pemiliknya, tetapi tidak kereta di sebelah yang asing baginya itu.

Dia turun dari motosikal lalu membuka jaket kulit dan topi keledarnya lalu meletakkannya di atas tangki minyak, manakala jaketnya pula disangkutkan di lengannya.

“Oi, Zet! Kenapa kau tak bawa kereta?” sergah Syaffiyah dari belakang.

“Hisy, perempuan ni kan! Belajar-belajarlah bagi salam, mak cik oiii. Terkejut aku,” marah Zatul dengan jelingan tajam sambil memegang dadanya kerana terkejut. Beg yang bersilang di tubuhnya tadi disangkutkan di bahunya.

“Okey, okey. Ehem! Assalamualaikum, Inspektor Zatul, tumpang tanya, kenapa awak tak bawa kereta hari ni? Kenapa tunggang motosikal pakai uniform?” soal Syaffiyah sambil menjongket kening.

“Hah, pandai pun! Waalaikumsalam, Inspektor Syaffiyah. Saya sengaja bawa motor, sebab cuaca cerah hari ni dan saya nak elak traffic jammed. Ada faham?” balas Zatul acah-acah formal lalu dia mula melangkah menuju ke pintu bangunan. Syaffiyah ketawa kecil sambil membuntuti langkah sahabat baiknya itu.

- - - - -

Zatul dan Syaffiyah mengerutkan dahi melihat ketua mereka baru keluar dari bilik perjumpaan dan sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan memakai uniform sama seperti mereka.

“Zatul, Syaffiyah, mari sini,” panggil Tuan Kamarul sebaik sahaja dia melihat kehadiran mereka di situ. Serentak kedua-duanya mengorak langkah menghampiri dua orang lelaki tersebut.

“Perkenalkan, ni Inspektor Syamsul,” kata Tuan Kamarul sambil memandang lelaki di sebelahnya. “Syamsul, ni Inspektor Zatul dan ni Inspektor Syaffiyah,” perkenalnya sambil menuding jari ke arah Zatul dan Syaffiyah silih-berganti. Masing-masing menyapa dan tersenyum sambil menunduk sekilas sebagai salam perkenalan.

“Syamsul akan berada di sini sampai kes kumpulan Helang Merah selesai. Zatul, Syaffiyah, mulai minggu depan, awak berdua akan bertugas di bahagian Unit Perisikan Jenayah dan Narkotik dan kamu akan bekerjasama dengan Syamsul, faham?”

“Maksud tuan, lepas ni kami kerja undercover ke, tuan?”soal Syaffiyah dengan riak wajah serius. Walaupun wanita itu jenis yang suka bergurau, tetapi dalam soal kerja, dia sangat serius, beretika dan berdedikasi sama seperti Zatul juga.

“Betul, tapi sampai kes ni selesai je,” jawab Tuan Kamarul sambil memandang wajah kedua-dua wanita di depannya silih-berganti.

Zatul dan Syaffiyah saling berpandangan lalu mereka memandang wajah lelaki bertubuh besar tinggi dan bermisai tebal di depan mereka yang sangat dikagumi sebagai ketua itu. “Baik, tuan. Kami faham,” kata mereka serentak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience