ZATUL mengarahkan Faiq untuk membuka jaketnya. Ada beberapa tempat yang terkoyak pada jaket itu. Dengan berhati-hati, Zatul mencuci luka di lengannya menggunakan kapas yang sudah diletakkan ubat luka.
Zatul berdeham sambil memandang wajah lelaki di depannya. "Luka kat bahu tu kau sapu sendirilah. Nah," kata Zatul lalu menghulurkan kapas baru yang sudah dituangkan ubat.
"Alang-alanglah kau nak tolong pun. Kau buat je lah sampai selesai semua," balas Faiq sambil membuka t-shirtnya.
"Weh, bengong! Apa kau nak buat ni?" marah Zatul lalu cepat-cepat menarik baju Faiq yang sudah terangkat sehingga ke paras dada untuk menurunkannya.
"Aku nak buka baju lah. Habis tu kalau aku tak buka, macam mana kau nak sapu ubat?" soal Faiq dengan kerutan di dahi.
"Kau selak je lah kolar baju kau tu, yang luka... kat bahu kan? yang kau nak tayang body kau tu buat apa?" balas Zatul. Ingat aku nak sangat ke tengok body kau tu? gerutunya dalam hati.
"Aku cuma nak mudahkan kau je," kata Faiq, namun tangannya tetap sahaja melakukan apa yang Zatul suruh. Kolar bajunya diselak sehingga menampakkan bahagian bahunya yang terluka.
"Dalam juga luka kau ni. Kau tak nak pergi hospital ke minta jahit? Ni mesti mak ayah kau marah kalau nampak luka kau ni," kata Zatul setelah selesai menampalkan plaster pada bahagian yang terluka di lengan dan bahu Faiq yang terkena pisau tadi. Lantas, dia berdiri dan menutup peti kecemasannya yang bersaiz kertas A4.
"Kau tengok muka aku ni, jenis yang masih tidur celah ketika mak ke? Setakat luka macam ni, aku dah biasalah. Sekurang-kurangnya, walaupun perompak tu sempat lari, tewas juga kan dua orang perompak tu dengan aku?" balas Faiq sambil mendabik dada.
"Hmm, memang anak mak pun," ujar Zatul dengan nada bersahaja tanpa memandang wajah lelaki itu.
"Eh! Agak-agaklah nak cakap! Tengok oranglah," balas Faiq sambil berdiri dan bercekak pinggang. Wajah Zatul direnung serius.
"Habis tu, kalau kau bukan anak mak, kucing ke yang lahirkan kau?" Zatul menjongket kening membalas renungan Faiq. Sengaja hendak mengenakan lelaki itu.
Erk! Faiq terkedu. "Tak, maksud aku..."
"Dahlah, aku nak balik. Lewat dah ni. Nanti kan ada pula team berkopiah datang minta IC kita berdua kat sini. Thanks untuk tadi," pintas Zatul dengan lagak bersahaja. Bukannya dia tidak mampu melawan perompak tadi, cuma Faiq yang terus meluru hendak tunjuk hero, jadi dia biarkan sahaja. Sekali sekala acah-acah innocent ada orang selamatkan, tak apa kan? Lagi pun, boleh tahan juga seni bela diri lelaki itu tadi.
"Ingat aku nak ke kalau tertangkap basah dengan kau?" gumam Faiq dengan suara perlahan, tetapi Zatul dapat mendengar setiap butir percakapannya.
"Kalau macam tu, baliklah. Anak mak," kata Zatul dengan nada mengejek.
Faiq tidak sempat membalas kerana Zatul sudah semakin jauh dan dia hanya mampu memerhati sahaja Zatul membuka pintu bahagian pemandu dan terus masuk. Cutting body, cun. Rupa dengan tinggi pun boleh tahan. Kenapa tak jadi model je, bisik Faiq dalam hati.
Sebaik sahaja lori kecil berwarna putih itu beredar dari situ, Faiq terus menuju ke motosikalnya. Hanya dia seorang sahaja lagi di tempat yang sudah berubah sunyi itu.
* * *
"Informer kita bagitahu, malam ni ada jadual pengedaran stok baru secara besar-besaran kat kelab malam Door Weight. Pengedar yang wanted sejak tahun lepas tu akan ada nanti. Standby pukul 8:00 malam, sebab informer tu bagitahu, perjumpaan tu dijangka dalam pukul 10:00 malam," kata Tuan Kamarul sambil memandang tiga wajah di depannya silih-berganti. "Saya nak kamu atur orang-orang untuk jaga di setiap pintu luar dan dalam supaya tiada yang terlepas, faham?" lanjutnya lagi sambil mengedarkan beberapa keping gambar dan butiran-butiran penting kepada tiga orang inspektor di depannya.
"Faham, tuan!" serentak ketiga-tiganya menjawab.
Mereka tidak terus keluar selepas Tuan Kamarul keluar dari bilik perjumpaan itu. Syamsul berdiri lalu melangkah menghampiri Zatul dan Syaffiyah sambil tersenyum. Jam di pergelangan tangannya dikerling sekilas sebelum matanya ditumpukan semula ke wajah dua orang wanita cantik di depannya.
"Jom, lunch." Syamsul mencuba nasib.
Zatul dan Syaffiyah saling berpandangan sesama sendiri.
"Kau belanja ke? Kalau kau belanja, kitorang on je," kata Syaffiyah sambil menjongket kening.
"Hisy! kau ni!" Zatul berbisik sambil menyiku lengan Syaffiyah.
"Saya yang ajak, of course lah saya yang belanja. Jomlah," ujar Syamsul sambil melirik wajah Zatul yang bereaksi tenang.
"Okey, jom! Aku memang dah lapar sangat dah ni. Zet, jomlah," kata Syaffiyah lalu berdiri dan menarik lengan Zatul sehingga dia berdiri.
Syamsul tersenyum lebar dan mula melangkah menuju ke pintu keluar bilik perjumpaan itu dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluar.
- - - - -
"Kau memang tak tahu malu kan? Kau tu dahlah makan banyak. Tangki perut saiz gajah. Tak padan dengan kurus," omel Zatul lalu menoleh sekilas memandang Syaffiyah kemudian fokus semula dengan pemanduannya.
"Lah! Nak malu kenapa pula? Dah dia yang offer nak belanja kan? Tu namanya rezeki tau tak? Re...ze...ki. Dah orang belanja, takkan nak lepaskan peluang pula? Bukan kurus okey, tapi ram...ping. Ahhh! Kenyangnya," balas Syaffiyah dengan muka tidak bersalah sambil mengusap perut.
Zatul menjeling sekilas sambil menggeleng. Kalau diikutkan, dia malas keluar dengan memakai uniform sebenarnya. Selalunya dia akan ke kantin sahaja. Kadang-kadang kalau datang rajinnya, dia akan bawa bekal dari rumah.
Jeda. Hanya suara radio sahaja yang mengisi kesunyian. Kedua-duanya membisu melayan fikiran masing-masing.
"Eh, Zet. Aku rasa si Syam tu syok kat kaulah," kata Syaffiyah memecah kebisuan di antara mereka.
"Sembarang je kau!"
Syaffiyah segera menegakkan postur duduknya dan memandang sisi wajah Zatul dengan riak wajah tidak berpuas hati. "Kau cakap aku sembarang? Aku ni pakar tengok reaksi wajah oranglah, Zet. Ni Pia, okey? Aku ada..."
"Ya, aku tahu, Inspektor Syaffiyah. Kau nak cakap yang kat U dulu, kau ada ambil subjek Psikologi dan lulus dengan cemerlangnya kan? Ha, okey, okey. So, sila terangkan kenapa kau cakap macam tu." Zatul memintas percakapan Syaffiyah sambil ketawa kecil.
Memang tidak dinafikan, sahabat baiknya itu memang pakar dalam bab membaca reaksi wajah seseorang dan juga pakar dalam memanipulasi fikiran orang supaya mengaku setiap pertanyaannya. Sebab itulah dia selalu diberi tugas untuk menyoal siasat suspek.
"Ha, tau takpe! Kau tak perasan ke dia asyik tenung kau masa makan tadi? Cara dia tenung kau tu macam something tau."
"Tak perasan. Mungkin dia tenung aku sebab aku kurang bercakap dengan dia je kot. Kau tu je yang banyak soal. Aku ni tak berapa sangat nak layan lelaki. Lebih-lebih lagi yang baru kenal. Selama ni pun, Daim seorang je lelaki yang..." kata-katanya tiba-tiba terhenti. Stereng kereta digenggam kuat sambil mengetap gigi.
"Malam nanti kau bawa kereta ke motosikal?" Syaffiyah sengaja mengubah topik kerana perasan riak wajah Zatul yang tiba-tiba berubah. Walaupun kadang-kadang dia jenis yang gila-gila sikit, dia tahu bila masa untuk bergurau dan bila masa untuk serius.
Zatul melepaskan keluhan kecil lalu berdeham. "Aku bawa kereta. Sejuklah bawa motor malam-malam. Lagi pun, kita berkumpul kat balai dulu kan?" jawab Zatul. Dia tahu Syaffiyah sengaja mengubah topik kerana tidak mahu dia bersedih.
"Kau ambil aku kat rumah boleh? Aku tumpang kau. Kita gerak sama-sama."
"Aku okey je. Lepas maghrib aku ambil kau," balas Zatul.
- - - - -
"Astaghfirullah, budak ni! Patutlah tak turun-turun lagi," Datin Waheeda menggeleng lalu meluru masuk ke dalam bilik menghampiri katil.
"Hei! Apa ni dah nak masuk zohor masih membuta lagi! Ni mesti tak bangun subuh ni kan? Bangun cepat! Teman mama pergi mall," marah Datin Waheeda sambil menampar punggung anak lelakinya yang masih berselubung dengan kain selimut.
"Orang ada bangun subuhlah... Lepas tu tidur balik," jawabnya dengan suara serak-serak basah dan mata yang masih tertutup.
"Apa nak jadilah dengan Faiq ni. Suruh kerja dengan papa, tak nak. Keluar malam, rajin pula. Entah apalah yang Faiq buat kat luar tu. Faiq bukan remaja lagi tau? Tak lama lagi dah nak masuk umur three series. Nak cakap girlfriend, sorang pun tak pernah bawa balik jumpa mama dengan papa lagi. Kalau macam ni lah..."
"Ma, tolong Faiq, ma!" Tiba-tiba dia mendesah kesakitan sambil mencengkam kepalanya dengan kedua-dua tangan.
Serta merta membulat mata Datin Waheeda. "Eh! Kenapa ni? Sakit kat mana?" soal wanita yang berusia penghujung lima puluhan itu dengan nada cemas.
"Ni... berbulu telinga Faiq dengar mama bebel. Telinga pun rasa panas membahang dah ni," kata Faiq, lantas dengan sepantas kilat dia menggolekkan tubuh menjauhi ibunya lalu dia cepat-cepat bangkit daripada perbaringan dan turun dari katil sambil tersengih.
"Hisy, budak ni!" Datin Waheeda menjegilkan mata mencerlung wajah anaknya. Tidak sah kalau tidak menyakatnya dalam satu hari.
"Faiq keluar dengan Adam dan Fakhrul je lah, ma. Kalau cakap pasal girlfriend, buat masa ni memang taklah. Menyusahkan je nanti," ujar Faiq dengan riak wajah bersahaja lalu membuka baju kemudian meraih kain tuala yang bersangkut di rak penyangkut tuala.
"Tu plaster tu kenapa?" Datin Waheeda yang duduk di tepi katil segera berdiri dan menghampiri Faiq. Plaster di lengan dan di bahu anaknya dipandang dengan kerutan di dahi.
"Luka. Luka kecil je," jawab Faiq lalu mengorak langkah menuju ke bilik air.
"Luka kenapa? Faiq merempit eh?" soal Datin Waheeda sambil bercekak pinggang.
Faiq menoleh ke belakang memandang wajah ibunya. "Faiq tak merempitlah, ma. Luka kecil je ni," balas Faiq lalu meneruskan langkahnya masuk ke dalam bilik air.
"Apa nak jadilah dengan anak aku sorang ni." Datin Waheeda hanya mampu menggeleng.
- - - - -
"Kau dah nak balik ke?" soal Syaffiyah melihat Zatul sudah menukar baju uniformnya kepada t-shirt.
"Ya, aku dah bagitahu Tuan Kamarul aku balik awal hari ni," jawab Zatul sambil menyarungkan jaket ke tubuhnya dan menghampiri Syaffiyah. "Jumpa malam nanti," ujarnya lalu mengusap dagu runcing Syaffiyah sambil ketawa kecil dan terus melangkah pergi membawa baju uniformnya yang bersangkut pada penyangkut.
Zatul keluar dari kereta selepas memarkirkan keretanya di tempat parkir pasaraya 6 tingkat itu. Baru dia teringat dia ada beberapa barang peribadi yang sudah perlu dibeli.
Barang yang hendak dibelinya tidaklah banyak, jadi dia tidak menggunakan troli dan hanya menggunakan bakul raga sahaja.
"Syampoo, sabun, toner, conditioner... hmm... nak beli barang mentah juga ke? Ke nak beli makanan tin?" Zatul menggumam sambil memandang dan menuding satu per satu barang yang ada di dalam bakul raga. "Beli mee instant jugalah," ujarnya lalu berpaling hendak menuju ke bahagian mee segera.
Ketika dia berpaling, dia terlanggar troli seseorang yang sedang berjalan melepasinya.
"Oops!" Spontan perkataan itu terpacul dari bibir masing-masing dan kedua-duanya kelihatan terkejut sebaik sahaja pandangan dua pasang mata itu bertembung.
Share this novel