SEMENTARA menunggu Zatul menyiapkan pesanan pelanggan, Syaffiyah melayari internet di telefonnya untuk melihat-lihat perkembangan berita dan ragam-ragam manusia di laman sosialnya.
"Hisy! Pelik-peliklah manusia zaman sekarang ni," gumam Syaffiyah.
"Apa yang pelik?" soal Zatul sambil menarik kerusi bulat dan duduk menyandarkan tubuhnya pada sisi lori kecilnya sebaik sahaja dia selesai menyiapkan kerja. Apron di tubuhnya dibuka dan disangkutkan di cermin sisi lori.
"Ni lah. Bagus-bagus kerja elok manager syarikat, tapi nak libatkan diri lagi dalam aktiviti pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia," jawab Syaffiyah sambil menyuakan telefonnya di depan Zatul untuk menunjukkan berita yang terpapar di skrin telefon pintarnya.
"Biasalah, manusia. Kadang-kadang nafsu yang menguasai akal. Sesetengah orang tu, dia fikir dia akan berkuasa kalau banyak duit, " hujah Zatul sambil mengesat peluh di sisi wajahnya.
"Hmm... betul tu. Err... Zet, cerita semalam gantunglah. Sambunglah balik. Macam mana kau boleh bercerai dengan Daim? Kau ada jumpa dia lagi ke lepas dia menghilang lepas majlis tu?" soal Syaffiyah ingin tahu. Wajah cantik mulus sahabat baiknya itu direnung menanti jawapan.
Zatul menunduk beberapa saat sambil menghembus nafas panjang lalu memandang wajah satu-satunya orang yang dia paling rapat itu dengan riak wajah tenang.
"Ada. Hmm... Dia tiba-tiba chat aku ajak jumpa kat luar. Rupa-rupanya dia ajak jumpa kat pejabat agama. Dia ceraikan aku hari tu juga," jawab Zatul lalu mengetap gigi kerana sakit hati teringat tentang hal itu.
"Dia tak cakap apa-apa ke? Dia tak explain ke kenapa dia tiba-tiba menghilang?" soal Syaffiyah dengan kerutan seribu di dahi.
Zatul menggeleng disertai dengan keluhan. "Tak... Dia tak explain apa-apa dan dia tak minta maaf langsung. Dia terus lafaz cerai. Aku masa tu jadi speechless. Aku rasa macam roh aku terkeluar sekejap dari jasad. Sakit hati aku ni, sampai sekarang masih terasa tau tak? Aku masih tertanya-tanya lagi apa alasan dia buat macam tu. Lepas tu, dia terus tukar nombor," luah Zatul setelah sekian lama menyimpan perkara itu daripada pengetahuan orang lain termasuk keluarganya sendiri.
"Korang tak sempat kan?" soal Syaffiyah sambil menjongket kening.
"Sempat apa?"
"Sempat yang tu lah... yang tut tut tu," jawab Syaffiyah. "Aduh!" Syaffiyah mengaduh sambil mengusap bahunya yang ditampar sepantas kilat tadi.
"Soalan tu juga yang kau nak tanya kan? Kan aku bagitahu kau, hari dia kelam kabut jalan lepas majlis akad tu, dia terus menghilang."
"Aku saja je nak tahu. Kalau dia tak sempat sentuh kau, baguslah. At least, title kau janda berhias. Jangan risau, harga masih melambung kat market," balas Syaffiyah lalu ketawa dengan muka tidak bersalah.
"Amboi, mulut! Habis tu yang kau tu, bila nak ada?" soal Zatul sengaja menukar topik. Malas hendak mengingat apa-apa perkara berkaitan yang telah menghancurkan hatinya itu.
"Ada apa? Boyfriend? Suami?" soal Syaffiyah lalu meneguk air soda tinnya.
"Ye lah, takkan aku nak tanya bila kau nak berbini pula," balas Zatul lalu ketawa kecil sambil menggeleng.
"Hmm... pasal jodoh, aku sendiri tak tahu bila nak sampai seru aku. Aku bukannya sombong pun kan... tapi dah tak ada lelaki yang nakkan aku, aku nak buat macam mana lagi? Tapi kan, tapi kan, si Syamsul tu handsome kan?" Syaffiyah tersenyum sambil membayangkan wajah lelaki yang akan bertugas dengan mereka nanti.
"Handsome ke? Biasa-biasa je aku tengok," balas Zatul sambil menyepetkan mata memandang Syaffiyah. "Kau trylah, manatau berjodoh," sambung Zatul lagi.
"Hisy! Tak naklah. Nanti jadi perigi mencari timba pula."
"Apa masalahnya? Melepas nanti kan, menyesal pula," kata Zatul lalu ketawa kecil.
Bunyi deruman motosikal dari jauh yang membingitkan telinga, kedengaran semakin lama semakin mendekat. Tidak lama kemudian, tiga orang lelaki semalam berhenti di tempat yang sama mereka parkir semalam.
"X, Y, Zet! Burger macam semalam, tiga," pesan lelaki yang sama memesan semalam. Dia hanya memandang wajah Zatul sekilas pandang lalu mereka duduk di kerusi yang hanya berjarak dua meter dari kedudukan dua orang wanita itu.
"Eh, mamat ni! Menyempat lagi nak cari pasal," gumam Syaffiyah yang sudah berdiri di belakang Zatul yang sedang memakai apron.
"Yang kau tiba-tiba angin tu kenapa?"
"Aku anginlah dengan perangai mat rempit tu! Sengaja cari pasal. Bukannya kenal pun. Dari mana dia tahu nama kau?" soal Syaffiyah sambil memandang geram ke arah lelaki berjaket kulit warna coklat yang sedang ralit bersembang dengan dua orang rakannya.
"Hisy, kau ni. Relaxlah. Tu dalam menu tu kan ada nama aku. Zet's Burger," balas Zatul sambil menyediakan bahan-bahan untuk burger yang dipesan tadi.
"Sejak bila pula kau biar orang ejek kau? Dari dulu aku kenal kau, pantang orang cari pasal. Kalau boleh kau cekik orang tu sampai pengsan," kata Syaffiyah tidak berpuas hati.
"Tak ada sejak bilanya pun. Depend on the situation juga. Mamat tu kan pelanggan aku, lagi pun bukan hal besar pun."
Syaffiyah mendengus lalu dia duduk semula di kerusinya tadi. "Hari ni, last dah kau meniaga kat sini. Lepas ni, kena jalankan misi dah. Kalau aku jumpa mamat tu kat mana-mana, lepas tu dia cari pasal lagi, memang aku lempang mulut dia," omel Syaffiyah yang masih tidak berpuas hati.
Zatul hanya mampu tersenyum dan menggeleng lalu menyudahkan kerjanya.
Selang 5 minit, Syaffiyah berdiri dan meminta diri selepas mendapat satu panggilan telefon. "Zet, aku balik dulu tau. Mak aku suruh aku pergi ambil adik aku kat airport. Sorry tau tak dapat tolong kau kemas kali ni," kata Syaffiyah serba salah.
"Eh, nak sorry kenapa pula? Bukannya aku suruh kau kemas pun kan selama ni? Pergilah, nanti lama pula adik kau tunggu tu."
"Bukannya jauh pun airport dari sini. Okeylah, aku gerak dulu tau. Anything, kalau kau perlukan aku, kau call je, okey?" pesan Syaffiyah lalu menekan alat kawalan jauh untuk membuka kunci keretanya yang hanya berjarak 5 meter di depan.
Selepas Syaffiyah pergi, Zatul duduk menyandarkan tubuh di tempat duduk kebiasaannya. Kerana soalan Syaffiyah sejak semalam, kisah menyakitkan hati yang berusaha dia lupakan, kembali meraja di fikiran. Sejujurnya, sejak hari dia ditinggalkan, hidupnya terasa kosong dan tidak bermakna. Bukannya sekejap perkenalan mereka.
Mereka berkenalan hampir 10 tahun ketika masih di bangku sekolah menengah dan mereka mula bercinta ketika menuntut di universiti. Percintaan selama tiga tahun setengah itu membawa kepada hubungan halal, namun apa tujuan lelaki itu menikahinya kalau dia sebenarnya tidak bersedia? Dia masih belum habis fikir tentang perkara itu hingga ke saat ini.
Bukankah lelaki itu mencintainya sama seperti dia mencintai lelaki itu? Apa sebenarnya punca lelaki itu melarikan diri dan menceraikan dia tanpa sebarang alasan? Apakah kesalahan yang telah dia lakukan? Dia ditinggalkan dengan seribu satu persoalan. Hatinya hancur berkeping-keping kerana harapan palsu yang diberikan oleh lelaki itu. Dia rasa diperbodoh dan dipermainkan. Hatinya kini telah terkunci untuk makhluk bergelar lelaki.
Aku takkan maafkan kau sampai bila-bila!
Pelipisnya diurut-urut sambil menutup mata. Airmatanya sudah kering untuk menangisi kesakitan itu. Dia sudah penat menangis. Dia kini sudah bangkit semula dari kehancuran dan luka di hati yang meninggalkan parut, namun persoalan tanpa jawapan itu tetap sahaja ada dan melekat di dalam mindanya.
"X,Y, Zet!"
Zatul segera membuka mata dan memandang wajah lelaki yang sedang berdiri di depannya. Dua orang rakannya sudah berada di motosikal masing-masing. Sejak bila pula mamat ni berdiri kat sini? getus hati Zatul lalu dia bingkas berdiri.
"Kau boleh tak sopan sikit bila panggil nama orang?" tegur Zatul dengan nada suara mendatar namun tegas. Mata lelaki itu direnung tajam.
"Apa yang tak sopan? Aku panggil nama kau kan tadi? Ke Zet tu nama kucing kau?" balas lelaki itu dengan muka selamba.
"Aku malaslah nak bercakap dengan orang macam kau. Tu kawan kau dah tunggu tu," kata Zatul sambil memandang sekilas ke arah rakan-rakan lelaki itu yang sudah menghidupkan enjin motosikal masing-masing.
'Bro, kitorang caw dulu. Jumpa esok," laung salah seorang rakannya.
"Okey, bro," balas lelaki itu sambil mengangkat ibu jari lalu dia mengalihkan semula pandangannya ke wajah Zatul.
"Malas bercakap dengan orang macam aku? Kenapa dengan aku?" soal lelaki itu sambil memandang tubuhnya sendiri dengan muka selamba.
"Dahlah. Pergilah," ujar Zatul lalu mula mengemas. Malas hendak melayan. Jam sudah menunjukkan pukul 10:55 malam. Sudah tiba masanya untuk dia pulang. Lagi pun, tiada lagi pelanggannya pada ketika ini. Tiga orang lelaki itulah pelanggannya yang terakhir.
Jeda.
"Kau okey ke?" Tiba-tiba lelaki itu menyoal. Mungkin kerana dia ternampak Zatul kelihatan sedih dan mengurut-ngurut pelipisnya tadi.
Zatul mengeluh. Hisy! Menyibuk pula dia ni. Ingatkan dah pergi tadi. Spoil moodlah mamat ni, omel Zatul dalam hati. Zatul menoleh ke belakang dan memandang lelaki itu dengan mata yang disepetkan. Rasa meluat pula.
"Aku okey." Ringkas Zatul menjawab, kemudian dia menyambung semula kerja mengemas peralatannya, kemudian dia menuju ke depan untuk menyusun kerusi-kerusi plastik dan meja lipatnya pula.
"Ingatkan kau berdua dengan kawan kau tadi berniaga. Bahaya tau kau sorang-sorang di tempat macam ni malam-malam begini," kata lelaki itu sambil membantu mengangkat satu per satu kerusi dan menyusunnya.
Terbuntang mata Zatul melihat tindakan lelaki itu. "Aku taulah nak jaga diri. Tak payah tolong aku, aku dah biasa dah buat sorang," balas Zatul lalu merampas kerusi yang sedang dipegang oleh lelaki itu.
"Aku tak minta bayar pun," balas lelaki itu dengan lagak bersahaja lalu mengambil semula kerusi di tangan Zatul dan meletakkannya di atas kerusi yang lain secara berlapis.
Zatul terpempan. Matanya tidak berkedip memandang lelaki yang bersikap bersahaja itu dengan pandangan tidak percaya dan dalam masa yang sama, dia sebenarnya berasa jengkel terhadap lelaki itu.
"Okey, dah siap!" kata lelaki itu sebaik sahaja dia selesai menyusun kerusi dan meja. Wajah Zatul dipandang tenang. Nak letak atas lori tu ke?" soal lelaki itu sambil memandang ke arah lori kecil Zatul.
Belum sempat Zatul menjawab, lelaki itu sudah mengangkat kerusi-kerusi itu untuk dinaikkan di atas lori sehingga selesai.
"Kau terus balik. Bahaya kat sini sorang. By the way, nama aku Faiq. Faiq Aqwa. Nama kau Zet kan?" Faiq menjongket kening.
Zatul mengeluh. Walaupun rasa jengkel dan malas hendak melayan, dia tetap berterima kasih kepada lelaki itu kerana membantunya.
"Zatul. Nama aku Zatul," balas Zatul tenang.
"Kenapa Zet? Kenapa bukan Atul ke, Zat ke, tak lari dari nama asal."
Eh, suka hati mak bapa akulah nak bagi nama tu, marahnya dalam hati. "Dah tu nama yang family dengan kawan-kawan panggil aku dari kecil. Eh, kau pergi baliklah. Aku pun nak balik dah ni. Anyway, thanks," ujar Zatul sambil menahan geram kerana berasa jengkel dengan lelaki yang bercakap seperti sudah lama kenal itu.
"Hm, okey," balas Faiq lalu melangkah menuju ke tempat parkir dengan kedua-dua tangan di dalam poket jaket kulitnya.
Tiba-tiba dua orang lelaki memakai topeng mulut datang menghampiri Zatul dan menghalakan pisau ke arahnya.
"Bagi semua duit yang kau ada!"
Share this novel