Bab 4

Romance Completed 302274

MATANYA tidak berkedip memandang Zatul dari atas sampai ke bawah dan kelihatan ada sedikit kerutan di dahinya. Bibirnya yang diherotkan diketuk-ketuk menggunakan jari telunjuk.

"Kau sekuriti kat mana? Ni dah habis shif ke baru nak masuk shif?" soal Faiq sambil menjongket kening.

Mentang-mentanglah Zatul hanya memakai seluar slack, kasut kulit dan t-shirt di sebalik jaketnya yang tidak berzip, dia terus membuat andaian sendiri.

"Aku nak balik dah," balas Zatul sambil melihat di kiri dan kanannya. Tidak jauh dari kedudukan mereka, ada seorang wanita berusia sedang membelek-belek barang di rak barangan.

"Anak mak shopping dengan mak eh?" perli Zatul lalu menyungging senyuman mengejek dan terus melangkah pergi dari situ. Kalau berlama-lama di situ nanti, berlarutan pula sesi membahan sesama sendiri yang tak sudah.

"Hisy, perempuan ni kan," gumam Faiq sambil memerhati Zatul dari belakang dengan muka tidak berpuas hati.

"Faiq, apa yang tercegat lagi kat situ tu? Bawa sini troli tu," panggil Datin Waheeda.

Faiq mendengus sambil meraup wajah lalu menolak troli menuju ke tempat ibunya.

- - - - -

Seusai solat Zohor, Zatul merebahkan tubuhnya di atas katil sambil mendepakan kedua-dua tangan dan mengusap-usap tilam. Terkebil-kebil matanya memandang siling berwarna putih di dalam biliknya.

Sunyi, sepi dan hati rasa kosong. Hanya bunyi bilah kipas berpusing pada kelajuan sederhana yang kedengaran. Posisi baringnya diubah kepada posisi mengerekot berbantalkan lengan. Satu keluhan panjang dilepaskan.

Baginya, hati yang terasa kosong itu lebih menyakitkan kerana hati itu sudah terbiasa berisi sebelum ini. Hati yang dulu, sering terisi dengan perasaan berbunga-bunga yang mekar indah dan membuatkan dirinya terasa seperti berada di taman bunga dengan rama-rama yang berterbangan. Ah, bahagia! Namun kini, rantai kunci yang mengunci hatinya yang terluka parah itu, saban hari semakin menjerut membuatkan hatinya hilang rasa untuk satu ungkapan, iaitu cinta.

Bunyi deringan telefon di atas meja solek mengejutkannya dari lamunan. Serta merta dahinya berkerut memikirkan siapa yang menghubunginya pada waktu-waktu sebegini.

Sedialah tadah telinga, getus hatinya setelah melihat nama pemanggil yang terpapar pada skrin telefon. Dia menghela nafas dalam-dalam sebelum menatal butang hijau untuk menjawab panggilan.

"Hello, assalamualaikum, mak," sapanya sambil berjalan menuju ke katil dan merebahkan tubuhnya di atas tilam empuknya.

"Waalaikumsalam. Kalau mak tak telefon, entah bila angah nak telefon kan? Nak tunggu panggilan dari pengurus jenazah baru nak balik ke?" Nyaring suara Hajjah Fatimah di hujung talian.

Zatul menjauhkan telefon dari telinga lalu memandang sekilas skrin telefon kemudian melekapkan semula telefon ke telinganya.

"Aduh, mak ni. Tak baik tau cakap macam tu. Angah minta maaf, err... Sibuk sangat. Bukan angah tak nak balik, mak. Tapi belum dapat cuti panjang lagi. In shaa Allah, lepas selesai tugas sekarang ni, angah minta cuti lama sikit, angah balik, okey?"

"Asyik tu je mak dengar dari dulu. Baliknya, tak juga. Mak nak pergi situ pun, angah tak bagi. Bukannya mak nak menyusahkan angah kat situ. Mak masih kuat lagi boleh berjalan ni ha... bukannya pakai pampers nak kena tolong orang tukar pun," bebel Hajjah Fatimah dengan nada terkilan. Mungkin kerana terlalu rindu dengan satu-satunya anak perempuannya itu.

Zatul melepaskan keluhan serba salah dengan perasaan sebak yang serta merta mencengkam dada. Bukannya dia tidak mahu ibunya datang ke situ, cuma dia risau jika ibunya menempuh perjalanan sendirian. Bukannya dekat dari kampungnya hendak ke Kuala Lumpur. Kalau jadi apa-apa di pertengahan jalan nanti, macam mana? Disuruh naik kapal, ibunya sudah serik. Pergi haji dulu itulah kali terakhirnya menaiki kapal terbang.

Kerana ingin merawat hatinya yang hancur, dia menyibukkan diri sehingga dia tiada masa untuk balik ke kampung. Kalau dia balik pun, hanya untuk satu malam sahaja. Lagi pun, dia sebenarnya belum bersedia lagi untuk memberitahu hal sebenar tentang penceraiannya kepada keluarganya. Dia tidak sanggup mendengar kekecewaan ibunya nanti kerana ibunya menaruh harapan yang tinggi terhadap Daim untuk menjaga dan membahagiakan dirinya. Tapi, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan segala-galanya.

"Tak mak. Bukan macam tu... Angah tak fikir langsung pasal mak menyusahkan ke apa. Kalau mak kat sini nanti, lagilah mak sunyi kalau angah kerja. Kalau kat kampung tu kan ada uncu dengan along. Mak ada nak minta apa-apa tak? Nanti angah beli... tak pun angah kirim duit je, nanti mak ajaklah uncu atau along pergi beli." Sengaja dia cepat-cepat menukar topik perbualan. Kalau tidak, sampai 40 hari 40 malam pun tak akan habis bebelan ibunya. Tadi baru mukadimah, belum isinya lagi.

Terdengar keluhan Hajjah Fatimah di hujung talian. "Banyak lagi duit mak kat bank tu ngah. Duit yang angah kirim tiap bulan tu, tak banyak terusik pun. Mak ni bukannya banyak guna belanja," balas Hajjah Fatimah dengan suara yang semakin mengendur. Semakin serba salah Zatul dibuatnya.

Selepas mematikan talian, Zatul meletakkan telefonnya di atas meja kecil yang bersebelahan dengan katil. Keluhan demi keluhan terpacul dari mulutnya. Tujuannya balik awal tadi supaya dia boleh merehatkan fizikal dan mentalnya untuk tugas malam nanti, tetapi perbualan telefon dengan ibunya sebentar tadi membuatkan otaknya semakin ligat berputar.

"Otak... tolong jangan banyak berfikir. Aku nak rehat," desis Zatul sambil memejam erat matanya.

- - - - - -

Zatul dan Syaffiyah duduk di kerusi bulat meja bar untuk memantau dari posisi masing-masing. Sudah satu jam lebih mereka di situ. Syamsul yang duduk di hujung meja bar itu berkali-kali memandang ke arah mereka sejak tadi, atau lebih tepat lagi, memandang Zatul sebenarnya.

"Memang sah, si Syam tu syok kat kau," bisik Syaffiyah di telinga Zatul. Baru Zatul hendak menoleh ke arah lelaki itu, Syaffiyah segera menegah. "Jangan toleh, nanti dia perasan kita bercakap pasal dia," kata Syaffiyah dengan suara yang ditekankan.

Zatul merendahkan kedudukan topinya dan melirik sekilas rakan setugas baru mereka itu. Ternyata benar lelaki itu asyik memandangnya dan sesekali dia melihat-lihat di sekeliling kelab malam itu untuk memantau keadaan.

"Suspek dah datang," kata suara garau salah satu anggota melalui alat mendengar di telinga masing-masing.

"Tunggu sampai semua pembeli besar datang baru kita serbu." Kini, suara Tuan Kamarul pula memberikan arahan.

Selang beberapa minit, seorang lelaki duduk di sebelah Zatul dan memesan Pepsi. Secara tidak sengaja, pandangan mata mereka bertembung tatkala kedua-duanya sedang melihat-lihat ke sekeliling. Bagaikan terkena renjatan elektrik, kedua-duanya tergamam dengan mata yang terbuka luas. Terasa dunia ini terlalu kecil pula.

"Patutlah aku singgah tadi, gerai tak buka. Lepak kat sini pula kau eh? Aku tak sangka pula korang ni jenis perempuan yang lepak kat tempat macam ni," kata Faiq dengan nada sinis disertai dengan senyuman senget. Zatul yang memakai topi dan jaket kulit dipandang dari atas sampai ke bawah.

Syaffiyah mengetap gigi menahan marah. "Nasib baik tengah bertugas sekarang. Kalau kat luar, memang aku dah hantuk-hantuk kepala mamat ni kat dinding," gumam Syaffiyah di sebelah Zatul.

"Aku kacau hidup kau ke kalau aku datang kat tempat macam ni? Aku guna duit kau? Tak kan? Yang kau pula, mak kau tahu ke kau pergi sini?" balas Zatul sambil menjongket kening dengan riak wajah selamba.

"Memang tak kacau pun, tapi masalahnya, aku nak makan burger tadi, tapi kau lepak kat sini pula. Kaki clubbing rupanya," ujar Faiq sengaja memprovok.

"Tak payah nak cakap orang kalau sendiri pun sama," bidas Zatul tenang. Walaupun sakit hati mendengar kata-kata sinis lelaki itu, dia harus kekal tenang dan profesional kerana dia sedang bertugas pada ketika ini.

Belum sempat Faiq membalas, telefon di dalam poket jaketnya bergetar. Laju sahaja dia menjawab panggilan sambil melihat-lihat di sekeliling.

"Hmm, ya. Lupa pula. Woman always right kan? Lelaki je yang salah, perempuan tak pernah salah," perli Faiq selepas mematikan talian lalu menghabiskan air Pepsinya dengan beberapa kali teguk dan terus pergi tanpa berkata apa-apa.

"Standby! Diorang dah masuk," kata suara Tuan Kamarul melalui alat mendengar masing-masing.

Zatul dan Syaffiyah memandang ke arah Syamsul di hujung meja dan mereka saling mengangguk sebagai isyarat bersedia. Mereka terus memandang ke arah pintu masuk.

Sekumpulan lelaki berpakaian kemas, masuk ke dalam kelab itu membawa beg bimbit di tangan masing-masing dan apa yang mengejutkan, Faiq kelihatan sedang bersalaman dan bercakap-cakap dengan kumpulan lelaki itu dengan mesra.

Dia terlibat ke? bisik Zatul dalam hati dengan kerutan di dahi. Kumpulan lelaki itu menuju ke satu lorong yang menghala ke ruangan khas yang biasa digunakan oleh golongan VIP.

Selang 15 minit, Tuan Kamarul bersama dengan 8 orang anggota, masuk ke dalam dan memberi amaran kepada pengunjung yang ada di situ untuk mengosongkan tempat itu.

"Hati-hati, mereka ada senjata. Mereka tidak akan duduk diam dan akan cuba larikan diri," pesan Tuan Kamarul kepada tiga orang inpektornya itu lalu membuat isyarat untuk sama-sama masuk membuat serbuan. Ketiga-tiga mereka sudah bersedia dengan senjata di tangan masing-masing dan sudah siap memakai baju kalis peluru.

Ternyata benar sangkaan Tuan Kamarul. Ketika serbuan dilakukan, berlaku sesi tembak-menembak dalam percubaan para suspek untuk melarikan diri, namun keadaan reda dan terkawal selepas 10 minit. Bilik sederhana besar itu agak berkabus kerana asap dari senjata api.

Faiq yang bersembunyi di sebalik sofa segera berdiri setelah yakin keadaan sudah terkawal dan kebetulan Zatul berdiri di depan sofa pada ketika ini. Masing-masing kelihatan terkejut. Berkerut dahinya kerana Tuan Kamarul tidak memberikan sebarang arahan walaupun dia sudah melihat Faiq.

Tanpa dijangka, ketika anggota sibuk menggeledah bilik itu, salah seorang daripada suspek yang bersembunyi di belakang kabinet tiba-tiba meluru keluar dan mengacukan pistol ke arah Faiq.

"Lindung informer kita!" jerit Tuan Kamarul sambil menuding ke arah Faiq.

Tanpa menunggu lama, Zatul yang berada di depan sofa segera meluru dan melompat ke tubuh Faiq yang berdiri di belakang sofa supaya menunduk.

Panggg! Panggg!

Dua das tembakan bergema di dalam bilik itu. Satu daripada suspek dan satu daripada anggota polis.

Terkebil-kebil mata Faiq dengan apa yang sedang berlaku. Kepalanya terhantuk di atas lantai kerana tolakan Zatul tadi dan wanita itu masih berada di atas tubuhnya pada ketika ini.

"Clear!" jerit salah seorang anggota yang bertugas.

"Sorry," ucap Zatul lalu cuba bangkit daripada tubuh Faiq di dalam ruangan yang sempit di belakang sofa itu. Tangan kirinya berpaut pada sofa untuk membantunya berdiri dan ketika dia sudah berdiri, tangan kirinya dengan pantas mencengkam lengan kanannya. Kelihatan darah segar mengalir di celahan jari jemarinya.

Syamsul memandang ke arah Zatul dan serta merta matanya terbeliak. Dengan pantas dia meluru ke arah Zatul. "Ada anggota tercedera!" jerit Syamsul. Syaffiyah yang sedang memegang suspek yang sedang digari turut terbeliak melihat sahabat baiknya itu tercedera.

"Tekan luka tu kuat-kuat. Mari, saya bawa awak ke hospital," kata Syamsul dengan riak wajah risau sambil memaut bahu Zatul. Zatul hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Luka kesan tembakan di lengannya itu semakin lama semakin terasa sakit berdenyut.

Faiq yang sudah berdiri hanya mampu memerhati Zatul dibawa pergi oleh Syamsul dengan perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience