Series
1108
Tiada manusia di muka bumi Allah ini tidak mahu menikmati kebahagiaan dalam kehidupan. Baik dalam kehidupan seharian, perkahwinan, percintaan, jodoh, persahabatan atau apa sahaja.
Memiliki cinta abadi bukan sesuatu yang mudah. Benarlah kata manusia, cinta pada manusia, takkan kekal. Tapi, cinta pada Yang Maha Esa, itulah selamanya.
Bagi Manjalara Mustika, gadis kampung yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading, membuatkan Manja sentiasa tunduk ke bumi. Manja hidup sebatang kara selepas ditemui di sebuah surau di sebuah kampung yang dikenali dengan nama Kampung Semerbak.
Mak Mah yang menemui Manja, menjaga Manja sejak dari hari pertama Manja ditemui. Mak Mah hidup bersama suaminya, Pak Aus, menjaga Manja penuh dengan kasih sayang dan menatangnya bagai minyak yang penuh.
Dengan berniaga di warung berdekatan rumah dan berkebun secara kecil-kecilan, membolehkan Manja diberi keselesaan seperti kanak-kanak lain sehinggalah, Pak Aus menghembuskan nafasnya ketika Manja berusia tujuh belas tahun, dua minggu sebelum Manja menduduki peperiksaan besar yang bakal mengubah hidupnya.
Namun disebabkan kesempitan hidup, Manja mengambil keputusan untuk membantu Mak Mah yang dipanggil umi untuk meneruskan kehidupan selepas peperiksaan besar tersebut.
Manja mendapat keputusan cemerlang dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Memikirkan Manja bakal meninggalkan uminya, Manja mengambil keputusan drastik mahu meneman dan menjaga Mak Mah.
"Manja..."
"Manja kat belakang, umi!" laung Manja seraya meninggalkan jemuran sebelum mendapatkan Mak Mah yang baru pulang bekerja di rumah orang kaya yang terletak hampir satu kilometer dari rumah mereka dengan mengayuh basikal.
"Umi, air..." Manja menghulurkan segelas air sejuk lantas diserahkan pada Mak Mah sebelum mengambil beg lusuh umi dari bahu Mak Mah dan digantung di tempat biasa.
"Umi, penat tak hari ni?" soal Manja sambil mengelap peluh yang terbit di dahi Mak Mah.
"Sikit je..."
"Umi ni, kalau Manja tanya, mesti itu jawapan umikan?"
"Manja dah tahukan jawapan umi?" Manja tersenyum sehingga mempamerkan barisan gigi putihnya.
"Manja masak apa hari ni?"
"Maaf, umi. Manja masak ikan masin dengan nenas."
"Gulai kuning?"
"Ya, umi. Err, Manja ada petik pucuk ubi kat belakang. Tadi dah celur sekali."
"Ada sambal belacan tak?"
"Eh, mestilah ada. Itukan kegemaran umi..."
"Bertuah umi dapat anak macam Manja..." rambut panjang Manja diusap penuh kasih sayang.
"Umi yang ajar Manjakan? Lagipun, umi dah penat cari rezeki. Jadi, Manja kena jaga rumah, sediakan makanan, cuci pakaian. Bukannya susah pun, umi."
"Yelah. Umi tahu anak umi ni memang rajin, pandai masak. Bertuah siapa yang kahwin dengan anak umi ni..." usik umi sambil mengelus pipi Manja.
"Umi, kalau penat sangat, biarlah Manja je yang kerja kat rumah mak engku tu..."
"Umi masih larat lagi, sayang..." balas umi usai meneguk air sejuk dari gelas kaca.
"Manja boleh tolong umi. Lagipun, umi dah tak larat sangat. Manja kesiankan umi. Umi nanti cakap dengan mak engku tu, ya?"
"Tak perlu, Manja. Manja duduk je kat rumah ni. Biar umi yang cari rezeki. Umi tak nak apa-apa berlaku kat Manja."
"Umi, Manjakan dah dewasa, dah boleh jaga diri Manja sendiri."
"Ya, umi tahu. Tapi, kat luar tu, banyak cabarannya, Manja. Umi tak nak anak kesayangan umi ni terkena tempias yang tak elok." Manja menundukkan wajah.
"Dengar cakap umi, ya Manja? Kalau umi perlukan bantuan, umi akan bagitahu Manja, ya?"
"Baik, umi. Manja faham." Mak Mah lega dengan jawapan Manja.
"Jom umi, kita makan dulu. Nanti lauk tu dah sejuk, tak sedap pula."
"Anak umi masak apa pun, kalau panas, sejuk ke, semua sedap." Manja tersenyum lebar dengan pujian umi.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Mana pengantin perempuan?"
"Ada ni, tok." Tengku Nina tersenyum simpul saat dirinya menjadi perhatian di pelaminan sambil ditemani bondanya, Tengku Nuraisyah Nazmi. Sesekali Nina melirik ke arah Tengku Fayyad, bakal suaminya yang duduk dihadapan tok kadi.
"Semua dah sedia?"
"Dah, tok."
"Alhamdulillah. Kalau macam tu, boleh kita teruskan majlis nikah ni..."
"Boleh, tok..."
"Err, Tengku Fayyad, boleh kita teruskan?"
"Silakan, tok..."
"Baik." dengan lafaz bismillah dan sedikit tazkirah berkaitan perkahwinan, akhirnya dengan sekali lafaz, Tengku Nina kini sah bergelar isteri kepada Tengku Fayyad, suami pilihan bondanya.
Tengku Nuraisyah dan Datuk Seri Paduka Tengku Fauziah, bonda Tengku Fayyad, bersahabat baik. Perkahwinan ini adalah rancangan kedua mereka bagi merapatkan silaturahim mereka berdua sekaligus bertujuan untuk memperbesarkan empayar perniagaan keduanya.
"Tengku, silakan..." tegur tok kadi sambil menyerahkan beberapa helai dokumen untuk ditandatangani Tengku Nina.
"Nanti!" serta-merta mati senyuman di wajah Tengku Nina sebaik terdengar suara garau milik seorang lelaki di pintu masuk banglo mewahnya.
"Siapa kamu? Jangan ganggu majlis ini!" tegah bapa pengantin perempuan, Tengku Kalam Kamarudin. Lelaki itu berdiri di muka pintu banglo mewah tersebut sambil mendukung seorang bayi perempuan yang dianggarkan berusia setahun.
"Pengawal! Halau dia!" arah Tengku Kalam.
"Nanti dulu! Aku akan pergi selepas aku bertemu dengan Tengku Fayyad!" tegas lelaki tadi. Tengku Fayyad menoleh ke arah Nina. Wajah Nina berubah riak. Terpampang riak wajah takut dan Nina kelihatan gelisah di pelamin indah.
'Macamana dia tahu rumah aku? Matilah aku kalau Ayyad dan keluarga aku tahu...' getus hati Nina sambil tangannya meramas-ramas baju kurung moden yang tersarung di tubuh langsingnya.
"Aku, Tengku Fayyad. Kau siapa? Dan apa tujuan kau ganggu majlis kami dengan membawa bayi ini?"
"Aku, Engku Fazli Fakhrul. Ini, anak aku dan Tengku Nina." tergamam Tengku Fayyad mendengar kata-kata lelaki itu. Kedengaran suara-suara sumbang yang berbisik-bisik di dalam ruang tamu rumah agam itu.
"Ini bukan masa untuk kau bergurau. Nina dah sah jadi isteri aku."
"Aku tak bergurau, tengku. Nina, ibu kandung kepada bayi perempuan ini." semua mata tertumpu ke arah Nina yang sudah semakin cuak dan ketakutan. Air liur berpasir ditelan berkali-kali.
"Aku bukan nak ganggu pernikahan kau, tengku. Tapi, kau perlu tahu yang Nina bukan seorang perempuan yang layak untuk kau."
"Apa buktinya kau tuduh anak aku?" Tengku Kalam mencelah sambil bercekak pinggang.
"Aku punya semua bukti. Dan, kalau nak kepastian, ini laporan DNA yang menunjukkan bayi ini adalah anak kandung Tengku Nina Naqila." laporan tersebut dirampas dari tangan lelaki tadi.
"Kau...kau tak bergurau?" soal Tengku Fayyad usai meneliti laporan DNA tersebut.
"Demi Allah dan aku bersumpah atas anak kandung aku, Tengku Fatin Faiznur..." lelaki yang dikenali dengan nama Engku Fazli meletakkan tapak tangannya di atas kepala bayi perempuan itu.
"Tapi, kenapa baru sekarang kau muncul? Kenapa tidak dari awal?"
"Nina berjanji untuk bernikah dengan aku hari ni. Segala persediaan telah keluarga aku sediakan. Dia janji untuk pulang setelah segala urusan selesai."
"Tapi, sudah seminggu dia tidak pulang ke kediaman kami. Dan selama ini, Nina banyak sorokkan kisah keluarga dia." sesekali Tengku Fayyad menoleh ke arah Nina.
"Aku terpaksa mengupah penyiasat persendirian untuk mencari maklumat tentang Nina dan keluarganya. Aku minta maaf sebab terlewat tiba. Tapi, aku takde niat nak hancurkan hidup kau, tengku. Aku cuma tak nak kau terus ditipu perempuan tu!" jari dituding tepat ke arah Nina.
"Fayyad, jangan percaya cakap dia! Dia sengaja nak rosakkan hubungan kita!" Nina mula bersuara apabila tidak mampu lagi bertahan dengan umpatan orang sekeliling.
"Aku nak tipu untuk apa, Nina? Kau tak nak susukan bayi ni, lepas melahirkan, aku terima. Kau minta aku jaga bayi ni, aku setuju sebab aku memang sayangkan anak kita."
"Tapi, bila kau cuma menipu aku, dan sekarang kau cuba nak hancurkan hidup lelaki lain, aku tak boleh bersabar, Nina."
"Kalau bukan disebabkan aku upah penyiasat persendirian, aku takkan tahu segala penipuan kau!" tegas Engku Fazli.
"Nina, explain..."
"Ayyad, you jangan percaya cakap dia! Dia nak rosakkan majlis kita, Ayyad. You kena percayakan I!"
"Explain!" melengking suara Tengku Fayyad sehingga terhinjut tubuh Nina yang berada di sisinya.
"Ayyad, sampai hati you tengking I?" Tengku Fayyad tersungging melihat wajah Nina yang penuh dengan kepura-puraan.
"I cakap apa, Nina? I nak you explain pada I, pada keluarga I dan semua tetamu kat sini. Now!!!" terhinjut tubuh Nina dan tetamu lain dengan jerkahan Tengku Fayyad yang semakin nyaring.
"Ayyad, I...I tak tipu you, Yad. I love you dan I takkan curangi you..." rintih Nina dengan air mata palsunya.
"Ayyad..."
"Bonda, stay away! Jangan campur urusan Ayyad." halang Tengku Fayyad tatkala bondanya, Datuk Sri Tengku Fauziah Fadli dari mencampuri urusan mereka. Fayyad tahu, sudah pasti bondanya akan menyebelahi Nina lantaran Nina merupakan calon pilihan bonda.
"Ayyad, calm down. Ini melibatkan maruah kita semua."
"Ayyad tahu, bonda. Ayyad nak selesaikan hal ini sebelum berlakunya pertumpahan darah kat sini!" ugut Tengku Fayyad seraya mencerlung tajam ke arah Nina yang tidak keruan.
"Ayyad nak tahu, permainan perempuan pilihan bonda ni..." sindir Tengku Fayyad dengan jelingan tajam.
"Nina, sampai bila you nak menipu? Ini anak kita, Nina. Ini Engku Fatin Faiznur. Nama yang you pilih sendiri."
"You diam!" bentak Nina cuba menafikan kebenaran.
"Nina, I nak tahu semuanya. Kalau you betul tak curangi I, jom kita buat ujian DNA sekali lagi."
"Fayyad, you tak percayakan I?"
"Kalau you tak salah, tak perlu takut, Nina. Hanya manusia penipu dan bersalah je yang takut dengan bayang-bayang sendiri." sindir Tengku Fayyad bersama sengehan. Dari awal perkenalan, banyak desas-desus kedengaran mengenai Tengku Nina yang terlalu sosial.
Bila Fayyad bincangkan hal Nina, bonda sering menyebelahi Nina sehingga Fayyad mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan berusaha mencari jalan untuk memutuskan hubungan mereka.
Tapi, Fayyad sayangkan bondanya yang telah banyak berkorban untuk dirinya setelah kematian arwah ayahanda, Tengku Zainurashyid bin Tengku Zainal Abidin. Disebabkan rasa hormat dan sayangkan bonda, Fayyad menerima pilihan bondanya dalam keterpaksaan.
"Nina... Kita dah dua tahun bersama. Setahun you stay kat Australia sampai you melahirkan anak ni, you lupa ke, Nina? I yang sentiasa ada di sisi you selama ini."
"Diam! Jangan cuba nak rosakkan majlis I!" jerit Nina.
"Australia? Maksudnya, you bukan ke Australia untuk sambung belajar?"
"I...I memang belajar, Ayyad. I sambung masterkan?" tergagap-gagap Tengku Nina.
"Huh! Dia tipu, Tengku Fayyad. Selama kat sana, aku yang tanggung hidup mewah dia. Segala perbelanjaan, makan, minum, pakaian dia, aku yang tanggung."
"Kalau kau tak percaya, Tengku Fayyad, kau boleh tanya bonda mertua kau sendiri. Tanya Tengku Nuraisyah. Aku menipu atau Tengku Nina yang menipu..." semua mata tertumpu ke arah Tengku Nuraisyah yang kelihatan pucat di tepi pelamin.
Datuk Sri Tengku Fauziah Fadli mencerlung tajam ke arah sahabat baiknya sebelum menghampiri Tengku Nuraisyah.
"Aisyah, cakap dengan I, terus-terang dengan kami. Betul ke apa yang budak lelaki tu katakan?"
"I..."
"Cakap, Aisyah. You tahukan perangai I yang takkan mengalah dalam mencari kebenaran?"
"I...I tak tahu, Gee. I memang tak tahu."
"Bohong!" cantas Engku Fazli.
"Anak ini bukti ikatan antara aku dan Tengku Nina." tegas Engku Fazli seraya mendukung tinggi si comel yang tertawa kecil, tidak tahu apa yang berlaku disekelilingnya.
"Tengku Kalam, Tengku Nuraisyah, mungkin kalian berdua boleh menafikan sekeras-kerasnya kewujudan anak kecil ini. Tapi, kalian takkan mampu menghapuskan darah kalian yang mengalir dalam darah anak kecil ini." ujar Engku Fazli lagi. Tengku Kalam dan Tengku Nuraisyah menundukkan wajah.
"Tengku Fayyad, maafkan aku dah rosakkan majlis kau. Maaf sebab aku lewat membuktikan siapa Tengku Nina. Semua ini adalah bukti siapa aku di sisi Nina dan siapa Nina pada aku..." beberapa helai kertas dan beberapa keping gambar, diserahkan pembantu Engku Fazli kepada Tengku Fayyad.
"Aku takkan muncul lagi di depan kalian semua, terutama kau, Tengku Nina Naqila. Dan, seperti yang kita janjikan sebelum ini, anak ini adalah hakmilik aku dan kau tiada hak merampasnya dari aku. Selamat tinggal semua. Moga kau berbahagia bersama-sama manusia munafik!" tegas Engku Fazli sebelum berlalu.
"Tengku Nina Naqila!!!" terhinjut tubuh Nina dan tetamu di situ dengan jerkahan Tengku Fayyad yang mula menghampiri Nina, Tengku Kalam dan Tengku Nuraisyah dengan riak wajah bengis dan penuh dengan kebencian. Kertas di dalam genggaman Tengku Fayyad, keromot akibat digenggam kasar.
"Kau dengar sini, Tengku Nina Naqila binti Tengku Kalam Kamaruddin. Dengan ini, aku ceraikan kau dengan talak satu!" tercengang dan terkejut semua tetamu termasuk bonda Fayyad dengan kenyataan yang baru sahaja dilafazkan Tengku Fayyad pada isterinya yang baru sahaja dinikahkan.
"A...yyad... You...you tak boleh ceraikan I, Yad. I...I isteri you..."
"Isteri? You serahkan tubuh pada lelaki lain sehingga terlahirnya anak yang tidak berdosa, Nina. You rasa you ada ke lelaki lain yang boleh terima perempuan yang telah ditebuk tupai?" soalan yang memakan diri Nina. Nina menunduk malu.
"Ini pilihan bondakan? Betina yang bonda agungkan sangat ni. Puas hati, bonda? Puas hati dah rosakkan hidup Ayyad?"
assalammualaikum, pembuka bicara
Share this novel