Wajah bumi ceria hari ini. Seceria aku melangkah ke sekolah dengan berbekalkan keazaman yang tinggi. Keputusan abah untuk berpindah ke Kuala Lumpur telah pun berakhir. Aku akan tetap bersekolah disini, sekolah yang memberi seribu kegembiraan kepadaku.
“Gembira nampak! Ni mesti ada berita baik yang nak kau sampaikan pada aku,” Ainul Syadira sudah menduga dari awal. Memang benar dugaannya setelah aku mula bercerita kepadanya.
Aku dan Ainul Syadira sedang berehat di sebatang pokok ketapang yang rendang tumbuh di satu sudut berhampiran alur. Berehat di bawah pokok ketapang memang menyeronokkan sewaktu masa rehat. Teduh.
“Kau dah bersedia ke?”
“Bersedia untuk apa?” Soal Ainul Syadira kehairanan.
“Untuk menghadapi peperiksaan,” jawab aku.
“Entah susah nak cakap. Kau pula dah bersedia ke?” Soal Ainul Syadira kembali.
“Bersiap sedia sepenuhnya tu tak adalah sangat tapi aku dah mula ulangkaji pelajaran dari sekarang. Hmm.. bukannya apa, kadang-kala tu aku rasa bimbang kalau gagal lagi dalam peperiksaan percubaan. Dahlah peperiksaan pertengahan tahun aku gagal mendapatkan pointer tinggi. Kalau boleh aku tak nak menghampakan hati guru-guru,” luah hati aku dengan rasa terkilan di atas kegagalan lalu.
Kalau boleh aku mahu menyumbangkan sesuatu yang berharga untuk sekolah sebelum aku melangkah pergi kerana tahun ini merupakan tahun terakhir aku berada di sekolah ini.
“Aku sebelum ni pun dah usahakan yang termampu tapi aku masih belum memperolehi keputusan yang cemerlang. Aku sedihlah juga,” Ainul Syadira mula meluahkan rasa hatinya.
“Setiap usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa dan diiringi doa pasti akan berjaya. Pengorbanan guru tidak ternilai harganya. Aku berharap tidak akan menghampakan hati mereka. Aku tahu kejayaan kitalah yang mengembirakan hati mereka,” ujar aku cuba menyelami hati guru-guru yang pernah mendidik aku sebelum ini. Ainul Syadira mengangguk tanda setuju mendengar kata-kataku. Sejurus selepas itu, aku dan Ainul Syadira kembali ke kelas kerana masa rehat telah pun berakhir.
Share this novel