“Semalam saya baru pulang dari mesyuarat semua sekolah. Saya berasa malu apabila sekolah kita tidak dapat mencapai tahap yang tinggi dalam peperiksaan. Saya tidak tahu di mana lagi saya harus sembunyikan muka saya ni. Sekolah-sekolah lain telah mengatasi sekolah kita,” ujar Penolong kanan PPU. Kehampaan jelas di wajahnya. Aku semakin digamit kepiluan. Semua pelajar lain mendengar penuh minat memandang wajah guru itu. Aku juga sama memberi perhatian sepenuhnya.
“Kita cuma ada tiga minggu untuk belajar dan tidak lama lagi awak semua akan bercuti. Selepas itu awak akan menghadapi peperiksaan percubaan. Kita sudah tidak ada banyak masa. Saya tampalkan jadual belajar sampai pukul lima petang tapi awak semua langsung tidak menghormati saya sebagai guru. Awak pulang awal dan tidak berada di sekolah!" Tertunduk semua pelajar mendengar luahan hati guru itu. Ada khilaf di hati masing-masing pada setiap kesalahan yang dilakukan.
"Saya kagum cara belajar pelajar tahun lepas mereka begitu gigih berusaha. Di mana-mana sahaja mereka mesti membaca buku. Saya memang tidak menghalang mereka untuk belajar di mana-mana sahaja dan mereka memiliki kumpulan belajar sendiri, berbincang sesama sendiri. Malah, ada yang meminta untuk melanjutkan belajar sampai pukul tujuh petang, tapi saya tidak membenarkannya disebabkan bimbang keselamatan mereka di sekolah..."
"Cubalah awak semua tengok bagaimana cara orang-orang yang berjaya belajar. Bagi mereka, cuti tidak pernah ada. Sebagai seorang pelajar, awak semua harus mempersoalkan diri sendiri. Sejauh mana aku belajar? Berapa jam aku belajar sehari-harian? Adakah aku sudah cukup persediaan menghadapi peperiksaan nanti? Persoalkan diri awak sendiri. Belajar dari orang-orang yang sudah berjaya, contohi mereka..” sambungnya memberi nasihat dan semangat yang tinggi.
Hatiku berselut kepiluan mendengar untaian askara yang terbersit daripada luahan bibir guru itu. Aku tahu hati guru itu benar-benar terluka. Aku sendiri turut digayuti kesedihan mendengar kata-kata guru itu kerana semampu mungkin aku sedang cuba menyelami hati guru itu di hadapanku.
Share this novel