bab 4

Romance Completed 21625

CADAR dan selimut yang renyuk-renyuk di atas tilam sama seperti fikirannya juga, berenyukkan.  Tidak pernah sekali pun, layar minda akan menjadi seperti sehelai sutera putih yang bersih dan suci.

Mencampakkan pandangan ke sebelah.  Masih tidak terusik teduh kelopak matanya.  Bening menyaksikan kejayaan lelaki di sebelahnya itu. 

Kesakitan dan kegoresan yang cukup menyengat kembali.  Awan mendung mulai bergayutan di pelupuknya, kala rasa bersalah menerpa fikiran.

Bersalah kerana membiarkan dirinya itu diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenang oleh insan-insan berhati durjana. 

Dan kini, diri yang tidak ubah seperti ladang dengan begitu mudah sekali di taburi semaian tanpa keizinan tuannya. 

Ada masanya dia amat mencemburui lukisan di luar bangunan pencakar langit itu.  Mengapa tidak seserabut kanvas hidupnya?  Kenapa mesti berada dalam suasana tenang? 

Kenapa mesti ada suka?  Mengapa duka pula yang dia terima?

Leraian ikal mayang yang makin menutupi paras pucatnya itu terus di sauk ke dalam semula.  Gebar tebal yang menutupi sekujur tubuh polos di selak rakus. 

Sepasang kaki telanjangnya menjejaki permaidani putih suci nan tenggelam itu sebelum tubuh di angkat.  Lingerie yang tersadai atas sofa diangkat lantas disarung dari atas kepala.

Membuka langkah gontai menuju ke arah jendela berkaca gelangsar.  Enggan membukanya, kala biasan yang terpapar di permukaan kaca seakan mengejeknya. 

Pelbagai ekspressi yang kaca itu ukirkan, dari tersenyum sehinggalah menangis  buat tatapan dia saat itu.  Isyarat beban-beban yang bersarang di jiwa.  Yang memenuhi pundak. 

"Kau sudah kalah, Indah.  Kalah pada nasib yang kau ciptakan sendiri..." ujar salah-satu ekspressi yang terbias di permukaan kaca. 

"Tidak!" Melepaskan kegundahan di hati dengan menolak gelangsar sehingga ternganga luas.  Bayu malam yang membawa sekali kristal salju menerpa tubuh yang berpakaian amat singkat itu.

Tetap menjejakkan kaki atas lantai balkoni biar tubuh menggigil kesejukan.  Makin kuat gigilan leraian-leraian hitam ikal mayangnya itu kalah di sergah bayu kota asing itu.

Indah membiarkan sahaja leraian tersebut menutup bahagian atas kanvas berlukisan sedihnya itu.  Melemparkan pandangan serta menjangkau ke seluruh pelosok yang busur matanya itu boleh tembusi.

Tanpa ingin dia menghiraukan sang jejaka atas tilam itu sedar akan kehilangannya itu atau pun tidak.  Dia ingin bersendirian.  Dia ingin menyepi.

'Dan tak semua kehidupan yang sudah kita lalui itu, akan berpihak kepada kita' 

"Tak, tidak sesekali akan aku izinkan ia berlaku.  Aku percaya satu hari nanti pasti akan berpihak pada aku!" ujar Indah laju menggeleng seorang diri.

Langsung dia melabuhkan sepasang tirai berbulu lentiknya itu buat sejenak.  Nafas di sedut dengan sedalam-dalamnya.  Tubuh masih lagi menggigil kerana hembusan bayu malam tiada henti. 

Musim salju masih lagi mengundang purnama itu.  Tak lama lagi bakal menjelang pesta Natal.  Dan juga Tahun Baru.  Tapi adakah tahun baru  dalam hidup Indah Mustika?

Tersingkap tanpa sempat dia mendalami apa yang tersirat.  Tubuh dalam rangkulan sepasang tangan berurat dari arah belakang. 

Hembusan bayu bersatu dengan nafas yang hadir dari arah belakang.  Belahan mungil nan merah yang sudah dia basahi dengan liur,  sekali lagi menjadi jamahan.  Sedikit mendesak tekanannya itu.

"No, cukup I penat. Please bagi I sendirian sekejap," pinta Indah meleraikan dakapan erat lelaki itu.  Dengusan kasar sebagai jawapan. 

Tidak terusik paras serta jiwanya.  Suara Indah Mustika melunakkan lagi  naluri menggilanya itu.  Dia bertaruh sekali lagi, dan kali ini akan dia pastikan kemenangan berpihak padanya.

Indah meneguk liurnya sendiri dengan hati yang terkilan.  Malam yang penuh dengan kekusutan dan kekalutan itu,  mengapa dia rasa kian panjang?

Kekesalan hati terhadap wajah si tua itu,  begitu bertubi-tubi datangnya.  Hadir pula suara ibu yang mengandungi seribu derita yang tidak kesudahan.  Jiwanya terhiris.  Benar-benar pedih!

Tali pedati si 'kuda' yang dipegang semakin digenggam erat.  Indah kehilangan bicara.  Hanya yang mengerti sahajalah yang tahu betapa derita batinnya itu.

Dunianya tidak pernah secerah alam semesta pabila dia terkurung dalam sangkar besi itu.  Dia bukan sahaja musafir malah abdi pada kerakusan serakah seorang manusia. 

Tan Sri Badrul kian terasa hangat walau di sergah bayu yang mengiringi kristal-kristal salju berjatuhan ke paras Indah yang singgah di  palang kaca koridor, tergeletak menahan kesejukan serta kepedihan hati. 

PRANG!

Gelas yang tanpa sengaja dia tertolak itu berkecaian, sepertimana hatinya pada tika itu.  Menjunam dari atas meja bar dapurnya.

Teralir rasa simpati pada insan yang pernah berasmara tanpa jemu dengannya.  Membiarkan sejenak, roda pemikiran berputaran di alam khayalan. 

Dalam mengimbau kemanisan yang sudah jauh dia tinggalkan.  Tertunduk parasnya tatkala badai menggoncang apa yang sudah berkubu sehingga tumbang tiang ikatan.

"Indah sayang..." Walau jenuh dia cuba menepisnya namun kotak ingatannya tidak mampu untuk berbuat begitu,  di beliti tali asmara yang erat. 

"Abang sedang menerima hukuman pada setiap apa yang dah abang tega lakukan.  Tega musnahkan..." Kuluman bicara hadir antara mahu atau tidak sahaja dari celahan bibir yang dia bukakan sedikit itu. 

Laju kanvas yang di penuhi warna-warna kesuraman itu melakarkan garisan pendek.  Garisan yang tidak sempurna. 

Mata yang terasa bagaikan ada pasir terus dia  kejapkan seerat yang mungkin.  Tidak mahu kalah pada nasib diri. 

"Tapi percayalah sayang... tiada sekali pun hembusan nafas abang ini, tidak hadir dengan nama mu... Kenapa begitu sukar sekali untuk kau berikan ruang itu?" Sekali ulas yang di hiasi rerumput halus itu berbicara bagaikan pesalah yang tertunduk di kandang pesalah.

Paras jelita milik Indah Mustika di mainan matanya.  Dia melepaskan sesak di dada dengan imbauan itu.  Memujuk hati yang tergamam pabila diri di hukum keresahan yang tidak terhingga.

Terlalu murahnya kesetiaan yang di pertahankan sejak sekian lama telah dihancurluluh oleh hati lembut itu. 

Izz yang kalah dalam perdebatan dengan dirinya sendiri terus mencapai rakus satu lagi gelas tinggi berkaki satu.  Jag berisi air kosong yang tersedia terus dia tuangkan.  Merenung hambar sekali lagi.

Ingatannya kembali menjangkau suasana masa lampau...

"Jangan terlalu mendesak, Indah bang.  Tolong fahami perasaan Indah juga." Indah terpaksa melafazkan kata-kata kaca ke kalbu lelaki itu. 

Hati dia juga terdera bukan lelaki itu sahaja.  Malah jauh lagi kesakitan yang terpaksa dia lalui demi menjaga maruah diri tatkala dirinya di hina dengan semahunya. 

"Abang bukan mendesak Indah.  Abang hanya meminta. Kita dah cukup dewasa untuk memahami perasaan kita, sayang," jawab Izz masih mematri pandangan ke arah lukisan membiru di hadapan. 

Bergulungan sang badai yang sesekali hadir memukul bibir pantai.  Ada waktu-waktunya, gulungan tersebut tinggi.  Bertebaran pasir pantai yang halus.  Begitu jugalah dengan mindanya kini.

Pedih sungguh hatinya yang duduk sugul di tepi perdu pohon nyiur. Istana harapan yang dibina selama ini, jatuh berderai  umpama jutaan debu yang berkeliaran.

Mulut terkunci.  Hati terkatup.  Tenggelam  dalam kepiluan.  Walau suara batinnya menggelepar untuk menyuarakan apa yang sepatutnya dia suarakan. Tapi, ada yang tersekat di kerongkong. 

Bagai ada sepasang tangan sedang mencekak leher seerat mungkin. 

"Segala ini takkan terjadi jika... abang tak mulakan kepincangan ini," ujar Indah akhirnya mampu menyuarakan apa membuatkan dadanya sesak.  Walau kata-kata darinya itu setajam belati yang sudah pastinya membelah dada si pendengar.

Biarkan...

Kerisauan diri semakin memuncak, akar persoalan belum terlerai.  Bibit-bibit lampau tidak henti-henti menghantui otak.  Manakah mungkin dia mampu bertahan lagi?

Perdebatan mulai panas.  Antara Izz dengan Indah masih membara api-api pertentangan.  Panas relung dada bagaikan terbakar.  Muka merah padam bukan kerna di jamahi suria tapi amarah. 

"Jadi, selama ini abanglah yang bersalah begitu? Abanglah yang ego dalam setiap hal begitu?"

"Indah tak kata pun begitu, tetapi jika abang merasainya baguslah."

"Indah Mustika, jaga bahasa mu itu!" Panas hatinya menggoncang sekelumit keimanan yang bertapak di pintu kalbunya. Apakah isterinya itu mahu menyebarkan peperangan?

"Pedih sekali Indah tuturkan abang?  Mungkin Indah lupa pada peribahasa ini... pokok tak akan bergoyang jika tiada..." 

"Jadi, abang tuduh Indah?  Apa yang berlaku sekarang ini kerana Indah?  Begitu?" Laju Indah memangkas nada yang menikam jantung itu.

Perkhabaran yang disampaikan itu benar-benar mengguris luka di jiwanya.  Pedih sungguh hatinya. Tersayat pilu.

"Ya ampun, apa sudah berlaku di sini? Bapak Izz ngapain nggak tidur lagi? Waduh kok gelas pecah begini? Bahaya ni," sergah kata-kata itu bagaikan ledakan bom memecah angkasa.  Dan mata pula, terkelip-kelip menatap renungan yang tak terdaya dia tafsirkan.

Lamunannya terbang pergi...

Helaan nafas pula bagaikan menghalaunya lagi agar menjauh da menjauh.

Memandang lemah pada air jernih yang bertakung dalam gelasnya. Direnung lama pada kejernihan air, imbauan jauh pada kemesraannya dahulu bersama Indah Mustika menjelma kembali.

Paras diraup.  Sepasang kelopak yang ingin melabuh itu terus dia turunkan tirainya agar ke bawah sejenak, sebelum dia menyingkapnya semula. 

Dengan harapan, paras yang membayangi itu sirna walau hanya untuk seketika.  Emosinya juga luruh bukan hanya wanita itu sahaja.  Segala apa yang berlaku ada puncanya dan pokok tidak akan bergoyang jika tiada berangin.

'Ngapain kok dengan orang-orang di dalam rumah besar ini?  Selalu aja bergaduh?' desis hati kecil si bibik sempat juga membelingaskan pandangan busur mata sejenak, ke wajah yang dikelilingi mega mendung itu.

Laju busur mata Izz memanah wajah si bibik yang tidak sedar dan masih mematrikan tatapannya itu.  Akhirnya dia tersedar lantas dia jatuhkan panahan matanya ke arah serpih-serpih kaca atas marmar. 

Dan Izz  pula, bagaikan boleh mendengar bebelan sukma wanita dari Tanah Seberang itu walau tak terluah di zahir.

Dia yang tadinya membiarkan punggungnya berehat dilantai kerusi kayu tinggi itu, menurunkan tubuh. Tanpa ingin dia membasahkan tekak keringnya itu. Bukannya dia tidak dahaga, dia tersangatlah dahaga.

Namun dahaga kasih Indah Mustika yang dia idamkan...

Mata yang beralis pendek itu mengecil dalam menjangkau seluruh tempat itu, lantas gerak matanya terjatuh ke wajah bibik. 

Makin terkebil-kebil mata si bibik laksana katak kena simbah pabila mata layu Izz menatap lesu arahnya.  Persinggahan itu tak lama, sebelum tatapan layu Izz merundum ke marmar. Marmar yang tersisa lagi pecahan kaca gelas.

Begitu jugalah dengan cintanya pada Indah Mustika, masih ada lagi sisanya yang terpendam dalam ruangan paling dalam.

Tanpa sepatah dua kata, dia membuka langkah gontainya itu.  Bibik mengilas pandangan pada anak majikannya itu, menggeleng perlahan sebelum dia menyambung kembali tugasan yang tergendala.

pecahan kaca yang berderaian di marmar umpama sukmanya yang makin rapuh... sudi2kanlah menjamu mata dengan sebuah lagi novella cinta sepasang merpati...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience