Completed
27839
?PUAN pergilah rehat dulu. Puan mesti penat sepanjang hari ini. Kalau nak apa-apa saya boleh ambil dari dapur? Nak air atau makanan?? tanya Karl yang cuba menenangkan dirinya dan dalam masa yang sama cuba bereaksi seperti biasa.
Membiarkan kata-kata Casandara tadi seperti angin lalu saja. Tidak gila apa yang dia dengari tadi.
Lama Casandra memandang Karl. Hatinya terusik dengan lelaki ini, lelaki ini saja yang mengambil berat tentang dirinya. Sebaris ayat mudah begitu untuk suruh dia berehat dan mahu mengambilkan minuman atau makanan sudah mengusik hatinya.
?Saya ni tak cantik ke??
?Puan kena rehat ni. Tenangkan diri. Jangan macam ni apa kata tuan nanti,? balas Karl dan mengalihkan pandangannya. Risau jika dia makin tergoda dengan kecantikan Casandra yang sangat lembut itu.
?Tak, Karl. Tuan takkan kata apa-apa. Sebab tuan pun tak mampu nak halang dah. Saya betul-betul nak awak jadi kekasih saya. Saya sanggup bayar awak lebih daripada Fakrul bagi,? kata Casandra dengan nada terdesak. Sakit hatinya melihat Fakrul mencium dahi wanita itu masih terngiang di fikirannya.
Karl memandang tepat mata Casandra yang terlihat pelbagai perasaan merangkulnya. Kesedihan yang diapit dengan kesunyian. Adakah ini rahsia terbesar isteri-isteri orang kaya? Punya semua kemewahan, namun sunyi.
?Salah semua ni puan. Memang salah. Ini bukan sebab duit tapi saya memang tak nak libatkan diri saya dengan majikan saya. Lebih lagi, puan isteri orang??
?Karl??
Decitan daripada mulut Karl membuatkan Casandra terdiam. ?Kalau puan nak balas rasa sakit hati puan dengan apa yang Tuan Fakrul dah buat, carilah orang lain tapi bukan saya.?
Penolakan Karl membuatkan hati Casandra tergores lagi. Pastinya lelaki ini memandang rendah kepadanya dan ingat dia hanyalah seorang wanita yang lemah.
?Kenapa awak tolak, Karl? Saya tak cukup cantik jugak kat mata awak? Memang saya ni dah tak menarik untuk mana-mana lelaki ke? Saya ni memang tak layak untuk disayangi lagi ke? Apa yang buatkan semua orang jauh daripada saya?? tanya Casandra dengan mata yang berkaca dan sebak di dada.
Laju Karl menggeleng. ?Tak, puan. Bukan macam tu. Puan memang cantik, manis. Kalau saya setaraf puan dan puan belum kahwin lagi. Mesti saya bersetuju dan tanpa ragu-ragu nak terima puan dalam hidup saya. Tapi sekarang ini, semua tu mustahil.?
Mata mereka beradu.
?Saya hanya pekerja dan puan isteri seseorang. Jadi??
?Dahlah. Jangan nak bagi banyak alasan. Kalau tak ada perasaan pun, just pura-pura menjaga hati dan perasaan saya. Ni semua bukannya percuma, saya akan bayar. Awak takkan rugi apa-apa, Karl.? Casandra terus mendesak Karl agar setuju dengan tawarannya.
?Sorry puan. Saya memang tak boleh. Saya balik ke ruangan saya dulu untuk berehat.? Karl langsung meninggalkan Casandra kerana dia sudah tidak mahu lagi berdebat tentang permintaan majikannya yang tak masuk akal itu.
Suara Casandra memberhentikan langkah Karl. ?Awak fikirkanlah. Saya tahu ni perbuatan gila, tapi saya tahu batasnya di mana. Tolonglah saya sebab saya dah tak ada sesiapa yang boleh bantu saya. Ni saja waras saya yang ada sebelum saya hilang waras. Awak akan dibayar dengan segala kekayaan saya.?
Jangankan menjawab, bahkan Karl tidak menoleh sedikit pun. Casandra benar-benar kesal dibuatnya. Namun dia juga berusaha mengerti. Mungkin Karl kaget dan memerlukan waktu untuk menerima tawarannya yang gila ini.
?Tolonglah saya, Karl,? gumam Casandra lemah.
PINTU bilik ditutup dan terus saja dia menghempaskan tubuh badannya ke atas katil. Bilik ini disediakan oleh Fakrul Razi jika dia mahu berehat dan boleh saja tinggal di situ. Pintu biliknya berada di belakang rumah banglo mewah Fakrul Razi itu.
Nafasnya tersekat memikirkan tawaran gila Casandra. ?Gila betul perempuan kaya macam ni.?
Disebabkan sakit hati kerana mengetahui kecurangan Tuan Fakrul membuatkan wanita itu berfikiran pendek dan mahu menjalani hubungan di belakang Tuan Fakrul. ?Huh, dari aku fikir masalah dorang dah buat apa. Tapi, sebenarnya pelik juga bila orang macam tak perasan Casandra tu isteri kepada Fakrul.?
Laju dia menggeleng kerana tidak mahu memikirkan hal rumah tangga orang lain. Kehadirannya di sini hanyalah untuk bekerja buat sementara sebelum dia mengorak langkah ke tempat sepatutnya.
Selepas mandi, dia mendapat panggilan daripada seseorang. Tanpa membuang waktu Karl segera menjawab panggilan telefon itu setelah melihat nama pemanggil yang menghubunginya. Dia risau ada sesuatu yang terjadi.
?Helo, bang?? sambut Karl dengan lembut.
?Karl, ada duit tak? Kata dah start kerja dengan orang besar ya? Abang malu nak mintak duit dengan kau ni tapi nak buat macam mana benda kena ada modal nak rolling ni tak boleh nak pakai dana yang ada,? kata abang saudaranya itu, Johari.
Terdiam Karl lalu mengeluh kecil. ?Mananya baru start kerja kan. Pakailah modal yang aku bagi tu. Takkan dah habis Jo.?
?Itu je dah bagi upah untuk pembersihan sebab tanah tak rata. Ada hakisan dan tanah yang ada ni kena rawat. Hari tu dah ada pegawai datang check dan suggestkan macam-macam tanaman juga. Kita perlukan modal lagi untuk buat tambahan, yang lain insyaAllah tunggu duit rolling untung yang lain. Walau tak banyak tapi masih ada,? kata Johari dengan nada risaunya.
Karl berfikiran sebentar dan mengeluh. ?Kalau kita stop kejap. And, bila aku dah ada duit aku bagi lepas tu kita start semula. Boleh ke??
?Boleh tu boleh cuma kita tak tahu akan datang cuaca macam mana. Sebab tanah tu tak boleh terbiar macam tu. Lagipun nak masuk waktu hujan je sekarang ni jadi banyak kerja tergendala sikit. Apa pun kita kena buat rumah hijau dengan beberapa rawatan tanah,? beritahu Johari yang mula risau dengan projek mereka itu.
Karl sampai terdiam mendengar aduan abang saudaranya itu. Banyak modal yang sudah dia keluarkan untuk projek tanaman mereka. Ini adalah usahasamanya bersama abang saudaranya untuk membuat perniagaan pelbagai tanaman.
Jujurnya dia merasakan susah untuk dia berdikari tanpa bantuan sesiapa, lebih lagi berkaitan dengan wang ringgit. Tapi, dia tahu dia tidak akan meminta kepada keluarganya. Keluhan demi keluhan diluahkan mewakili perasaan hampir putus asanya.
?Karl, kau okey tak ni?? Suara Johari menyentak Karl semula.
?Ya, aku okey. Tengah fikir mana nak korek lagi ni.? Ketawa Karl perlahan sambil menggaru kepalanya itu. Entah kenapa dia terfikirkan tawaran Casandra kepadanya. Laju saja dia menggelengkan kepalanya itu.
Kedengaran keluhan daripada Johari, dia juga merasakan sangat tidak berguna dengan Karl. Lalu, dia mendapat satu idea yang bernas. ?Karl, kau kalau boleh pinjam duit bos kau dulu. Kau bagi aku, aku pergi bayar hutang ah long tu. Bodoh Shukri ni pergi pinjam ah long guna IC aku sampai aku tak boleh nak buat apa. Bila aku dah bayar dan dapat IC senang aku nak buat loan dan apply bantuan apa-apa ke. Boleh ke Karl??
?Pinjam duit bos.?
?Ha, aku janji aku akan tolong kau bayar. Kau kenal aku macam mana kan?? Johari cuba meyakinkan adik saudaranya ini.
?Okey.?
Talian terus terputus dan matanya dipejam rapat. Dia akan buat sekali ini saja untuk dapatkan duit. Hanya mengisi kesunyian perempuan itu saja.
Share this novel