BAB 3

Romantic Comedy Series 134018

ALYA pergi ke rumah Julia dahulu, menjemput sahabatnya itu sebelum ke gerai lemang Zafran.

"Weh, turun. Kita naik motor je," kata Julia apabila Alya menurunkan cermin kereta. Dua topi keledar sudah ada di tangannya.

"Kenapa?"

"Senang parking. Jom!"

Alya segera mematikan enjin keretanya lalu keluar dan mengunci pintu. Kemudian dia mencapai topi keledar yang dihulurkan Julia lalu terus disarungkan ke kepalanya.

Namun saat Julia sudah menghidupkan enjin motosikal, Alya tiba-tiba teragak-agak.

"Ju..." Dia tarik lengan baju Julia.

Julia toleh. Wajahnya berkerut garang. "Apa? Cepat naik!"

"Aku rasa...tak jadilah."

Julia berdesis geram. Enjin dimatikan sebelum dia turun dari motosikal. Turun naik anak matanya memandang Alya

"Tak jadi? Habis tu yang beria call aku ajak pergi jumpa Zafran tu kenapa?"

"Aku..." Bicara Alya terhenti. Jemarinya saling meramas, menunjukkan dia benar-benar gelisah.

"Tadi masa kau call aku, ajak pergi gerai Zafran, apa tujuan dan niat kau?" tanya Julia. Suaranya rendah, namun tajam.

"Sebab aku marah. Imran call organizer, bagitahu aku dah lepaskan tempahan tu pada dia."

"So sekarang kau dah tak marah?" Nada Julia masih tegang.

"Marah lagi. Tapi..."

"Tapi kau lemah. Kau mudah mengalah. Sebab tu Imran pijak-pijak maruah kau!"

"Eh, cakap baik-baik sikit ek? Aku tak lemah tau. Aku..."

"Aku apa? Hah?" tempelak Julia. Matanya mencerlung dengan kedua-dua tangan naik bercekak pinggang.

"Aku tak nak buat keputusan bodoh. Ni soal kahwin tau. Kita nak pergi jumpa dia sebab aku nak ajak dia kahwin. Bukan ajak minum kopi."

Julia terdiam. Faham apa yang dirasai Alya. Namun otaknya tetap tidak mahu Alya mengalah.

"Okay. Kalau kau tak nak jumpa Zafran, kau akan tenang? Kau boleh move on bila Imran kahwin dengan orang lain?" soalnya. Suaranya sudah mengendur sedikit.

"Memanglah susah nak move on tapi takkanlah sebab tu aku nak ajak entah sape-sape kahwin dengan aku."

"Dia bukan entah sape-sape. Dia sepupu aku. Aku berani jamin yang dia memang lelaki paling baik untuk kau."

Alya diam. Hatinya berbolak-balik antara logik dan perasaan.

"Kalau kau malu, biar aku cakap."

"Bukan masalah malu je Ju. Aku takut dia pandang aku macam? tak ada harga diri. Dulu aku tolak dia macam tu je. Sekarang aku datang balik sebab?? Alya terhenti. Kata-kata seterusnya terasa berat untuk diluahkan.

"...sebab aku terdesak," sambungnya perlahan.

"Dulu tu tak boleh dijadikan ukuran. Masa tu masing-masing tak matang. Masih sekolah, logiklah kau tolak. Dia pun tak beragak nak approach anak dara orang dengan muka sememeh macam mat pet."

"Tapi...aku pernah cakap dengan dia yang aku tak nak dengan lelaki yang takde masa depan. Ish...aku malulah Ju. Tak payahlah ek?"

"Kan aku cakap masa tu masing-masing tak matang. Jadi, apa yang kau cakap dulu tu datang dari otak kau yang baru setengah masak."

Alya diam. Antara ego dan maruah, dia terperangkap di tengah-tengah. Ke arah mana pun dia melangkah, tetap dia yang kehilangan ego dan harga diri. Tak di depan Imran, di depan Zafran. Namun setidaknya di depan Zafran, dia malu setelah berusaha.

?Okay, jom,? katanya. Walaupun masih ragu, dia tetap nekad. Lagipun dia dan Zafran jarang bertemu. Jika Zafran menolak, dia hanya malu sendiri. Tidak perlu risau terserempak selalu.

"Ha...macam tu la kawan aku. Jangan risau, kalau Zafran tolak, aku hasut mak aku jangan mengaku anak saudara."

Alya tidak menjawab. Dia terus membonceng di belakang Julia yang sudah menghidupkan enjin motosikal.

JULIA memberhentikan motosikalnya betul-betul di depan gerai Zafran. Dia matikan enjin lalu mengangkat visor topi keledar.

"Assalamualaikum sepupuku yang handsome," ujarnya.

Zafran yang sedang membungkus lemang untuk seorang pelanggan, hanya memandangnya sekilas.

"Waalaikumussalam," jawabnya.

"Laku meniaga hari ni?" tanya Julia lagi.

"Jual lemang laku. Yang tak laku tu kau."

Julia menyengir. Dalam hati memaki-maki sepupunya itu. Mahu menjawab, takut lari pula pelanggan Zafran melihat mereka berperang mulut.

?Ada apa datang ni? Nak beli lemang ke?? tanya Zafran selepas pelanggannya berlalu. Matanya tertumpu ke arah belakang Julia. Hairan melihat pembonceng itu hanya membatu tanpa mengangkat visor. Malah kepalanya dipalingkan ke arah jalan, seolah-olah tidak mahu dilihat.

Julia yang menyedari arah pandang Zafran, tersenyum penuh makna.

"Kenal ke?" tanyanya.

"Macam kenal."

Julia tersengih. "Ha...aku dah agak dah. Kau mesti tak lupa punya."

"Mana boleh lupa. Helmet tu limited edition. Aku bid dekat geng 2T. Dah seminggu adik kau pinjam tak hantar-hantar."

"Hek?" Julia toleh. Mendengus dia melihat Alya masih menyorok di sebalik topi keledar.

"Weh!" Dia ketuk topi keledar Alya.

"Bukaklah visor tu!" marahnya.

Alya menggeleng.

"Apa hal yang Jiman pemalu sangat?" tanya Zafran.

"Ni bukan Jiman. Ni Jiman punya bakal sepupu ipar."

Zafran berkerut. Tidak faham.

Julia pula turun dari motosikal lalu cuba menanggalkan topi keledar dari kepala Alya. Namun Alya memegang kemas kepalanya.

"Bukaklah helmet ni, Alya!"

"Alya?" Kerut di wajah Zafran semakin dalam.

"Ya. Alya yang pernah reject kau dulu. Sekarang dia datang nak ajak kau kahwin."

Alya tampar kuat bahu Julia. Masih enggan menanggalkan topi keledarnya.

"Bukan dia dah nak kahwin?" soal Zafran.

"Eh, tahu..." usik Julia dengan seringai nakalnya.

Zafran malas melayan. Tambahan pula dari ekor mata, dia nampak Din dan Apit sedang memasang telinga.

"Zaf, nanti dulu. Dengar cerita Alya ni dulu," panggil Julia apabila melihat Zafran sudah mula memutar tubuhnya.

"Dia tak nampak macam nak bercerita pun," balas Zafran. Sudah kembali bertinggung di depan deretan buluh lemang yang masih dibakar.

"Alya, cepatlah..." Julia menarik tangan Alya turun dari motosikal. "Kalau tidak, aku balik jalan kaki, tinggal kau kat sini," tambahnya. Sengaja manakutkan Alya yang dia tahu tidak pandai menunggang motosikal.

"Ish...jangan la..."

"Dah tu, cepat turun. Bukak helmet tu!"

"DEWAN, katering, pelamin, semua saya dah tempah. Advance pun dah bayar. Awak cuma bayar balance je. Kalau awak tak cukup duit, kita share 50-50. Mas kahwin, hantaran, seikhlas hati." Senafas Alya meluahkan niatnya, seolah-olah jika dia berhenti walau sesaat, keberanian itu akan hilang.

Sunyi.

Zafran memandangnya lama. Langsung tidak berkedip. Malah, Din dan Apit juga sama.

"Awak tak payah fikir panjang. Awak cuma perlu setuju je. Selebihnya, biar saya yang fikir," tambah Alya apabila tidak mendapat jawapan daripada Zafran.

"Kau ingat aku ni apa?"

Pertanyaan Zafran dengan rona wajah dingin itu membuat Alya menyesal tidak semena-mena. Rona panas mula menular ke seluruh wajah. Malu.

"Kau dari dulu tak berubah. Selalu pandang orang lain serba kurang. Dalam kepala kau tu, masih anggap aku ni takde masa depan, tak berduit? macam aku ni terdesak sangat nak kahwin, asal ada je terus sauk."

"Kau ingat value kau tinggi sangat ke, sampai kau yakin datang sini ajak aku kahwin? Mana kau dapat confident kau tu?"

Alya menelan liur yang mula terasa berpasir. Entah di mana mahu disorokkan muka yang semakin menebal dengan setiap patah kata Zafran yang dimuntahkan tanpa jeda.

Untuk beberapa saat, Alya tidak mampu bersuara. Kata-kata yang disusun tadi, hilang entah ke mana.

Julia yang dari tadi diam, mula jadi serba-salah. "Ish, kau ni! Mulut tu jangan main lepas je boleh tak?!" tempelaknya sambil menunjal kepala Zafran.

"Sepatutnya kau nasihatkan kawan kau ni. Kalau terdesak, cari yang sama terdesak dengan dia jugak. Yang sama-sama otak senteng, baru ngam,? balas Zafran tanpa mempedulikan tatapan tajam Julia.

"Kau ni kan... memang..."

"Ju..." Alya menahan bicara Julia.

Julia menoleh. Alya memberi isyarat supaya mereka beredar. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Maruahnya terasa seperti dipijak-pijak sehingga lebur menjadi debu.

Julia enggan, namun melihat wajah Alya yang sudah merah menahan tangis, dia akhirnya akur. Namun sempat tangannya menunjal kepala Zafran sekali lagi sebelum berlalu.

"KAU ni pun. Kut ya pun nak reject, tak boleh cakap elok-elok ke?" marah Apit setelah Alya dan Julia berlalu.

"Dia datang tu dengan elok ke?" balas Zafran.

"Tak elok apanya? Kan dia cakap elok-elok tadi. Kau tu yang melenting tak tentu pasal," sampuk Din pula.

Zafran malas melayan. Tidak mengendahkan leteran dua pekerjanya, dia bangun dan sengaja menyibukkan diri di depan gerai.

"Daripada si Mazlina anak saudara mak tiri kau tu, baik lagi si Alya tu." Apit masih belum puas meleteri Zafran.

"Betul." Din menyokong. "Kau cakap kau tak suka Mazlina kan? Kau kahwin dengan Alya. Senyap la mak tiri kau tu nanti."

Zafran diam. Teringat cadangan ibu tirinya yang mahu menjodohkan dia dengan Mazlina. Perempuan yang dia anggap tidak tahu malu dan terhegeh-hegeh.

"Kurang-kurang Alya tu nampak juga air muka budak baik. Yang si Mazlina tu, terang-terang muka belen. Perempuan macam tu tak boleh buat bini, Zaf. Nak suruh taat macam suruh pergi berperang. Kau tengok perangai mak tiri kau macam mana. Si Mazlina tu pun mesti tak lari jauh. Keturunan sama," tambah Din.

"Aku bukannya nak pun dengan Mazlina tu," balas Zafran.

"Kau tak nak, tapi mak tiri kau tu takkan berhenti selagi kau tak setuju. Dia nak ikat kau sebab nak menumpang hidup."

Zafran diam. Dalam hati tidak menyangkal kata-kata Apit.

"Elok dah kau berjodoh dengan Alya tu. Sama-sama terdesak."

Zafran yang sedang memegang pisau, menghentak kuat mata pisau itu ke papan pemotong. Tatapan tajamnya tertuju ke arah Din dan Apit, membuat dua orang itu langsung menunduk, pura-pura sibuk menjaga bara.

"Aku tak kahwin sebab terdesak. Faham? Aku nak kahwin ke, aku tak nak kahwin ke, takde siapa boleh paksa aku. Korang tak payah sibuk!"

Hai semua. sorry hari tu salah betulkan typo, lepas tekan save, dia auto masuk draft semula. nak publish balik, nanti noti naik tanpa bab baru. haha. skrg dia muncul semula. happy reading.

Share this novel

ilaberry
2026-03-25 23:24:08 

❤️❤️❤️❤️❤️

Nurbaya
2026-03-24 16:59:21 

Yahoooo


NovelPlus Premium

The best ads free experience