Series
134018
RUMAH sunyi sepi saat Zafran melangkah masuk. Proton Wira ibu tirinya tidak kelihatan di laman, menandakan rumah itu tidak berpenghuni. Entah ke mana ibu tiri dan adik-adiknya pergi.
Namun saat melewati dapur, hidungnya menangkap bau masakan dan bunyi bising seperti orang mencuci pinggan mangkuk di sinki.
Segera dia memutar langkah ke arah dapur. Berkerut dahinya melihat Mazlina sedang mencuci kuali di sinki. Malah di atas meja sudah terhidang nasi goreng yang masih berasap.
"Kau buat apa kat sini?" tanyanya datar, namun jelas tidak menyembunyikan rasa kurang senang.
Mazlina menoleh, sebelum senyum perlahan terbentuk di bibirnya.
"Eh, awak dah balik. Duduklah. Saya dah buat nasi goreng," katanya ramah, seolah-olah dialah tuan rumah.
"Tak, aku tanya...kau buat apa kat sini?" Suara Zafran sudah berubah nada.
"Makcik yang suruh Ina datang, mintak tolong tengok dan masakkan untuk awak. Dia tak balik hari ni sebab rumah atuk ada kenduri." Sengaja Mazlina melenggokkan suaranya. Langsung tidak gerun melihat wajah garang Zafran.
"Aku dah tua bangka. Tak payah sesiapa tengokkan. Masak pun aku boleh buat sendiri. Balik!"
"Kenapa? Awak takut kita kena tangkap khalwat ke?" tanyanya sambil menayang senyum.
"Balik sekarang," kata Zafran, berusaha menahan sabar. Pantang dia bila ada orang menceroboh ruang peribadinya.
"Kalau kena tangkap khalwat bagus jugak kan? Boleh kahwin free," kata Mazlina, tanpa mempedulikan perubahan wajah Zafran yang semakin mengeras.
Rahang Zafran mengetap. Mata yang tadi sekadar dingin, kini tajam menikam.
"Sampah betul otak manusia zaman sekarang," bidasnya.
Senyum Mazlina mati. Wajahnya berubah. Namun belum sempat dia berkata apa-apa, Zafran terlebih dahulu menyambung bicara.
"Kalau kau datang sini dengan niat nak ditangkap khalwat dengan aku, baik kau berambus. Duit aku cukup setakat nak bayar denda."
"Bayar denda tak boleh kembalikan maruah. Baik kahwin," balas Mazlina santai. Tidak ada tanda-tanda mahu beredar. Malah dengan santai bersandar pada sinki sambil melipat tangan ke dada.
"Kalau nak cuci maruah, aku takkan kahwin dengan perempuan yang kena tangkap khalwat dengan aku. Tu kerja orang bangang," balas Zafran. Lalu tanpa berkata apa-apa lagi, dia memutar tubuhnya dan keluar dari rumah itu. Bimbang jika Mazlina dan Jamilah memang ada rancangan sendiri. Jika tidak, masakan Jamilah meminta Mazlina datang sedangkan dia tahu tiada sesiapa di rumah.
Hidupkan enjin van yang menjadi pengangkutan rasminya ke gerai setiap hari, rumah Apit dia tuju.
Apit yang sedang menatal telefon di meja makan, sontak menoleh. Wajah terkejutnya perlahan mengendur apabila melihat Zafran yang melangkah masuk.
"Eh, apa hal?" tanya Apit dengan wajah berkerut hairan.
"Si Mazlina ada kat rumah," balas Zafran ketus. Teh di dalam teko, dituang ke dalam cawan lalu meneguknya sehingga licin.
"Bukan ke memang dia dah berumah bertangga kat rumah kau?" balas Apit.
"Masalahnya takde sesiapa kat rumah tu sekarang."
"Haaa...kan aku dengan Din dah kata tadi. Kalau kau nak mengelak daripada Mazlina tu, kahwin je dengan Alya. Budak tu okay apa. Belajar pandai, sopan pun sopan. Yang penting, masih ada sifat malu. Dalam dia semberono ajak kau kahwin, tapi kau nampak tak tadi? Cara dia berdiri pun serba tak kena. Nak pandang kau pun macam takut. Tu tanda dia masih ada rasa segan. Zaman sekarang, bukan senang nak cari perempuan yang masih ada sifat malu tau."
Zafran menghela nafas panjang. Tangannya menyapu wajah, jelas kusut dengan apa yang berlaku dalam satu hari.
?Kau marah dia sebab kau rasa ego kau tercabar kan? Bukan sebab dia hina kau pun.?
Zafran terus memandang Apit. Tajam.
?Aku tak suka cara dia cakap,? katanya.
?Cara dia cakap ke? atau cara kau nampak diri kau sendiri bila dia cakap macam tu?? balas Apit selamba.
"Bila dia kata nak share 50-50, kau rasa dia anggap kau takde duit. Betul tak?" tambah Apit.
Zafran diam. Tebakan Apit itu tidak salah.
"Tapi aku tak rasa dia nak menghina kau. Dia cuma terdesak sebab tarikh nikah dah dekat, takut kau tak bersedia, jadi dia sebenarnya nak mudahkan kau," kata Apit lagi.
"Kut ya pun terdesak, dia tak boleh sebarangan ajak lelaki kahwin."
"Aku tak rasa dia sebarangan pilih."
"Maksud kau?"
"Kalau dia sebarangan pilih, kenapa dia tak pilih aku? Din ke? Padahal kalau nak kira rupa, kau ni level-level basic je. Aku dengan Din jangan cakap la. Premium punya pakej."
Zafran menyengir dengan wajah meluat. Turun naik anak matanya memandang Apit.
"Gurau...gurau..." kata Apit. "Aku nak point benda lain sebenarnya."
Zafran diam, memberi ruang.
"Aku rasa Alya pilih kau sebab Julia. Julia kenal kau dari kecik, tahu macam mana perangai kau luar dalam. Alya pulak kawan baik dia dari zaman sekolah. Jadi, mesti dia pilih lelaki yang dia rasa paling selamat untuk Alya. Yang tak ambik kesempatan atas musibah dia."
Zafran masih diam. Namun otaknya perlahan-lahan mula menerima kata-kata Apit.
"Dan Alya, dia percayakanJulia. Jadi aku rasa, sebelum dia datang ke gerai tu tadi, dia dan Julia dah buat pertimbangan sewajarnya."
Tidak jawapan daripada Zafran. Riak wajahnya juga tidak menggambarkan apa-apa.
"Tapi...kalau kau tak bersedia, tak payahlah. Jangan buat naya anak dara orang. Alya tu dahlah yatim piatu. Nanti kalau dah cool sikit, kau kena mintak maaf dengan dia. Kesian dia malu tadi. Kau tak beragak-agak, sound dia depan aku dengan Din."
"Dia pun tak beragak masuk meminang aku depan gerai."
Apit terkekeh. "Itulah. Patut Alya kena bawak 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati kuman, tujuh tempayan..."
"Diamlah!"
Bukannya diam, malah tawa Apit semakin galak melihat wajah sebal Zafran.
HARI sudah beranjak senja ketika Zafran memandu pulang dari gerainya. Cahaya jingga matahari yang kian tenggelam memantul pada cermin hadapan, membuat pandangannya sedikit silau.
Di tempat duduk penumpang, Apit yang sejak tadi hanya diam, tiba-tiba menegakkan badan.
"Zaf, tu bukan Alya?" tanyanya.
Zafran mengecilkan mata. Di bawah sebatang tiang lampu yang sudah mula menyala, kelihatan seorang perempuan berdiri berhadapan dengan seorang lelaki. Dari jauh jelas kelihatan mereka sedang bertegang mulut. Gerak tubuh lelaki itu kasar. Tangan diangkat tinggi, sesekali menuding ke arah perempuan itu. Dari kedudukan kereta yang diberhentikan di pinggir jalan, dia mengagak, lelaki itu mengejar dan menghalang kereta Alya.
"Macam ya," kata Zafran.
"Berhenti Zaf," kata Apit.
Zafran segera memberi isyarat ke tepi dan memberhentikan vannya di tepi jalan. Cepat-cepat dia dan Apit menanggalkan tali pinggang keledar dan keluar dari van.
"Kenapa busuk hati sangat? Kau bukan nak guna pun dewan tu!" Lantang suara Imran menerjah telinga mereka.
"Sebab saya yang tempah. Konsep, deco, saya yang fikir, kenapa saya nak bagi orang lain guna? Biarlah dia burn kat situ!" balas Alya.
"Eh, kau tahu tak yang kau guna tu duit aku?"
"Awak dah bagi saya, maksudnya duit tu dah jadi hak saya. Kalau awak bawak naik court pun, awak takkan menang."
"Kau boleh tak jangan nak sulitkan aku?!"
Zafran melajukan langkah, hampir berlari apabila melihat Imran mendekati Alya, membuat gadis itu terpaksa mundur beberapa langkah.
"Hoi!" sergahnya.
Imran dan Alya serentak menoleh.
"Apa hal ni?" tanyanya, sengaja berdiri di depan Alya, sambil menatap Imran dengan wajah tegang.
"Kau siapa? Ni masalah aku dengan dia!" balas Imran. Bengang kerana urusannya dicampuri sebelum sempat diselesaikan.
"Kau pulak siapa? Tahan perempuan tepi jalan, menengking-nengking sampai nak naik tangan?!" soal Zafran balik.
"Bukan urusan kau!"
Jawapan Imran itu membuat Zafran menoleh ke arah Alya.
"Masuk kereta," katanya.
Alya yang sudah mula kerut perut, tidak membantah.
"Hei, Alya! Urusan kita belum selesai tau!" jerit Imran.
Zafran menahan tubuh Imran yang mahu meluru ke arah Alya. Pegangannya kemas di bahu lelaki itu, cukup kuat untuk menghentikan langkah, tapi tidak sampai mencetuskan pergaduhan fizikal.
"Lepaslah!"
"Apa urusan kau dengan Alya?" tanya Zafran tanpa melepaskan cengkamannya pada bahu Imran.
"Alya! Aku nak kau call organizer sekarang. Serahkan tempahan tu pada aku!" Imran terus menjerit pada Alya, sekali gus menjawab pertanyaan Zafran.
"Tak nak!"
Jawapan Alya itu membuat Imran semakin berang. Tubuhnya memberontak cuba melepaskan cengkaman Zafran namun gagal.
"Berapa banyak deposit kau dah bayar?" tanya Zafran sambil menoleh ke arah Alya. Sudah boleh siapa Imran dan punca pergaduhan ini.
"Tiga ribu."
"Bagi je pada dia. Kita cari tempat lain."
"Mana boleh!" Alya sedikit membentak. Namun sesaat kemudian, otaknya tiba-tiba memproses semula kata-kata Zafran tadi.
"Awak cakap apa tadi?" tanyanya semula.
"Kita cari tempat lain." Zafran mengulang kata-katanya walaupun dia tahu Alya bukannya tidak mendengar.
"Tapi..." Alya mahu membantah namun Zafran pantas menyela.
"Dewan tu sesuai untuk orang kerja gomen, nak kahwin hentak loan dengan Bank Rakyat sampai beranak-pinak tak habis lagi bayar. Kita cari dewan lain, level-level orang kerja sendiri, tak payah berhutang sana sini, lepas tu tengah bulan menggelupur tunggu gaji."
Alya melongo. Apit pula menggeleng mendengar ayat Zafran yang panjang lebar. Entah bercakap, entah bersyarah.
"AWAK serius ke dengan apa yang awak cakap tadi?" tanya Alya setelah Imran berlalu. Sempat dia mendengar Imran merengut-rengut marah kerana terasa dihina dengan kata-kata Zafran.
"Serius. Tapi aku ada syarat."
"Syarat apa?"
"Satu, aku nak kau berhenti kerja dan kerja dengan aku. Dekat rumah aku suami, dekat gerai aku bos. Kau kena panggil aku tauke."
"Kenapa pulak?" Nada Alya naik setakuk. Protes.
"Tak setuju takpe. Tak payah kahwin."
Alya berdecit. "Tu je?"
"Ada lagi. Syarat kedua, majlis simple, jemputan 100 orang je."
"Syarat ketiga." Zafran berdeham sekali. Apit yang sedang bersandar pada pintu van dikerling sekilas. "Sebab aku nak legasi lemang aku ni berkekalan sampai cucu cicit piat piun, aku nak anak 15 orang. Kau setuju, kita kahwin. Kau tak setuju, aku tak rugi apa-apa."
Nyaris terduduk Apit mendengar syarat ketiga Zafran. Alya pula melongo dengan mata terkebil-kebil memandang Zafran.
"Gila ke?!"
"Tak. Aku waras. Cukup kau sorang je gila."
Share this novel
teruskan
malunyeee kene rejack??
wah