BAB 2

Romantic Comedy Series 134018

JAM menunjukkan hampir pukul lapan pagi. Alya turun ke ruang dapur dan membancuh kopi tiga dalam satu. Bersandar pada kabinet, dia pegang cawan kopinya sementara menunggu sejuk.

Matanya memandang kosong ke arah tingkap yang sedikit terbuka.

Telefon di atas meja bergetar.

Sekali.

Alya tidak bergerak.

Getaran kedua menyusul, membuat dia menjeling malas ke arah skrin.

Nama Imran membuat dadanya berdegup laju.

Untuk beberapa saat, dia hanya memandang. Rahangnya mengeraw tanpa sedar. Akhirnya dia capai juga telefon itu.

Mesej dibuka.

-Alya, saya dah bincang dengan family saya. Alang-alang awak dah tempah katering, dewan dan pelamin, saya akan guna yang tu je. Tak payah saya bazir duit booked tarikh lain.-

Tangan Alya menggigil.

Dia baca sekali. Dua kali.

Giginya mengetap. Marah, geram, bengang, sedih, berbaur menjadi satu.

Telunjuknya mengetuk skrin, menaip balasan.

Namun sesaat kemudian, dia berhenti.

Padam.

Dia taip semula.

Padam lagi.

Akhirnya dia meletakkan telefon itu ke atas meja dengan satu hempasan.

Nafasnya turun naik.

"Tak guna betul. Kau buat aku macam takde harga ya." Alya mendengus kasar.

"Takpe...Takpe...Kau tunggu kifarah Tuhan. Aku doakan kau DG9 sampai pencen, hidup kau sulit, kereta kau selalu rosak, paip rumah kau bocor, flush jamban kau rosak, isteri kau berleter tak berhenti sampai kau gila."

Alya capai telefonnya. Berniat mahu membalas mesej Imran. Namun seperti tadi, mesej itu dia padam semula.

Dia tarik nafas dan menghembusnya perlahan. Cuba meredakan dahulu emosi yang meledak-ledak. Dia tidak akan membalas mesej itu dalam keadaan marah.

Semua tindakan perlu dalam keadaan rasional supaya tidak memakan diri sendiri kemudian hari.

Alya pejam mata seketika. Nafas ditarik panjang, kemudian dilepaskan perlahan, cuba menenangkan degupan jantung yang masih tidak sekata.

Dia kenal dirinya.

Sekali dia membalas dalam keadaan begini, semua yang terpendam akan terhambur keluar tanpa tapis. Dan akhirnya? dia juga yang akan kelihatan lemah.

Tidak.

Dia tidak mahu Imran nampak kelemahan itu.

"MENYIRAP je aku dengan si Imran ni. Dia punya red flag tu memang berkibar megah betul ek," bebel Julia berapi-api. Naik pula darahnya mendengar cerita Alya.

Alya diam. Mesej Imran pagi tadi masih belum dibalas. Imran pula sudah tiga kali menelefonnya, namun dia tidak menjawab. Otaknya masih beku untuk memikirkan apa yang harus dijawab. Bukan dia tidak punya jawapannya, tetapi dia mahu setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya, tepat menikam dan menusuk ke dalam hati Imran sehingga lelaki itu terhenyak dan terduduk.

Dia tarik nafas panjang, cuba mengalihkan pandangan dari telefon. Namun setiap kali matanya tertancap pada skrin, rasa geram dan terluka itu kembali menebal.

"Macam ni..." Julia tarik kerusi dan duduk di depan Alya. "...tempahan tu semua atas nama kau kan?"

Alya mengangguk.

?Kalau semua tu atas nama kau, dia tak boleh sesuka hati guna untuk wedding dia, walaupun kau bayar guna duit dia. Sebab...hantaran yang dah diberi, dianggap sebagai hak penerima, iaitu kau. Faham tak?"

Alya mengangguk-angguk. Baru terasa seperti nampak sinar di hujung jalan.

"Jadi, jangan bagi dia," sambung Julia.

"Kalau tak bagi, burn macam tu je la."

"Biarlah. Duit dia, bukan duit kau."

"Betul jugak kan?"

"Ha..." Julia tepuk meja. "...nasib baik kau tak reply lagi mesej dia. Betul tindakan kau datang rujuk dengan aku dulu."

Alya terkekeh. "Tak sia-sia Mak Jijah dengan Pak Hasan bela kau dari kecik. Ada jugak manfaatnya."

"Tahu takpe." Julia tayang wajah bangga. "Dan satu lagi, yang putuskan pertunangan tu dia. Jadi, kau tak perlu bertanggungjawab atas kebangsatan dia. Santai-santai je teruskan hidup, hirup kopi depan rumah, sambil pandang Bukit Serakek."

"Betul...betul..." Alya mengangguk setuju.

"Ataupun, kalau kau nak pembalasan yang lebih savage, kau guna je segala mak nenek yang kau dah tempah tu untuk diri kau."

"Bengong," ketus Alya. "Aku nak kahwin dengan siapa? Bapak kau?"

"Cis, bedebah!" Julia tunjal kepala Alya dengan telunjuknya.

"Dah kau tu bagi cadangan tak bernas," balas Alya.

"Kahwin dengan sepupu aku tu la. Si Zafran tu. Dia kan pernah crush kat kau masa sekolah dulu tapi kena reject tanpa hisab."

"Dia kerja apa sekarang?" tanya Alya. Kerepek pisang tanduk yang dihidang Julia, dia capai sekeping lalu dimasukkan ke mulutnya.

"Saudagar lemang paling berjaya di kampung kita."

"Tak naklah. Kerja macam tu takde pendapatan tetap. Aku pun kerja gitu-gitu je. Macam mana nak survive lepas kahwin? Tak boleh...Tak boleh..."

"Hei...Hei...Hei...Kau jangan pandang sepupu aku tu sebelah mata ya. Walaupun cuma jual lemang, tapi duit dia kepuk-kepuk tau. Dia bukan baru setahun dua niaga. Dah lama. Sejak lepas SPM lagi. Orang dah kenal dah lemang dia tu. Hari tu orang dari Singapore datang tempah lemang dengan dia untuk majlis kahwin kat sana."

"Iya...Dia pun bukan niaga sekadar isi masa lapang. Dia pergi kursus, belajar pasal pengendalian makanan, packaging, semua benda dia buat proper," sambung Julia, bersungguh-sungguh mempromosi sepupunya itu.

"Serius?"

?Seriuslah. Kau ingat dia duduk tepi jalan kipas-kipas lemang je ke? Dia ada supplier sendiri, ada pekerja, musim raya jangan cakaplah? tempahan penuh sampai tak menang tangan.?

Alya diam sejenak. Sekeping lagi kerepek dicapai lalu dimasukkan ke mulut.

?Tapi kerja macam tu tak nampak masa depan la. Takde jaminan tau. At least kalau takde pencen, kurang-kurang biar ada KWSP," ujarnya.

Julia mendengus. ?Masa depan tu bukan kerja gomen je yang boleh bagi. Orang berniaga ni lagi laju naik kalau kena cara.?

"Aku bukan apa tau, Ju. Kau bayangkan ek...esok-esok kalau kita orang ada anak kan, bila masuk sekolah, kan cikgu selalu mintak slip gaji mak ayah kan? Ayah anak aku takde slip gaji. Kena isi borang akuan pendapatan tu kan, kena mintak pengesahan dengan ketua kampung. Ketua kampung tu pulak, bapak Imran. Nampak tak pertalian tu?"

"Pertalian opah kau! Eh mangkuk! Kalau kerajaan pun boleh bertukar dua tiga kali satu penggal, setakat ketua kampung tu apalah sangat!"

Alya diam. Nama dan wajah Zafran berlegar-legar di fikirannya. Budak lelaki yang selalu tidur di dalam kelas, kerja sekolah tidak siap dan selalu mendapat tempat tercorot. Zafran pernah meluahkan perasaan terhadapnya, namun dia tolak. Membuat Zafran menjadi bahan ejekan rakan sekelas mereka waktu itu.

Dan sekarang, Julia mahu dia berkahwin dengan lelaki itu? Jatuhlah maruah dan martabatnya. Ibarat ludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.

"Lagipun aku dengan mak aku nak sangat dia kahwin cepat-cepat."

Kata-kata Julia itu membuat Alya memandangnya dengan wajah berkerut. "Kenapa? Dia bukan tua sangat pun. Sama dengan kita je."

"Sebab mak tiri dia tu suka peras-peras duit dia. Alasan, anak-anak dia tu adik-adik Zafran. Jadi, Zafran kena bertanggungjawab lepas bapak tak guna dia tu meninggal."

"Ya ke?"

"Iyaaaaa....Dah tu, bukan sikit-sikit. Hari tu adiknya nak buat LI dekat Muar, disuruhnya Zafran beli motor. Nak beli, tak nak yang cikai-cikai. Demand Ysuku. Kepala hangguk betul. Menyirap je aku dengan mak aku."

"Pastu dia belikan ke?"

"Beli la! Tu yang aku bengang tu. Untuk dia sendiri, bukan main berjimat. Pakai pun motor buruk arwah bapak dia je. Tapi untuk adik dia, kepala kereta api pun dia sanggup beli. Zafran ni nampak je macam keras kejung takde perasaan, tapi dengan mak tiri, dengan adik-adik dia, memang lembut hati. Macam dah kena guna-guna."

"Kesiannya."

"Kan? Kau kahwinlah dengan dia. Boleh kau control sikit duit dia tu. Dah kahwin, dia tak boleh suka-suka hati belanjakan duit dia pada orang lain. Isteri kena nombor syatu."

"Tapi adik-adik dia tetap tanggungjawab dia kan?"

"Tanggungjawab asas je. Kalau sampai beli Ysuku, tu bukan tanggungjawab, tu tanggung biawak nama dia."

Alya terkekeh. "Betul jugak ek?"

"So...kau setujulah cadangan aku ni?"

"Tak."

Julia berdecit. Kecewa dengan jawapan Alya.

"Aku tak nak kahwin semata-mata nak balas dendam pada Imran, atau sebab nak control duit Zafran. Bukan tu tujuan aku kahwin. Aku akan kahwin dengan orang yang betul-betul aku nak dia jadi pasangan aku. Ini soal kahwin tau. Bukan simple macam makan kerepek pisang tanduk rumah member."

Julia diam. Hujah Alya munasabah dan keputusannya rasional. Cuma cadangannya yang terlalu drastik kerana emosi.

"Yalah. Betullah tu. Aku faham dan aku pun tak paksa."

Alya tersenyum. "Thanks."

"So...permintaan Imran tu macam mana?"

"Aku takkan bagi dia guna semua yang aku dah tempah tu."

"Syabas!"Julia tepuk bahu Alya. "Ini yang kita mau. Jangan bagi dia jalan mudah. Biar dia keluarkan duit semula kalau dia nak kahwin dengan perempuan tu."

ALYA baru habis shif kerja apabila telefonnya tiba-tiba berbunyi. Cepat-cepat dia menggagau telefon di dalam saku seluar.

Dewan Seri Anggun.

Alya pandang nama itu beberapa saat sebelum menjawab.

?Hello, assalamualaikum.?

?Waalaikumsalam. Ni Alya ya? Kak Idah sini.?

"Ya, Kak Idah. Ada apa?" tanya Alya sambil menanggalkan lanyard dari leher dan memasukkannya ke dalam locker pekerja.

Ada jeda seketika, membuat naluri Alya jadi tidak enak.

"Kenapa kak?" tanyanya. Getar suara terdengar jelas di telinga.

?Sebenarnya tadi...Imran ada call akak.?

Mendengar nama Imran, rahang Alya mengetap. Telefon yang masih melekap di telinga digenggam kemas.

"Dia bagitahu akak yang dia dah batalkan majlis dengan Alya. Tapi majlis akan diteruskan, cuma? pengantin perempuan bertukar. Dan dia kata Alya dah setuju untuk lepaskan tempahan tu pada dia.?

Nafas Alya menderu laju, dipacu detak jantung yang berayun kencang.

Di hujung talian, Kak Idah menyambung. Nadanya sedikit berhati-hati.

?Jadi, akak nak double check dengan Alya sendiri.?

"Kak Idah..." Alya menekan suaranya. "...saya tak pernah bagi kebenaran macam tu."

"Jadi tempahan tu masih untuk Alya?? tanya Kak Idah, sekadar untuk memastikan.

?Ya. Semua tempahan dewan dan pelamin tu masih atas nama saya. Saya yang bayar, dan saya tak pernah setuju untuk bagi pada sesiapa.?

"Okey, baik. Akak take note. Tapi majlis pada..."

"Majlis jalan. Tapi pengantin lelaki yang bertukar."

Hening. Alya tahu, tentu Kak Idah sedang bingung di hujung sana.

"Majlis tetap jalan, tempahan atas nama saya, tapi nama pengantin lelaki Zafran bin..." Alya terhenti. Dahi berkerut. Cuba mengingat nama penuh Zafran namun sepertinya maklumat itu tidak ada dalam memori.

"Nanti saya inform semula. Tapi jangan serahkan tempahan tu pada sesiapa."

"Okey, jangan risau. Dari segi kontrak, tempahan tu milik Alya sepenuhnya. Akak takkan buat sebarang pertukaran tanpa arahan bertulis daripada Alya.?

Bahu Alya yang tegang sejak tadi, perlahan-lahan mengendur. Lega.

?Nanti akak inform pada team. Kalau Imran call semula, kami takkan layan tanpa pengesahan Alya.?

?Terima kasih, kak.?

?Sama-sama. Apa-apa perubahan nanti, just inform akak ya.?

?Okey, kak.?

Talian dimatikan.

Alya segera menghubungi Julia. Mujur sahabatnya itu pantas menjawab panggilan seperti operator talian 112.

"Hah, ada apa?"

"Ju, Zafran bin apa?"

"Bin bapak dia."

"Yalah tahulah bapak dia. Apa nama bapak dia?"

"Musa mati meninggalkan beban."

"Eh, dia memang betul-betul single kan? Takde girlfriend? Crush pun takde?"

"Jadah kau ni? Orang tua tu dah lama mampus membaham tanah, agak dah mereput kena benam dengan munkar nakir."

"Yish...maksud aku Zafranlah!"

"Oh...confirm single. Tak diragui."

"Jom, kita pergi gerai dia sekarang."

Share this novel

Otai Keratong
2026-03-21 22:16:25 

Hahahha kena penangan Tokeyyy Lemang dah

Jamaliah Khalid
2026-03-20 21:14:34 

Aiyookkk...Alya dh nk kejutkan serigala beku


NovelPlus Premium

The best ads free experience