BAB 1

Romantic Comedy Series 134018

"SAYA rasa saya tak boleh teruskan pertunangan ni."

Alya terkebil-kebil. Kata-kata Imran itu bagaikan panah yang menancap tepat ke dadanya, membuat seluruh sarafnya seakan-akan mati rasa. Kaku, beku, dan tidak mampu memberi reaksi.

Untuk sesaat, dunia di sekelilingnya seolah-olah terhenti.

"Saya nak putuskan pertunangan kita." Lagi-lagi bicara Imran menikam Alya tanpa belas.

"Awak cakap ni? Tolong jangan bergurau, boleh?" Suara Alya bergetar, menahan gigil di seluruh tubuh. Pada masa yang sama, masih cuba menolak realiti yang menghentamnya beberapa detik tadi.

"Saya tak bergurau." Wajah Imran serius, menunjukkan dia benar-benar menginginkan perpisahan itu.

"Tak lama lagi kita nak kahwin kan? Kenapa tiba-tiba awak nak putus?" Air mata Alya mula jatuh, dan dia tidak berusaha menahannya.

Imran menghela nafas panjang. Matanya memandang Alya, namun tatapan itu kosong. Dan mungkin...jengkel, jika Alya tidak salah menilainya.

"Keputusan ni bukan tiba-tiba. Saya dah fikir lama. Dan makin lama saya fikir, saya rasa kita memang tak sesuai."

"Tak sesuai?" Tawa Alya lolos dalam tangis. "Empat tahun dekat U, setahun lepas grad, enam bulan bertunang, baru sekarang awak cakap tak sesuai?"

Sunyi sejenak.

Bunyi sudu berlaga dengan cawan, deru enjin kenderaan di luar, gelak tawa orang di meja sebelah tiba-tiba menjadi sangat bingit di telinga Alya.

Namun di tengah-tengah hiruk-pikuk itu, hanya satu perkara yang benar-benar jelas.

Diamnya Imran.

"Awak tak nak jelaskan apa-apa?" tanya Alya.

"Saya minta maaf," kata Imran, akhirnya.

"Saya tak nak dengar maaf awak. Saya nak tahu apa salah saya."

Diam lagi. Keluhan berat lolos dari bibir Imran.

?Saya nak kehidupan yang stabil lepas kahwin. Tapi awak sampai sekarang belum ada kerja. Hantaran, belanja kahwin, semua saya kena tanggung. Lepas kahwin nanti? Rumah, makan, pakai, semua atas saya jugak. At least saya harap awak boleh share. Tak dapat 50-50, awak share 30, 40 percent pun jadilah. Tapi kalau awak masih menganggur? semua jatuh atas bahu saya. Banyak mana je gaji saya yang tinggal nanti. Saya pun ada keinginan lain jugak."

"Saya suruh awak apply DPLI, atau KPLI, tapi awak tak nak. Sekurang-kurangnya ada jaminan kerja nanti. Kerja kerajaan ni gagah sikit kalau nak buat loan ke apa."

Alya terpaku. Air matanya masih mengalir, namun kali ini rasanya berbeza. Bukan sekadar sedih, tetapi terluka oleh sesuatu yang lebih dalam.

"Itu je sebabnya?" Alya bersuara perlahan, hampir tenggelam dalam bunyi sekeliling.

"Ya." Imran tidak cuba menafikan.

Jawapan itu pendek. Ringkas. Namun cukup untuk membuat Alya mengerti tanpa perlu bertanya lagi.

?Okay?? Alya mengangguk perlahan. Suaranya serak, namun masih cuba dikawal. ?Saya dah faham. Selama ni? saya cuma plan yang tak cukup sempurna untuk masa depan awak.?

"Alya..." Suara Imran kedengaran jengkel. "...tak payah nak putar belitkan fakta."

"Setiap hari, lepas kita graduate, saya hantar resume, saya pergi interview, sekarang pun saya kerja dekat pasar raya. Saya kumpul duit sikit-sikit untuk belanja kahwin sebab tak nak bebankan awak, tapi..." Alya jeda. Nafas ditarik dan dihela perlahan. Cuba menerima hakikat dan berlapang dada kerana dia tahu apa pun yang dia lakukan, apa pun dia cuba perkatakan, tidak akan mampu mengubah pendirian Imran. Lelaki itu benar-benar kelihatan sudah nekad. "...tak sangka usaha saya tu belum cukup untuk sempurnakan impian awak."

"Usaha saja tak cukup, Alya. Kena ada hasil. Tapi sampai sekarang, awak macam tu jugak. Takkan sampai dah ada anak awak nak kerja kat pasar raya tu?"

Alya tertawa hambar. Akhirnya semua kesalahan jatuh di bahunya. Dia malas berdebat atau berkata apa-apa lagi.

"Tolong pulangkan cincin tunang dan duit advance hantaran yang saya dah bagi. Saya nak guna duit tu untuk kahwin..." Kata-kata Imran terhenti di situ. Wajahnya nampak cuak, seolah-olah sudah terlepas sesuatu yang sepatutnya masih menjadi rahsia.

Alya pula terdiam. Fahamlah dia mengapa Imran mahu memutuskan pertunangan ini. Ternyata sudah ada seseorang yang menanti.

Tanpa berkata apa-apa lagi, dia tanggalkan cincin pertunangan di jari manisnya lalu diletakkan di depan Imran.

"Advance duit hantaran tu saya dah guna buat beli barang hantaran, bayar deposit pelamin, katering, mak andam, tinggal separuh je lagi. Nanti saya transfer," katanya.

"Mana boleh macam tu!" Imran tidak berpuas hati.

"Kenapa pulak tak boleh? Salah awak yang last minute putuskan pertunangan. Kenapa tak putuskan sebelum dua bulan, tiga bulan sebelum ni?"

Imran nampak terkulat-kulat. Hanya halkumnya yang nampak turun naik menelan liur.

"Ataupun guna je katering yang saya dah tempah tu untuk majlis awak dengan perempuan tu nanti," sambung Alya. Lalu tanpa menunggu jawapan Imran, dia bangun dan terus keluar dari restoran itu.

"JAHANAM betul si Imran tu ek? Mintak putus sebab kau masih menganggur? Bukan kaleng-kaleng dia punya jahil. Pekat likat, sikit tak campur air," omel Julia. Daripada berdiri, dia tarik kerusi lalu duduk di depan Alya yang masih termenung dengan mata dan wajah sembap.

"Kalau dia perempuan, kau lelaki, logiklah dia risau kalau kahwin dalam keadaan kau masih menganggur. Ini..." Julia jeda. Terlalu banyak kata makian yang mahu dihamburkan sehingga tidak tahu yang mana perlu diluahkan dahulu. "Sepatutnya sebagai lelaki, dia kena ada mindset provider tahu tak? Apa dia nak provide, berapa banyak, macam mana, tu ikut kemampuan dialah. Ini awal-awal dah set nak 50-50. Nak isteri kerja gomen, senang nak buat loan. Eh, bodoh betul. Sia-sia kerja cikgu, tapi otak macam badak air."

Alya diam. Masih melayan rasa sedih dan kecewa. Teh panas dan mee goreng mamak yang dihidang Julia langsung tidak disentuh walaupun selalunya dua benda itu tidak pernah bersisa di pinggannya.

"Dahlah, tak payah terkenang-kenang sangat dengan jantan macam tu. Bagus dia tunjuk belang dia sebelum kahwin. Takdelah bila dah beranak pinak nanti menyesal. Satu kerja pulak nak naik turun mahkamah mintak cerai, tuntut nafkah apa bagai. Jangan tambah statistik wanita kemurungan dalam Malaysia," pujuk Julia. Pinggan mee Alya yang masih belum berusik, ditarik ke depannya. Cedok sedikit menggunakan garpu, dia suap ke mulutnya sendiri.

Alya hanya menjeling. "Aku ingat kau nak suap aku," ketusnya.

"Kau putus tunang je kan, bukan putus tangan? Makanlah sendiri," balas Julia.

"Suaplah aku, Ju. Aku tengah broken ni."

"Ah, mengada!" rengus Julia. Namun dia suakan juga mee yang sudah diputar pada garpu ke mulut Alya.

Alya membuka mulut. Mengunyah mee itu tanpa perasaan dengan mata merenung kejauhan.

"Sudah-sudahlah tu. Aku faham kau frust, tapi tak guna mengenang jantan tak guna tu. Kalau kau betul-betul nak balas dendam, kau saman dia. Esok kita cari lawyer."

"Malaslah. Nak upah lawyer, bukak fail tu pun dah berapa ribu. Buang duit je."

"Hmmm...betul jugak. Kalau macam tu, kau move on je la. Habiskan mee ni cepat. Nanti aku teman kau layan lagu-lagu broken."

"TAK pernahkah kausadari? Akulah yang kau sakiti
Kau pergi dengan janjimu yang telah kau ingkari..."

Mendayu-dayu dan penuh perasaan Alya dan Julia menyanyikan lagu Judika itu.

"Oh, Tuhan, tolonglah aku, hapuskan rasa cintaku
Aku pun ingin bahagia walau tak bersama dia..."

"Allah! Apa benda anak dara memekak senja-senja ni?!" Suara petir Mak Jijah, ibu Julia menghentikan nyanyian mereka.

"Alya broken, mak," kata Julia.

"Apa benda tu?"

"Tunang dia putuskan pertunangan. Tak jadi kahwin."

"Ya Allah..." Mak Jijah pandang wajah Alya yang jelas nampak murung. "Ya ke Ya? Kenapa tiba-tiba?"

"Sebab Alya belum kerja. Dia kata nanti susah, lepas kahwin serba-serbi dia kena tanggung." Lagi-lagi Julia menjawab bagi pihak Alya.

"Binawe betul. Dah tu tanggungjawab dia. Alya kerja tak kerja, tetap dia kena tanggung. Dahlah Ya, tak payah dikenang-kenang budak tak guna tu. Bazir air mata kau je. Ramai lagi lelaki baik kat luar sana. Bagus dia dah tunjuk perangai dia sebelum kahwin. Tak menyesal kau kemudian hari. Meh sini." Mak Jijah tarik Alya ke dalam pelukan.

Tangisan Alya yang sudah berhenti sejenak tadi, pecah semula.

?Takpe...takpe...? pujuk Mak Jijah lembut samnil mengusap-usap belakang Alya. ?Allah jauhkan dia dari kau sebab nak bagi yang lebih baik.?

"Ha kan...sama macam aku cakap tadi," sampuk Julia. "Hari ni kau nangislah puas-puas. Lepaskan sakit hati kau tu. Esok, move on. Jangan dikenang jantan tak guna tu."

"Betul." Mak Jijah menyokong. "Orang cantik, baik, pandai macam kau ni mesti ramai yang nak. Satu pergi, sekampung mari."

Alya terkekeh dalam sedu-sedan yang masih bersisa.

"Kampung mana mak? Kat kampung ni semua dah level-level siak masjid," balasnya.

"Eh siapa kata? Tu...sepupu aku, si Zafran tu. Walaupun rupa macam tong roro, mulut jahat, tapi dia perkasa, rajin, pandai cari duit, taat agama. Mana nak cari lelaki macam tu zaman sekarang?"

ZAFRAN memusing buluh lemang di hadapannya, satu demi satu. Asap nipis naik ke wajahnya, namun dia hanya sengetkan sedikit kepala dan meneruskan kerja seperti biasa.

?Din, yang kiri tu pusing sikit. Api dah makan sebelah tu,? katanya sambil menoleh sekilas ke arah pekerja barunya.

Din yang sedang menyusun kayu, cepat-cepat bangun.

"Jangan rapat sangat, nanti luar hangit, dalam mentah," kata Zafran lagi.

Din menurut.

Zafran beralih ke arah kanan pula. Memusing buluh-buluh lemang yang baru separuh masak itu dan menjarakkannya sedikit. Sesekali dia menambah kayu api, memastikan nyalaan kekal sekata.

Sebuah kereta berhenti di depan gerai membuat Zafran segera berdiri.

Seorang wanita muda keluar.

"Lemang dua."

"Nak bukak terus ke?" tanya Zafran.

"A'ah. Nak satu set dengan rendang daging."

Zafran capai pisau lalu mengambil dua batang lemang yang baru diangkat dari para. Dia ketuk perlahan hujung buluh itu dengan belakang pisau, kemudian membelahnya dengan sekali tekan.

"Pit, packing rendang dua set," katanya sambil memotong lemang sebelum memasukkannya ke dalam bekas. Apit yang sedang menjaga lemang bersama Din, ditoleh sekilas.

Apit terus bangun dan mencedok rendang ke dalam bekas.

Zafran membungkus set itu menghulurkannya kepada wanita itu.

?Empat puluh.?

Wanita itu mengeluarkan dompet dan menghulurkan dua keping not RM20 kepada Zhafran.

"Saya jual," kata Zafran lalu terus berpaling semula ke arah lemang yang masih bersusun di depan bara.

"Kut ya pun, senyumlah sikit. Buat-buat tanya datang dari mana, duduk mana, kerja kat mana...Orang tu dari tadi tengok kau," kata Apit.

"Malas nak ambik tahu," balas Zafran singkat.

"Bukan pasal nak tahu sangat. Basa-basi orang kata," tingkah Din.

"Tak pandai."

"Acap dah dia datang, Zaf. Aku rasa bukan dia nak beli lemang sangat. Dia nak tengok kau je," kata Apit.

"Ya ke?" Din nampak berminat.

"Iya. Dia jual lemang sambil jual muka," jawab Apit membuat dia dan Din sama-sama terbahak.

"Untung la... Muka ketat macam tu pun boleh jual."

Zafran tidak merespons. Malas melayan usikan itu. Bukan marah, tetapi kerana dia memang tidak suka melayan perkara-perkara remeh. Apatah lagi melibatkan wanita.

Salam semua. Kali ni kisah ZafranxAlia pulak. hehe. kita bagi berkenalan dengan watak2 dulu. happy reading ?

Share this novel

Lya
2026-04-15 00:22:07 

Eh author ada Nama saya la kebetulan pula Nama saya pun Alya juga?

arizah hashim
2026-04-10 22:45:59 

wahhh. kisah baru. lps selesai kisah abg Kemal dgn Luna lama tak buka novel+. tapi hari ni tiba2 rasa terpanggil utk melihat2. rupa2nya diseru dek ticer Calyta. best2?

norsiah
2026-03-20 13:10:17 

ya ampunn..muka ketat pun lakuuu.....


NovelPlus Premium

The best ads free experience