Bab 3

Romance Series 5827

“TUAN Karl suruh I maklumkan pada Cik Isabella, majlis pernikahan nanti akan berlangsung di pejabat agama sahaja.”

“What??” Hampir tercampak jantung Isabella mendengar berita itu. Dia pandang tepat ke arah Amar, pembantu Karl Eskandar dengan wajah tidak percaya. “Nikah kat pejabat agama je? Seriously? Karl Eskandar kut! Orang biasa pun, walau tak ada duit tetap akan buat majlis nikah ala kadar kat rumah. Dia ni apahal pula nak nikah kat pejabat agama macam orang tak mampu?” bebel Isabella panjang.

Bukanlah Isabella mengharapkan majlis gilang-gemilang yang mewah, tapi sekurang-kurangnya… ada jugalah suasana normal macam orang lain. Bukankah pelik lelaki kaya seperti Karl Eskandar hanya mahu majlis nikah ringkas tanpa peduli apa-apa?

Amar menarik nafas, cuba menenangkan keadaan sebelum salah faham makin melarat. “Bukan soal duit, Cik Isabella. Tuan Karl tu jenis tak kisah benda-benda sampingan. Dia fokus pada perkara yang dia anggap penting sahaja. Tambah pula keluarga Tuan Karl memang tak dapat hadir. Tan Sri akan berada di luar negara untuk urusan bisnes. Last minute Tuan Karl bagitahu pasal nikah ni, jadi Tan Sri memang tak boleh cancel urusannya. Lepas nikah nanti pun, Tuan Karl sendiri akan berangkat ke luar negara untuk kerja. Itu sebab dia nak buat simple saja. Tak nak bazir masa dan tenaga.” Panjang lebar Amar menjelaskan, bersungguh-sungguh agar Isabella faham.

Isabella mendengus, muncung bibirnya panjang sejengkal. “Banyak betul alasan. Tak kisah konon, cakap sajalah kedekut.”

Amar hampir ketawa, tapi cepat-cepat ditahan. Wajah Isabella yang jelas marah itu memang mudah dibaca antara geram, kecewa, dan tersinggung. Perempuan mana tak terasa? Siapa saja yang tak mahu majlis pernikahan nampak bermakna?

“Cik Isabella jangan salah anggap. Tuan Karl la orang paling tak kedekut yang I pernah kenal,” balas Amar, cuba mempertahankan majikannya. “Cuma dia agak berkira dengan masanya. Tapi jangan risau… Tuan Karl ada rancang juga majlis resepsi selepas selesai urusan kerjanya nanti. Masa tu, kalau Cik Isabella nak request grand wedding sekalipun, pasti dia akan penuhi.”

Isabella bersilang tangan di dada, jelas tidak puas hati. Bukan soal majlis besar atau kecil yang mengganggu fikirannya, tetapi sikap Karl Eskandar yang buat dia naik darah. Semua benda penting ini langsung tidak dibincangkan dengannya! Semua melalui pembantu.

‘Busy sangat ke dia tu sampai hal nikah pun delegate kat PA? Meh, aku nak tengok muka dia sendiri!’ getus Isabella dalam hati, penuh geram.

“Cakap dengan Karl Eskandar, I nak jumpa dia. Urgent!” arah Isabella tegas.

Terkebil-kebil Amar memandangnya. “Tuan Karl ada pesan… katanya tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi. Dia sendiri dah uruskan semuanya. Malah tarikh nikah pun dah siap booking di pejabat agama.”

“Benda tu boleh cancel!” balas Isabella tanpa teragak-agak, nadanya penuh keyakinan.

Amar terus terdiam, tidak tahu mahu berhujah apa lagi.

“I nak jumpa dia juga. Full stop. Sampaikan pada dia. Petang ni, pukul enam, I akan tunggu dia kat restoran hari tu. Kalau dia tak datang…” Isabella berhenti seketika, matanya mencerlung tajam, “…anggap saja dia declare war dengan I.”

Amar menggosok belakang tengkuknya perlahan, serba salah. Dia kenal sangat perangai Karl Eskandar. Sekali dia dah buat keputusan, memang tak ada siapa boleh ubah.

Dalam hati Amar cuma mampu berdoa, “Harap Tuan Karl lembut hati. Kalau tak, risau tak jadi kahwin pulak!’

“APA yang urgent sangat sampai you sanggup nak declare war dengan I kalau I tak datang?” sindir Karl Eskandar sebaik duduk berdepan dengan Isabella. Nada suaranya tajam, namun mata tetap fokus. “Keputusan I dah muktamad.”

Isabella menyandarkan tubuh, tayang riak wajah selamba seperti tidak gentar langsung. “You kan bisnesman. Dalam bisnes, mesti ada sesi tawar-menawar dengan klien, right? Sama juga kita yang bakal jadi suami isteri. Kalau you dah buat keputusan, takkan I tak boleh ajak you negotiate? Unless you memang fikir kahwin ni sekadar akad nikah tanpa perlu fikir hal lain. Kalau macam tu, I tak tahu nak cakap apa.” Suaranya bernada sinis, cukup buat Karl Eskandar angkat kening.

“Fine. Go ahead. Apa yang you nak negotiate dengan I?” tanya Karl Eskandar, nadanya datar.

Isabella tersenyum nipis, sudah bersedia. “I tak nak nikah kat pejabat agama.” Suaranya berubah serius.

Karl Eskandar bersandar, wajahnya jelas tidak terkejut. “Kan I dah cakap…”

“I nak kita nikah kat Thailand,” potong Isabella tegas.

“What? Thailand?” Nada Karl Eskandar naik sedikit, terkejut besar. “Tempat dekat ada, yang you nak nikah jauh sampai sana kenapa? You tahu tak benda tu lagi rumit? Balik Malaysia kena daftar semula, siap kena denda. You marah I nak buat simple nikah kat pejabat agama tapi you tak sedar ke cadangan you ni lagi menyusahkan?”

“Kita daftar jelah, apa yang susahnya. Soal denda tu, I sendiri akan bayar,” balas Isabella, matanya redup namun sarat dengan tekad.

Karl Eskandar menghela nafas panjang. Dia cuba bersabar. Selama ini, dia fikir Isabella lain daripada kebanyakan wanita yang tidak cerewet, tak banyak drama. Itu antara sebab dia cepat membuat keputusan untuk memilih Isabella. Tapi kini, lain pula jadinya.

“I…” Isabella teragak-agak. Ada sesuatu yang cuba ditahan di hujung lidahnya.

“Tell me,” suara Karl Eskandar merendah sedikit, kali ini lebih lembut. “Apa sebab sebenar you nak nikah kat Thailand?”

Isabella menarik nafas perlahan-lahan, sebelum menatapnya dengan wajah berat.

“I tak nak my dad jadi wali I,” ujar Isabella akhirnya, perlahan tetapi jelas.

Karl Eskandar tidak menyampuk. Dia hanya memerhati, memberi ruang untuk Isabella meneruskan.

“Kalau ikut hukum, I tak boleh guna wali hakim sebab papa masih hidup. Masalahnya… hubungan I dengan papa sangat teruk. Lepas dia kahwin baru, keluarga tiri I langsung tak pernah terima I. Kakak tiri I, lagi lah… dia memang hidup untuk cari pasal. Kalau papa jadi wali, confirm keluarga tiri I tahu. Dan bila dorang tahu, I boleh jamin dorang akan buat hal untuk kacau. Silap hari, dorang akan desak papa sendiri tak payah jadi wali I. I tak nak perkara macam tu jadi last minit nanti dan lagi menyusahkan semua orang.” Isabella menunduk, suaranya bergetar antara marah dan malu.

“Bukan I takut dengan kakak tiri I, Karl. Tapi… I malas nak buang masa bergaduh. Papa pula… dia ibarat lembu cucuk hidung. Apa saja mak tiri I cakap, semua dia ikut. So, I memang tak nampak jalan keluar.”

Karl Eskandar berdiam, pandangan matanya sedikit melembut.

“Bila you cakap nak nikah simple kat pejabat agama, terus terlintas dalam fikiran I… kalau kita nikah kat Thailand, I boleh elak papa jadi wali. Balik Malaysia nanti, kalau you memang nak perkahwinan kita rasmi, kita daftar. At least masa tu, apa pun jadi, kita dah sah jadi suami isteri,” terang Isabella penuh harap. Dia mendongak, memandang tepat ke wajah Karl Eskandar.

Karl Eskandar membalas pandangan itu, lama. “Tapi you kena ingat, Bella. Balik Malaysia nanti, tetap juga papa you kena terlibat masa daftar. Tetap juga keluarga tiri you akan tahu bila perkahwinan kita dah berdaftar.”

“I tak kisah kalau lepas tu dorang tahu. Asalkan kita dah selamat nikah dulu,” jawab Isabella tanpa ragu, suaranya nekad.

Karl Eskandar termenung sejenak. Dia nampak ketegasan di mata Isabella, sesuatu yang jarang dia lihat sebelum ini. Akhirnya, dia membuat keputusan.

“Okey,” kata Karl Eskandar, pendek tapi tegas. “Kita nikah kat Thailand. Tapi I akan daftar perkahwinan kita lepas I balik dari luar negara. You tahu kan, lepas nikah nanti I kena fly out untuk urusan kerja?”

Isabella mengangguk laju. Amar sudah pun memberitahunya hal itu.

“I tak pergi lama. Dalam sebulan macam tu. So, kita masih ada masa untuk daftar. Paling lambat enam bulan selepas tarikh nikah. Deal?”

Isabella tersenyum, lega bercampur gembira. “Deal. Thank you so much, Karl.”

Akhirnya, selesai juga satu masalah yang membelenggu Isabella sejak beberapa hari lalu.

DENGAN sekali lafaz, Isabella akhirnya sah bergelar isteri kepada Karl Eskandar. Tiada pelamin indah, tiada keluarga yang meraikan. Hanya mereka berdua sahaja. Karl Eskandar dalam baju Melayu putih, Isabella dengan baju kurung putih sederhana yang menandakan mereka kini pengantin baru di bumi asing, Thailand.

Lebih memilukan, cincin pun tidak sempat disarungkan ke jari Isabella. Usai majlis akad nikah, Karl Eskandar menerima panggilan penting. Tanpa banyak bicara, mereka segera pulang ke Malaysia dengan penerbangan paling awal yang ada.

Di KLIA, Amar sudah sedia menanti dengan wajah lega.

“Tengah malam ni ke flight you?” soal Isabella dalam perjalanan pulang.

Karl hanya mengangguk, matanya langsung tidak terlepas dari iPad. Barulah Isabella benar-benar faham kata-kata Amar yang masa adalah segalanya bagi Karl Eskandar. Lihatlah, dalam kereta pun lelaki itu masih tekun dengan urusan kerja, seolah-olah mereka tidak baru saja memulakan satu ikatan paling besar dalam hidup.

Sebaik tiba di sebuah kawasan perumahan elit, mata Isabella terbeliak. Banglo mewah yang tersergam indah di hadapannya membuatkan kakinya sedikit kaku. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah Karl Eskandar.

“Karl…” panggil Isabella perlahan, hampir ragu. “I kena stay sini ke, selama you outstation?”

Karl Eskandar menoleh sekilas. “Why?”

Isabella menggigit bibir. “Boleh tak… I stay dulu kat rumah sewa. Nanti bila you balik, baru I pindah masuk sini.”

“Ikut suka hati you. Tapi malam ni, you stay sini.” Nada Karl Eskandar pendek, jelas tidak mahu bertekak. Baginya, ada perkara lebih penting yang perlu dia uruskan sebelum perjalanan malam ini.

Tanpa menunggu lagi, Karl Eskandar terus melangkah ke bilik kerja. Beberapa arahan ringkas diberi kepada orang gaji sebelum berlalu, membiarkan Isabella diuruskan ke bilik utama.

Di bilik luas itu, Isabella rebahkan tubuh ke atas katil empuk. Pandangannya menatap siling, fikirannya bercelaru.

“Sepatutnya… aku dah lega, kan? Masalah duit dah selesai. Aku tak perlu risau macam dulu lagi…” bisiknya, namun suaranya hambar.

Walau pernikahan berlangsung di Thailand, Karl Eskandar tetap menyerahkan wang hantaran yang jauh lebih banyak daripada simpanan yang pernah dilesapkan Jefri. Sepatutnya Isabella sudah mampu tersenyum lega. Tapi hati tetap berasa kosong.

Belum sempat Isabella terus hanyut dengan perasaan, telefon bimbitnya berbunyi. Nama yang tertera di skrin buat dahinya berkerut.

“Danial?”

“Woi, Belle! Kau pergi mana menghilang?” suara Danial bergema tanpa mukadimah. “Kau tahu tak, semalam Jefri ada muncul. Dan aku dapat info malam ni pun dia akan datang lagi sebab ada party.”

Isabella terus duduk tegak di hujung katil. “What? Mamat tak guna tu dah muncul?” suaranya naik.

“Ya. Kalau kau tak nak dia lenyap lagi, baik kau datang malam ni. Aku standby tunggu.”

Degupan jantung Isabella bertambah laju. Tanpa fikir panjang, dia capai beg tangan, terus keluar dari bilik.

Langkahnya menuruni tangga dengan tergesa-gesa. Suara orang gaji yang menegur, “Puan Isabella, puan nak ke mana?” langsung tidak dipedulikannya.

Dalam fikirannya cuma satu, Jefri. Lelaki yang sudah lama Isabella buru akhirnya muncul semula.

Namun dalam keghairahan mengejar dendam, Isabella lupa satu perkara paling penting yang dia kini seorang isteri dan malam ini dia meninggalkan rumah tanpa pengetahuan suaminya sendiri.

Selamat berkenalan dengan Isabella & Karl Eskandar! Belle dan Karl telah pun memulakan tirai kisah cinta mereka. Kisah yang bakal sarat dengan rahsia, ujian, dan rasa yang tak pernah mereka bayangkan. Jemput baca semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience