Completed
26601
?Alhamdulillah.?
Ucapan syukur terpacul dari bibir semua yang hadir di majlis pertunangan antara Suri Hati dan Ferhad. Puan Hasnah, ibu kepada Ferhad, menyarungkan cincin sebagai tanda lamaran telah diterima. Tarikh pernikahan juga telah ditetapkan, iaitu enam bulan dari sekarang. Akhirnya, setelah setahun menjalin hubungan, mereka kini hanya selangkah sahaja lagi menuju ke gerbang bahagia.
Majlis diteruskan dengan sesi foto bersama. Suri Hati mengenakan baju kurung pahang berwarna hijau muda jenis songket yang sedondon dengan warna baju Ferhad. Ferhad kelihatan begitu segak dan tampan, namun berbeza dengan Suri Hati yang bajunya kelihatan sedikit ketat di badan. Entahlah kenapa emaknya menyuruh memakai baju adiknya, Syaza Hani. Mereka berdua berdiri berdampingan sambil menunjukkan cincin pertunangan di jari masing-masing. Senyuman bahagia terukir di bibir mereka.
Usia Suri Hati sudah mencecah 29 tahun, usia yang cukup matang untuk membina rumah tangga. Saat ini, dia menjawat jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat pakaian. Kerjayanya melonjak naik hasil kegigihannya serta kenaikan pangkat daripada majikan. Manakala Ferhad pula berusia 30 tahun dan mengusahakan kedai makan yang agak besar di kawasan mereka. Malah, Ferhad bercadang untuk membuka cawangan baharu di beberapa buah negeri yang lain.
Pandangan Suri Hati terhenti pada wajah adiknya, Syaza Hani. ?Macam tak happy je.?
Suri Hati yang sedari tadi duduk di sebelah Ferhad memutuskan untuk menghampiri Syaza Hani. Syaza Hani berusia 24 tahun. Dia sudah pun tamat pengajian dari universiti awam di Shah Alam, namun sehingga kini masih belum ada keinginan untuk bekerja.
?Syaza, kenapa diam je? Syaza sakit ke?? tanya Suri Hati sambil duduk di sisi adiknya. Matanya memandang tepat ke arah Syaza.
Ini bukanlah perkara baharu. Kadangkala Syaza Hani boleh jatuh sakit secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas sama ada pening, mual, atau demam. Malah yang lebih membimbangkan, Syaza boleh pengsan tiba-tiba. Terutamanya jika kemahuannya tidak dituruti, badannya pasti akan terus lemah. Keluarganya tidak pasti punca sebenarnya, namun doktor mengatakan bahawa minda bawah sedarnya yang mengawal reaksi tubuhnya. Jadi, sekiranya dia merasa kecewa atau sedih, tubuhnya akan bertindak balas dengan pelbagai simptom.
Mungkin disebabkan itu, Syaza Hani membesar sebagai anak yang paling manja, di mana segala kemahuannya mesti dipenuhi. Mama dan papa mereka juga tidak pernah menolak permintaannya. Malah, berulang kali orang tua mereka berpesan supaya Suri Hati sebagai kakak perlu beralah. Sejak kecil lagi, Suri Hati sudah terbiasa mengalah dan menyerahkan apa sahaja miliknya jika Syaza Hani tiba-tiba mahukan begnya, mainannya, bajunya, mahupun barang-barang lain.
Jika ditanya, adakah Suri Hati terasa? Tentu sekali. Bertahun-tahun menjadi kakak yang sentiasa mengalah dan tidak diberi ruang untuk bersuara pasti meletihkan. Namun, disebabkan rasa sayang yang mendalam terhadap adiknya, dia mengetepikan semua perasaan itu.
?Syaza okey je, kak. Cuma Syaza rasa cemburu dengan akak. Kak long dah nak kahwin, sedangkan Syaza calon pun tak ada. Padahal Syaza yang teringin sangat nak kahwin dari dulu, tapi kenapa akak pula yang dapat tentukan tarikh nikah dulu,? ujar Syaza Hani dengan wajah mencuka.
Suri Hati tersenyum lalu menggenggam tangan adiknya. ?La, dah memang macam ni aturannya. Akak yakin tak lama lagi mesti ada lelaki baik yang datang dalam hidup Syaza. Syaza kena cuba buka hati dan terus berdoa supaya jodoh Syaza sampai cepat,? pujuk Suri Hati.
Memang sudah lama Syaza Hani menyuarakan keinginannya untuk berkahwin. Malah, jika perlu, dia sanggup melangkah bendul. Namun, beberapa kali dia menjalinkan hubungan, semuanya berakhir dengan kegagalan.
Bekas-bekas kekasih Syaza Hani tidak tahan dengan sikap Syaza yang mahu semua kemahuannya dituruti. Malah, kejadian terakhir dengan bekas kekasihnya, Syaza Hani meminta dibelikan cincin berlian berharga RM15,000. Disebabkan kekasihnya tidak mampu, akhirnya hubungan mereka terputus.
SEMUA perancangan majlis kahwin berjalan dengan lancar. Dewan juga sudah ditempah dan katering pula sedang ditentukan. Manakala kad jemputan hanya tunggu untuk dicetak sahaja.
Memang benar kata orang, semakin dekat tarikh pernikahan, semakin banyak ujian yang melanda. Semakin hari mereka semakin kerap berselisih faham, malah perkara kecil pun boleh mencetuskan pertengkaran.
Suri Hati sendiri merasakan hubungannya dengan Ferhad agak tegang selalu dan sukar dibawa berbincang. Lamunanya terganggu melihat adiknya yang sepertinya sudah berias cantik selepas masuk ke dalam biliknya tadi untuk meminjam barang.
?Syaza nak ke mana tu? Bukan main cantik lagi bersiap?? tanya Suri Hati apabila melihat adiknya keluar dari bilik sambil menjinjit beg tangan hitam miliknya yang berjenama Kate Spade. Syaza mengenakan baju lengan panjang berwarna biru putih dan seluar hitam, dipadankan dengan sandal tumit tinggi yang membuatkan penampilannya sungguh mempesona.
?Syaza nak lepak dengan kawan, kak,? jawab Syaza Hani sambil menundukkan kepalanya.
?Siapa tu? Syaza nak dating ya?? usik Suri Hati sambil tersenyum dan menyenggol lembut lengan adiknya.
?Apa akak ni. Doakanlah semoga kali ini impian Syaza untuk berkahwin tercapai,? jawab Syaza Hani malu-malu.
?Aamiiin,? balas Suri Hati sambil memeluk adiknya. ?Akak sentiasa doakan Syaza bahagia.?
Selepas Syaza Hani pergi, Suri Hati masuk ke bilik dan memutuskan untuk menghubungi Ferhad. Hari Ahad begini biasanya mereka akan bertemu untuk menghabiskan masa bersama-sama dan makan makanan kegemaran mereka.
?Biy, buat apa tu? Jom keluar?? Suri Hati menghubungi Ferhad.
?Sorry, sayang. Biy sibuk kat kedai ni. Ada stock nak sampai dan Biy kena periksa sendiri,? balas Ferhad.
?Alaa, sayangnya. Malam tadi dah tak jadi jumpa. Hari ni pun tak boleh juga ke,? balas Suri Hati dengan nada kecewa.
?Minta maaf ya, sayang. Memang kebelakangan ni Biy sibuk sangat.?
?Yalah, tak apa. Biy buat kerja elok-elok ya,? balas Suri Hati, cuba memahami dan memberi sokongan kepada tunangnya.
Akhirnya, Suri Hati sekadar membelek media sosial di telefonnya. Selepas setengah jam, dia membuka aplikasi Instagram dan melihat status rakan-rakannya. Namun, jarinya terhenti apabila melihat status daripada adiknya.
Gambar seorang lelaki yang sedang berdiri membelakangkan adiknya seperti dia mengenali sosok ini.
Suri Hati membaca kapsyen adiknya itu.
+Semoga ada jalan untuk kita baby+
Share this novel