“Sejujurnya, saya benar-benar iri hati tengok dia kak, pergi mana-mana orang kenal, macam semua orang baik kawan dia, saya ni…..”
“Kenapa dengan awak, kawan awak jahat? Akak ni jahat lah ye” terus aku mencantas.
“Tidaklah begitu, Cuma rasa malu dengan kisah silam, malu dengan suasana saya membesar, tidak macam dia, serba serbi baik”
Maka artikel ini untuk mereka yang pernah melalui monolog atau dialog sebegini. Malah turut ditujukan kepada saya sebagai satu sudut pandang peribadi. Untuk kita sama-sama melihat kembali di mana kita bermula.
Saya ada seorang sahabat yang sangat senang untuk siapa pun berkawan dengannya. Tidaklah dia datang semata-mata untuk membuat lawak atau untuk membuat manusia sekelilingnya ketawa, tetapi kehadirannya seakan hadir bersama aura kegembiraan dan kebahagiaan. Saya cemburu dengan kebolehannya yang seperti magnet ini. Kemana sahaja dia pergi ada senyuman dan ada ketawa yang dapat dia sebarkan. Bukanlah saya cemburu sehingga menghasilkan benci, tetapi cemburu yang sebenarnya membuahkan motivasi. Sudah namanya kagum, maka setiap perilakunya saya perhatikan. Yang jelas, saya nampak perlakuannya bersahaja, menegur semua orang yang dikenalinya, bertanya khabar dan memberikan senyuman. Selalu bisik hati kecil saya mengatakan saya juga mampu buat begitu. Tetapi akhirnya saya terpaksa terima hakikat bahawa saya tidak akan mampu untuk menyebarkan kesan yang sama seperti yang dia sebarkan pada waktu itu.
Lalu saya akur, tidak mudah untuk menjadi seperti dia, saya kemudiannya mula mencari alasan dan sebab kenapa dengan mudah untuk dia lakukan kebaikan. Sehinggalah saya hanya membuat konklusi, dia menjadi begitu kerana dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat membantu perkembangan dirinya, maka tidak aneh dia mampu menjadi cantik isi hatinya. Dia manusia terpilih.
Agak lama tanggapan ini sebati dalam diri saya. Adakalanya membuatkan saya bermotivasi untuk menjadi seperti dia tapi kebanyakannya membuatkan saya makin menjauh dan seolah putus asa. Kerana saya bukan ‘manusia terpilih’ dan saya berterus-terusan membandingkan diri saya dengan dia. Walaupun bila masa berlalu dan mula mempunyai kefahaman dan sudut pandang daripada sisi yang lain sedikit demi sedikit, kehadiran hidayah yang tidak mengira manusia itu tetap tidak dapat menghakis kepercayaan saya bahawa mereka yang dibesarkan dalam keluarga dan suasana seperti kawan saya itu adalah lebih beruntung. Lebih istimewa. Lebih terpilih.
Share this novel