Setelah aku keluar dari bilik 209, aku menuju ke bilik seterusnya di wing barat yang berada di tingkat 4 iaitu bilik 403. Wing barat ni ada 5 tingkat. Jadi terpaksalah aku menaiki dua pasang tangga. Tangga menuju ke tingkat atas pula berada di bahagian tengah bangunan wing tersebut di antara bilik 205 dan 206. Sewaktu aku tiba di tingkat empat dan dalam menuju ke bilik 403, aku terserempak dengan Faizal membawa sepasang tamu yang baru check-in ke bilik 406. Aku menyapa tamu berkenaan dan mengucapkan semoga mereka senang sementara menjadi tetamu kami dan menawarkan mereka untuk menghubungi aku secara langsung sekiranya mereka maukan apa-apa bantuan selama mereka di sini. Aku juga sempat memberitahu mereka bahawa pekerja kami termasuk Faizal sedia membantu nereka bila-bila saja. Setelah memastikan tiada apa yang mereka perlukan pada waktu itu, aku persilakan mereka untuk ikut Faizal ke bilik mereka. Dan aku? Apa lagi...ke bilik 403 lah..
Alhamdulillah tiada masalah ketika membuka pintu bilik itu dan TV pun tak menyala sebelum kad kunci dimasukkan. Aku langsung memeriksa kawasan bilik mandi. Beberapa minit aku memeriksa dan membuat catatan di bilik mandi, aku dengar namaku dipanggil sambil pintu bilik diketuk beberapa kali. Suara yang memanggil pula suara perempuan macam suara Cik Sandra pengurus bahagian kualiti yang menjadi mentorku untuk Manager on Duty sebelum ni. Mesti dia sengaja buat pemeriksaan mengejut untuk memastikan aku boleh menjalankan tugasku atau tidak fikirku dalam hati. Aku tak jawab dia dan terus menuju untuk membuka pintu. Bila aku buka tak ada sesiapa pun di luar pintu. Lebih aneh lagi, biasanya pintu bilik takkan kami tutup rapat sementara pemeriksaan dilakukan. Jadi Cik Sandra boleh saja masuk terus ke bilik untuk bercakap denganku sekiranya perlu. Bukannya dia perlu minta izin dari kau pun, apalagi dia adalah salah seorang atasan aku yang juga anggota komiti eksekutif.
"Sandra..Sandra?" panggilku beberapa kali. Mungkin dia ingat aku tak ada di dalam bilik kerana aku tak menjawab panggilannya tadi fikirku. Aku biarkan saja.
Faizal yang telah selesai menunjukkan bilik kepada tetamu tadi menghampiri aku. "Cik Putri cari siapa?" tanyanya sambil melihat-lihat ke arah hujung tingkat itu menuju ke arah tangga dan lif.
"Saya dengar macam Cik Sandra cari saya tadi. Bila saya buka pintu tak ada pula. Mungkin dia dan turun menggunakan tangga atau lif. Lagipun macam kamu tak tahu Cik Sandra tu jalan macam lipas kudung, Faizal" jawabku bergurau.
"Lah...macam tu rupanya. Setahu saya Cik Sandra belum pulang ke resort. Dia ada cakap tadi tengah hari sekiranya dia akan mengambil cuti esok dan petang td dia hendak pulang ke kampung kerana adiknya yang belajar di Switzerland pulang bercuti" cerita Faizal kepadaku.
"Oh...begitu rupanya. Mungkin dia tak jadi cuti? Kan dia cepat berubah fikiran. Apa lagi dia tu kan kuat bekerja dan lebih mengutamakan kerja. Mungkin ada tugasan baru atau laporan yang diminta oleh Pengurus Resort?" tanyaku kepada Faizal.
"Betul juga tu Cik Putri. Pernah terjadi sebelum ni. Kalau saya ada nampak Cik Sandra nanti, sy akan maklumkan Cik Putri dan akan beritahu Cik Sandra juga nanti Cik Putri akan telefon dia?" Faizal tawarkan kepadaku.
"Hmmm..baiklah Faizal. Nanti saya cari awak di lobi setelah saya selesai membuat pemeriksaan dan rondaan di wing barat ni, ya" jawabku tersenyum sambil melambaikan tangan sementara Faizal meninggalkan aku untuk kembali ke tugasku.
Aku mulakan lagi pemeriksaan di bilik 403 itu. Aku lengkapkan catatan yang tak sempat aku habiskan mengenai kebersihan bilik mandi. Seterusnya aku beralih ke kawasan bilik, katil dan sofa. Tidak lupa semua perkakasan elektronik yang disediakan aku periksa sama ada berfungsi dengan baik atau tidak. Keadaan bilik sedikit berselerak kerana pemeriksaan tidak dilakukan dengan melihat sekali imbas sahaja. Teknik pembersihan, pengemasan katil, bantal dan sebagainya juga harus diperiksa. Jadi wajar-wajar saja bilik yang mulanya rapi akan menjadi sedikit berselerak. Pihak pengurusan dan pekerja-pekerja housekeeping pun maklum akan hal ini.
Bila aku menghampiri pintu geser menuju ke beranda, bunyi air yang jatuh dari air terjun buatan di kolam renang wing barat kedengaran. Dalam masa yang sama, kedengaran bunyi beberapa kanak-kanak dan orang dewasa berdialog dalam bahasa Cina seperti bermain-main di kolam renang. Aku terkejut dan cepat-cepat aku buka pintu beranda untuk menjenguk ke kolam renang bagi memastikan situasi yang aku dengar. Bila aku keluar ke beranda dan melihat ke sekitar kolam renang, tiada sesiapa disitu. Suasana tenang dan yang ada cuma bunyi air terjun buatan yang berjatuhan dan bunyi serangga-serangga malam. Tidak mahu mengambil risiko, aku telefon ke bahagian keselamatan dan menyuruh salah seorang pegawai keselamatan yang bertugas untuk memeriksa kawasan kolam renang dan mencegah sesiapa yang ingin menggunakan kolam renang pada waktu begini. Penggunaan kolam renang dihentikan mulai jam 8pm kerana biasa cuaca sudah mulai sejuk dan penyelenggaraan kolam akan dilakukan. Air kolam renang akan digantikan dengan air yang baru dan bahan kimia klorin akan dirembeskan secara automatik dari pompa. Kerana itu tiada sesiapa dibenarkan menggunakan kolam renang setelah 8pm kerana ditakuti klorin yang dirembeskan masih dalam kuantiti yang banyak dan masih pekat yang boleh membahayakan pengguna kolam renang.
Setelah menyampaikan arahanku ke bahagian keselamatan, aku selesaikan tugasku di bilik 403 dan menuju ke kawasan umum wing barat bagi melanjutkan rondaan dan pemeriksaan di kawasan itu pula.
Setibanya aku ke kawasan kolam renang, ku lihat Pak Abu salah seorang pegawai keselamatan resort sudah berada disitu.
"Ha...Cik Putri, tadi ada telefon bagitau ada tetamu yang masuk ke kolam renang?" tanya Pak Abu
"Iya. Pakcik ada jumpa sesiapa ke?" jawabku.
"Di wing barat ni tak ada sesiapa pun Cik Putri. Saya dapat arahan dari bilik kawalan tak lama selepas Cik Putri telefon. Kebetulan saya sedang meronda di kawasan pantai sebelah kolam renang ni dan saya langsung ke sini" jawabnya.
"Terima kasih, Pak Abu. Kalau macam tu, pakcik lanjutkan lah tugas pakcik. Sekiranya pakcik ada terjumpa tetamu yang melanggar larangan, tolong bagitahu saya supaya dapat saya masukkan ke dalam laporan, ya. Sekiranya mereka menimbulkan masalah, hubungi saya langsung" ujarku.
"Baiklah Cik Putri, Assalamualaikum dan selamat malam" jawab Pak Abu.
Share this novel