Hmmm...baru selesai memeriksa dua buah bilik. Nafasku sudah terasa sesak. Tak 'fit' sungguh rasa badan ni. Tapi Ibu ada komen kalau akhir-akhir ni berat badanku sudah kelihatan menurun. Memang aku pun kurang bersenam kerana jarak antara resort dan rumah dalam 40minit menaiki kereta dan aku memang biasa pulang agak lambat untuk mengelakkan daripada arus kesesakan jalan raya. Setibanya dirumah tak sempat untuk duduk berehat kerana waktu Maghrib akan masuk tak lama selepas tu. Cuti hujung minggu pula memang aku gunakan untuk rehat sepuasnya. Macam-macam alasanku kan?
Aku menuju ke arah bilik rekreasi sambil memikirkan kawasan yang harus periksa disana. Ada bilik sauna, bilik ganti pakaian lelaki dan perempuan, dua lapangan squash, 2 bilik ping pong dan satu bilik rekreasi kanak-kanak.
Belum pun separuh perjalanan ke bilik utama ruang rekreasi, aku terserempak dengan Alex and Rina. Mereka berdua pegawai rekreasi yang bertugas di shify petang hari itu.
"Cik Putri, bertugas Manager on Duty ke hari ni? Kami baru saja menutup bilik rekreasi. Semua kawasan sudah dipastikan tiada sesiapa dan sdh kami kemaskan ruangan. Tak banyak yang kesini hari ni. Cuma beberapa orang anak tetamu yang bermain Playstation saja tadi" sapa Alex.
Aku tersenyum kerana kalau betul, tak perlulah aku kesana. Jimat masa dan tenaga fikirku dalam hati. Ku tengok Rina disebelah Alex kelihatan pucat. Berkerut dahiku.
"Rina kenapa pucat? Awak sakit ke?" tanyaku.
"Tak ada apa-apa Cik Putri. Mungkin kerana saya sedang datang bulan" jawabnya.
Semua di resort maklum kalau si Rina ni tomboy dan agak lasak. Selasak-lasak seorang tomboy, tak dapat lari dan menafikan ketentuan Allah sudah dizahirkan sekiranya seorang perempuan tetaplah seorang perempuan walau bagaimanapun dia ingin menyerupai lelaki. Sampai waktunya akan datang bulan juga kalau tak bermasalah kesihatan. Tapi tomboy bukan bermakna dia hendak menjadi seperti lelaki. Cuma sifatnya saja yang agak kasar dan lasak. Tambah lagi minatnya dengan aktiviti sukan dan rekreasi menambahkan lagi imej kelelakian pada dirinya.
"Oh..kalau macam tu, kamu pulanglah dan berehat. Saya jenguk sekejap kawasan rekreasi dari luar untuk pastikan keadaan baik" jawabku. Rencana ku memang begitu pun. Jenguk saja dari luar kerana dinding rekreasi terbuat dari kaca, kita dapat lihat keadaan langsung ke dalam. Walaupun aku percayakan Alex dan Rina, aku tak dapat nak percaya bulat-bulat. Kadang-kadang boleh saja orang yang dipercayai tidak jujur setelah mendapat kepercayaan kita. Sekiranya sesuaty terjadi, aku juga yang harus menjawab ke Pengurus Resort nanti.
"Tapi Cik Putri, tak payahlah kesana. Kami nak singgah makan ke restoran sebelum balik ni. Baik kita pergi sama-sama saja. Macamlah Cik Putri tak percayakan kami. Tak pernah kami tak bekerjasama dan menyokong Cik Putri, kan?" pujuk Alex.
"Bukan macam tu..saya cuma nak pastikan saja. Ini kan tugas saya. Sekejap saja. Kamu berdua pergi ke restoran dulu nanti saya jumpa kamu disana" pujukku sambil tersenyum. Alex dan Rina berpandangan dan kemudian tunduk sebentar. Kelihatan seperti ingin berkata sesuatu.
Aku mula berlalu untuk menjenguk dari luar bilik rekreasi tapi baru selangkah kaki ku menapak, Alex dan Rina masing-masing menggamit lenganku di sebelah kiri dan kanan.
"Ala...Cik Putri. Bukan selalu kami dapat kesempatan untuk makan dan berborak dengan Cik Putri. Kita pergi makan dulu dan kalau Cik Putri betul-betul hendak ke kawasan rekreasi, nanti kan boleh kesana lagi?" pujuk Rina pula.
Aku sedikit mengeluh kerana aku ingin cepat-cepat menyelesaikan rondaan dan pemeriksaan supaya aku dapat singgah ke pejabatku untuk membuat laporanku nanti. Sekiranya aku tak buat, ertinya aku harus masuk kerja lebih awal esok pagi untuk menulis laporanku itu. Tapi tidak mau mengecewakan Alex dan Rina, dan aku pun harus berbaik-baik dengan semua pekerja di resort supaya lebih mudah bekerjasama, aku pun mengalah.
"Baiklah, tapi kita singgah di bar sekejap supaya sy boleh periksa dan buat catatan mana yang patut sebelum kita ke restoran ya" pintaku.
Alex dan Rina mengangguk setuju dan kami pun beredar menuju ke bar yang tidak jauh dari kami.
Bunyi muzik kedengaran beberapa meter dari luar bar tak lama setelah kami berjalan menuju ke sana. Setibanya kami disana, aku menyapa Zachary, Pengurus bar berkenaan dan menyampaikan niatku. Setelah bertegur sapa dan bertanyakan maklumat yang harus aku catat, aku cepat-cepat melihat-lihat keadaan sekeliling supaya Alex dan Rina tidak lama menunggu aku di luar bar. Begitu selesai, aku melambai tangan ke Zachary yang baru saja selesai mengambil pesanan tamunya dan memberi isyarat bahawa aku sudah selesai disitu dan ingin pergi. Dia mengangguk menyatakan dia faham maksudku dan melambai tangan kepadaku sambil tersenyum.
Baru sepertiga tugasku selesai malam itu. Aku hampiri Alex dan Rina dan memberitahu aku sudah selesai memeriksa di bar. Kami pun sama-sama menuju ke restoran.
Setibanya di restoran aku lihat masih ramai tetamu yang sedang makan malam. Pelayan-pelayan restoran termasuk pengurus restoran utama ini si William sibuk melayan para tetamu. Tapi sempat juga dia melihat aku dan mengangguk menandakan dia tau keberadaanku di dalam restoran. Aku sapa Munira kasir yang bertugas di shif malam. Kami bertukar informasi sebentar sementara Alex dan Rina mencari meja yang sesuai. Setelah selesai, Rina beritahu sekiranya kebanyakan meja yang ada berada terlalu terbuka. Aku melihat-lihat sekeliling dan mencari meja yang agak tersorok supaya aku, Alex dan Rina boleh berborak dengan selesa. Bila aku tengok ke meja biasaku, tak ada sesiapa di situ. Aku pun mengajak Alex dan Rina ke sana. Tak ramai yang tahu keberadaan meha tersebut kerana lokasinya memang agak tersorok. Dari pintu depan restoran maupun dari pintu yang menuju ke kawasan meja di balkoni restoran, tempat duduk itu tak kelihatan kecuali dari kawasan pelayan keluar masuk mengambil pesanan yang sudah siap dimasak dari dapur untuk dihidangkan kepada tamu. Tapi kebanyakan pekerja di resort sudah tahu, kalau hendak mencari aku di restoran memang disitulah aku akan berada.
Sementara menunggu pesanan makan malam kami disiapkan, kami pun bercerita tentang kerenah dan telatah tetamu-tetamu resort yang menggelitik hati. Macam-macam yang kami temui dan alami dan cerita kami berlanjutan sehinggalah makanan kami dihidangkan.
Tak lama setelah kami mulai menyantap makanan malam kami, Zachary si pengurus bar ikut serta. Dia duduk disebelahku.
"Selepas ni Putri nak sambung buat MOD kemana?" tanyanya. Kami berdua sebaya jadi sapaan formal tak kami gunakan. 'MOD' pula singkatan untuk Manager on Duty.
"Rencananya nak kembali ke bilik rekreasi sekadar nak pastikan sahaja. Tadi sebenarnya waktu saya ke sana sebelum terserempak Alex dan Rina saya ada terdengar bunyi orang bermain ping pong dan kedengaran suara perempuan cina seperti marah-marah anaknya. Anaknya pula menangis. Sebab tu sy berkeras nak periksa semula kawasan rekreasi tu. Bukannya saya tak percayakan Alex dan Rina" jawabku.
Alex dan Rina saling berpandangan dan Zachary terdiam merenung wajahku. Semua di meja terdiam sebentar macam ada malaikat lalu pula rasaku.
"Kenapa awak tengok saya macam tu, Zach? Alex dan Rina pun bengong semacam saja ni kenapa?" tanyaku kehairanan.
"Macam ni Putri, sebaiknya biarkan saja kawasan rekreasi tu. Saya jamin Alex dan Rina memang dah bereskan mana yang patut disana. Kalau masih nak teruskan MOD, sambung saja ke mana yang Putri perlu periksa. Kalau perlu, sebaiknya bawa seorang pengawal keselamatan. Rasanya Pak Abu yang bertugas malam ni. Lagi bagus. Kalau pengurus-pengurus perempuan yang lain yang MOD pun biasanya akan bawa seorang pegawai keselamatan bersama mereka. Putri seorang saja yang buat MOD ni sendirian. Cik Sandra tak ada bagitau Putri ke?" jelas Zachary.
"Tak ada pula Cik Sandra bagitau saya apa-apa selain perkara-perkara yang saya perlu buat dan ambil tahu untuk menjalankan tugas MOD ni. Lagipun kan ini kali ketiga saya MOD" jawabku.
Zachary menepuk dahinya dan berkata "Adoi Putri...memang la kali ketiga awak MOD.Tapi kan kali pertama awak tanpa sesiapa yang temankan? Sebelum ni kan bersama Cik Sandra kerana dia perlu ajarkan awak mana yang perlu? Haish.... takkan la tak terfikir nak ajak sesiapa temankan meronda?" tanyanya lagi.
"Betul tu Cik Putri. Biasanya pengurus-pengurus perempuan yang lain akan bawa pengawal keselamatan bersama" sokong Rina.
"Hmmm...kalau kalian dah cakap macam tu, baiklah. Tak payah lah saya sambung ke bilik rekreasi tu. Tapi boleh sesiapa jelaskan kepada saya apa yang saya dengar tadi? Alex dan Rina, saya ingatkan sekiranya kamu berdua bersekongkol dan ditemukan ada perkara terjadi esok hari, kamu berdua akan ikut bertanggung jawab. Zachary pun terpaksa saya libatkan kerana menyokong kamu berdua. Saya tak dapat nak melindungi kamu semua sebab saya pun bergantung pada pekerjaan ni" tanyaku meminta penjelasan dari mereka.
"Sebenarnya macam ni Cik Putri. Kejadian-kejadian aneh ni sudah biasa berlaku di resort ni. Apa lagi resort ni memang agak terpencil. Saya memang datang bulan tiga hari yang lepas. Tapi esoknya darah yang keluar sudah berhenti. Biasanya kalau saya datang bulan memang akan mengambil masa 5 ke 6 hari baru kering. Tapi saya endahkan saja kerana tak perlulah saya bertukar tugas dengan sesiapa untuk membawa tetamu yang ingin naik berekreasi mendaki gunung nanti. Tapi dari semalam saya rasa tak sedap badan. Siang tadi pula saya rasa macam nak pitam. Mujur ada Alex ni." mula Rina menjelaskan.
"Rina ni sebenarnya terlupa untuk membersihkan tuala wanitanya sewaktu dia menggantikannya di hari pertama dia datang bulan Cik Putri. Saya pun tak dapat nak salahkan dia sebab memang kami sibuk pada hari tu. Nak makan pun tak sempat. Harap ganjal perut dengan air saja. Itu pun saya teka-teka saja kerana si Rina ni lain macam. Dan lagi satu, di malam Rina terlupakan tuala wanitanya tu, saya terdengar seperti Rina bercakap dengan seseorang di bilik air sebelah sauna tu sewaktu saya sedang kemaskan area rekreasi sebelum pulang. Tapi setau saya Rina shift pagi pada hari tu. Mungkin dia menggantikan si Dennis kata saya dalam hati. Saya pun jerit saja dari luar suruh si Rina kunci bilik rekreasi. Tak fikir banyak saya pulang saja ke asrama" sahut si Alex pula menyambung cerita.
"Yang peliknya tu, bila saya tiba di asrama, saya lihat Rina dan beberapa lagi kawan-kawan kami sedang berborak di kantin asrama. Tak pula saya berfikir macam-macam sebab saya dah letih" sambung Alex lagi.
"Esoknya saya dapati bilik rekreasi tak dikunci dan bola ping pong berselerakan di kedua-dua bilik ping pong. Seingat saya Alex dan Dennis yang bertugas di shif petang semalam. Bila kami bertukat shif nantinya baru saya nak tegur mereka berdua Cik Putri. Tapi disebabkan saya memang dah rasa tak sedap badan, saya terlupa dan terus balik ke asrama saja" sambung Rina lagi.
"Ada Rina laporkan kepada sesiapa berkenaan bilik rekreasi tak dikunci?" tanyaku.
"Tak ada Cik Putri. Malas saya nak besar-besarkan cerita. Saya cuma beranggapan sekiranya MOD malam tu pasti sudah membuat catatan dan dibawa ke mesyuarat pagi. Lagipun keadaan kawasan rekreasi semuanya baik-baik saja kecuali kedua-dua bilik ping pong tu" jawab Rina.
"Tadi sebelum kami tutup bilik rekreasi dan bertembung dengan Cik Putri tu sebenarnya kami baru saja bercakap mengenai masalah ni. Rina pula semakin pucat. Saya pun rasa tak sedap badan. Mulanya tadi kami nak beritahu terus ke Cik Putri. Tapi rasanya seeloknya kami ceritakan esok siang saja lah ya. Tak elok rasanya bercerita tentang masalah ni malam-malam macam ni" ujar Alex.
"Kalau Cik Putri nak tau lebih lanjut lagi, esok kan Cik Putri 'day off'? Mungkin Cik Putri nak ikut saya balik ke kampung? Boleh rasa masakan kampung dan berehat dalam suasana kebun pula" ajak Rina.
Memang kebiasaannya kami akan mendapat cuti separuh hari keesokan hari setelah bertugas MOD. oleh kerana aku memang tak ada rencana apa-apa, aku bersetuju saja dengan ajakan Rina.
"Bagus juga tu Rina. Lagipun sudah lama saya tak merasa masakan mak kamu. Rindu pula rasanya" jawabku.
"Kalau macam tu, esok selepas saya selesai mesyuarat pagi saya jumpa kamu di asrama dan kita sama-sama ke kampung" aku beritahu Rina.
"Zach, kamu pun cuti esok. Nak ikut?" aku mengajak Zachary.
"Tak apalah Putri. Saya ada urusan di sekolah anak saya esok. Saya sudah 2 kali membatalkan pertemuan dengan guru kelas Natasya anak saya tu. Mak Natasya pula sudah berpindah mengikut suami barunya dan mak saya pula sudah beberapa kali menggantikan tempat saya di pertemuan-pertemuan yang sebelumnya. Lain kali lah saya ceritakan kat awak ya" jawab Zachary.
"Kalau macam tu, saya nak ikut. Boleh tak Cik Putri? Rina?" tanya Alex.
"Kalau awak tak kerja esok tak ada masalah, Alex. Tunggu kami di kantin asrama dalam pukul 10am esok" kataku.
"Kalau macam tu, saya nak sambung selesaikan tugas MOD hari ni. Masih ada kawasan wing timur yang belum saya periksa" jelasku.
"Baiklah Cik Putri, jumpa esok" kata Rina. Alex pula hanya tersenyum dan melambaikan tangan sebelum beredar pulang bersama Rina ke asrama.
"Putri, awak sambung periksa bilik terakhir tu kemudian pulang saja berehat di bilik sendiri. Esok saja awak buat laporan tu. Tak banyak pun kan? Tentang kawasan lain wing Timur tak usah awak risaukan. Esok pagi awak cari Pak Abu dan tanyakan saja. Pengurus-pengurus lain pun biasa buat macam tu sekiranya mereka tak mau meronda. Apa lagi yang perempuan" kata Zachary.
"Tak apa ke macam tu, Zach?" tanyaku risau.
"Tak apa. Kalau awak risau sangat pun tak ada gunanya. Lagipun malam-malam begini banyak binatang-binatang liar berkeliaran. Kadang-kadang ular pun ada. Pengurus resort pun maklum akan hal ini. Asalkan awak tumpukan perhatian lebih kepada tetamu resort, masalah rondaan takkan dipertikaikan. Seharusnya Cik Sandra ada bagitau awak setakat mana saja yang awak perlu buat. Dia pun takkan buat rondaan ke semua kawasan resort macam yang awak hendak buat" jelas Zachary lagi padaku.
"Baiklah kalau macam tu" jawabku. Kenapa Cik Sandra tak bagitau aku tentang rondaan sebagaimana Zachary bagitau aku? Lupakan dia atau sengaja? Hatiku sedikit terusik tapi aku tak layankan kerana aku tak mau berprasangka buruk. Lebih baik aku selesaikan tugasku dan berehat awal saja. Sungguhpun begitu, aku tak dapat berhenti memikirkan apa yang sebenarnya terjadi di bilik rekreasi tadi dan cerita Alex dan Rina. Aku sabarkan dan pujuk diriku sendiri. Esok Alex dan Rina akan ceritakan kepada aku.
Share this novel