Setelah berborak sebentar dengan Zachary, aku terus ke lobi dahulu untuk mendapatkan maklumat terkini dari Faizal dan sekiranya ada isu dengan tetamu harus diselesaikan. Tapi setelah berjumpa dengan Faizal, tiada apa-apa masalah dengan tetamu dan laporan terkini menunjukkan semua tetamu yang seharusnya check-in sudah berada di resort. Aku tetap menunggu di lobi sebentar untuk mengamati keadaan dan bertegur sapa dengan tetamu-tetamu yang melewati kawasan lobi.
Setengah jam sudah berlalu dan aku pun melanjutkan rondaanku dan mulai dengan memeriksa kawasan pejabat yang juga berada di tingkat yang sama dengan lobi. Syukur tiada apa-apa yang perlu khawatirkan dan aku pun meneruskan untuk memeriksa bilik terakhir pada malam itu iaitu bilik 603 yang berada di tingkat bawah lobi. Jam sudah menunjukkan pukul 10.15 malam. Sewaktu aku menuruni anak tangga, aku bertembung lagi dengan Pak Abu.
"Pak Abu, sudah habis meronda di kawasan timur ni?" tanyaku.
"Alhamdulillah sudah selesai Cik Putri. Tak ada apa-apa yang perlu dilaporkan. Nanti sekali lagi saya akan meronda selepas tengah malam selepas semua outlet sudah tutup" jawab Pak Abu.
"Oh..kalau macam tu, tak payah lah saya periksa kawasan chalet dan kolam renang ya. Saya nak teruskan periksa bilik 603 dan kemudian balik ke bilik saya saja. Esok pagi-pagi sebelum Pak Abu habis shif saya cari Pak Abu, ya" kataku.
"Baiklah kalau macam tu. Kalau tak sempat jumpa, kita jumpa di kampung saja esok. Lagipun saya dengar dari Encik Zachary dan Encik William waktu saya buat pemeriksaan di restoran tadi Cik Putri ikut Rina ke kampung esok" kata Pak Abu.
"Boleh juga tu Pak Abu. Assalamualaikum. Saya sambung tugas saya dulu ya" kataku mengakhiri perbualan kami. Pak Abu tersenyum dan menjawab salamku sambil berlalu pergi.
Baru beberapa langkah aku menuruni anak tangga, tiba-tiba terasa hembusan angin yang kuat mengenai wajahku. Anehnya cuma di bahagian muka yang terasa? Aku biarkan saja dan cepat-cepat menuju ke bilik 603. Syukur pemeriksaan ku di bilik itu berlanjut dengan lancar tanpa sebarang gangguan dan aku akhirnya boleh mengakhiri tugas MODku pada malam itu.
Jam kini sudah pun menunjukkan pukul 11 malam. Aku pun segera menuju ke bilikku di tingkat empat di wing timur ini. Aku menggunakan tangga tengah di wing itu untuk menuju ke bilikku. Di tingkat kedua yang juga tingkat lobi, aku bertembung dengan George. Si George ni adalah salah seorang akauntan kami. George membawa anak dan istrinya menginap di bilik resort pada malam itu kerana dia sedang bercuti seminggu dan ingin berehat bersama keluarganya selama 2 hari disini.
"Cik Putri, MOD ya? Cepat-cepatlah balik ke bilik tu. Dah malam sangat ni. Tak elok kena udara malam macam ni. Apa lagi udara laut" katanya.
"Iya ni George. Kamu dan keluarga kamu baik-baik saja ke?" tanyaku.
George cuma sekadar tersenyum dan mengangguk kepala sambil beredar menuju ke lobi. Aku membalas senyuman George dan melanjutkan menuju ke bilikku.
Setibanya aku di tingkat 4, aku mengeluarkan kad kunci bilikku supaya cepat aku buka pintu bilik nanti. Cuaca pula semakin sejuk dan aku mula rasa tak sedap badan. Aku sudah terbayangkan untuk mandi air suam, solat isya dan segera mengulit mimpi di katil empuk yang setia menunggu.
Seperti yang aku harapkan, aku dapat segera menunaikan keinginanku. Aku pasang muzik klasik di radio dan memang kena pula dengan suasana bilik yang redup saja lampunya. Kemudian aku menyediakan minuman hangat kegemaranku Horlick sebelum aku mandi membersihkan badan sedikit dan solat. Aku tak berani mandi lama-lama malam-malam macam ni. Masih aku ingat pesan arwah nenek kalau perempuan tak elok mandi malam-malam. Lupa aku tanyakan kenapa dulu. Bagi aku mudah saja. Kalau orang tua menegah daripada berbuat sesuatu pasti ada alasannya. Tak payahlah nak persoalkan sangat melainkan amalan itu bertentangan dengan ajaran agama.
Sewaktu aku sudah berwudhu dan membentangkan sejadah, angin kuat menerpa sehingga pintu lengser balkoni bergetar kuat. Aku berasa terkejut dan sedikit takut kerana aku menyangka resort dilanda ribut. Aku beristigfar dan membaca doa memohon perlindungan Allah. Sempat juga aku terfikir sekiranya betul, keadaan di resort akan huru-hara. Tapi aku segera menyingkirkan fikiran seperti itu dan sekiranya pun benar pasti Faizal sudah menelefon aku di bilik ni dan memaklumkanku akan keadaan resort. Setelah keadaanku sedikit tenang, aku pun melanjutkan untuk menunaikan solat Isyak. Solatku tak khusyuk kerana sedikit terganggu dengan kejadian tadi dan tambah lagi aku terdengar bunyi pintu bilik yang bersebelahan atau mungkin saja yang berdekatan dibuka tutup dengan keras. Tapi aku gagahkan diri dan syukur aku dapat menyelesaikan tanggungjawabku sebagai hamba Allah.
Aku menuju ke sofa untuk menikmati Horlick yang sudah aku siapkan sebelum mandi tadi. Pasti sudah sejuk dan kurang enak untuk diminum ujarku dalam hati. Aku pun membatalkan niatku dan menuju ke katil untuk tidur sahaja.
Sekali lagi aku diduga. Belum pun beberapa minit aku rebahkan kepala ke bantal, aku mendengar bunyi pintu lengser diketuk-ketuk dari luar. Berderau darahku kerana mustahil ada sesiapa di luar balkoni bilikku apalagi di waktu begitu. Aku biarkan saja kerana sebaiknya aku tak pedulikan untuk keselamatanku sendiri. Lagipun tak ada sesiapa yang memanggil dari luar untuk menandakan sekiranya mereka memerlukan pertolongan. Terdetik di hatiku adakah itu tetamu bilik sebelah yang sengaja mengacau tetamu lain? Tadi saja keluar masuk buka tutup pintu dengan kasar sekali. Jadi, tak mustahil kalau mereka sengaja menggangu tetamu lain. Esok pagi-pagi akan aku tanyakan kepada Faizal tentang tetamu bilik sebelah ni ujarku dalam hati lagi. Aku tenangkan diriku lagi dengan membaca doa dan surah-surah perlindungan yang telah aku pelajari. Syukur aku dapat berehat melelapkan mata tak lama selepas itu.
Share this novel