“Mak cik bawa Maia masuk ke dalam dan tunjukkan biliknya.” Mak Cik Timah pantas menganggukkan kepalanya sambil tersenyum.
“Baiklah, Bushrah.” Pandangannya beralih pula ke arah gadis yang baru dikenalinya itu.
“Mari, Maia. Mak cik tunjukkan bilik kamu.”
Kedengaran suara orang sedang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran menerjah gegendang telinga Maia. Suaranya yang merdu itu menarik perhatiannya.
Dia bingkas bangun dan mengatur langkah mencari arah suara tersebut. Semakin dekat dia dengan suara tersebut hatinya semakin tenang. Tidak pernah dia rasakan setenang ini.
Maia mengintai di sebalik tingkap kaca tersebut. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang mengaji. Kelihatan juga Bushrah yang sedang mengajar kanak-kanak tersebut.
Dia ralit melihat kanak-kanak tersebut. Tenang sahaja matanya melihat. Bibirnya pantas sahaja menguntum senyuman yang penuh makna. Bushrah yang menyedari kehadiran Maia itu pantas mengalihkan pandangannya.
Dia tersenyum sambil memandang wajah Maia yang sedang ralit itu. Hatinya terusik.
‘Mungkin dia datang untuk sama-sama menuntut ilmu denganku.’ Dia bingkas bangun daripada duduknya lalu mengatur langkah ke muka pintu.
“Assalamuaikum, Maia.” Bushrah mula menegur Maia. Dia tersenyum sambil memandang wajah Maia. Maia tersentak seketika.
Dia yang ralit melihat kanak-kanak tersebut tidak sedar akan kehadiran Bushrah. Wajahnya ditundukkan sedikit.
“Wa…wa…wa…waalaikumussalam.” Teragak-agak dia menjawab salam daripada Bushrah. Bibirnya diketap atas dan bawah.
Share this novel