Sudu yang berisi bubur itu disuakan ke bibir gadis yang bernama Maia itu. Maia diam. Dia yang menyedari ada sudu mendekati bibirnya, mula berdecit sedikit. Kepalanya digelengkan.
“Tak, tak.” Dia memusingkan badannya. Mengahadap Bushrah yang setia berada di sebelah katilnya.
“Aku memang tak pernah kenal perempuan yang bertudung labuh macam kau ni. Tak pernah kenal.” Dia memandang wajah Bushrah. Tepat ke dalam anak matanya. Bushrah menghela nafas panjang. Dia menundukkan wajahnya seketika.
“Doktor kata Maia boleh keluar dari hospital ni lusa.” Dia mengangkat wajah. Memandang wajah Maia yang mula masam mencuka itu.
“Maia ikut Bushrah. Balik ke rumah Bushrah. Biar Bushrah jaga Maia sampai Maia sembuh.” Lembut sahaja nada suaranya. Maia diam.
Tidak kedengaran kata-kata keluar daripada mulutnya. Selimut yang berada di atas katil digenggamnya erat. Giginya diketap geram. Dadanya mula kelihatan berombak.
“Mak cik, kenalkan.” Bushrah mula bersuara.
“Ini Maia. Maia yang Bushrah ceritakan dulu.” Bahu Maia disentuh lembut. Mak Cik Timah tersenyum.
Pantas tangan kanannya dihulur untuk bersalaman dengan gadis yang berambut perang itu.
“Apa khabar, nak?” Maia diam. Matanya meliar melihat kawasan sekelilingnya. Sangat aneh kawasan tersebut.
Dahinya berkerut. Bibirnya cemerut. Wajahnya masam mencuka. Huluran tangan kanan Mak Cik Timah itu tidak dihiraukan.
“Tak apalah, mak cik. Maia mungkin tak biasa dengan tempat ini.” Bushrah pantas mencelah untuk membetulkan keadaan.
Share this novel