Completed
3660
Dua puluh tahun yang lalu.
Dia kenal sangat dengan warna dan kereta itu. Kereta suaminya! Hampir saja terlepas si adik yang sedang dikendong erat. Kian longlai kendongan tangannya. Si adik terus merengek akibat badan kepanasan. Kaki yang kian lemah tak kala melihat kecelakaan itu tetap terus gagah menuju ke arah tempat kejadian. Berharap ada magis yang bakal mendatang. Walau hati pasti dia sukar menerima kemungkinan seterusnya.
Dari jauh, dari arah belakang kedengaran suara lembut si abang memanggil namanya. Ditoleh sebentar. Abang sudah bangun. Mungkin terjaga akibat bunyi bising sebentar tadi. Depan rumahnya sudah dikerumuni orang ramai.
Pemandu yang lalu turut memperlahankan kenderaan. Mahu melihat kejadian agaknya. Kaki melangkah lebih laju. Berjalan ke arah orang ramai yang sedang berkerumunan. Hati berderau hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tangan si abang digenggam erat. Matanya menangkap sesuatu. Sebujur jasad kaku itu! Memang dia kenal! Suaminya! Cairan merah masih membuak–buak keluar dari mulut si suami.
Dia pantas menjerit.
“Telefon ambulans cepat! Telefon! Suami saya ni, encik. Tolong encik!”
Rayunya dalam tangisan. Air mata mengalir laju kalah hujan lebat satu tika dulu yang pernah mengakibatkan banjir di kawasannya ini. Dia mahu pitam rasa. Hanya kerana memikirkan anak tika ini dikuatkan diri.
“Kami dah telefon kak. Ambulans dalam perjalanan.”
Balas lelaki berbadan gempal memberi penjelasan. Tangan mengenggam erat tangan suaminya. Dia berbisik perlahan memohon suaminya bertahan. Bertahan demi dirinya dan anak–anak.
Cairan merah masih lagi tidak mahu berhenti. Dia pinar. Melihatnya sahaja sudah mengerikan apatah lagi baunya yang begitu menusuk hidung. Tiada sahutan dari pihak suaminya. Hanya kedengaran hembusan nafas turun naik yang seperti cuba bertahan.
Mulutnya tidak henti–henti membisikkan kalimah syahadah di telinga suaminya. Si adik di tangan masih dikendong erat. Si adik masih tidak mahu berhenti menangis. Abang masih mamai dari tidur. Dipandang ayah di depan tidak berkedip walau sesaat. Mugkin kebingungan melihat situasi yang sedang berlaku. Masih tidak mengerti apa yang sedang dilihatnya.
Punggung kereta suaminya remuk teruk. Mungkin akibat hentakan kuat dari arah belakang. Kalau dilihat dari gaya dan keadaan kereta dia yakin orang pasti fikir pemandu ini tidak mungkin dapat diselamatkan. Remuk teruk. Memang teruk! Namun hatinya berbisik. Bibir didekatkan ke telinga suaminya. Dibisik perlahan.
“Abang kuat. Sayang tahu abang kuat. Bertahan lah abang. Untuk kami semua!”
Air mata tidak lagi mahu berhenti mengalir. Laju. Makin laju. Dan semakin laju. Kedengaran siren ambulans dari jauh. Dari kesamaran malam yang dipayungi cahaya neon lampu jalan, kelihatan van ambulans menghampiri kawasan kemalangan. Suaminya masih bertahan. Pegawai betugas gegas mengangkat suaminya yang makin kritikal. Ambulans mula ingin bergerak. Pantas dan cekap sekali semua bertugas. Dia masih mengenggam erat tangan si suami. Berharap suaminya mampu bertahan sehingga rawatan diberikan. Dia, adik dan abang ditemani pegawai hospital yang bertugas. Beberapa rawatan ringkas diberikan untuk suaminya.
Cairan merah masih kekal mengalir. Enggan berhenti. Mual betul rasa tekaknya. Hembus nafas suaminya makin lemah. Genggaman tangannya buat si suami makin kemas. Adik di sebelah masih dikendong kejap. Abang diam seribu bahasa. Matanya sudah bocor lagaknya. Gayanya seperti air paip yang bocor. Memancut laju air keluar. Kalimah syahadah tidak lekang di bibirnya. Dibisik perlahan ke telinga cintanya, kekasihnya itu.
Hembusan nafas makin perlahan.Semakin lemah. Mata si suami mula pejam. Hembusan nafas tiada lagi kedengaran. Dia kaget. Dia buntu. Tidak pasti apa yang sedang berlaku.
“Encik, suami saya,” ujar Imah lemah.
Pegawai lelaki itu mendekati susuk tubuh suaminya. Matanya tidak berhenti melihat setiap gerakan pegawai hospital tersebut. Helahan perlahan terdengar di telinganya.
“Minta maaf puan, suami puan sudah pergi,” sayu suara didengarnya.
Adik dan abang ditenung sejenak. Dunianya kelam. Dia terus pitam!
Share this novel