Completed
3660
Angin dingin kota London menusuk ke tulang. Stesyen ‘Underground Tube Bayswater’ sesak dengan orang ramai yang keluar masuk ke kawasan stesyen. Kaki–kaki si mata berwarna biru pantas berjalan mengejar waktu. Pantas menuju destinasi masing–masing.
Dania turut berjalan pantas. Tangan si lelaki berambut blonde di sisinya digenggam erat. Jam tangan ‘Rolex’ ribuan ringgit miliknya ditenung sekilas. Agakannya mereka akan tiba lewat lagi ke kuliah pada hari ini.
“Relax darling! Why are you so rushing?”
Tutur lelaki mat saleh berkot hitam. Lembut tuturnya.
“We are late my dear. I don’t want to be scold again like the other day. Don’t you know Mr Parkin? He is very strict.”
Balas si gadis sedikit tegas. Jelas kelihatan kegusaran di riak wajah si gadis. Dania merungut di dalam hatinya sendiri. Pagi ini dia bangun lewat lagi. Untuk mengharapkan Matthew mengejutnya memang tidak pernah akan terjadi. Dia sendiri tidak sedar pukul berapa dia dan Matthew sampai di rumah semalam. Kalau ada parti di rumah rakan–rakan mereka memang awal pagi lah baru dia sampai di rumah. Dalam keadaan mabuk lagi.
Memang dia tidak ingat apa–apa. Sedar–sedar jam sudah pukul 9 pagi. Kelas Mr Parkin bermula pukul 10 pagi. Melompat dirinya dari katil. Matthew di sebelah ditarik ajak mandi bersama. Nakal si lelaki tidak habis lagi dari semalam. Makin lewat jawapannya! Silap percaturannya. Ingat tangan ditarik sekali semakin cepat untuk ke kelas. Ini lain pula ceritanya!
The London School of Economics and Political Science dipenuhi dengan pelajar–pelajar berbagai ragam dan gaya. Ada si kacak bergaya, ada si cantik hangat berfesyen, tidak lupa juga yang skema sahaja gayanya. Bercermin mata tebal, berjalan menyandang beg yang kelihatan penuh, tangan tidak lepas memegang buku.
Dania menarik tangan Matthew. Erat genggaman tangannya. Kaki semakin pantas berjalan. Jam tangan dikerling sepintas. Masa berbaki lima minit lagi sebelum jam menunjukkan pukul 10 pagi. Mereka harus pantas. Harus pastikan Mr Parkin tidak sampai lagi. Kalau tidak memang nahas mereka. Sudah beberapa kali dirinya dan Matthew diberi amaran supaya sampai awal ke kuliah.
Kaki makin tangkas melangkah. Pintu bilik kuliah 402 khas untuk subjek ‘Business and Commercial Law’ ditolak perlahan. Mata pantas mengerling ke meja pensyarah.
‘Selamat! Mr Parkin belum sampai lagi. Nasib!’
Hatinya berbisik lega.
“You are late again! Three minutes late!”
Satu suara garau menyentak jiwanya. Terkejut tidak terkata. Mr Parkin di belakang rupanya. Pucat lesi mukanya dek kerana terkejut dengan sergahan si pensyarah berumur itu.
“Mr Parkin, it’s just three minutes. Why are so fussy about that?”
Balas Matthew bersahaja. Tiada riak wajah bersalah di muka lelaki itu. Dania di sebelah pantas mencubit pinggang si lelaki manis itu. Ingin memberi amaran supaya Matthew berhenti berkata–kata. Makin teruk lah jawapannya kalau Matthew berterusan ingin berbalas perang mulut dengan Mr Parkin. Silap–silap mahu dia dan Matthew terpaksa mengulang subjek yang satu ini. Mereka sudah pun dicop sebagai pelajar bermasalah.
Namun Dania tidak sesekali menyalahkan Mr Parkin. Dia sedar memang sudah terlalu banyak kali dia dan Matthew lambat ke kelas. Cuma hari ini tidak terlalu lambat seperti selalu. Pernah sekali, dia tiba di kelas setelah sejam kuliah bermula. Macam manalah tidak dimarahi Mr Parkin. Dia tunduk membisu. Tidak berani mengangkat muka.
“Didn’t I tell you earlier that I want everybody to be punctual in my class?”
Soal Mr Parkin tegas. Wajah yang tenang namun, nada yang cukup tegas. Dania mengangguk perlahan. Lantas kaki melangkah masuk ke dalam dewan kuliah. Mata pantas melilau mencari meja dan kerusi kosong. Dua meja kosong di sudut hujung kanan. Dia pantas menarik tangan Matthew. Serentak mereka duduk. Buku teks ‘Business and Commercial Law’ keluaran ‘Pearson Education’ itu dibuka. Tulisan di depan hanya ditatap. Jelas sekali tidak masuk ke dalam otaknya.
Suara Mr Parkin di hadapan sedang memberi kuliah hanya samar–samar masuk ke gegendang telinganya. Matanya makin layu. Mengantuk akibat berparti semalam masih belum hilang. Dia hilang. Hilang dalam nyaman bilik kuliah.
“Dania, what is the applicable Section for the incorporation of private limited company?”
Suara garau Mr Parkin mengejutkan lelapnya. Terkejut dibuatnya! Mahu gugur jantungnya. Mata pantas mencari jawapan dari buku teks di depannya. Helaian demi helaian diselak rakus. Mati lah dirinya kali ini. Nampak sangat dia tidak memberi perhatian pada kuliah yang baru sahaja disampaikan Mr Parkin sebentar tadi. Dania masih terpinga–terpinga. Masih mamai. Tiada jawapan mampu diberikan.
“See… Again and again. You’re sleeping in my class. What’s wrong with you, Dania?”
Suara Mr Parkin sedikit kecewa.
“Dear students, let’s just proceed with the next subtopic. Do focus on this part because this is one of the most important subtopic which normally being tested in the exam.”
Ringkas arahan yang diberikan Mr Parkin. Dania bungkam. Dia tahu dia yang bersalah. Dulu semasa di Malaysia, dia bukanlah pelajar seperti ini. Dia dikenali sebagai pelajar contoh. Rajin, hormat guru, bijak, dan semua sikap–sikap yang positif. Memang sejuk perut ibunya yang telah berpenat lelah mengandung dan melahirkannya.
Namun, sebaik sahaja tiba di UK, belajar di sini dan mengenali Matthew, memang dia semakin berubah. Apa yang paling ketara ialah tiada lagi tudung litup menutupi auratnya yang satu itu. Setitik air jernih mengalir. Teringat ibu di Malaysia. Apa khabar orang tua itu. Rasanya sudah masuk enam bulan dia langsung tidak menghubungi wanita mulia itu. Air jernih laju mengalir. Tisu di dalam beg diambil. Dilap air mata yang jatuh. Tidak mahu Matthew di sebelah perasan kesedihannya tika ini. Matthew ditenung sejenak. Tidur lena si jejaka. Lena di dalam kuliah!
‘Ya Allah, banyak sungguh dosa aku di bumi mu ini ya Allah.’
Bisik hati kecilnya. Air mata makin ligat mengalir.
Share this novel